HAK ASASI MANUSIA: PENYALAHGUNAAN DAN CABARAN KEPADA ORANG MELAYU DAN ISLAM DI MALAYSIA

FORUM HAK ASASI MANUSIA DALAM TRADISI ISLAM
ALOR SETAR
7 Mei 2015

HAK ASASI MANUSIA: PENYALAHGUNAAN DAN CABARAN KEPADA ORANG MELAYU DAN ISLAM DI MALAYSIA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Saya telah bercakap di atas perkara yang sama sebanyak 4 kali. Hari ini, untuk menjimatkan masa, saya tidak akan menyenaraikan hak-hak asasi manusia seperti yang terdapat dalam United Nations Declaration of Human Rights (UDHR) dan membandingkannya dengan apa yang terdapat dalam Cairo Declaration (Deklarasi Kaheran), ASEAN Declaration (Deklarasi ASEAN) dan Perlembagaan Malaysia. Sesiapa yang ingin tahu lebih lanjut bolehlah melayari laman web saya www.tunabdulhamid.my atau www.tunabdulhamid.me Sebaliknya, hari ini, saya memberi tumpuan yang lebih kepada menunjukkan bagaimana prinsip-prinsip hak asasi manusia disalahtafsir dan disalahgunakan untuk menekan khususya negara-negara Islam seperti Malaysia dan juga bagaimana kumpulan-kumpulan dalam negara kita sendiri yang bersekongkol dengan mereka untuk kepentingan mereka. Saya juga akan memperingatkan orang Melayu supaya sedar tetang bahaya yang mengancam mereka pada masa ini.

Secara ringkas, UDHR berbangkit daripada pengalaman Perang Dunia Kedua. UDHR diterima oleh United Nations General Assembly pada 10 Disember 1948 dengan 48 buah negara menyokong, termasuk Afghanistan, Iran, Pakistan dan Turki. Tetapi 8 buah negara yang terdiri daripada Blok USSR dan Saudi Arabia menentang. Yemen tidak hadir untuk mengundi. Pakistan tidak bersetuju dengan pendirian Saudi Arabia dan mengkeritik pendirian Saudi Arabia.

The Cairo Declaration on Human Rights in Islam (“Deklarasi Kaherah”) diterima pakai (adopted) dan dikeluarkan oleh anggota-anggota Organisation of the Islamic Conference (OIC) di Persidangan Kesembilan Belas Menteri-Menteri Luar Negara-Negara Islam di Kahirah pada 5 Ogos 1990. Pada 30 Jun 2000, negara-negara Islam yang menjadi ahli OIC bersetuju menyokong Deklarasi Kaherah.

Pada bulan November 2012, negara-negara ASEAN yang bersidang di Phnom Penh, sebulat suara menerima pakai (adopted) Deklarasi ASEAN.

Untuk tujuan seminar ini, rumusan berikut bolehlah dibuat mengenai dokumen-dokumen itu:

• UDHR melihat hak asasi manusia dari sudut pandangan Barat, selepas Perang Dunia Kedua, semasa kuasa-kuasa Barat menjadi penjajah di seluruh dunia. Penyertaan negara-negara Asia dan Afrika amat terbatas kerana kebanyakannya sama ada masih dijajah dan tidak berpeluang mengambil bahagian atau terlalu lemah untuk memberi apa-apa impak.

• Deklarasi Kaherah melihat hak asasi manusia dari sudut pandangan negara-negara Islam yang kebanyakannya baru terlepas daripada belenggu penjajahan, sedang mencari identiti sendiri dan cuba berdiri di atas kaki sendiri.

• Deklarasi ASEAN melihat hak asasi manusia mengikut kesesuian di negara-negara ASEAN.

• Perlembagaan Persekutuan melihat hak asasi manusia dari sudut sebuah negara yang baru terlepas daripada belenggu penjajahan selama lebih daripada empat abad (dikira daripada kejatuhan Melaka) yang membawa kebanjiran pendatang bersama-sama bahasa, budaya dan agama mereka yang hampir menenggelamkan penduduk asal di bumi sendiri, yang terpaksa pula berkongsi kuasa dengan pendatang itu, selepas Merdeka. Sebab itulah Perlembagaan Persekutuan mempunyai beberapa peruntukan untuk menyelamatkan keadaan seperti Perkara 153, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dan pemakaian Syari’ah dalam undang-undang keluarga bagi orang-orang Islam. (Peruntukan Perkara 153 kerapkali disebut sebagai “hak keistimewaan orang Melayu” pada hal tajuk sebenarnya ialah “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.” Peruntukan yang serupa pun terdapat dalam Perlembagaan India – Perkara 16). Di samping itu hampir semua hak-hak asasi utama yang disebut dalam UDHR terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun dengan pengecualian-pengecualian dan pengubah-suaian yang perlu. Ini tidak dapat dielakkan. Perlembagaan Malaysia mestilah sesuai dengan keadaan, keperluan dan aspirasi Malaysia. Hal yang sama terdapat dalam Perlembagaan mana-mana negara pun.

Apakah kesan dokumen-dokumen itu kepada negara kita?

Kita lihat UDHR dahulu. Walau pun Deklarasi itu tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang di sesebuah negara, ia telah diterima pakai dan mempengaruhi kebanyakan perlembagaan negara, termasuklah Malaysia. Ia juga telah menjadi asas kepada undang-undang negara, undang-undang antarabangsa, konvensyen dan triti. Deklarasi itu juga telah diterima pakai bagi tujuan mentakrifkan perkataan seperti “fundmental freedoms” dan “human rights” dalam United Nations Charter yang mengikat negara-negara yang menjadi anggota Bangsa-Bangsa Bersatu. Pakar-pakar undang-undang antarabangsa mengganggapnya sebagai sebahagian daripada undang-undang antarabangsa. Atas sebab itu, Deklarasi itu adalah satu dokumen asas Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia telah menjadi satu alat yang kuat untuk memberi tekanan diplomatic dan moral kepada kerajaan-kerajaan yang melanggar mana-mana peruntukannya. United Nations International Conference on Human Rights 1968 menasihatkan bahawa ia “merangkumi satu obligasi anggota-anggota komonuti antarabangsa” kepada semua orang.” (It “constitutes an obligation for the members of the international community” to all persons.”)

Tetapi, apa yang sebenarnya berlaku adalah lebih dari itu. Kuasa-kuasa besar Barat bukan sahaja cuba memaksa negara-ngara yang lemah menerima pakai prinsip hak asasi manusia ala-mereka, malah menggunakan hak asasi manusia sebagai alasan untuk menekan, melemahkan, menjatuhkan kerajaan, malah memerangi negara-negara yang tidak sehaluan dengan mereka atau untuk kepentingan mereka. Dalam berbuat demikian, mereka menyebabkan kematian, kecedraan, kemusnahan dan pelanggaran hak asasi manusia yang tak terhingga. Bezanya ia dilakukan bukan ke atas rakyat mereka sendiri. Seolah-olah asalkan ia dilakukan terdadap rakyat negara lain, terutama sekali yang berlainan warna kulit dan agama dengan mereka, tidak mengapa. Sebaliknya, mereka menutup mata, malah menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh negara-negara yang sehaluan dengan mereka.

Tidak cukup dengan itu, badan-badan bukan kerajaan dan hartawan-hartawan di negara-negara itu juga menggunakan pengaruh dan kekayaan mereka untuk membiayai aktiviti-aktiviti kumpulan-kumpulan tertentu di negara-negara yang tidak disenangi mereka untuk menentang, melemahkan malah menjatuhkan kerajaan di negara sendiri, atas nama hak asasi manusia dan demokrasi. Apa yang menyedihkan ialah ada pula rakyat negara-negara yang menjadi sasaran itu, termasuk, saya percaya, di Malaysia yang sedia menerima pembiayaan seperi itu.

Apakah kesan Deklarasi Kaherah? Dari segi perundangan, ia juga tidak mengikat Malaysia. Memandangkan bahawa OIC tidaklah sebesar dan sekuat Bangsa-Bangsa Bersatu, tiada kuasa-kuasa besar dan NGO-NGO yang dibiayai oleh hartawan-hartawan yang bertindak menekan negara-negara lain, terutama yang lemah dan memandangkan bahawa negara-negara Islam sendiri pun masih senentiasa berada dalam pergolakan dan ketidak-tentuan, menyebabkan pematuhan hak asasi manusia di negara masing-masing pun tidak memuaskan, saya tidak fikir ia mempunyai kesan tekanan yang sama kuat dengan UNDHR. Biar apa pun, ia adalah berguna untuk menjadi dokumen rujukan mengenai hak asasi manusia mengikut perspektif Islam.
Saya telah membuat carian sepintas lalu penghakiman-penghakiman mahkamah Malaysia melalui internet. Saya tidak jumpa satu pun rujukan kepada Deklarasi Kaherah tetapi, di dalam tempoh 12 tahun kebelakangan ini sahaja saya temui sebanyak lapan kes yang merujuk kepada UDHR. Ini boleh difahami kerana UDHR itu lebih masyhur.
Deklarasi ASEAN lebih merupakan satu persefahaman negara-negara sahabat di rantau ini dan lebih sesuai dengan keadaan di Malaysia.

Apakah peranan Perlembagaan Persekutuan dalam soal hak asasi manusia? Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Malaysia. Mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah tak sah dan batal. Peruntukan UDHR yang tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan juga tidak menjadi sebahagian daripada undang-undang domestik kita. Antara lain, ini diperuntukkan dengan jelas oleh seksyen 4(4) Human Rights Commission of Malaysia Act 1999. Seseorang tidak boleh mengambil tindakan undang-undang atas alasan dia telah dinafikan hak asasi manusia seperti yang terdapat dalam UDHR, misalnya, kerana ia bukanlah undang-undang demestik kita. Dia mesti tunjukkan bahawa penafian itu adalah menyalahi peruntukan undang-undang domstik dan/atau Perlembagaan kita. Mahkamah perlu memutuskan tuntutan itu berasaskan sama ada perbuatan yang diadukan itu melanggar peruntukan undang-undang dan/atau Perlembagaan atau tidak. Jika jawapannya “Ya” baharulah tuntutan itu boleh berjaya. Mahkamah mungkin mendapati bahawa perbuatan yang diadukan itu melanggar peruntukan UDHR, tetapi tidak melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kerana Perlembagaan Persekutuan meletakkan pengecualian atau syarat kepada hak tersebut. Sebagai misalan, seseorang itu adalah bebas mengamalkan agamanya tetapi orang bukan Islam dilarang mengembangkan agama mereka kepada orang-orang Islam. Mahkamah mestillah mematuhi peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan kita, bukanlah mengikuti peruntukan yang terdapat dalam UDHR. Dalam kata-kata lain, walaupun rujukan boleh dibuat kepada peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam UDHR dalam mentafsirkan peruntkan undang-undang dan atau Perlembagaan kita, tetapi ia sekali-kali tidak boleh mengatasi peruntukan Perlembagaan dan undang-undang kita.
Sekarang mari kita lihat bagaimana Hakim-Hakim menggunakan UDHR sebagai bahan rujukan dalam mentafsirkan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang kita dengan lebih dekat.
Terdapat perbezaan pandangan dan pendekatan di antara hakim-hakim di tahun-tahun 1980an hingga 2000 dengan hakim-hakim muda semenjak 2010. Dalam tahun 1981, dalam kes Merdeka University Berhad v Government of Malaysia [1981] 2 MLJ 356. Dalam kes itu, di mahkamah Tinggi, Hakim Eusoffe Abdoolcafer, antara lain, berkata:
“It (UDHR) is merely a statement of principles devoid of any obligatory character and is not part of our municipal law”.
Pandangan itu disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Mohamd Ezam bin Mohd Noor v Ketua Polis Negara (and 4 Other Appeals) [2002] 4 AMR 4053.
Tetapi, di kebelakangan ini, terdapat beberapa orang Hakim yang nampaknya memberi tekanan yang lebih mengenai pentingnya UDHR itu. Misalnya, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng dalam kes Suzana binti Md Aris (Claiming as Administrator of the Estate and a dependant of Mohd Anuar bin Sharip, deceased) v DSP Ishak b Hussain & 3 Ors [2010] 6 AMR 276 yang menyatakan:
“The UDHR is part and parcel of our jurisprudence…..”
Dalam kes Indira Gandhi a/p Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & 5 Ors [2013] 4 AMR 848, sekali lagi bliau berkata:
“To begin with the Universal Declaration of Human Rights 1948 (“UDHR”) is already part of the corpus of our law……..
Pesuruhjaya Kehakiman ini nampaknya telah mengenepikan atau sekurang-kurangnya, tidak memperdulikan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam hal itu. Itu tidak sepatutnya berlaku.
Merujuk kepada UDHR bukanlah salah. Mengguna pakai perinsip-prinsipnya dalam mentafsirkan peruntukan Perlembagaan kita, di mana sesuai dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang negara kita, juga tidak salah. Tetapi, saya khuatir, dalam keghairahan untuk menerima pakai “norma-norma antarabangsa”, ada Hakim-Hakim yang meletakkan peruntukan-peruntukan UDHR lebih utama daripada peruntukan Perlembagaan kita sendiri. Saya lebih khuatir kiranya kata-kata “melainkan ianya tidak bercanggah dengan perlembagaan” itu cuma bermain di bibir dan bukan dipatuhi sepenuhnya. Untuk memutuskan sama ada isi kandungan UDHR bercanggah dengan Perlembagaan atau tidak, bukanlah hanya sekadar melihat perkataan yang digunakan. Tidak kurang pentingnya ialah skim Perlembagaan itu dan keadaan di negara kita.
Saya beri satu misalan. Ambil soal perkahwinan dan pesaka. Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kewujudan perbezaan undang-undang yang terpakai kepada orang-orang Islam dan bukan Islam. Maka, dalam memutuskan isu diskriminasi atau persamaan (discrimination or equality), misalnya, jika seseorang Hakim itu hanya memakai prinsip-prinsip yang terdapat dalam UDHR tanpa mengambil kira bahawa seorang itu beragama Islam atau bukan, tanpa memakai (apply) undang-undang yang terpakai kepadanya (ia itu hukum Syarak bagi orang Islam), semestinya keputusan itu tidak betul.
Saya menyuarakan kekhuatiran ini kerana melihat apa yang telah berlaku di Amerika Syarikat berkenaan perkahwinan sejenis. Perlembagaan Amerika Syarikat dan peruntukan mengenai kebebasan dan persamaan (freedom and equality) telah wujud beberapa ratus tahun. Undang-undang mengenai perkahwinan yang mengatakan bahawa perkahwinan adalah hubungan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan telah wujud sekian lama. Tidak pernah mahkamah mengatakan undang-undang itu tak keperlembagaan kerana melanggar hak kebebasan dan persamaan. Pada 26 June 2013, Supreme Court of the United States memutuskan dalam kes US v Winsdor bahawa seksyen 3 Defense of Marriage Act, 1996 (DOMA) yang mentakrifkan perkahwinan sebagai tidak termasuk hubungan di antara sesama jenis itu tak keperlembagaan, tak sah dan batal.

Di Malaysia, sepatutnya, hal seperti itu tidak akan berlaku bagi orang Islam. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang yang terpakai kepada orang Islam dalam hal perkahwinan adalah “Islamic law” (“Hukum Syarak”). Syarak dengan jelas tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis. Maka, jika isu itu timbul di mahkamah, perhatian hendaklah diberi kapada fakta sama ada undang-undang yang dipertimbangkan itu mengenai perkahwinan orang Islam atau bukan Islam. Ia tidak boleh hanya dipertimbangkan mengikut peruntukan-peruntukan mengenai kebebasan, persamaan dan tak diskriminasi dan UDHR apatah lagi mengikuti penghakiman-penghakiman Supreme Court of the United States.

Kekhutiran saya itu nampaknya telah mula berlaku dalam kes Muhammad Juzaili Bjn Mohd Khamis dll v State Government of Negeri Sembilan dll [2014] MLJU 1063. Apa yang merisaukan saya ialah alasan-alasan yang diberi untuk mengisytihar seksyen 66 Enakment Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (EJSNS) itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Hakim-Hakim itu mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap perintah agama Islam. Bagi saya, jika mereka menerima bahawa kesalahan itu adalah kesalahan terhadap perintah agama Islam (sebenarnya mereka terima kedudukan itu), maka sepatutnya mereka mengesahkan bahawa peruntukan itu sah di sisi Perlembagaan. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang itu.

Sebaliknya, mereka merujuk kepada peruntukan-peruntukan lain, lebih-lebih lagi merujuk dan mengikuti penghakiman-penghakiman Supreme Court Amerika Syarikat dan India. Perlembagaan negara-negara itu tidak serupa dengan Perlembagaan kita. Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita. Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai-nilai kita. Hakim-hakim itu juga nampaknya sangat terpengaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala-Barat.

Akibatnya, mereka memberi tafsiran yang sangat liberal megenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan. Mereka juga memakai prinsip “reasonableness” yang diketengahkan oleh Supreme Court India yang memberi kuasa kepada Hakim-Hakim untuk mengisytiharkan undang-undang yang dibuat oleh Parliament tidak sah atas alasan ianya “unreasonable”. Itu sudah melanggar bidangkuasa Badan Perundangan (Parlimen). Mahkamah hanya boleh mengisytiharkan sesuatu undang-undang itu tak sah jika ia bercanggah dengan Perlembagaan, bukan kerana pada pandangan seseorang Hakim undang-undang itu “unreasonable”.

Alasan-alasan yang diberi oleh mahkamah itu sangat luas implikasiya. Apabila sesuatu hukum syarak boleh diisytiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal seperti yang diberi oleh mahkamah-mahkamah di negara-negara sekular itu; apabila hukum syarak diukur dengan nilai-nilai liberal hak asasi ala-Barat; apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ianya “unreasonable” kepada sesaorang Hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan senentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkann tak sah.

Menggunakan alasan-lasan yang sama, undang-undang yang membenarkan seorang lelaki Islam berkahwin lebih dari satu; undang-undang yang menjadikan kesalahan jika seorang Islam tidak membayar zakat; kesalahan meminum minuman yang memabukkan; kesalahan zina dan liwat dan lain-lain juga boleh diisytiharkan tak sah. Malah penghakiman ini membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis.

Kita mesti prihatin terhadap cabaran-cabaran yang sedang menghadapi agama, bangsa dan negara kita sekarang oleh kumpulan-kumpulan yang menggunakan hak asasi manusia sebagai helah. Pertama, terdapat ancaman dari luar yang menggunakan prinsip-prinsip hak asasi manusia ala-Barat untuk menekan dan menindas kita, termasuk dalam hal yang berkaitan dengan hak kistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan agama Islam. Ini dilakukan dengan berbagai-bagai cara termasuk melalui perjanjian-perjanjian antarabangsa.

Kedua, ada pula rakyat Malaysia sendiri yang senentiasa memburukkan keadaan hak asasi manusia Malaysia di seluruh dunia. Mereka ini adalah opportunists. Mereka ada agenda politik. Mereka telah melihat orang Melayu dan Islam berpecah belah dan lemah. Mereka nampak bahawa mereka mempunyai peluang untuk merampas kuasa politik daripada orang Melayu. Maka untuk mendapat sokongan luar mereka pun memburukkan negara Malaysia. Isu yang paling mudah untuk menarik perhatian Barat ialah Islam, Syari’ah dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Maka berkeliaranlah mereka ke merata dunia untuk menghasut dan memburukkan Malaysia.

Isu-isu yang dibangkitkan mengenai Islam pula ialah, tiada kebebasan beragama, kerana, kata mereka, orang Islam tidak dibenarkan menukar agama. Di samping itu, orang Islam tidak dibenarkan berkahwin dengan orang bukan Islam jika orang bukan Islam itu tidak memeluk Islam. Itu Hukum Syarak yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan terpakai kepada orang Islam. Kita tidak mengatakan bahawa perbuatan mereka menyiksa diri sendiri dalam upacara agama mereka melanggar hak asasi manusia; kita tidak menentang peraturan agama mereka. Mengapa mereka hendak campur tangan dalam hal agama Islam?

Mereka mempertahankan hubungan seks sejenis. Apa motif mereka yang sebenar? Adakah sesiapa yang mereka hendak lindungi?

Mereka memperjuangkan perkahwinan sejenis. Secara peribadi, saya katakan, jika mereka mahu sangat, buatlah. Mungkin itu satu cara Allah s.w.t. hendak memupuskan zuriat mereka. Mungkin Allah swt pun tidak mahu orang seperti itu mempunyai zuriat. Kita tidak tahu. Cuma, jangan cuba melibatkan agama Islam dan orang slam.

Mereka memburukkan Islam kerana kononnya tidak berlaku adil kepada perempuan kerana lelaki dibenarkan berpoligami dan kerana pusaka tidak diberi sama rata tetapi mereka tidak mempertikaikan pula siapa yang berkewajiban memberi nafkah isteri dan anak. Biar apa pun, itu soal kita. Kita tidak mempertikaikan amalan agama mereka. Mengapa mereka hendak campur tangan dalam urusan agama kita.

Satu lagi isu yang dibangkitkan mereka ialah hak yang diberi kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Ini perlu disedari oleh orang Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Perkara 153 bukan sahaja untuk menjaga kepentingan orang Melayu tetapi juga hak anak negeri Sabah dan Sarawak. Jika hak orang Melyu terkahis, hak anak negeri Sabah dan Sarawak juga turut terhakis. Anak negeri Sabah dan Sarawak mesti sedar bahawa hak mereka, kedudukan mereka dan nasib mereka adalah sama dengan orang Melayu. Mereka patut bersama-sama orang Melayu mempertahankan hak mereka.

Sebab itulah saya menentang cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Memansuhkan Akta Hasutan tidak akan membantu untuk mewujudkan perpaduan rakyat dan ketenteraman negara. Sebaliknya, ia akan menyebabkan ketegangan hubungan antara kaum, menyebabkan permusuhan dan pergaduhan antara kaum dan menggugat ketentraman negara. Sebenarnya, mereka mahu memansuhkan Akta Hasutan sebab mereka mahu melakukan apa yang dilarang itu. Apabila Akta Hasutan telah dimansuhkan bebaslah mereka menghasut orang ramai untuk menentang kedudukan Raja-Raja, hak keitimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam usaha mereka untuk mengambil alih pemerintahan negara. Syukurlah, atas desakan orang Melayu dan NGO-NGO Melayu dan kemudiannya oleh UMNO sendiri, cadaanagn itu telah ditarik balik. Akata Hasutan 1948 (Pindaan) 2015 telah diluluskaan oleh Parlimen. Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan.

Ketiga, kerajaan kita sendiri, dalam usaha untuk mengambil hati dan mendapat undi mereka, terlalu mengalah. Kita perlu sedar, berilah apa pun dan sebanyak mana sekali pun, mereka tidak akan bererima kasih, malah mereka akan menyifaktannya sebagai satu tanda kelemahan dan menuntut lebih banyak lagi.

Keempat, lebih mendukacitakan, dalam keadaan demikian dan semasa orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina bersatu padu di belakang DAP untuk menjatuhkan Kerajaan Pusat dan mendapat lebih banyak hak untuk mereka dengan menggunakan undi Melayu, orang Melayu berpecahbelah. Kita mempunyai undi majoriti tetapi kerana kita berpecahbelah maka kumpulan minoriti menjadi kusa penentu. Kerana berangan-angan hendak berkongsi pemerintahan, parti-parti Melayu membantu mereka. Jika Pakatan mereka menang, siapa yang sebenarnya akan berkuasa? Ambillah pengajaran daripada apa yang berlaku di Perak selepas PRU 12 dan di Selangor hingga sekarang. Orang Cina bersatu padu di belakang DAP kerana mahu lebih daripada apa mereka dapat dengan menyokong MCA dan Gerakan. Yang lebih itu akan datang dari mana? Semestinya daripada orang Melayu. Semua itu orang Melayu mesti sedar. Jangan jadi Pak Kadok menang sorak kampung tergadai atau Haji Kadok menang takbir negeri tergadai.

Lebih menyedihkan lagi, di saat yang genting sebegini pun, semasa parti-parti Melayu, kumpulan-kumpulan Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu sepatutnya mengenepikan perbezaan dan kepentingan parti, kumpulan dan peribadi dan bersatu, kita masih belum nampak tanda-tanda bahawa mereka cuba mencari jalan untuk memperkuatkan perpaduan sesama sendiri. Jika keadaan ini berterusaan, saya khuatir bahawa bangsa Melayu sedang menuju kearah kehancuran. Jika itu berlaku, kita, orang Melayu yang hidup hari ini, akan dipertanggungjawabkan oleh cucu cicit kita buat selama-lamanya kerana menyebabkan atau membiarkannya berlaku.

Saya telah kata apa yang saya hendak kata. Terserahlah kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk memikirkannya.

Sekian. Terima kasih.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
http://www.tunabdulhamid.me

 

 

3,106 visits