TOMMY THOMAS DAN LATHEEFA KOYA: SATU PENGAJARAN

TOMMY THOMAS DAN LATHEEFA KOYA: SATU PENGAJARAN

Oleh

Tun Abdul Hamid  Mohamad

 

Jika ditakdirkan kerajaan PN akan tumbang dalam masa yang terdekat sekalipun, sekurang-kurangnya, bagi majoriti orang Melayu/Islam, ia telah mencapai kejayaan dalam dua perkara: ia menyebabkan Tommy Thomas meletak jawatan sebagai Peguam Negara/Pendakwa Raya dan Latheefa Koya meletak jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM (KP, SPRM).

Jika kerajaan PN dengan segera melantik pegawai-pegawai kanan yang berdedikasi, berintegriti, berpengalaman luas, telah memberi perkhidmatan cemerlang sepanjang kerjayanya, bersih daripada sebarang skandal, dihormati kerana ilmu pengetahuannya, kejujurannya, wataknya, prefesionalismanya dan bukan kaki bodek, daripada pekhidmatan-perkhimatan berkenaan untuk mengganti mereka, maka kerajaan PN telah pun melakukan dua perkara lagi yang betul.

Saya katakan bahawa pelantikan kedua-dua mereka itu dan apa yang mereka lakukan, terutama sekali Tommy Thomas, adalah antara kesilapan besar kerajaan PH yang menyebabkan orang ramai, khususnya Melayu/Islam, tidak puas hati dengannya.

Mengenai Tommy Thomas, baca sahajalah First Three Months Of Tommy Thomas As Attorney General (09 09 2018) dalam laman-laman web saya. Apa yang disebut dalam rencana itu sahaja sudah cukup untuk menunjukkan bahawa beliau tidak sepatutnya dilantik atau terus memegang jawatan itu. (Jika ingin mengetahui dengan lebih mendalam, baca jugalah yang lain-lainnya.)

Bagi Latheefa Koya, memandangkan bahawa beliau adalah ahli PKR yang aktif; pernah berkhidmat sebagai ketua biro maklumat bagi Sayap Belia PKR dan ketua biro hal ehwal undang-undang PKR dan seorang aktivis; tiada sedikit pun pengalaman dalam mentadbir satu jabatan kerajaan yang besar; tanpa sedikitpun pengalaman penyiasatan dan pendakwaan kes-kes rasuah, pada umur yang muda, tiba-tiba dilantik oleh PM kerajaan PH menjadi KP SPRM, mengetepikan pegawai-pegawai SPRM  yang telah berkhidmat berpuluh-puluh tahun dengan penuh dedikasi….

Saya terpaksa berhenti di sini sebentar. Saya baru menerima satu WhatsApp daripada seorang yang, sebelum ini, tidak boleh mendengar nama UMNO. Beliau memberitahu saya Tan Sri Idrus Harun telah dilantik menjadi Peguam Negara dan menambah, “Alhamdulillah, this is a great choice. I think your article had an influence on this.” (Alhamdulillah, ini adalah satu pemilihan yang tepat. Saya fikir rencana anda ada pengaruh ke atasnya). (Saya hanya menurunkan apa yang dikatakannya. Saya tidak mengatakan apa yang dikatakannya itu betul atau tidak.)

 Saya juga menerima reaksi seorang dari kumpulan profesional, yang sangat kuat menyokung PH dalam PRU14 yang memberi “thumb up” kepada pelantikan itu. Saya fikir dua reaksi yang saya terima itu, setakat ini, mencerminkan reaksi kumpulan-kumpulan profesional, termasuk, pegawai-pegawai kanan kerajaan, yang tahu beliau.

Dalam kata-kata lain, tindakan pertama yang dilakukan oleh kerajaan PN adalah betul dan disukai oleh orang ramai.

Jika pengganti Latheefa Koya juga datangnya daripada perkhidmatan SPRM, saya percaya ia akan mendapat reaksi yang serupa.

Sebenarnya, untuk memilih pegawai yang sesuai tidak susah. Tengoklah siapakah yang paling kanan dan apa “salah” dengannya. Biasanya, jika ada “salahya”, beliau tidak sampai ke situ. Yang lebih muda, menonjol dan membodek orang politik adalah pegawai yang tidak ada substance tetapi bercita-cita besar yang tahu beliau tidak akan sampai ke mana jika beliau tidak berbuat demikian. Orang seperti itu boleh mengubah pendiriannya terhadap seseorang pemimpi politik, malah parti, mengikut keperluan. Itu orang politik perlu tahu.

Kesilapan orang politik ialah apabila mereka mempolitikkan jawatan-jawatan itu dengan melantik orang-orang politik penyokong kuat mereka ke jawatan itu. Kesannya kita telah lihat daripada pelantikan Tommy Thomas dan Latheefa Koya.

Kita berhenti di sini dahulu dan menunggu perkembangan selanjutnya.

07 03 2020

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

138 visits