ADIB MALANG LAGI: SETELAH MATI DI SINGKIR PULA

ADIB MALANG LAGI: SETELAH MATI DI SINGKIR PULA

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Kasihan Muhammad Adib Mohd Kassim (Adib). Selepas mati disingkirkan pula.

Beliau adalah seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (Jabatan Bomba), satu jabatan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan (Kementerian). Beliau mati akibat kecederaan yang dialaminya semasa bertugas di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 di pagi 27 November 2018 untuk memadam kebakaran yang disebabkan oleh perusuh-perusuh.

Oleh sebab Pendakwa Raya tidak dapat membuat keputusan apa atau siapa yang menyebabkan kecederaan yang membawa kepada kematian beliaulah, maka inkues mengikut Bab XXXII Kanun Acara Jenayah diadakan untuk mencari sebabnya.

Kerana Adib adalah seorang pegawai Kementerian dan Jabatan Bomba, maka Kementerian dan Jabatan Bomba semestinya bertanggungjawab melihat bahawa sebab kematiannya itu disiasat dan diputuskan dengan teliti dan adil. Kementerian dan jabatan itu tidak boleh lari dari tanggungjawab itu, apatah lagi melepas tangan dan menjauhkan diri daripadanya.

Saya percaya, itulah niat Kementerian dan Jabatan Bomba apabila melantik Syazlin Mansor sebagai peguam Kementerian, Jabatan Bomba dan Adib, yang diwakili oleh keluarganya. (Kemudian kita baru tahu bahawa perkhidmatan itu pun diberi secara percuma oleh Syazlin).

Keluarga Adib telah kehilangan anak muda yang disayangi, yang mungkin diharapkan untuk membantu mereka yang sudah tua dan miskin, yang akan berkahwin tidak lama lagi. Sekurang-kurangnya ia memberi sedikit harapan kepada mereka untuk melihat keadilan dilakukan kepada anak mereka itu di samping tidak membebankan mereka untuk mendapat perkhidmatan peguam dan belanja berada di Shah Alam sepanjang inkues itu. Paling kurang, mereka merasa lega kerana bekas majikan anaknya (Kerajaan) mengambil berat ke atas nasib malang anak mereka.

Inkues itu bermula pada 11 Februari 2019.

Pada 3 April 2019, Jabatan Peguam Negara memfail satu affidavit yang disahkan (affirmed) oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah bagi menentang permohonan (di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan) Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian Adib itu.

Saya percaya bahawa alasan jawatankuasa itu ialah ia mempunyai kepentingan dalam inkues itu. Maka, affidavit itu difail untuk menafikan nyataan jawatankuasa itu. Affidavit itu mengatakan bahawa Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, telah memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Adib bahawa kecederaan yang dialami Adib yang menyebabkan kematiannya, bukanlah kecederaan akibat dipukul.

Kenyataan itu sekaligus menolak tuduhan bahawa Adib mati akibat dipukul dan dipijak oleh perusuh-perusuh itu. Ertinya, perusuh-perusuh itu tidak boleh dipersalahkan mengenai kematian Adib. Sebab itulah, setelah affidavit itu difail, jawatankuasa itu menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan

Saya percaya afidavit itu difail dengan pengetahuan dan persetujuan Pendakwa Raya / Peguam Negara, jika tidak atas arahannya pun.

Saya tidak dapati ada apa salahnya dengan affidavit yang difailkan oleh Timbalan Pendakwa Raya itu dengan syarat:

i. Hingga masa itu, itu sahaja keterangan yang ada padanya mengenai sebab kecederaan yang membawa maut kepada Adib. Jika ada keterangan lain mengenainya, beliau tidak sepatutnya memilih keterangan itu untuk dimasukkan dalam afidavitnya;

ii. Beliau tidak mengambil pendirian bahawa itulah sebab yang mesti diterima oleh Pendakwa Raya, Kementerian dan Jabatan Bomba dalam inkues itu dan keterangan-keterangan yang bercanggah, jika dikemukakan kemudian, mesti ditolak, kerana:

(a). Inkues masih belum selesai dan Koroner masih belum memberi keputusannya; dan

(b). Dalam inkues itu Pendakwa Raya tidak boleh memihak kepada mana-mana pihak sebab peranannya dalam inkues itu semata-mata untuk membantu mahkamah. Pendakwa Raya (melalui pegawainya, Timbalan Pendakwa Raya) hadir di mahkamah bukan untuk mendakwa (prosecute) sesiapa atau mewakili kerajaan, kementerian atau mana-mana jabatan kerajaan.

Inkues kematian Adib itu berterusan sehingga ke hari yang ke hari 37 dan 29 orang saksi telah dipanggil.

Pada 19 April 2019, saksi ke-29 itu adalah Prof. Dr. Shahrom Abd Wahid, Bekas Pakar Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Beliau memberi keterangan yang berbeza daripada keterangan Dr Ahmad Hafizam yang dipetik dalam affidavit itu. Prof Dr Shahrom mengkritik teori Dr Ahmad Hafizam yang mengikutnya, tidak selaras dengan laporan bedah siasat Adib.

Perlu diambil perhatian, semasa Prof. Dr Shahrom memberi keterangan, hanya tinggal dua teori mengenai apa yang menyebabkan kecederaan yang membawa maut Adib itu:

1. Teori Dr Ahmad Hafizam bahawa Adib keluar sendiri daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan yang sedang reverse dan belakang sebelah kirinya dilanggar pintu van yang terbuka itu menyebabkannya terhumban dan tulang-tulang rusuknya patah dan mencucuk paru-parunya.

2. Teori Prof. Dr. Shahrom ialah bahawa Adib ditarik keluar oleh perusuh-perusuh dan pintu van itu sedang ditendang yang menyebabkan adib tersepit.

“Adib tidak mungkin dilanggar pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan”, kata Prof. Dr. Shahrom. (Astro Awani 19 04 2019)

Pada 27 Mei 2019, Syazlin membuat kejutan apabila beliau menarik diri daripada mewakili Kementerian, Jabatan Bomba dan keluarga Adib.

Pada 28 Mei 2019, Tommy Thomas, sebagai Pendakwa Raya / Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan tindakannya.

Daripada kenyataan itu adalah jelas bahawa Pendakwa Raya / Peguam Negara telah mengarahkan Kementerian untuk menarik balik pelantikan Syazlin sebagai peguam yang mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba di dalam inkues kematian Adib itu. Ini disahkan oleh Syazlin dalam sidang akhbarnya pada 12 Jun 2019. Tommy Thomas memberi empat sebab:

Pertama, Kementerian dan Jabatan Bomba, sebagai kementerian dan jabatan kerajaan yang lain, hendaklah mendapatkan nasihat undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam swasta mestilah dilantik oleh Peguam Negara atau Pendakwa Raya.

Kedua, Syazlin berada di dalam pendirian konflik kepentingan apabila beliau bersetuju untuk mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba kerana beliau juga turut mewakili keluarga Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues ini.

Kepentingan pihak-pihak itu mungkin bertentangan, dan adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima apabila beliau mewakili ketiga-tiga pihak.

Ketiga, pegawai-pegawainya yang melaksanakan tugas mereka membantu Majistret (Koroner), telah memaklumkan kepadanya bahawa Syazlin telah mengambil peranan yang aktif di dalam inkues itu, malah sering mengambil pendirian yang bercanggah daripada pendirian yang diambil oleh Timbalan Pendakwa Raya. Perkara ini adalah memalukan Syazlin dalam kapasitinya sebagai peguam bagi Kementerian.

Keempat, suami Syazlin adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kerajaan Tempatan (Menteri). Atas sebab-sebab di atas beliau telah memohon agar Menteri untuk menarik balik pelantikan Syazlin daripada terus mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba.

Kita terpaksa melangkau ke 12 Jun 2019. Pada hari itu, Syazlin telah mengadakan sidang akhbarnya untuk menceritakan apa yang berlaku. Antara lain, beliau menyatakan bahawa, dari awal lagi Menteri menghendaki beliau menjadi pemerhati (to hold a watching brief) bagi kes Adib. Tetapi, oleh sebab Pendakwa Raya tidak melakukan pendakwaan dan sebaliknya meminta mahkamah mengadakan inkues, beliau ditugaskan menjadi pemerhati dalam inkues itu.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa pada tarikh Pengurusan Kes Prosiding Inkues, 18 Januari 2019, beliau telah memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa beliau mewakili keluarga Adib, Kementerian dan Jabatan Bomba dalam inkues itu. Pada tarikh tersebut, keluarga Adib telah diterima masuk sebagai pihak berkepentingan di dalam posiding inkues itu.

Beliau kemudiannya telah membuat hujahan agar Kementerian dan Jabatan Bomba diterima masuk sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini. Tiada bantahan dibuat oleh pegawai pengendali prosiding inkues (Timbalan Pendakwa Raya) itu. Setelah mendengar hujahannya, Koroner telah membenarkan Kementerian dan Jabatan Bomba menjadi pihak berkepentingan dalam inkues itu.

Pada 24 Mei 2019, beliau telah dihubungi oleh Menteri yang memaklumkan kepadanya
bahawa Peguam Negara telah menghantar surat kepada beliau untuk beliau menarik balik pelantikan Syazlin sebagai peguam yang mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba dalam inkues itu.
Syazlin menekankan bahawa dari awal sehinggalah 24 Mei 2019, tiada sebarang bantahan dibuat oleh Pegawai Pengendali Inkues mengenai pelantikan beliau, dan fakta bahawa beliau tidak boleh mewakili ketiga-tiga pihak berkepentingan iaitu Kementerian, Jabatan Bomba dan keluarga Adib.
Beliau seterusnys menyatakan bahawa beliau merasa pelik bahawa, apabila beliau mula menyoal teori pakar forensik patologi HKL, dan membawa saksi pakar Prof. Dr. Shahrom Abd Wahid untuk membantu inkues, isu konflik kepentingan dan pelantikannya baru dibangkitkan.
Pada pandangan beliau terdapat cubaan untuk mengacau ganggu prosiding inkues itu, terutamanya dalam hal berkaitan keterangan yang dikemukakan oleh saksi pakar Prof Dr. Shahrom.
Adalah jelas daripada kenyataan Pendakwa Raya sendiri dan kenyataan Syazlin di sidang akhbarnya bahawa selepas Prof. Dr. Shahrom memberi keterangan, Pendakwa Raya telah mengarahkan Menteri untuk menarik balik pelantikan Syazlin daripada mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba.

Mengenai alasan pertama Tommy Thomas, oleh sebab beliau tidak merujuk kepada mana-mana undang-undang, saya akan membincangnya bersama-sama alasan yang diberi oleh Majlis Peguam, kemudian.

Mengenai alasan kedua, (rujuk di atas), seorang peguam itu dilarang mewakili lebih daripada satu pihak, jika dengan berbuat demikian dia akan berada dalam keadaan percanggahan kepentingan (conflict of interests). Itu masalah peguam itu, bukan masalah Pendakwa Raya / Peguam Negara.

Isunya ialah seorang peguam (dalam perbincangan ini, Syazlin) tidak sepatutnya mewakili sesuatu pihak jika beliau (Syazlin) khuatir akan berlaku percanggahan kepentingan. Isunya bukanlah sama ada Pendakwa Raya / Peguam Negara fikir Syazlin akan menghadapi percanggahan kepentingan jika Syazlin mewakili ketiga-tiga pihak itu.

Yang lebih tahu sama ada terdapat percanggahan kepentingan di antara Kementerian dan Jabatan Bomba di satu pihak dan Adib di pihak yang lain, jika ada, ialah Syazlin. Dalam inkues kematian Adib, sepanjang inkues itu berjalan, Kementerian, Jabatan Bomba dan keluarga Adib sekata, termasuk mengenai keterangan pakar forensik yang dibawa oleh Syazlin. Saya percaya, keluarga Adib hanya mengikut sahaja. Yang tidak suka kepada keterangan Prof. Dr. Shahrom itu adalah Tommy Thomas (Pendakwa Raya). Adakah itu menjadikannya percanggahan kepentingan kepada Syazlin?

Jika terdapat percanggahan kepentingan, yang bertanggungjawab adalah Syazlin, bukan Pendakwa Raya / Peguam Negara. Percanggahan kepentingan itu adalah alasan yang diberi, pada tempat yang salah, untuk mengeluarkan Syazlin daripada mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba, kerana Syazlin telah membawa masuk keterangan Prof. Dr. Shahrom.

Saya ingin bertanya kepada Kementerian dan Jabatan Bomba: Adakah kedua-duanya akan melepaskan tanggungjawabnya terhadap pegawainya yang mati semasa bertugas?

Akibat pendirian Pendakwa Raya / Peguam Negara dalam inkues ini, bagaimanakah pendirian beliau dalam contoh-contoh berikut? Pertama, dalam permohonan habeas corpus, pemohon akan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. Adakah di masa hadapan, Jabatan Peguam Negara hanya akan mewakili Kerajaan Malaysia dan membiar Menteri Dalam Negeri mendapatkan peguamnya sendiri?

Kedua, dalam tuntutan sivil kerana kecuaian perubatan (medical negligence) di mana plaintif menamakan pakar bedah, Pengarah Hospital dan Kerajaan Malaysia, adakah Jabatan Peguam Negara hanya akan mewakili Pengarah Hospital dan Kerajaan Malaysia manakala pakar bedah terpaksa mendapatkan peguamnya sendiri, sebab beliau mempunyai “kepentingan terus” (direct interest)?
Walau bagaimana pun, terdapat berkembangan yang mengembirakan bagi keluarga Adib. Dalam sidang akhbarnya pada 12 Jun 2019, Syazlin memberitahu, atas desakan keluarga Adib, beliau telah memutuskan untuk terus mewakili keluarga Adib dalam inkues itu.
Tetapi, itu tidak memperbaiki kedudukan Kementerian dan Jabatan Bomba yang telah melepaskan tanggungjawabnya terhadap pegawainya yang mati semasa bertugas atas nasihat Pendakwa Raya yang salah. Pegawai-pegawai Jabatan Bomba dan beribu-ribu pegawai kerajaan lain yang menyabung nyawa setiap kali mereka keluar bertugas, juga perlu mengambil perhatian. Mereka tidak boleh mengharapkan Syazlin atau peguam-peguam lain akan mewakili keluarga mereka dengan percuma. Peguam-peguam itu juga perlu mencari makan.

Mengenai alasan ketiga (rujuk di atas), itu adalah sebab sebenar mengapa Tommy Thomas tiba-tiba melenting, iaitu setelah beliau diberitahu oleh pegawainya-pegawainya (Timbalan Pendakwa Raya) bahawa Syazlin telah mengambil peranan yang aktif di dalam inkues itu, malah sering mengambil pendirian yang bercanggah daripada pendirian yang diambil oleh Timbalan Pendakwa Raya. Perkara itu adalah memalukan Syazlin dalam kapasitinya sebagai peguam bagi Kementerian, katanya.

Di sini jelas kesilapan Tommy Thomas:

i. Beliau tidak boleh terima tindakan Syazlin membawa masuk keterangan Prof. Dr. Shahrom yang memberi keterangan yang bercanggah dengan keterangan Dr. Ahmad Hafizam. Ertinya, beliau telah mengambil pendirian menerima keterangan Dr. Ahmad Hafizam dan menolak keterangan Prof. Dr. Shahrom, sekaligus melepaskan perusuh-perusuh itu daripada sebarang liability.

Ini adalah satu inkues untuk mencari sebab kematian Adib, bukan satu kes jenayah di mana Pendakwa Raya menjalankan pendakwaan. Biar apa pun pandangan peribadi Tommy Thomas, sebagai Pendakwa Raya, beliau tidak boleh memihak kepada mana-mana pihak.

Dalam inkues Teoh Beng Hock, peguam-peguam yang mewakili keluarganya memanggil seorang pakar forensik dari Thailand yang memberi keterangan yang bercanggah dengan keterangan pakar forensik yang yang dipanggil oleh Pendakwa Raya.

ii. Beliau mengambil pendirian bahawa Pendakwa Raya mewakili Kerajaan Malaysia dalam inkues itu. Maka, peguam Kementerian dan Jabatan Bomba hendaklah mengambil pendirian yang sama dengan pendirian Pendakwa Raya dan Kerajaan Malaysia. Itu salah.

Kehadiran Pendakwa Raya dalam inkues itu bukan untuk mewakili Kerajaan Malaysia dan keterangan yang dibawa masuk oleh peguam Kementerian dan Jabatan Bomba tidak semestinya sama dengan apa yang dibawa masuk oleh Pendakwa Raya. Kedua-duanya membantu mahkamah mencari sebab kematian Adib, bukan untuk menang kes.

Saya akui, dalam pendakwaan (prosecution) pendirian Kementerian adalah tertakluk kepada pendirian Pendakwa Raya. Misalnya, Kementerian berpendapat seorang atau beberapa orang hendaklah didakwa (should be prosecuted) berdasarkan keterangan Prof Dr. Shahrom tetapi Pendakwa Raya tidak bersetuju. Pendakwa Raya bersetuju dengan teori Dr. Ahmad Hafizam. Dalam hal itu Kementerian tertakluk dengan pendirian Pendakwa Raya.

Kita bukan sampai ke peringkat itu lagi. Kita berada di peringkat inkues untuk membantu Koroner mencari sebab kematian Adib. Pendakwa Raya tidak boleh memaksa Kementerian menerima pendiriannya mengenai sesuatu keterangan. Beliau tidak boleh mengarahkan Kementerian menarik balik pelantikan peguam yang dilantik oleh Kementerian kerana peguam itu membawa masuk keterangan yang bercanggah dengan keterangan yang dibawa masuk oleh Timbalan Pendakwa Raya. Itu beliau perlu faham.

Saya tidak faham bagaimana mengambil pendirian yang berlainan daripada pendirian Pendakwa Raya “memalukan” Syazlin. Saya percaya perkataan “memalukan” itu adalah terjemahan daripada perkataan “embarrass”. Saya katakan, tidak ada embarrassment sebab dalam inkues itu Syazlin dan Pendakwa Raya sama-sama membantu mahkamah mencari sebab kematian Adib, bukan mewakili pihak yang berlainan dalam satu perbicaraan.

Sekarang, persetujuan telah dicapai di antara Pendakwa Raya dan Menteri bahawa Kementerian dan Jabatan Bomba akan diwakili oleh seorang Timbalan Pendakwa Raya. Menteri juga berkata, “‘Timbalan Pendakwa Raya itu akan bebas daripada pegawai (Timbalan Pendakwa Raya – ditambah) yang mengendalikan inkues itu.’ katanya dalam satu kenyataan pada hari Sabtu (Jun 1)”’ (Star Online June 2, 2019.)

Jika “bebas daripada pegawai yang mengendalikan inkues itu” bererti Timbalan Pendakwa Raya itu boleh mengambil pendirian yang belainan daripada pendirian Pendakwa Raya dan boleh membawa masuk keterangan yang bercanggah dengan keterangan yang dibawa masuk oleh Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan inkues itu, pendirian Tommy Thomas itu sudah bercanggah dengan pendiriannya sendiri yang menyebabkan beliau mengarahkan Kementerian menarik balik pelantikan Syazlin dan menghendaki Kementerian dan Jabatan Bomba diwakili oleh seorang Timbalan Pendakwa Raya.

Jika beliau sudah menukar fikiran, mengapa tidak memberi kebenaran kepada Syazlin untuk meneruskan perkhidmatannya dengan percuma itu?

Atau adakah beliau confused?

Atau, adakah beliau bersandiwara dengan Menteri? Beliau berkata kepada Menteri bahawa Timbalan Pendakwa Raya itu akan bebas tetapi beliau tahu bahawa Timbalan Pendakwa Raya itu tidak akan berani menentangnya, demi menjaga periuk nasinya. Tidakkah soal kemungkinan Timbalan Pendakwa Raya itu akan bias memihak kepada bosnya, (Pendakwa Raya) akan timbul?

Mengenai alasan keempat (rujuk di atas), oleh sebab suami Syazlin adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri, tidak bererti Syazlin tidak boleh dilantik mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba, apatah lagi Syazlin memberi perkhidmatan percuma. Di mana adanya penyalahgunaan kuasa atau kronisme? Lebih teruk lagi, selepas peristiwa itu, suami Syazlin terpaksa pula meletak jawatan Setiausaha Akhbar kepada Menteri, Kerajaan Tempatan.

Sudahlah perkhidmatan Syazlin yang diberi secara percuma kepada Kementerian dan Jabatan Bomba itu tidak dihargai, setelah disingkir, suaminya juga hilang pekerjaan. Mereka juga turut malang.

Pada 2 Jun 2019, Majlis Peguam mengeluarkan kenyataan bahawa ia bersetuju terdapat percanggahan kepentingan jika Syazlin mewakili Kementerian, Jabatan Bomba dan keluarga Adib, tetapi ralat kerana bantahan dibuat lewat oleh Pendakwa Raya / Peguam Negara.

Jika terdapat percanggahan kepentingan, mengapa Majlis Peguam tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap Syazlin? Mengapa berdiam diri sekian lama dan cuma bersuara untuk menyokong Pendakwa Raya / Peguam Negara setelah beliau membangkitkan isu itu?

Dalam kenyataan itu, Majlis Peguam memberi dua contoh bagaimana percanggahan itu boleh berbangkit:

Pertama, jika selepas inkues itu, keluarga Adib memfail guaman sivil terhadap Kerajaan.

Kedua, jika inkues itu memutuskan bahawa Kerajaan bertanggungjawab terhadap kematian Adib, keluarga Adib mempunyai hak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Kerajaan.

Mengikut Majlis Peguam, dalam kedua-dua keadaan ini, keterangan yang telah dikemukakan dan dibawa oleh (that had been tendered and led by) Syazlin dalam inkues itu – iaitu semasa beliau mewakili Kerajaan dan keluarga Adib – boleh digunakan dalam kes yang terkemudian itu. Itu adalah percanggahan kepentingan, kerana, pada masa itu, kerajaan dan keluarga Adib akan mempunyai kepentingan yang berlawanan.

Merujuk kepada kedua-dua contoh itu bersama, hujah saya ialah, pertama, jika takut keterangan dalam inkues itu digunakan oleh satu pihak dalam kes lain antara kedua-dua anakguam itu adalah satu alasan untuk tidak mewakili lebih daripada seorang anakguam, maka peguam tidak akan boleh mewakili lebih daripada seorang anakguam.

Kedua, dalam konteks fakta kes ini, bagaimana berkemungkinan mahkamah mendapati Kementerian atau Jabatan Bomba bertanggungjawab (liable) terhadap kematian Adib?

Ketiga, soal sama ada akan berlaku percanggahan kepentingan kepada Syazlin ialah dalam inkues ini, bukan apa yang mungkin berlaku dalam kes lain, yang beliau mungkin tidak menjadi peguam bagi mana-mana pihak. Jika beliau menjadi peguam salah satu pihak itu di masa hadapan pun dan jika, pada masa itu, beliau berpendapat terdapat percanggahan kepentingan, maka, pada masa itu, beliau hendaklah menarik diri dari kes itu.

Mengapa beliau perlu menarik diri dalam inkues ini kerana takutkan kemungkinan akan berlakunya percanggahan kepentingan dalam satu kes di masa hadapan yang beliau mungkin tidak menjadi peguam bagi mana-mana pihak?

Kenyataan Majlis Peguam itu juga merujuk kepada Government Proceedings Act 1956 dan mengatakan bahawa Kementerian dan Jabatan Kerajaan hendaklah diwakili oleh pegawai Jabatan Peguam Negara. Peguam swasta tidak boleh mewakilinya melainkan jika Peguam Negara mengeluarkan fiat (kebenaran) kepada peguam swasta berkenaan untuk mewakilinya. Dalam kes ini fiat tidak dikeluarkan. Oleh itu Syazlin tidak boleh mewakili Kementerian dan Jabatan Bomba.

Dengan hormat, saya tidak dapat temui peruntukan demikian. Seksyen 24, yang berkenaan, mengatakan:

“….in civil proceedings by or against the Federal Government a law officer….. may appear as advocate on behalf of such Government….” (….dalam kes sivil oleh atau terhadap Kerajaan Persekutuan seorang pegawai undang-undang….boleh hadir sebagai peguamcara dan peguambela bagi pihak Kerajaan itu…)

Ambil perhatian, pertama, peruntukan itu adalah berkenaan kes sivil. Inkues kematian Adib dibuat di bawah Kanun Acara Jenayah. Ia bukan satu kes sivil. Oleh itu peruntukan itu tidak terpakai.

Kedua, ia membolehkan pegawai undang-undang hadir bagi pihak Kerajaan. Ia tidak mengatakan Kerajaan mesti diwakili oleh pegawai undang-undang. Tidak pula disebut peguam swasta hanya boleh hadir jika diberi fiat oleh Peguam Negara.

Peruntukan yang mungkin berkenaan ialah seksyen 379 Kanun Acara Jenayah yang mengatakan:

“379. With the permission in writing of the Public Prosecutor an advocate may be employed on behalf of the Government to conduct any criminal prosecution or inquiry……”

Soalnya ialah sama ada kata-kata “to conduct any criminal prosecution or inquiry” itu termasuk “to hold a watching brief”.

Jika tidak, seksyen in juga tidak terpakai. Jika ya, maka bolehlah dikatakan bahawa pelantikan Syazlin oleh Kementerian tanpa kebenaran Peguam Negara itu tidak sah, bukan atas alasan yang diberi oleh Majlis Peguam, tetapi atas alasan ini.

Jika Pendakwa Raya berpendirian neutral, seperti yang sepatutnya, beliau masih boleh memberi kebenaran itu kepada Syazlin dan meneruskan inkues. Pendirian seperti itu lebih adil kepada semua. Adib tidak tersingkir. Kementerian dan Jabatan Bomba tidak rugi apa-apa kerana itulah tujuannya asal Kementerian apabila melantik Syazlin. Kementerian dan Jabatan Bomba pun tidak boleh dituduh hanya menjaga kepentingan sendiri, pegawainya yang mati semasa bertugas boleh mati katak. Kerajaan pun nampak lebih adil.

Tetapi, itu pun jika peguam itu dibenarkan mengambil pendirian yang berlainan daripada Pendakwa Raya dan beliau tidak dihalang daripada membawa masuk keterangan yang bercanggah dengan keterangan yang di dibawa (led by) Pendakwa Raya.

Kesimpulannya, kesilapan Tommy Thomas dalam hal ini ialah beliau fikir Pendakwa Raya mewakili Kerajaan Malaysia dalam inkues itu. Oleh itu Kementerian dan Jabatan Kerajaan mestilah mengikuti pendiriannya mengenai sesuatu keterangan; Kementerian dan Jabatan Bomba mesti diwakili oleh pegawai Pendakwa Raya yang semestinya akan mengikut telunjuknya; keluarga Adib tidak boleh diwakili oleh Jabatan Peguam Negara kerana mereka mempunyai “kepentingan terus” (“direct interest”).

Maka Kementerian dan Jabatan Bomba pun terpaksalah melepaskan tanggungjawabnya terhadap bekas pegawainya yang mati semasa bertugas untuk melihat bahawa keadilan berlaku kepadanya. Keluarganya dianggap seperti musuh yang mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian dan Jabatan Bomba.

Kita bukan meminta Pendakwa Raya / Peguam Negara memihak kepada Adib kerana beliau seorang pegawai kerajaan. Kita hanya meminta beliau supaya:

1. Memahami peranan Pendakwa Raya dalam inkues itu;

2. Jangan menyebelahi mana-mana pihak;

3. Kemukakan keterangan yang ada padanya;

4. Jangan cuba menghalang keterangan yang bercanggah dengannya;

5. Berilah kebenaran kepada Kementerian untuk melantik Syazlin atau mana-mana peguam lain untuk mewakili Kementerian, Jabatan Bomba, dan keluarga Adib;

6. Dalam inkues, jangan mengambil pendirian menerima sesuatu keterangan dan menolak yang lainnya dan menghendaki Kementerian dan Jabatan Bomba mengambil pendirian yang sama.

7. Jangan singkirkan Adib; dan

8. Biarlah Koroner memperolehi semua keterangan yang berkenaan untuk membolehkannya membuat keputusan yang betul dan adil.

Sekian.

13 06 2019

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

170 visits