TS MUHYIDDIN KEMBALI KEPADA UMNO: SOKONGAN TERHADAP CADANGAN DS NAZRI AZIZ

TS MUHYIDDIN KEMBALI KEPADA UMNO: SOKONGAN TERHADAP CADANGAN DS NAZRI AZIZ

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

DS Nazri Aziz telah mengeluarkan satu cadangan yang bernas, atau sekurang-kurangnya yang saya amat bersetuju. Maka, biarlah saya menjadi antara orang pertama yang menyokong beliau, jika tidak yang pertama pun. Terlebih dahulu, tahniah Dato’ Seri.

Saya merujuk kepada kenyataan beliau yang dilaporkan oleh Astro Awani pada 08 07 2020 di mana beliau mencadangkan supaya TS Muhyiddin kembali semula kepada UMNO dan diangkat menjadi Presiden UMNO.

Beliau memberi empat alasan:

Pertama, TS Muhyiddin tidak mengkhianati UMNO kerana beliau tidak meninggalkan parti, sebaliknya dipecat.

Kedua, ia akan mengukuhkan parti terbesar orang Melayu itu;

Ketiga, beliau tidak akan kembali dengan tangan kosong tetapi dengan jawatan Perdana Menteri.

Keempat, ia akan dapat menyelesaikan masalah pembahagian kerusi di antara UMNO dan PAS.

Beliau juga mencadangkan sekiranya TS Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO, jawatan Presiden parti juga patut diserahkan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Hujah beliau ialah, secara tradisinya, Perdana Menteri merupakan Presiden UMNO dan pemimpin dan ahli parti perlu menerima dengan tangan terbuka.

“Kita kena bagi jawatan Presiden UMNO sebab beliau kembali bukan dengan tangan kosong tetapi dengan jawatan Perdana Menteri, kita kena terima, kena berkorban dan menerima dengan terbuka.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan alasan-alasan pertama, kedua dan ketiga beliau.

Mengenai alasan keempat, sambil saya bersetuju ia akan mengurangkan masalah pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS, ia juga akan mengurangkan masalah pembahagian kerusi UMNO dan Bersatu.

Mengenai alasan-alasan pertama, kedua dan ketiga, perlu ditekankan bahawa beliau dipecat, bukan keluar dari parti dan hendak masuk semula seperti yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir, beberapa kali.

Kedua, beliau bukan datang balik dengan tangan kosong atau satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen. Beliau kembali dengan membawa bersamanya jawatan Perdana Menteri yang UMNO sendiri tidak berjaya memenangi, yang diperolehi dengan sokongan ahli-ahli Parliamen parti-parti lain. Sekembalinya kepada UMNO, ahli UMNOlah yang menjadi Perdana Menteri.

Kita bincangkan mengenai pembahagian kerusi terlebih dahulu. Dalam perkara ini, saya merujuk pembaca kepada rencana saya bertajuk Pembahagian Kawasan Pilihan Raya Antara Parti-parti Komponen PN Dalam PRU15 (22 06 2020).

Ringkasnya, UMNO dan PAS adalah dua buah parti Melayu/Islam yang tertua, terbesar yang mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh dan jentera pilihanraya yang teruji. Walaupun BN kalah dalam PRU14, UMNO tetap menjadi parti yang memenangi bilangan kerusi Parlimen terbanyak iaitu 54 kerusi. Dalam PRU14, sebahagian pengundi Melayu mengundi PH kerana terpengaruh dengan kempen membenci DS Najib tanpa memikirkan akibatnya. Ia tidak lebih daripada sifat Melayu yang marah mengikut emosi, tetapi setelah sejuk, melihat akibatnya, barulah berfikir semula dan menyesal. Bahawa ini telah berlaku disaksikan oleh enam kemenangan UMNO/BN dalam PRK yang terkebelakang.

Dalam PRU14, Bersatu menang kerana sokongan padu orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, di samping orang Melayu yang marah itu dan kesilapan UMNO dan PAS bertanding melawan sama sendiri di kawasan yang ditandingi Bersatu. Namun demikian, Bersatu hanya mampu memenangi 13 kerusi.

Jika Bersatu bertanding sendiri dalam PRU15, ia akan terkubur. Ia tidak boleh mengharapkan undi orang bukan Melayu lagi. Di kawasan Melayu, ia tidak boleh mengatasi kombinasi UMNO+PAS. Maka, ia akan terpaksa menumpang ihsan UMNO dan PAS. Kehadiran DS Azmin juga tidak membantu.  Kumpulan beliau sendiri berada dalam keadaan yang sama.

Maka, kehadiran Bersatu dalam muafakat UMNO-PAS menambahkan lagi kesulitan pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS dalam PRU15. Bagaimana masalah itu mungkin berkurangan jika TS Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu kembali kepada UMNO?

Dalam rencana saya itu, berdasarkan Bersatu kekal sebagai sebuah parti dalam PN, saya mencadangkan supaya UMNO+PAS sebagai satu kumpulan, menyelesaikan isu pembahagian kerusi itu dengan Bersatu terlebih dahulu sebelum membahagikan yang lainnya, di antara mereka.

Jika TS Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu menyertai UMNO, maka perlulah diselesaikan terlebih dahulu pembahagian antara UMNO dan PAS sebab hanya dua kumpulan sahaja yang tinggal iaitu UNMO (termasuk bekas Bersatu) dan PAS. Selepas itu terserahlah kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan bekas Bersatu itu menentukan siapa akan bertanding di mana.

Saya fikir, kembalinya TS Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu kepada UMNO bukan lagi satu pilihan, tetapi satu-satunya jalan bagi Bersatu mengelak daripada terkubur. Hari ini, modal Bersatu hanya ada satu: jawatan Perdana Menteri. Tanpa jawatan itu ia akan berkecai.

Saya fikir, seperti yang dicadangkan oleh DS Nazri, UMNO hendaklah menerimanya dengan tangan terbuka dan memberikan jawatan Presiden UMNO kepada beliau sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Jika beliau tidak dipecat, saya fikir selepas Najib, besar kemungkinan beliaulah yang akan menjadi Presiden UMNO dan, jika BN menang pilihan raya umum, beliaulah yang akan menjadi Perdana Menteri. Sekarang beliau membawa balik jawatan Perdana Menteri, maka eloklah jawatan Presiden UMNO diberi kepada beliau. Itu pun saya cadangkan hanya untuk satu penggal sahaja. Selepas itu, biarlah ada pertandingan bebas untuk jawatan itu.

Dengan cara itu, UMNO boleh disifatkan sebagai memberi pampasan kepada TS Muhyiddin akibat pemecatannya itu.

Saya fikir, TS Muhyiddin tidak patut overstay seperti yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir. Belajarlah daripada kesilapan Tun Dr. Mahathir, dan janganlah mengulanginya.

DS Najib sepatutnya menerima cadangan ini. Beliau eloklah meneruskan apa yang dilakukannya sekarang. Tumpukan kepada kes-kes yang dihadapinya dan tolong memperkuatkan semula UMNO tanpa memegang jawatan eksekutif didalamnya. Beliau tidak boleh lari daripada tanggungjawab menjadi sebab utama kekalahan UMNO/BN dalam PRU14. Eloklah beliau menghabiskan umurnya membina semula UMNO setelah beliau mendapat faedah daripada UMNO semenjak muda.

DS Zahid juga eloklah mengikut teladan DS Najib. Pada masa ini, eloklah beliau menumpukan perhatian kepada kes-kes yang dihadapinya. Eloklah beliau kosongkan dahulu jawatan Presiden UMNO untuk membolehkan TS Muhyiddin menyandangnya. Jika TS Muhyiddin tidak dipecat, DS Zahid pun tidak boleh mimpi untuk menjadi Presiden UMNO. Masakan beliau mampu mencabar TS Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO jika DS Najib masih memegang jawatan Presiden dan untuk jawatan Presiden, jika DS Najib telah mengosongkan jawatan Presiden UMNO. Itu pun hanya untuk satu penggal. Selepas itu, jika beliau telah berjaya membersihkan dirinya daripada segala pertuduhan terhadapnya, beliau boleh bertanding semula untuk jawatan Presiden.

Saya percaya ada pemimpin-pemimpin UMNO dan Bersatu yang kurang senang dengan cadangan ini. Tetapi, alasan mereka adalah sama dan hanya satu: kepentingan diri. Mereka khuatir mereka akan kehilangan kedudukan mereka dalam parti dan kemungkinan dilantik ke jawatan-jawatan dalam kerajaan tempatan, malah kemungkinan menjadi calon DUN dan Parlimen. Itu bukanlah alasan yang sepatutnya menjadi penentu dalam membuat keputusan sebesar itu.

Parti-parti lain yang menjadi anggota PN juga mungkin merasa kurang senang dengan cadangan ini. Saya hanya dapat fikir satu sebab mengapa mereka berpendapat demikian: mereka takut UMNO menjadi terlalu kuat. Tetapi, kita telah lihat, UMNO kuat selama 60 tahun. Parti-parti kecil tidak takut mendekatinya untuk menjadi ahli BN. Mereka, termasuk parti-parti besar seperti MCA dan Gerakan, tidak lari kerana UMNO besar dan kuat. Malah, semua hendak bernaung di bawahnya. Mereka cuma lari apabila UMNO berkecai dan lemah.

Maka itu bukanlah hujah yang sah (valid). Yang lain saya tidak tahu. Mungkin mereka mengharapkan Presiden parti mereka juga akan menjadi Perdana Menteri. Mengenai hujah itu, kedua-dua PH dan PN telah memberi jawapan: Perdana Menteri kerajaan PH dan PN bukan datang daripada parti yang mempunyai kerusi terbanyak. Maka, hujah itu juga tidak sah (valid).

Bagi orang Melayu/Islam, dalam membuat keputusan mengenai isu ini, fokas hendaklah diberi kepada perpaduan Melayu/Islam. Kita tidak patut malu atau merasa bersalah memikirkan demikian. Setiap kaum di dunia berfikir demikian. Cuma, jika mereka sendiri melakukannya, mereka tidak menyebutnya, sebaliknya mereka akan menuduh kaum lain yang melakukan perkara yang sama, rasis. Jika itu rasis, maka semuanya rasis.

Saya menghujahkan bahawa perasaan perkauman adalah lumrah alam. Ia juga tidak salah selagi ia digunakan untuk mempertahankan hak kaum mereka sendiri dan tidak digunakan untuk menindas kaum lain atau merampas hak mereka.

Di Malaysia, hak setiap kaum telah dipersetujui dan dinyatakan dalam Perlembagaan. Maka setiap kaum yang mempertahankan hak mereka yang dinyatakan dalam Perlembagaan bukanlah rasis. Yang rasis adalah kaum yang melanggar apa yang ditetapkan oleh Perlembagaan dan mahukan hak kaum lain yang dijamain oleh Perlembagaan sebagai hak mereka.

Itu perlu difahami.

Kita telah melihat, penubuhan Bersatu dan Amanah telah memecahkan orang Melayu/Islam di Semenanjung Malaysia kepada lima buah parti. Kita telah melihat bagaimana ia merugikan orang Melayu, terutama sekali di bawah pemerintahan PH. Maka, dengan kembalinya TS Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu kepada UMNO diikuti dengan pembubaran Bersatu, kita dapat mengurangkan bilangan parti Melayu/Islam dan perpecahan orang Melayu/Islam.

Dalam tahun 2014, apabila saya mencadangkan kerjasama antara UMNO dan PAS untuk mengelakkan tumbangnya kerajaan BN di peringkat Persekutuan, seorang bekas Menteri Kanan BN (orang UMNO) berkata bahawa ia adalah terlalu idealistik. Selepas PRU 14 beliau meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu dan masih berada dalam Bersatu sekarang. Yang pentingnya, apa yang dikatakannya sebagai terlalu idealistik itu telah berlaku, malah lebih daripada apa yang saya cadangkan. Kali ini ianya lebih mudah kerana, tidak seperti PAS yang boleh berdiri di atas kaki sendiri, Bersatu tidak.

Maka, inilah jalan yang terbaik bagi Bersatu, UMNO, perpaduan Melayu/Islam dan negara. Ia juga adalah jalan yang terbaik bagi pemimpin-pemimpin yang terlibat.

 09 07 2020 (Dipinda pada 10 07 2020)

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

50 visits