LEE FONG KOOI lwn. MINISTER FOR HOME AFFAIRS, MALAYSIA & SATU LAGI

MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-55-90
[1990] 1 CLJ Rep 397; [1990] 2 CLJ 360
TAHANAN PENCEGAHAN: Perintah tahanan – Kuasa Menteri memerintahkan tahanan – Pengesahan oleh Yang di Pertuan Agong – Samada pemohon faham sebab ia ditangkap – Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, ss 3, 6(1) – Akta Tafsiran 1948, 1967.
Pemohon telah dipenjarakan di England berhubung dengan satu kesalahan pengedaran dadah. Setelah dibebaskan dari penjara pada 5 Januari 1989, ia telah pulang ke Malaysia. Setibanya ia di Subang ia telah ditangkap dan kemudiannya dikenakan perintah tahanan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak di Pulau Jerejak mulai 7 Mac 1989.

Dalam permohonannya mendapatkan writ habeas corpus, pemohon memberi tiga alasan – pertama, ia telahpun menjalani hukuman penjara di England; kedua, ia tidak diberitahu sebab-sebab ia ditangkap; dan ketiga, ia tidak diberitahu bila Lembaga Penasihat membuat perakuannya kepada Yang di Pertuan Agong dan bila Yang di Pertuan Agong mengesahkan penahanan yang selanjutnya.

Diputuskan:

[1] Kuasa Menteri mengarahkan seorang itu ditahan kerana terlibat dalam pengedaran dadah bergantung kepada kepuashatiannya bahawa orang itu perlu ditahan bagi kepentingan awam; hujah bahawa orang itu tidak boleh ditahan kerana ia telah menjalani satu hukuman di luar negeri, jika terima bererti meletakkan satu syarat baru dan oleh itu alasan ini wajar ditolak.

[2] Tidak perlu bagi pemohon memahami setiap patah perkataan yang digunakan oleh pegawai yang menangkapnya kerana sudah memadai jika pemohon memahami intisari apa yang dikatakan oleh pegawai itu; berdasarkan kepada kenyataan yang dikemukakan, mahkamah berpuashati bahawa pemohon faham akan sebab-sebab ia ditangkap.

[3] Pengesahan Yang di Pertuan Agong bukan satu syarat yang dikehendaki oleh Akta berkenaan; oleh itu ini bukan satu soalan yang boleh dijadikan asas permohonan habeas corpus.

Case(s) referred to:

Teh Hock Seng v. Minister of Home Affairs & Anor. [1990] 3 CLJ 232 (Rep)

Legislation referred to:

Dangerous Drugs (Special Preventive Measures) Act 1985, ss. 3, 6(1), 11C(1)

Federal constitution, art. 5(3)

Interpretation acts 1948 and 1967, s. 54(2)

Counsel:

Bagi pihak pemohon – Karpal Singh; M/s. Karpal Singh & Co.

Bagi pihak penentang – Noorbahari bin Baharuddin, Peguam Persekutuan

 

PENGHAKIMAN

Abdul Hamid Mohamed PK:

Dalam bulan Ogos 1984 pemohon didapati bersalah oleh Crown Court di Reading, London bersabit dengan kesalahan yang berhubungan dengan dadah dan dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun mulai 6 Mei 1984 iaitu tarikh dia ditangkap di Heathrow International Airport, London. Pemohon menjalani hukuman itu dan dibebaskan pada 5 Januari 1989. Pada 6 Januari 1989 pemohon pulang ke Malaysia. Sesampainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang pada 7 Januari 1989, pemohon ditangkap di bawah kuatkuasa seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316).

Pada 7 Mac 1989, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Malaysia (Timbalan Menteri) mengeluarkan Perintah Tahanan di bawah seksyen 6(1) Akta 316 itu. Perintah itu mengarahkan pemohon ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak, Pulau Jerajak.

Alasan-alasan bagi membuat perintah itu adalah seperti berikut:

Bahawa kamu pernah ada kaitan dengan apa-apa aktiviti yang berhubung atau yang melibatkan pengedaran dadah berbahaya.

Perintah itu berasaskan tuduhan-tuduhan berikut:

Bahawa kamu telah melibatkan diri di dalam kegiatan dadah berbahaya yang berperanan sebagai seorang pembawa/jurubahasa dan penyelia kepada seorang pengedar dadah antarabangsa dari Pulau Pinang yang bernama OOI TEAN ENG @ AH ENG.

2. Bahawa kamu pada 6 Mei 1984 telah ditangkap bersama-sama tiga orang penama yang bergelar TAN LONG CHUN @ AH TAN, CHONG TAT NAM @ AH CHONG dan CHAN HOP HUI @ AH HUI di LTAB Heathrow kerana menyeludup enam belas (16) paun dadah heroin.

Permohonan ini dibuat atas tiga alasan:

Pertama, oleh sebab pemohon telahpun menjalani hukuman bagi kesalahan yang sama dengan yang menjadi asas perintah yang dibuat oleh Timbalan Menteri, maka kedudukan pemohon tidak termasuk dalam bidang (purview) peruntukan seksyen 6(1) Akta 316.

Kedua, pemohon tidak diberitahu dengan secukupnya sebab-sebab dia ditangkap, berlawanan dengan peruntukan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga, pemohon tidak diberitahu bilakah Lembaga Penasihat membuat ” recommendation ” kepada Yang di-Pertuan Agong dan bilakah Yang di-Pertuan Agong mengesahkan (confirmed) penahanannya yang selanjutnya. Malah, dalam suratnya bertarikh 11 April 1990 (Ekshibit NSK2), Setiausaha Lembaga itu mengesahkan bahawa Lembaga Penasihat sendiri tidak tahu tarikh pengesahan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong itu.

Rasanya eloklah saya menimbang alasan ketiga dahulu. Encik Karpal Singh, peguam pemohon memaklumkan Mahkamah bahawa hujahnya berkenaan alasan ini adalah sama dengan hujahnya di hadapan saya dalam kes Permohonan Jenayah No. 44-52-90 Teh Hock Seng v. Minister of Home Affairs dan Pengarah Pusat Pemulihan Akhlak, Pulau Jerajak[1990] 3 CLJ 232 (Rep) yang saya telah beri penghakimannya pada 23 Mei 1990. Beliau tidak hendak mengulangi hujahnya itu tetapi mengambil (adopt) hujahnya yang terdahulu itu.

Perlu diambil perhatian bahawa dalam kes itu hujah Encik Karpal Singh ialah seksyen 54(2) Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388), menghendaki pengesahan oleh Yang di-Pertuan Agong itu dibuat dalam masa yang berpatutan. Oleh sebab tarikh pengesahan itu tidak diketahui, maka tidaklah boleh dikatakan bahawa pengesahan itu dibuat dalam masa yang berpatutan.

Saya menolak hujah itu atas alasan bahawa soalan itu bukanlah satu kehendak prosedur yang pematuhan terhadapnya boleh dipersoalkan dalam permohonan kajian semula kehakiman. Ini adalah berdasarkan peruntukan seksyen 11C(1) Akta 316 yang hanya membolehkan kajian semula kehakiman dibuat mengenai apa-apa soalan tentang pematuhan apa-apa kehendak prosedur di bawah akta itu.

Syarat bahawa pengesahan Yang di-Pertuan Agong perlu dibuat dalam masa yang berpatutan bukanlah satu syarat yang dikehendaki oleh Akta 316. Oleh itu ia bukanlah satu soalan yang boleh dijadikan asas permohonan Habeas Corpus.

Saya masih berpendapat demikian dan atas alasan yang sama saya menolak alasan ketiga dalam permohonan ini.

Mengenai alasan pertama permohonan ini, saya berpendapat bahawa alasan itu tidak berasas dan patut ditolak atas sebab-sebab berikut:

Pertama, sebenarnya terdapat dua tuduhan terhadap pemohon (lihat ekshibit MJMA 2) dan bukan hanya satu yang menjadi asas pertuduhan terhadap di Crown Court, Reading, London itu.

Kedua, melalui alasan bahawa kedudukan pemohon tidak termasuk dalam bidang (purview) peruntukan seksyen 6(1) dan oleh itu ” the power vested in the Minister has been exercised mala fide and improperly ” (perenggan 10 Afidavit Ng Sew Kee bertarikh 14 April 1990), pemohon sebenarnya mempersoalkan ” keputusan ” menteri dalam membuat perintah itu. Ini nyata tidak dibenarkan oleh seksyen 11(C)(1) akta itu, seperti dipinda oleh Akta A738.

Ketiga, seksyen 6(1) memperuntukkan bahawa menteri boleh mengarahkan seseorang itu ditahan jika beliau berpuashati bahawa orang itu terlibat dalam apa-apa aktiviti yang berhubungan dengan atau yang melibatkan pengedaran dadah berbahaya dan perintah itu perlu dibuat bagi kepentingan ketenteraman awam. Itu sahaja yang disyaratkan. Menerima hujah Encik Karpal Singh bahawa perintah itu tidak boleh dibuat terhadap seseorang yang telah disabitkan dan dihukum oleh Mahkamah di luar negeri atas perbuatan yang sama, bererti meletakkan satu syarat baru ke dalam seksyen itu yang jelas tidak memperuntukkan syarat itu. Ini adalah tidak wajar.

Atas sebab-sebab ini saya menolak alasan pertama permohonan ini.

Sekarang tibalah masa bagi saya menimbang alasan kedua permohonan ini iaitu pemohon tidak diberitahu secukupnya sebab-sebab dia ditangkap. Bagi menjawab aduan ini Inspektor Md. Razali bin Taib, pegawai yang menangkap pemohon dalam afidavitnya bertarikh 21 Mei 1990 menyatakan bahawa selepas menangkap pemohon beliau memberitahu pemohon sebab-sebab mengapa dia ditangkap seperti berikut:

Bahawa kamu ditangkap di bawah seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana kamu telah terlibat dalam aktiviti berhubungan dengan penglibatan dadah berbahaya dan adalah perlu bagi kepentingan awam kamu ditahan.

Encik Karpal Singh menghujahkan bahawa perkataan-perkataan yang digunakan oleh pegawai itu adalah sukar difahami dan tanpa diterjemahkan ke bahasa Cina, tidak mungkin pemohon, seorang Cina, boleh memahaminya. Apakah lagi memandangkan bahawa apabila Perintah Tahanan disampaikan kepada pemohon, seorang jurubahasa digunakan untuk menterjemahkannya ke Bahasa Hokkien – Ekshibit NSK 1. Pendek kata hujah beliau ialah oleh sebab seorang jurubahasa digunakan untuk menerangkan isi kandungan Perintah Tahanan, andaiannya ialah isi kandungan perintah itu tidak difaham oleh pemohon jika tidak diterangkan dalam Bahasa Hokkien. Oleh sebab seorang jurubahasa tidak digunakan bagi menerangkan sebab-sebab mengapa dia ditangkap, maka andaian seterusnya ialah dia tidak faham sebab-sebab itu. Dan oleh sebab dia tidak faham maka dia tidak boleh dikatakan telah diberitahu sebab-sebab itu secukupnya.

Dalam hal ini persoalan yang perlu diputuskan ialah adakah saya berpuashati bahawa pemohon faham sebab-sebab dia ditangkap?

Dalam penghakiman saya, adalah tidak perlu bagi pemohon memahami setiap patah perkataan yang digunakan oleh Inspektor Md. Razali seperti yang tersebut dalam afidavitnya itu. Adalah memadai jika pemohon memahami intisarinya iaitu dia terlibat dalam aktiviti dadah dan dia perlu ditahan bagi kepentingan awam.

Soalnya adakah saya berpuashati dia memahami intisari itu?

Perlu diambil perhatian bahawa, pertama, pemohon, semasa ditangkap berumur 29 tahun, dilahirkan dalam tahun 1960 (selepas Merdeka) di Pulau Pinang (dalam Persekutuan Tanah Melayu pada masa itu dan Malaysia sekarang).

Kedua, pemohon sendiri tidak memfail apa-apa afidavit mengatakan bahawa beliau tidak faham Bahasa Malaysia. Hanya emaknya yang memasukkan afidavit dan dalam soal ini hanya mengatakan secara umum bahawa ” The Applicant was not adequately told of the grounds of his arrest… ” Emak pemohon pun tidak mengatakan secara khusus bahawa pemohon tidak faham Bahasa Malaysia.

Ketiga, seperti tersebut dalam tuduhan pertama yang menjadi asas perintah tahanan dibuat (Ekshibit MJMA 2), yang tidak dinafikan, pemohon menjadi jurubahasa kepada seorang pengedar dadah antarabangsa.

Memanglah tidak diketahui bahasa-bahasa apakah yang digunakan oleh pemohon. Tetapi hakikatnya ialah dia mesti mengetahui lebih dari satu bahasa untuk membolehkan dia menjadi jurubahasa. Ini menunjukkan bahawa pemohon bukanlah seorang yang hanya boleh memahami satu bahasa. Jika dia boleh berbahasa lain selain daripada loghat Hokkien, adalah tidak munasabah dia tidak faham Bahasa Malaysia, bahasa rasmi tanah tumpah darahnya.

Memandangkan kepada faktor-faktor ini, dalam penghakiman saya, tidaklah wajar bagi saya membuat andaian bahawa pemohon tidak faham Bahasa Malaysia semata-mata kerana jurubahasa digunakan bagi menerangkan Perintah Tahanan dan tidak digunakan untuk menerangkan sebab-sebab dia ditahan. Kesimpulannya saya berpuashati bahawa pemohon memahami intisari sebab-sebab dia ditahan yang diberitahu kepadanya oleh Inspektor Razali itu. Oleh itu dalam penghakiman saya, alasan kedua permohonan ini juga gagal.

Atas alasan-alasan ini saya menolak permohonan ini.

 

Read 105 times