MELAYU TERTIPU LAGI

MELAYU TERTIPU LAGI

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Semenjak sebelum PRU 14, melalui ucapan dan rencana saya, saya mengingatkan orang Melayu bahawa DAP adalah lebih cauvinis daripada MCA dan Gerakan, bahawa PAS (yang pada masa itu menyertai Pakatan Rakyat bersama-sama DAP), mahupun PKR, tidak akan boleh mengawal tuntutan DAP seperti UMNO mengawal tuntutan MCA dan Gerakan; bahawa orang Cina bersatu di belakang DAP kerana mereka mahu lebih daripada apa yang mereka dapat daripada BN melalui MCA dan Gerakan dan bahawa yang “lebih” itu semestinya datang daripada orang Melayu.

Pada masa yang sama, saya menyeru supaya orang Melayu bersatu, bermula dengan kerjasama antara UMNO dan PAS, kerana kedua-duanya adalah kumpulan Melayu/Islam terbesar. Saya menghujahkan bahawa UMNO dan PAS, yang di antaranya tidak ada apa-apa berbezaan prinsip lagi, hendaklah bekerjasama untuk mempertahankan Kerajaan Persekutuan daripada tumbang. Jika dua buah parti Melayu/Islam itu bekerjasama dan orang Melayu/Islam berdiri teguh di belakangnya, orang-orang Cina yang membuat perkiraan mengikut untung-rugi, akan mendekati BN semula.

Pada masa itu, UMNO yang mabuk dengan kuasa dan kekayaan dan PAS yang angkuh dengan kedudukannya, tidak memperdulikan seruan saya itu. Seorang bekas Menteri kanan BN menyifatkannya sebagai “very idealistic”. Selepas PRU14, beliau keluar dari UMNO dan menyertai Bersatu.

Seperti biasa, orang Melayu yang tidak “berfikir”, tetapi membuat keputusan mengikut apa yang mereka “rasa” atau “ingat”, malah kerana marah, telah memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH). Realitinya, mereka menyerahkan kuasa politik orang Melayu kepada orang Cina, semata-mata kerana marahkan Najib dan Rosmah.

Maka tumbanglah BN dan tertubuhlah Kerajaan PH. Orang Cina menganggap kemenangan PH dalam PRU14 itu sebagai kemenangan besar bagi mereka. Bagi mereka, pada 9 Mei 2018 itu tamatlah penguasaan orang Melayu ke atas politik Malaysia. Maka mereka pun menunjukkan keangkuhan mereka tanpa sedikitpun memperduli sensitiviti orang Melayu dan melakukan berbagai-bagai perkara yang menyakiti hati orang Melayu dan dilihat sebagai merugikan, mencabar, meremehkan malah menhina hak orang Melayu, agama Islam dan Raja-Raja Melayu.

Oleh sebab mereka terlalu rakus, malah biadab, maka, dalam masa satu tahun sahaja orang Melayu telah sedar akan bahayanya kerajaan PH yang dikuasai DAP kepada orang Melayu dan umat Islam. Maka orang Melayu dan umat Islam mula menolak PH. Kesannya dapat diliht daripada keputusan lima pilihan raya kecil, bermula dengan Cameron Highlands dan berakhir dengan Kimanis.

Di luar dugaan, bukan hanya sekadar bekerjasama, malah satu muafakat telah terjalin antara UMNO dan PAS dengan termeterainya Piagam Muafakat pada14 September 2019.

Bersatu tahu,  DAP, Amanah dan PKR juga tentu terasa, jika terdapat muafakat antara UMNO dan PAS, Bersatu, Amanah, malah PKR akan tergugat. Maka, terancanglah Kongres Maruah Melayu oleh bekas ahli-ahli UMNO yang melompat masuk Bersatu, yang, saya percaya, mulanya untuk menyaingi muafakat UMNO dan PAS, tetapi kemudiannya berubah menjadi untuk perpaduan Melayu dengan dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir, DS Haji Abdul Hadi Awang, wakil-wakil UMNO dan DS Azmin Ali, mewakili satu kumpulan dalam PKR. Kongres itu diadakan pada 6 Oktober 2019. (Ada yang mengatakan, saya tidak tahu benar atau tidak, bahawa DS Anwar dan Lim Kit Siang mendesak Tun Dr Mahathir supaya tidak menghadiri Kongres itu malah melarang Tun Dr Mahathir membaca ucapan yang disediakannya. Mungkin itulah sebabnya pada hari itu, Tun Dr. Mahathir berucap tanpa teks).

Tidak boleh dinafikan kehadiran Tun Dr. Mahathir di kongres itu merenggangkan Tun Dr. Mahathir daripada PH, DAP dan PKR.

Empat bulan kemudian, pada 23 Februari 2020, terbungkar berita majoriti ahli-ahli Parlimen menyokong Tun Dr. Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri. Usaha mendapat sokongan ini adalah untuk mematahkan keghairahan DS Anwar dan penyokongnya yang tidak henti-henti menuntut  Tun Dr Mahathir menyerah jawatan PM kedapa DS Anwar.

UMNO, PAS, Bersatu dan sekumpulan daripada PKR termasuk dalam pakatan itu. Parti-parti Sabah dan Sarawak turut memberi sokongan. PH nampak seolah-olah sudah terkubur dan kerajaan baru, diketuai Tun Dr. Mahayhir, tanpa DAP, Amanah dan kumpulam DS Anwar, akan terbentuk.

DS Anwar dan Lim Kit Siang tersentak. Mengikut cerita, DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu telah pergi menemui Tun Dr Mahathir. Mengikut cerita, mereka merayu Tun Dr. Mahathir supaya terus memegang jawatan PM sehingga PRU 15. Ertinya, mereka menarik balik desakan supaya Tun Dr. Mahathir menyerah jawatan PM kepada DS Anwar selewat-lewatny dalam Mei ini.

Mengapa DS Anwar dan Lim Kit Siang (Mat Sabu cuma menumpang tuah mereka) berbuat demikian? Pada masa itu, mereka tahu bahawa Tun Dr. Mahathir telah mempunyai sokongan dua pertiga, kerajaan PH akan terkubur, kerajaan pembangkang (panggillah Perikatan Nasional, PN) akan tertubuh dan semua menteri-menteri DAP, PKR dan Amanah akan kehilangan jawatan. Kerana terpaksa, mereka sanggup menelan ludah mereka (perkara biasa bagi ahli politik).

Selepas pertemuan Tun Dr. Mahathir dengan DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu itu, PKR, DAP dan Amanah mengatakan mereka memberi sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir sebagai PM sehingga PRU15. Pada masa itu, nampak seolah-olah Tun Dr Mahathir bersetuju untuk terus menjadi PM PH sehingga PRU15.

Jika itu benar, Tun Dr Mahathir nampak seolah-olah sudah termakan umpan yang dihulur oleh DS Anwar, Lim Kit Siang dan Mat Sabu itu. Dengan persetujuan itu, Tun Dr. Mahathir telah membelakangkan PN.

Tiba-tiba keluar pula berita Tun Dr Mahathir meletak jawatan dan dilantik semula sebagai PM sementara sehingga YDPA melantik seorang PM tetap. Selepas itu keluar pula berita, Tun Dr. Mahathir akan menubuh sebuah Kerajaan Perpaduan, terdiri daripada menteri-menteri yang dipilihnya sebagai individu, bukan mewakili parti.

TS Muhyiddin pula mengeluar kenyataan bahawa Bersatu telah mengambil keputusan keluar daripada PH. Selepas itu, UMNO dan PAS mengeluar kenyataan bahawa mereka menarik balik sokongan mereka terhadap Tun Dr Mahathir kerana, sokongan asal mereka kepadanya adalah untuk menghalang DS Anwar daripada menjadi PM, dan penubuhan kerajaan PN tanpa DAP, PKR dan Amanah.

Pada masa ini, kita tidak tahu apa Tun Dr Mahathir sedang buat, mungkin beliau sedang mengumpul nama-nama ahli Parlimen tidak kira dari parti mana untuk dijadikan ahli cabinet beliau, bukan sebagai mewakili partinya, tetapi sebagai seorang individu, lebih kurang seperti dalam sistem presidensi Amerika Syarikat. Realitinya, beliau akan menjadi seorang diktator dengan ahli-ahli kabinetnya sebagai “yes men”.

YDPA pula sibuk menemuduga setiap ahli Parliament untuk mendapat tahu siapa yang mereka sokong untuk menjadi PM. Tetapi, kita tidak tahu bilakah baginda akan membuat keputusan dan apakah keputusan baginda.

Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budubicara kepada YDPA untuk melantik seseorang menjadi PM – Perkara 40(2)(a). Perlembagaan  tidak menyebut bagaimana budibicara itu patut digunakan. Tepapi, dalam sistem berparlimen ala-British, baginda kenalah melantik seoran yang, pada pendapatnya, mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen. Jika tidak, selepas dilantik, satu undi tidak percaya mungkin dikemukakan. Jika kalah, mengikut konvensyen, PM itu akan terpaksa meletak jawatan, dan masalah itu berulang semula.

Pada 26 Februari 2020, dua perkara besar berlaku. Pertama, Tun Dr Mahathir mengeluar kenyataan mengapa  beliau meletak jawatan. Kedua PKR, DAP dan Amanah mengisytiharkan DS Anwar sebagai calon mereka untuk menjadi PM. Malah ada berita yang mengatakan penyokong-penyokong DS Anwar sudah pun berarak kemenangan di Dataran Merdeka.

Kita lihat kenyataan Tun Dr Mahathir dahulu. Beliau berkata beliau meletak jawatan kerana beliau tidak boleh menerima UNNO di dalam kerajaannya tetapi beliau bersedia menerima ahli-ahli UMNO yang melompat masuk ke parti lain. Soalan pertama, mengapa cuma sekarang baru beliau mengeluarkan kenyataan itu? Ia sepatutnya dikeluarkan, selewat-lewatnya, pada hari beliau meletak jawatan.

Katakalah alasan yang diberi itu benar, soalan-soalan berikut perlu di jawab:

  1. Mengapa, beliau menghadiri Kongres Maruah Melayu pada 23 10 2018, duduk dan berdiri bersama-sama pemimpin-pemimpin UMNO yang hadir sebagai wakil UMNO?
  2. Mengapa beliau membiarkan usaha menubuh kerajaan PN yang dilakukan oleh ahli-ahli Bersatu sendiri sejak beberapa bulan sebelumnya, meyakinkan pemimpin-pemimpin UMNO, PAS dan lain-lain serta mendapatkan statutory declaration mereka bahawa mereka menyokong beliau sebagai PM berlarutan hingga mereka memperolehi majoriti dua pertiga dan mengisytiharkan penubuhan kerajaan PN?
  1. Atas alasan apa beliau tidak boleh menerima UMNO? Adakah kerana UMNO corrupt? UMNO hanya satu nama atas kertas. Ia tidak boleh Yang boleh corrupt adalah pemimpin-pemimpinnya. Tetapi, beliau boleh menerima pula pemimpin-pemimpinnya.

Saya percaya, jika alasan itu benar, sebenarnya, beliau tidak boleh terima kewujudan UMNO. Selepas sahaja PRU14 beliau telah mengatakan UMNO hanya menunggu ajalnya. Tetepi, ia semakin kuat dan PH kalah dalam lima PRK berturut-turut. Beliau tahu, apabila UMNO bekerjasama dengan PAS dalam PRU 15, Bersatulah yang lebih berkemungkinan menemui ajalnya. Maka beliau mesti bunuh UMNO, jika tidak UMNO (bersama-sama PAS) akan membunuh Bersatu.

Itu UMNO perlu faham. Dalam keadaan demikian, mengapa UMNO hendak menyokongnya? Menyokongnya untuk membunuh UMNO? UMNO telah membuat satu peputusan yang betul dengan menarik balik sokongan terhadap Tun Dr Mahathir. UMNO mesti jangan bergenjak. Malah, mana-mana ahli UMNO yang menerima jawatan dalam kabinetnya hendaklah disingkir.

Mengenai peristiwa kedua hari itu, PKR, DAP dan Amanah mengisytiharkan sokongan mereka terhadap DS Anwar sebagai calon PM. Ini berlaku hanya beberapa hari selepas mereka memberi sokongan penuh terhadap Tun Dr Mahathir untuk terus menjadi PM sehingga PRU15. Dengan perisytiharan itu, mereka membuat U-turn dan menikam Tun Dr Mahathir dari belakang.

Kembali kepada kedudukan Tun Dr Mahathir dan Bersatu. TS Muhyiddin Yassin telah mengambil pendirian yang betul dan berani dengan membawa Bersatu keluar dari PH. Beliau dan Bersatu hendaklah teguh dengan pendirian ini. Ahli-ahli Bersatu telah bertongkos lomos mendapat sokongan untuk Tun Dr Mahathir. Setelah Berjaya beliau menikam mereka dari belakang. Perbuatan itu hanya menguntungkan Anwar, DAP dan PH. Anwar yang sepatutnya tetah kehilangan peluang untuk menjadi PM, DAP yang sepatutnya keluar daripada kerajaan PN, kerajaan PH  yang sepatutnya sudah terkubur, semuanya hidup semula. Akibatnya, pada 27 02 2020, baik DS Anwar, Tun Dr Mahathir, mahupun kumpulan UMNO-PAS sama-sama tidak mempunyai majoriti.

Pagi 27 02 2020, kita dikejutkan pula dengan berita bahawa kumpulan Azmin menyertai Bersatu. Selain daripada ia menguatkan Bersatu, ia juga mengurangkan perpecahan orang Malayu yang akan menjadi lebih buruk jika mereka menubuhkan sebuah parti baru. Itu satu perkembangan yang baik.

Tidak cukup dengan itu, di sebelah petangnya, terbit pula berita bahawa Tun Dr Mahathir kembali semula menjadi Pengerusi Bersatu, mungkin selepas dipujuk oleh TS Muhyiddin pula. Apakah ertinya? Ingat, Bersatu telah keluar dari PH. Ertinya, beliau sekarang menjadi pengerusi Bersatu yang berada di luar PH. Pada masa yang sama, beliau tidak dapat menerima UMNO sebagai sebuah parti. UMNO dan PAS pula telah menarik balik sokongang terhadap Tun Dr Mahathir sebagai PM kerana beliau telah membelot mereka. Maka, ertinya Bersatu bersendirian. Tetapi, kita dengar pula cerita Bersatu Johor akan menubuh kerajaan Bersama BN dan PAS. Tidakkah in bercanggah dengan pendirian Tun Dr Mahathir terhadap UMNO?

Apakah kesimpulan dan pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa ini?

  1. Orang yang menggagalkan penubuhan kerajaan PN adalah Tun Dr. Mahathir.
  1. Dalam peristiwa ini, Tun Dr Mahathir dan DS Anwar sama-sama tidak boleh dipercayai. Diharapkan peristiwa ini akan menyingkirkan kedua-dua mereka daripada arena politik negara. Mereka tidak boleh diharap untuk membela kepentingan orang Melayu/Islam. Apatah lagi, jika DS Anwar dilantik menjadi PM dengan sokongan DAP dan Amanah, kerajaan yang akan dibentukan hanya mempunyai 33 Ahli Parlimen Melayu/Islam (35.86%) berbanding dengan 59 orang bukan-Melayu/bukan-Islam (64.13%). Bolehkan kerajaan seperti itu menjadi pembela orang Malayu/Islam? Ia juga menunjukkan sejauh mana DS Anwar sanggup memgorbankan kepentingan Melayu/Islam semata-mata untuk menjadi PM.
  1. UMNO, PAS, Bersatu (termasuk kumpulan Azmin) hendaklah bersatu teguh. Saya percaya, jika perikatan mereka kuat, parti-parti di Sabah dan Sarawak, MCA dan MIC akan menyertai mereka yang berkemungkinan membolehkan mereka menubuh kerajaan baru. Tetapi, ini hanya boleh dilakukan tanpa Tun Dr Mahathir dalam Bersatu kerana baliau tidak boleh menerima UMNO sebagai satu parti. TS Muhyiddin telah melakukan sesuatu yang betul apabila mambawa Bersatu keluar dari PH, setelah Tun Dr Mahathir meletak jawatan. Tetapi, masalah orang Melayu ialah mereka hagat-hangat tahi ayam dan mereka membuat keputusaan kerana marah dan mengikut emosi dan bukan melalui berfikir. Selepas itu, saya percaya beliau telah merayu kepada Tun Dr Mahathir supaya memegang jawatan pengerusi Bersatu semula.

Jika tidak, jika Tun Dr Mahathir tidak mengikut pendirian parti, beliau patut disingkir daripada Bersatu. Maka terbukalah peluang untuk Bersatu bersama-sama UMNO, PAS, MCA dan MIC menubuh kerajaan, tanpa Mahathir, di peringkat Persekutuan dan Negeri. Sekarang, sebagai pengerusi, Tun Dr Mahathir boleh menjadi penghalang! Yang ketawa adalah  DS Anwar dan Lim Kit Siang.

  1. Orang Melayu mesti sedar bawa UMNO dan PAS adalah dua buah parti yang boleh diharapkan untuk membela orang Melayu. UMNO perlu dibersihkan daripada pemimpin-pemimpin yang corrupt. PAS perlu update Keduanya elok dicantumkan, jika boleh.
  1. PAS, yang pada suatu ketika selepas manandatangani Piagam Muafakat, nampak seolah-olah mula membelakangkan UMNO kerana keghairahannya dalam menyokong Tun Dr Mahathir sehinggakan UMNO terpaksa mengikut “supaya tidak ketinggalan”. Di penghujung episode ini, PAS berada bersama-sama UMNO setelah dibelot oleh Tun Dr. Mahathir. Ini satu pengajaran kepada PAS, suka atau tidak, UMNO itulah rakan seperjuangannya untuk membela kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
  1. Berhadapan dengan Tun Dr. Mahathir, UMNO perlu tegas. Ingat, UMNO adalah lebih besar daripada Bersatu, lebih tua dan lebih berjasa. Tun Dr Mahathir telah menunggang UMNO selama hampir tiga dekad, disanjung dan diangkat nenjadi pemimpin orang Melayu selama lebih daripada dua dekad, Sekarang beliau hendak membunuh UMNO kerana beliau takut UMNO akan membunuh partinya. Ini UMNO dan orang Melayu perlu sedar dan jangan naif lagi.
  1. Dalam berita malam ini, saya tidak tahu sama ada apa yang dikatakannya itu hanya pendapatnya atau nasihatnya kepada YDPA, beliau berkata, biarlah Parliman menentukan pada 3 Mac ini siapa akan menjadi PM. Jika ia gagal, adakan pilihanraya umum tergempar.

Semua ini tidak perlu jika beliau tidak belot. Beliau telah pun boleh dilantik menjadi PM kerajaan PN, tanpa PKR, DAP dan Amanah. Sekarang mereka telah bernafas semula, dua kumpulan telah menjadi tiga, tidak mustahil DS Anwar akan menang. Jika itu berlaku, Dr Mahathirlah yang bertanggungjawab menyerahkan kuasa politik orang Melayu di negara ini kepada DAP bagi kali yang kedua dan, besar kemungkinan, muktamad.

Jika PRU15 diadakan, jika beliau menentang kerjasama dengan UMNO, PAS perlulah menyebelahi UMNO. Bersatu hendaklah menyingkir Tun Dr Mahathir daripada Bersatu dan berkerjasama dengan UMNO dan PAS, menentang PH. Jika Bersatu tidak berani berbuat demikian dan hendak bertanding sendirian atau masuk semula ke dalam PH, biarlah. Kita tunggu dan lihat keputusannya.

Sementara itu, kita tunggu keputusan YDPA.

28 02 2020

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

110 visits