OO HUA LAI LWN. MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI, MALAYSIA & SATU LAGI
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-58-90
(1990) 1 CLJ Rep 438; (1990) 2 CLJ 368
TAHANAN PENCEGAHAN: Habeas corpus – Tahanan di bawah s. 4(1) Ordinan Dharurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 – Tidak diberitahu hak membuat representasi – Menyampaikan borang kosong – Kenyataan bersumpah Setiausaha Lembaga Penasihat – Samada penahanan pemohon di tempat lain tanpa perintah Menteri menjadi satu perlanggaran – Kuasa Menteri memindahkan atau memerintah orang yang ditahan dibawa ke tempat lain.
Pemohon telah ditangkap pada 10 April 1988 kerana disyaki dalam satu kes pembunuhan. Dua minggu kemudian ia ditangkap semula di bawah seksyen 3(1) Ordinan Dharurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 (“Ordinan 1969″). Pada 15 Jun 1988 ia dikenakan tahanan selama 2 tahun di bawah seksyen 4(1) Ordinan yang sama. Ia ditahan di Pulau Jerjak mulai pada 20 Jun 1988. Dalam tempoh tahanan itu ia dibawa keluar ke beberapa tempat untuk menjadi saksi dan untuk tujuan itu ia pernah ditahan di Ibu Pejabat Polis George Town, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka.
Pemohon mengemukakan dua alasan bagi permohonan mendapatkan writ habeas corpus iaitu (a) ia tidak diberitahu mengenai haknya untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat, dan (b) perlanggaran seksyen 12 dan 13 Ordinan 1969 itu kerana ia ditahan di tempat yang lain daripada apa yang disebut dalam Perintah Tahanan.
Diputuskan:
[1] Mahkamah berpuashati pemohon telah diberitahu haknya untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat; pihak penentang tidak boleh dipersalahkan kerana menyampaikan borang kosong kepada pemohon kerana tidak ada apa-apa ruangan yang perlu diisi oleh pegawai yang meyampaikannya.
[2] Tidak ada apa-apa sebab yang munasabah untuk Mahkamah tidak mempercayai kenyataan bersumpah Setiausaha Lembaga Penasihat bahawa ia menerima syarat surat pemohon yang menyatakan pemohon tidak mahu membuat representasi kepada Lembaga Penasihat.
[3] Jika Menteri mahu memerintahkan (di bawah seksyen 12) atau membawa (di bawah seksyen 13) seorang yang ditahan itu ke tempat lain, ia hendaklah terlebih dahulu membuat perintah di bawah peruntukan berkenaan; dalam kes ini adalah nyata bahawa tiada apa-apa perintah yang telah dibuat di bawah seksyen 12 atau 13 Ordinan 1969 dan oleh itu penahanan pemohon di tempat-tempat lain itu adalah tidak mengikuti undang-undang dan tidak sah.
Case(s) referred to:
Lim Yack Boon v. Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia dan Yang Lain [1990] 1 CLJ (Rep) 403
Legislation referred to:
Emergency (Public Order And Prevention Crime) Ordinance 1969, ss. 3(1), 4, (1), (2), 5, 12, 13
Evidence Act 1950, ss. 56, 57
Public Order and Prevention of Crime (Procedure) Rules 1972, r. 3(7)
Counsel:
Bagi pihak pemohon – V. Shanmugam (Shanmugam & Co.)
Bagi pihak penentang – Noorbahari bin Baharudin (Peguam Persekutuan)
PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pemohon telah ditangkap di Teriang, Pahang pada 10 April 1988 kerana disyaki terlibat dalam satu kes pembunuhan. Pada 23 April 1988 pemohon telah ditangkap semula di Melaka, kali ini di bawah kuatkuasa peruntukan seksyen 3(1) Ordinan Dharurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 (selepas ini disebut Ordinan 1969). Pada 15 Jun 1988 Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia mengeluarkan Perintah Tahanan terhadap pemohon di bawah seksyen 4(1) Ordinan 1969 itu. Perintah itu berkuatkuasa mulai 20 Jun 1988 dan mengarahkan supaya pemohon ” ditahan selama dua tahun…di Pusat Pemulihan Akhlak, Pulau Jerajak atau di mana-mana tempat lain sebagaimana yang diarah oleh [beliau] dari semasa ke semasa.”
Mulai 20 Jun 1988 pemohon ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Pulau Jerjak.
Tidak dinafikan bahawa selama tempoh tahanan itu dia dibawa keluar daripada Pusat itu untuk menjadi saksi dalam perbicaraan jenayah di Mahkamah Majistret di Melaka. Tarikh-tarikh dia dibawa keluar dan dimasukkan ke Pusat itu adalah seperti berikut:
Tarikh keluar Tarikh Masuk
4 November 1988 11 November 1988
3 Disember 1988 8 Disember 1988
6 Januari 1989 24 Januari 1989
Dalam perjalanan ke dan dari Mahkamah Majistret Melaka itu, dia ditahan di Ibu Pejabat Polis George Town, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka.
Juga tidak dinafikan bahawa tiada apa-apa perintah dibuat oleh Menteri atau Timbalan Menteri di bawah seksyen 12 atau 13 ordinan 1969 itu.
Permohonan ini dibuat atas dua alasan. Pertama, pemohon tidak diberitahu hak untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat seperti yang diperuntukkan oleh seksyen 5 Ordinan 1969 itu. Kedua, peruntukan seksyen 12 dan 13 Ordinan 1969 itu dilanggar (breached) kerana pemohon dibawa keluar dalam Perintah Tahanan itu tanpa perintah Menteri di bawah seksyen-seksyen itu.
Berhubung dengan alasan pertama aduan pemohon ialah bahawa dia tidak diberitahu hak untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat – perenggan 6 afidavit pemohon bertarikh 2 Mei 1990. Bagi menjawab aduan itu Inspektor Amran bin Ramli dalam afidavitnya bertarikh 29 Mei 1990 menyatakan bahawa pada 20 Jun 1988 beliau dan D/Sjn. Tan Khoon Hock telah menyampaikan kepada pemohon, antara lain, dokumen-dokumen berikut:
(i) satu salinan Perintah Tahanan – Ekshibit AR1.
(ii) satu salinan Borang 13A iaitu ” Notis Hak Membuat Rayuan ” – Ekshibit AR3; dan
(iii) ” satu salinan Borang 1 untuk membolehkan pemohon membuat rayuan terhadap Perintah Tahanan kepada Pengerusi Lembaga Penasihat ” – Ekshibit AR4.
D/Sjn. Tan Khoon Hock dalam afidavitnya bertarikh 29 Mei 1990 mengesahkan hal ini, malah mengatakan bahawa beliaulah yang bertindak sebagai jurubahasa.
Perlu diambil perhatian di sini bahawa Ekshibit AR1 adalah salinan Perintah Tahanan yang disampaikan kepada pemohon. Ekshibit ini jelas menunjukkan bahawa ketiga-tiga dokumen yang disebut di dalamnya itu telah disampaikan kepada pemohon dan isi kandungannya diterangkan kepada pemohon. Itu disahkan oleh Inspektor Amran bin Ramli dan D/Sjn. Tan Khoon Hock dengan adanya tandatangan mereka di mukasurat 2 perintah itu. Pemohon juga ada menurunkan tandatangannya sebagai ” mengaku terima perintah dan borang-borang tersebut di atas dan faham isi kandungan perintah-perintah dan borang-borang tersebut.”
Berlainan dengan Ekshibit AR1, Ekshibit AR3 (Borang 13A) dan AR4 (Borang 1) adalah salinan borang-borang kosong.
Persoalan yang perlu diputuskan ialah, adakah dalam keadaan kes ini, saya berpuashati bahawa pemohon diberitahu haknya untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat.
Setelah menimbang keadaan kes ini saya berpuashati bahawa pemohon diberitahu haknya untuk membuat representasi kepada lembaga Penasihat. Keputusan ini saya capai atas sebab-sebab berikut.
Pertama, Perintah Tahanan jelas menunjukkan, dan diakui oleh pemohon melalui tandatangannya, bahawa Borang 13A dan Borang 1 disampaikan dan diterangkan isi kandungannya, kepadanya.
Kedua, afidavit-afidavit Inspektor Amran bin Ramli dan D/Sjn. jelas menyokong hakikat ini. Saya tidak mendapati sebab-sebab yang cukup dan munasabah mengapa saya tidak patut menerima kenyataan bersumpah mereka itu.
Peguam pemohon menarik perhatian Mahkamah bahawa Borang 13A dan Borang 1 yang dikembarkan sebagai ekshibit adalah borang-borang kosong.
Berhubung dengan Borang 13A memanglah terdapat ruangan untuk diisi nama jurubahasa yang membaca dan menterjemahkan isi kandungan borang itu dan untuk diturunkan tandatangan penterjemah itu. Juga diperuntukkan ruangan untuk tandatangan orang tahanan sebagai pengakuan bahawa isi kandungan borang itu telah dibaca dan diterjemahkan kepadanya. Dalam Borang 13A yang dikembarkan sebagai ekshibit itu, ruangan-ruangan itu tidak diisi.
Soalnya adakah kegagalan itu menimbulkan was-was yang berpatutan bahawa borang itu tidak disampaikan dan tidak dibaca dan diterjemahkan kepada pemohon? Kepada saya tidak. Kerana, Borang 13A itu diserahkan bersama-sama dengan Perintah Tahanan yang di dalamnya jelas terdapat:
(a) pengakuan Inspektor Amran bin Ramli dan D/Sjn. Tan Khoon Hock bahawa mereka menyampaikannya kepada pemohon;
(b) pengakuan D/Sjn. Tan Khoon Hock bahawa dia menerangkan isi kandungannya kepada pemohon; dan
(c) pengakuan pemohon sendiri bahawa dia menerima borang itu dan faham isi kandungannya.
Ini disokong pula oleh afidavit kedua pegawai polis berkenaan.
Berkenaan dengan Borang I, sebenarnya borang yang disampaikan kepada pemohon adalah borang kosong. Tiada apa-apa ruangan yang perlu diisi oleh pegawai-pegawai yang menyampaikannya pada masa menyampaikannya. Borang kosong itu disampaikan kepada pemohon untuk diisi olehnya jika dia hendak membuat representasi. Oleh itu pihak penentang tidaklah boleh ” dipersalahkan ” kerana mempamirkan Borang I yang kosong, kerana memang borang kosonglah yang disampaikan kepada pemohon untuk diisi oleh pemohon jika dia hendak membuat representasi.
Peguam pemohon juga ” mempersalahkan ” Setiausaha Lembaga Penasihat kerana tidak mempamirkan surat pemohon bertarikh 27 Jun 1988 yang mana, mengikut Setiausaha itu, menyatakan bahawa pemohon tidak mahu membuat representasi kepada Lembaga Penasihat. Saya berpendapat soal hendak mempamirkan sesuatu ekshibit dalam sesuatu afidavit atau tidak terletak kepada budibicara pembuat afidavit itu. Persoalan yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ialah, adakah kegagalan itu menyebabkan timbulnya was-was yang berpatutan bahawa sebenarnya surat itu tidak wujud. Setelah menimbang perkara itu dengan saksama, saya tidak mendapati apa-apa sebab yang munasabah untuk tidak mempercayai kenyataan bersumpah Setiausaha Lembaga Penasihat itu bahawa dia ada menerima surat itu.
Soalan seterusnya ialah adakah pemberitahuan oleh pemohon bahawa dia tidak mahu membuat representasi melalui surat itu memadai? Dalam penghakiman saya cara itu adalah memadai. Kita tidak boleh menghendaki Setiausaha Lembaga Penasihat mempamirkan Borang I yang diisi oleh pemohon yang mengatakan bahawa dia tidak hendak membuat representasi jika pemohon sendiri tidak mengisi dan tidak menyampaikan borang itu kepadanya.
Oleh itu, dalam penghakiman saya hujah itu tidak berasas.
Peguam pemohon juga membangkitkan soalan kegagalan mematuhi kehendak Kaedah 3(7) Kaedah-Kaedah Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah (Acara) 1972 (PU(A) 246/72). Antara lain, kaedah ini menyatakan jika seseorang orang tahanan tidak mahu mengesahkan secara bertulis bahawa dia tidak hendak membuat apa-apa rayuan terhadap perintah tahanannya, maka Pegawai Penjara hendaklah memberitahu Setiausaha Lembaga Penasihat dengan sewajarnya.
Memandang kepada kenyataan Setiausaha Lembaga Penasihat yang saya terima bahawa dia ada menerima surat daripada pemohon yang mengatakan bahawa dia (pemohon) tidak mahu membuat representasi kepada Lembaga Penasihat, tanggungjawab Pegawai Penjaga untuk memaklumkan Setiausaha Lembaga Penasihat di bawah Kaedah 3(7) itu tidak timbul lagi.
Atas alasan-alasan itu, dalam penghakiman saya, alasan pertama permohonan ini adalah tidak berasas dan ditolak.
Berhubung dengan alasan kedua, soalannya ialah apakah dengan membawa pemohon keluar daripada Pusat Pemulihan Akhlak, Pulau Jerjak itu dan membawanya ke Mahkamah Majistret Melaka untuk memberi keterangan dan untuk tujuan itu menahannya di Ibu Pejabat Polis George Town, Kuala Lumpur dan Melaka tanpa perintah Menteri, menjadi satu perlanggaran terhadap Perintah Tahanan itu sendiri dan peruntukan seksyen 4, 12 dan 13 Ordinan 1969 itu?
Dalam hal ini perlu diambil perhatian bahawa Perintah Tahanan mengarahkan pemohon ” ditahan selama dua tahun mulai dari 20 haribulan Jun 1988 di Pusat Pemulihan Akhlak, Pulau Jerjak atau di mana-mana tempat lain sebagaimana yang diarahkan oleh saya (Timbalan Menteri) dari semasa ke semasa.”
Seksyen 4(2) Ordinan 1969 memperuntukkan:
(2) Tiap-tiap orang yang ditahan menurut sesuatu Perintah Tahanan hendaklah ditahan di sesuatu tempat sebagaimana diarahkan oleh Menteri dan dengan mengikut arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Menteri dan apa-apa kaedah-kaedah yang dibuat di bawah seksyen-kecil (3)(dieja mengikut ejaan baru)
Seksyen 12 Ordinan 1969 itu memberi kuasa kepada Menteri, dengan perintah, mengarahkan supaya seseorang yang ditahan itu dipindahkan ke tempat tahanan lain untuk ditahan bagi kesemua atau sebagaimana atau beberapa bahagian tempoh tahanan.
Seksyen 13 Ordinan 1969 itu pula memberi kuasa kepada Menteri untuk memerintah supaya seseorang yang ditahan itu dibawa ke tempat lain jika Menteri berpuashati bahawa dia dikehendaki berada di tempat itu bagi kepentingan keadilan, atau bagi maksud apa-apa siasatan awam atau biasa atau lain, atau bagi kepentingan negara atau bagi kepentingan orang yang ditahan.
Dalam kes ini tidak dinafikan oleh pihak penentang bahawa pemohon dibawa ke Melaka sebanyak tiga kali dan dalam tempoh itu ditahan di beberapa tempat lain. Juga tidak dinafikan bahawa tiada apa-apa perintah dibuat oleh Menteri atau Timbalan Menteri.
Peguam Persekutuan yang mewakili penentang hanya mampu menghujahkan bahawa perintah Menteri bukanlah wajib. Sama ada perintah dibuat oleh Menteri atau tidak, orang tahanan boleh ditahan di tempat lain. Ini berdasarkan penggunaan perkataan ” boleh”(“may”) dalam seksyen-seksyen itu.
Saya tidak dapat bersetuju dengan hujah itu. Apa yang dimaksudkan dengan ” boleh ” dalam seksyen-seksyen itu ialah Menteri dibolehkan memindah (seksyen 12) atau membawa (seksyen 13) orang tahanan itu ditempat lain. Tetapi, jika Menteri hendak berbuat demikian beliau mestilah membuat perintah di bawah seksyen-seksyen itu.
Saya mengambil pengiktirafan kehakiman, yang saya dibenarkan melakukannya oleh seksyen 56 dan 57 Akta Keterangan 1950 bahawa terdapat dua perwakilan kuasa yang berkenaan dengan seksyen 13 Ordinan 1969.
Pertama, ialah Perwakilan Kuasa Menteri Kepada Penolong Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (PU (B)194/79). Dalam Perwakilan Kuasa itu, Menteri mewakilkan kuasanya bagi membuat perintah-perintah di bawah seksyen 13 Ordinan 1969 itu kepada Penolong Setiausaha Kementerian berkenaan.
Tidak ada apa-apa bukti dikemukakan oleh pihak penentang bahawa dalam kes ini Penolong Setiausaha Kementerian itu ada mengeluarkan perintah tersebut. Malah Peguam Persekutuan yang mewakili penentang tidak langsung merujuk kepada Perwakilan Kuasa ini. Andaian yang munasabah ialah tidak ada perintah dibuat di bawah perwakilan kuasa ini.
Kedua, terdapat juga Perwakilan Kuasa-Kuasa Menteri Kepada Penguasa Pusat Pemulihan Akhlak, Pulau Jerajak dan Penguasa Pusat Pemulihan Akhlak, Muar (PU (B)195/79). Perwakilan Kuasa ini mewakilkan kuasa Menteri untuk memerintahkan seseorang yang ditahan di Pusat-Pusat itu dibawa ke mana-mana hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan doktor kepada Penguasa-Penguasa Pusat-Pusat tersebut. Adalah nyata Perwakilan Kuasa itu tidak berkenaan dalam kes ini.
Tetapi, kedua-dua Perwakilan Kuasa itu jelas menunjukkan bahawa ia dibuat untuk mengelak sebarang kelambatan atau kerumitan mendapat perintah Menteri atau Timbalan Menteri. Ia juga mematahkan hujah bahawa orang tahanan boleh dipindah atau dibawa dan ditahan di tempat lain tidak kira perintah di bawah seksyen 12 atau 13 dibuat atau tidak. Kerana, jika itu boleh dilakukan tanpa perintah di bawah seksyen-seksyen itu, apakah perlu membuat perwakilan kuasa itu?
Saya mengambil perhatian terhadap keputusan Y.A. Ahmad Fairus, P.K., dalam kes Lim Yack Boon v. Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia dan Yang Lain [1990] 1 CLJ (Rep) 403[1990] 1 CLJ (Rep) 403. Permohonan Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Trengganu Bil. 44-3-89 dan, dengan penuh hormat, saya bersetuju dengan pendapatnya dalam persoalan yang serupa.
Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, dengan membawa keluar dan menahan pemohon di tempat lain selain daripada yang tersebut dalam Perintah Tahanan tanpa perintah Menteri di bawah seksyen 12 atau 13 Ordinan 1969 itu, pihak penentang telah tidak mematuhi Perintah Tahanan itu dan peruntukan seksyen 4(2), 12 dan 13 Ordinan 1969 itu. Akibatnya penahanan pemohon di tempat-tempat lain itu dan bagi tempoh-tempoh berkenaan itu adalah tidak mengikuti undang-undang dan tidak sah.
Atas alasan ini saya meluluskan permohonan ini dan memerintahkan supaya Writ Habeas Corpus dikeluarkan dan pemohon dibebaskan.