PELANTIKAN TAN SRI RICHARD MALANJUM SEBAGAI KETUA HAKIM NEGARA

PELANTIKAN TAN SRI RICHARD MALANJUM SEBAGAI KETUA HAKIM NEGARA

 

Saya merasa pelik. Bolehkah Peguam Negara (PN) atau sesiapa di Jabatan Perdana Menteri menjelaskannya?

Dilaporkan bahawa Tun Md Raus Sharif, Ketua Hakim Negara (KHN) telah mengemukakan surat peletakan jawatannya berkuatkuasa pada 1 Ogos 2018. Kini beliau sedang bercuti. Pada 11 Julai 2018 jam 9.30 malam Tan Sri Richard Malanjum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara (KHN).

Soalannya, bolehkah Tan Sri Richard Malanjum dilantik sebagai KHN ketika Tun Raus belum mengosongkan jawatan itu?

Walaupun Tun Raus telah memberi notis perletakan jawatannya, ia hanya akan berkuatkuasa pada 1 Ogos 2018. Walaupun beliau bercuti, beliau masih memegang jawatan itu. Memandangkan pelantikan Tan Sri Richard Malanjum berkuatkuasa dengan serta-merta, ia bermakna bahawa dari 9.30 malam pada 11 Julai 2018 hingga 12.00 tengah malam 31 Julai 2018, terdapat dua orang KHN. Adakah pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sah?

Dikatakan bahawa Tan Sri Raus diberi “cuti taman” (garden leave), yang bermaksud bahawa beliau telah diarahkan untuk tidak tidak melakukan sebarang kerja semasa tempoh notis itu, tetapi masih dibayar gaji. Itu mungkin amalan di sektor swasta yang mungkin juga diterima pakai di sektor awam yang melibatkan pegawai tadbir.

Saya menghujahkan bahawa amalan itu tidak boleh dipakai kepada KHN, yang kuasanya diberikan oleh Perlembagaan dan undang-undang. Tiada siapa, termasuk Perdana Menteri (PM) mempunyai kuasa untuk membuang kuasa itu daripadanya.

Mengapa upacara mengangkat sumpah itu dilakukan pada waktu malam yang mengejutkan semua orang? Adakah Yang di-Pertuan Agong dan PM begitu sibuk pada siang hari sehingga ia perlu dilakukan pada waktu malam? Sekiranya Majlis Raja-raja telah dirunding dalam mesyuaratnya pada 11hb Julai 2018, mengapakah tergesa-gesa mengangkat sumpah pada malam yang sama?

Bilakah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) bermesyuarat dan membuat cadangannya kepada PM? Siapa yang mempengerusikan mesyuarat itu? Tan Sri Raus masih KHN walau apa pun pandangan seseorang mengenai pelantikannya. Pelantikannya tidak diisytiharkan tidak sah oleh mana-mana mahkamah. Sepatutnya beliau mempengerusikan mesyuarat itu. Walaupun beliau bercuti, beliau sepatutnya dimaklumkan dan mempegerusikan mesyuarat itu. Sekiranya beliau dan Tan Sri Zulkefli, Presiden Mahkamah Rayuan (PMA), atas sebab-sebab tertentu, tidak dapat mempengerusikan mesyuarat itu, orang yang sepatutnya mempengerusikan mesyuarat itu ialah Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar (Malaya) (HB (M)). Dari segi protokol, beliau lebih kanan daripada Tan Sri Richard Malanjum (Hakim Besar (Sabah dan Sarawak) (HB (S & S)).

Masalah yang saya timbulkan sepuluh tahun yang lalu, apabila Rang Undang-undang SPK dibentangkan di Parlimen yang diterima pakai oleh Ahli Parlimen pembangkang (kini dalam kerajaan PH) semasa perdebatan, menjadi kenyataan.

Menurut protokol, HB (M) lebih tinggi daripada HB (S & S). Oleh itu, Tan Sri Ahmad Maarop sebenarnya berada di hadapan bagi menyandang jawatan KHN (jika Tan Sri Zulkefli meletak jawatan pada tarikh yang sama dengan dengan Tun Raus). Oleh itu, kedua-dua Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Richard Malanjum perlulah menarik diri daripada mempengerusikan atau duduk dialam mesyuarat SPK ketika ia membincangkan pengganti Tun Raus.

Akhir sekali, mengapa Badan Kehakiman hanya diwakili oleh Ketua Pendaftar? Beliau hanya seorang pentadbir, bukan seorang Hakim. Jika Tun Raus (KHN) dan Tan Sri Zulkefli (PMA) bercuti, selepasnya adalah HB (M), Tan Sri Ahmad Maarop dan, selepasnya, terdapat banyak Hakim Mahkamah Persekutuan. Sudah tentu, salah seorang daripada mereka boleh hadir.

Tun Abdul Hamid Mohamad
13 Julai 2018
https://tunabdulhamid.me
[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my

311 visits