PENGASINGAN KUASA PENDAKWAAN
PENGASINGAN KUASA PENDAKWAAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
Apabila saya menapat tahu bahawa ada NGO yang bercadang untuk mengadakan persidangan meja bulat untuk membincangkan pengasingan kuasa pendakwaan, saya meminta sedikit penjelasan mengenainya.
Jawapan yang saya terima ialah sekarang ini kuasa untuk mendakwa terletak kepada Puguam Negera. Adalah susah baginya unruk mendakwa orang yang berkuasa. Oleh itu patutkah ia diletakkan di bawah Parlimen atau satu agensi pendakwaan.
Dalam konteks Malaysia hari ini, maksudnya ialah oleh sebab Peguam Negara dilantik oleh YDP Agong atas nasihat Perdana Menteri, dan oleh sebab Peguam Negara adalah salah satu daripada Perkhidmatan Awam (Public Services), maka tidak mungkin Peguam Negara akan mendakwa Perdana Menteri.
Terlebih dahulu biarlah saya jelaskan bahawa rencana in semata-mata berasaskan prinsip undang-undang perlembagaan, tidak kira siapa yang menjadi Perdana Menteri dan Peguam Negara.
Perlu diingati bahawa kita telah memilih sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen sebagai sistem pemerintahan kita dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan. Raja berperlembagaan membuat sesuatu perkara atas nasihat Perdana Menteri, melainkan dalam beberapa perkara tertentu.
Perlembagaan Persekutuan mengasingkan Badan Eksekutif (Execetive), Badan Perundangan (Legislature) dan Badan Kehakiman (Judiciary). Ketiga-tiga badan ini dikenali sebagai tiga cabang kerajaan. Peguam Negara (Perkara 145) diletak di bawah Perkhidmatan Awam.
Perlu difahami bahawa ketiga-tiga badan kerajaan itu mempunai kuasa yang berasingan. Kuasa Badan Perundangan, melalui Parlimen, ialah membuat undang-undang. Kuasa Badan Eksekutif, melalui kementerian dan jabatan ialah mentadbir negara mengikut undang-undang. Ini termasuk menyiasat dan mendakwa orang-orang yang melanggar kesalahan-kesalahan yg diperuntukkan oleh undang-undang. Kuasa Badan Kehakiman, melalui mahkamah, ialah untuk mengadili kes-kes termasuk kes-kes jenayah.
Pembahagian kuasa ini dibuat supaya sesuatu badan itu tidak membolot semua kuasa pemerintahan atau supaya terdapat “check and balance” dalam pentadbiran sesebuah negara.
Kes-kes jenayah melalui dua peringkat sebelum sampai ke mahkamah untuk diadili. Penyiasatan dijalankan oleh Polis atau SPRM. Peguam Negara menentukan sama ada hendak membuat pertuduhan dan mendakwa mengikut budibicaranya. Budibibicara diberi kepadanya supaya dia tidak mengikut arahan sesiapa, termasuk Perdana Menteri. Perbicaraan dan Penghakiman dilakukan oleh Mahkamah.
Ini dibuat supaya tertuduh mendapat keadilan. Bayangkan jika ketiga-tiga kuasa menyiasat, mendakwa dan membicarakan kes diletak di bawah Polis atau SPRM (penyiasat). Besar kemungkinan setiap orang yang disiasat akan didapati bersalah. Jika tidak pun ia tidak telus sebab tugas ketiga-tiga fungsi itu dilakukan oleh pihak yang sama.
Katakanlah kuasa menyiasat dan mendakwa diberikan kepada Polis atau SPRM. Mungkin kes yang tidak cukup bukti pun dibuat pendakwaan. Mungkin terdapat pertuduhan palsu dengan keterangan yang dipalsukan. Tidak ada sesiapa untuk menapisnya. Oleh sebab itu, kuasa menyiasat dan mendakwa tidak boleh diletakkan di bawah agency yang sama.
Bagaimana dengan syur meletakkan kuasa mendakwa di bawah Parlimen?
Pertama, perlu diingati bahawa tugas Parliament adalah untuk membuat undang-undang, bukan melaksanakannya.
Kedua, Parlimen terdiri daripada ahli-ahli politik berparti. Mereka melihat sesuatu isu dari segi kepentingan parti politik masing-masing. Mereka mengundi mengikut arahan ketua parti. Mereka akan berat sebelah jika ada kes yang melibatkan ahli politik. Jika tidak pun, ia tidak nampak telus.
Ketiga, untuk membuat keputusan sama ada hendak mendakwa atau tidak memerlukan bukan sahaja kululusan undang-undang tetapi juga kepakaran dan pengalaman dalam bidang pendakwaan. Saya berani katakan, tidak ada atau jika ada pun tidak sampai satu peratus ahli Parlimen yang mempunyai kepakaran seperti itu.
Keempat, kertas siasatan mungkin berjumlah beribu halaman. Saya katakan ahli-ahli politik tidak akan membaca dan menghalusinya. Akhirnya mereka mengundi mengikut parti.
Sistem yang diperuntukkan dalam Perlembagaan kita itu bukanlah sesuatu yang hanya direka untuk Perlembagaan Malaysia. Ia juga terdapat dalam perlembagaan negara-negara maju. Ia tidak perfect, tetapi saya berpendapat bahawa ia adalah yang terbaik.
Baik sistem apa pun yang dipakai, pengaruh ketua kerajaan, baik diberi nama Perdana Menteri, Presiden, Cancelor, Sultan atau apa juga, tidak dapat dihapuskan sama sekali. Jika kita khuatir kerana pelantikan Peguam Negara dibuat atas nasihat Perdana Menteri, demikian juga dengan pelantikan Hakim, Juru Odit Negara, Ketua Polis Negara, Ketua SPRM dan lain-lain.
Apatah lagi Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Perdana Menteri sebagai ketua parti yang memenangi majoriti kerusi dalam Pilihanraya Umum adalah orang yang pada hakikatnya, memilih siapa yang hendak dijadikan Speaker, biasanya juga orang politik daripada partinya atau sekutunya. Kesemuanya mengharapkan ihsan Perdana Menteri. Demikian juga ahli-ahli Parlimen, termasuk Menteri-Menteri. Mereka juga mengharapkan ihsan Perdana Menteri.
Apabila John F Kennedy menang pilihanraya dan menjadi Presiden, beliau melantik adiknya Robert Kennedy, juga seorang ahli politik, untuk menjadi Peguam Negara. Sekurang-kurangnya di Malaysia, biasanya Peguam Negara baik Tan Sri Abu Talib Othman atau Tan Sri Gani Patail, adalah Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Pelantikan Tan Sri Apandi Ali adalah mengejutkan tetapi sah. Bagaimana beliau akan melaksanakan tugasnya, sama-samalah kita mengikutinya.
Sebenarnya, apa yang membezakan seorang Peguam Negara dengan yang lain adalah wataknya. Ada kaki bodek dan ada pula yang tidak akan melutut. Itu berlaku di mana-mana. Ketua Hakim Negara juga berbeza antara seorang dengan seorang. Itu faktor peribadi manusia.
Biar di mana pun Peguam Negara diletak, dia tidak boleh lari daripada pengaruh Perdana Menteri. Hanya peribadi seseorang yang membezakannya. Oleh itu kita tidak patut terlalu cepat untuk menukar sistem hanya kerana kita tidak sukakan seorang Peguam Negara atau Perdana Menteri.
Mereka yang tidak berpuas hati itu akan bertanya apakah jalan keluarnya? Jawapannya, peti undi. Kita akui demokrasi pun tidak perfect juga. Banyak pengundi yang tidak tahu pun apakah Peguam Negara. Tetapi itulah sistem terbaik yang ada.
Atas hujah-hujah ini, saya berpendapat kedudukan sekarang hendaklah dikekalkan.
09 12 2017
Bilik 14 Wad 1C,
Hospital Rehabilitasi Cheras.
[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me