APA SELEPAS PERHIMPUNAN PINDAAN AKTA 355?

APA SELEPAS PERHIMPUNAN PINDAAN AKTA 355?

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Perhimpunan di Padang Merbuk, Kuala Lumpur, anjuran PAS pada 19 Februari 2017, jika tidak bersejarah pun, adalah penting dari beberapa aspek. Tetapi, bagi saya, apa yang lebih penting ialah ia adalah titik permulaan bagi apa yang boleh dilakukan selepas itu.

Perhimpunan itu penting kerana, setelah sekian lama PAS bersendirian atau bersama-sama PKR dan DAP, malah Bersih, kini, perhimpunan anjuran PAS disertai oleh pemimpin dan penyokong UMNO selain daripada NGO-NGO Melayu/Islam. Buat kali pertama setelah beberapa dekad diasingkan oleh politik, UMNO menyertai satu perhimpunan anjuran PAS untuk tujuan yang sama iaitu menyokong pindaan kepada Akta 355.

Bagi para peserta, malah bagi pemimpin-pemimpin politik yang hadir juga, pindaan itu adalah sesuatu yang amat penting “untuk memperkasakan Mahkamah Syariah”. Mereka menganggapnya sebagai melaksanakan suruhan agama Islam.

Sepanjang ingatan saya, semenjak Merdeka, belum ada satu cadangan pindaan sesuatu Akta yang mendapat sokongan perhimpunan seperti itu. Pindaan yang dibuat pada tahun 1984 berlalu tanpa diketahui oleh kebanyakan orang. Semestinya, perhimpunan itu menaikkan semangat keislaman para peserta dan ia, sedikit sebanyak, menyatukan umat Islam di negara ini.

PAS menjadikan pindaan itu satu perjuangan keagamaan partinya. Orang ramai menyertainya kerana terpanggil oleh tuntutan agama mereka. UMNO turut sama kerana takut dituduh menentang satu tuntutan agama Islam dan kehilangan undi orang Melayu/Islam.

Parti-parti orang bukan Islam yang sentiasa sensitif mengenai sesuatu perkembangan yang di sebut “Islam” segera mengambil kedudukan. DAP membantah. MCA dan Gerakan yang tidak mahu nampak seolah-olah mengalah kepada orang Melaya/Islam, turut membantah. Alasan mereka ialah pindaan itu akan membolehkan hukuman hudud diadakan. Berkali-kali dinyatakan, jika “hukuman hudud terhad” dijadikan undang-undang bagi beberapa kesalahan di bawah Senarai Negeri pun, ia tidak terpakai bagi orang bukan Islam, mereka seolah-olah tidak mendengarnya, tidak faham atau sengaja berdegil. Mereka menghujahkan pula bahawa pindaan itu bercanggah dengan Perlembagaan. Tidakkah mereka bertanya peguam-peguam mereka? Tidakkah peguam-peguam mereka membaca dan faham atau adakah mereka terus berdegil walaupun berkali-kali dijelaskan, semata-mata kerana “takut rugi” dalam politik?

Maka, satu pindaan undang-undang yang sebelumnya berjalan tanpa sesiapa mengambil hirau, menjadi satu isu kebangsaan.

Itu adalah satu kepandaian, kebijaksanaan, kelebihan dan keistimewaan orang Malaysia: menjadikan masalah perkara yang tidak ada masalah, menjadikan satu isu kebangsaan perkara yang tidak sepatutnya menjadi isu, masing-masing membangkitkan “semangat perjuangan” untuk kepentingan politik kepartian masing-masing yang hanya akan memecahbelahkan rakyat dan merugikan negara.

Itu apa yang telah berlaku. Kita tidak tahu sama ada RUU itu akan diluluskan oleh parlimen atau tidak. Ia terletak pada sokongan parti-parti komponen BN yang majoriti ahli-ahlinya bukan Melayu/Islam.

Katakanlah ia tidak diluluskan. Kita patut terima. Itu sistem negara berparlimen. Teruskan usaha untuk mendapat sokongan di masa hadapan. Selain dari itu, terdapat perkara lain yang lebih besar dan lebih penting yang kepadanya orang Melayu/Islam patut memberi perhatian.

Sebaliknya, katakanlah ia diluluskan, jangan fikir “perjuangan” telah selesai. Selepas itu, Kelantan dan mungkin juga beberapa negeri lain, ingin meminda undang-undang mereka untuk:

Meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negeri masing-masing; dan

Meningkatkan hukuman kepada kesalahan-kesalahan yang terletak di bawah Senarai Negeri.

Dalam berbuat demikian, saya harap, janganlah masing-masing negeri melakukannya secara bersendirian yang akan mengakibatkan hukuman yang berlainan bagi kesalahan yang sama di lain-lain negeri. Itu akan menimbulkan fitnah terhadap hukum syarak. Seperti yang telah dilakukan semenjak Merdeka, Jabatan Peguam Negara dan JAKIM bolehlah mengetuai satu jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil-wakil negeri-negeri untuk merangka draf pindaan itu supaya ia seragam dan boleh diterima pakai oleh negeri-negeri untuk meminda undang-undang masing-masing. Ini telah dilakukan semenjak Merdeka. Tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh terus dilakukan. Ia juga baik untuk hubungan UMNO-PAS.

Sama ada RUU itu diluluskan atau tidak, kita perlu memandang lebih jauh ke hadapan. Kerjasama antara UMNO dan PAS untuk meluluskan RUU itu adalah titik permulaan muafakat antara UMNO dan PAS untuk mencapai suatu tujuan. Ia hendaklah diteruskan dengan perkara yang lebih besar dan perlu bagi menjaga kepentingan dan keduduan orang Melayu/Islam.

Pertama, tumpuan hendaklah diberi bagi menyelamatkan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh UMNO dalam PRU14. Sekali terlepas kuasa pemerintahan di peringkat Persekutuan, saya tidak nampak bagaimana ia akan diperolehi semula.

Memang pada masa ini UMNO mempunyai banyak kelemahan yang perlu dibaiki. Tetap sekurang-kurangnya selama enam dekad ia berjaya menaikkan kedudukan orang Melayu/Islam ke tahap yang ada sekarang. Jika pemerintahan Kerajaan pusat terlepas kepada pembangkang yang diterajui oleh DAP, jangan harap keadaan itu akan berterusan. (Sila layari laman-laman web jika ingin mengetahui dengan lebih mendalam.)

UMNO dan PAS tidak perlu bersatu. Itu amat sukar dilakukan pada masa ini. Di peringkat negeri, kedua-duanya boleh bertanding seperti biasa. Tetapi, di peringkat persekutuan, seberapa boleh, eloklah jika ada persetujuan untuk mengurangkan perlawanan tiga atau empat penjuru di mana UMNO dan PAS turut bertanding untuk mengelak undi Melayu/Islam berpecah dan kemenangan diperolehi oleh pakatan pembangkang.

Walau bagaimanapun, jika kedudukan BN di peringkat kebangsaan kelihatan goyang, PAS hendaklah segera menyebelahi BN.

Jika Kerajaan Persekutuan berjaya diselamatkan, maka kedua-dua pihak hendaklah duduk bersama dan merangka apa yang patut dilakukan untuk mencapai maqasid syariah yang tertinggi. Itulah yang patut diutamakan. Ia merangkumi segala bentuk pembangunan untuk kebajikan ummah (dan manusia) yang patuh Syariah.

Sebenarnya, ia telah pun dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan semenjak Merdeka lagi. Cuma ia hanya disebut sebagai “pembangunan”. Sudah tiba masanya ia diiktiraf sebagai usaha untuk untuk mencapai maqasid syariah. PAS juga patut mengiktirafnya dan bersama-sama meningkatkannya, bukan menafikannya atau memperkecilkannya semata-mata kerana pertimbangan politik.

Orang-orang bukan Islam tidak patut takut dengan perkataan “maqasid syariah”. Ia tidak lebih daripada “tujuan undang-undang”. Undang-undang tidak dibuat tanpa tujuan. Secara umumnya juga maqasid bolehlah disimpulkan sebagai “mewujudkan kebaikan, menolak keburukan, dan menghilangkan kemudharatan.” Pakar undang-undang Islam, semenjak beratus-ratus tahun dahulu, telah mengkaji tujuan undang-undang Islam yang mereka senaraikan di bawah lima tajuk iaitu memelihara agama, memelihara diri/jiwa, memelihara keturunan, memelihara akal dan memelihara harta.
Itu adalah senarai kasar yang bukan tertutup dan isi kandungannya tertakluk pada tafsiran.

Apa yang penting ialah menyedari dan menerima apa yang telah dilakukan dan dicapai semenjak Merdeka itu adalah apa yang dituntut oleh agama Islam dan bersama-sama mengembeleng tenaga dan fikiran untuk meningkatkan pencapaiannya.

Masanya sudah tiba untuk PAS menyedari dan mengakui bahawa selama empat dekad ia memerintah Kelantan, tidak ada apa yang boleh ditunjuknya sebagai pencapaian maqasid syariah yang lebih daripada negeri-negeri lain. Sebaliknya, orang Kelantanlah yang paling banyak berhijrah ke negeri-negeri lain yang tidak diperintah oleh “parti Islam” untuk mencari makan dan orang-orang Kelantan jugalah yang memenuhi Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan yang juga di bawah Kerajaan “bukan parti Islam”. Peratusan pelajar-pelajar Kelantan yang menerima biasiswa Pesekutuan juga mungkin antara yang tertinggi, jika tidak paling tinggi, antara negeri-negeri di Malaysia. Dalam kata lain, orang-orang Kelantan yang menolak BN kerana “bukan parti Islam” itu sendiri selama ini menerima nikmat pemerintahan Kerajaan BN. Jika demikian apa salahnya parti mereka bekerjasama dengan BN untuk meningkatkan lagi pencapaian itu? Retorik keislaman mungkin cukup untuk menarik undi, tetapi tidak cukup untuk mengisi perut dan keperluan hidup. Realitinya hendaklah diakui. Ancaman yang lebih besar kepada umat Islam yang menunggu di hadapan, perlulah dijauhi. Bukankah itu juga tuntutan Islam?

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

177 visits