SETELAH BERJAYA MENENTANG RATIFIKASI ICERD KE MANA MELAYU?

FORUM ATAS TALIAN: MENYINGKAP PERHIMPUNAN 812

08 Disember 2020

SETELAH BERJAYA MENENTANG RATIFIKASI ICERD KE MANA MELAYU?

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

 

Dalam sejarah perjuangan orang Melayu, terdapat tiga perhimpunan paling besar iaitu perhimpunan menentang Malayan Union (1946), perhimpunan menyambut kemerdekaan (1957) dan perhimpunan menentang ratifikasi ICERD (2018).  Tetapi, di antara ketiga-tiga perhimpunan itu, perhimpunan menentang ratifikasi ICERD adalah yang paling besar.

Perhimpunan itu telah berjaya menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan menarik balik cadangan untuk meratifikasi ICERD; tiga bulan kemudian menarik balik cadangan untuk meratifikasi Statut Rom;  lima bulan selepas itu termaktubnya Piagam Muafakat Nasional UMNO-PAS dan membawa kepada kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan setelah berkuasa hanya selama 22 bulan. Itu adalah kejayaan politik orang Melayu yang paling besar semenjak kemerdekaan.

Kesemua itu mengubah landscape politik Malaysia dan menjadi tamparan hebat kepada cita-cita orang-orang Cina yang memberi sokongan padu kepada DAP dan orang-orang India yang menyokong Hindraf untuk mencabar hak-hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kejayaan itu telah membawa ketenteraman kepada negara dan ketenangan kepada sebahagian besar orang Melayu. Hindraf sudah tidak kedengaran lagi. Penyokong-penyokong DAP juga sudah agak senyap. Tetapi, jika mereka tidak membakar mercun, sama ada senyap-senyap mereka sedang membuat kueh bulan, kita tidak tahu. Orang Melayu perlu waspada.

Apa telah terjadi kepada politik orang Melayu selepas perhimpunan menentang ICERD?

Tidak lama selepas termaktubnya Piagam Muafakat Nasional, sebelum jatuhnya Kerajaan Pakatan Harapan lagi, PAS telah menyatakan sokongannya kepada Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tindakan PAS itu menyebabkan UMNO merasakan PAS telah membelakangkan Muafakat Nasional. Ini dikuatkan lagi apabila, selepas  tertubuhnya Kerajaan Perikatan Nasional, PAS terus memberi keutamaan kepada hubungannya dengan Bersatu dan bukannya kepada UMNO, antara lain, dengan bersetuju menjadi anggota Perikatan Nasional untuk tujuan pendaftaran Perikatan Nasional sebagai sebuah parti politik.

Kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan telah memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin politik Melayu memperkukuh kekuatan politik Melayu/Islam di Malaysia, bukan untuk mengambil hak orang lain, tetapi semata-mata untuk mempertahankan hak-hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi, semenjak pembentukan Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional lagi, kita sudah dapat lihat tumpuan diberi lebih kepada memperkuatkan hedudukan Perdana Menteri dan partinya, menyebabkan rasa tidak puas hati kepada rakan gabungan Perikatan Nasional, khususnya UMNO yang merasakan ia terpinggir.

Pemimpin-pemimpin UMNO pula becakaran sama sendiri. Yang mendapat habuan dalam Kerajaan Perikatan Nasional merasa selesa dengan Bersatu sehingga sudah mula membelakangkan UMNO. Ada yang tidak dapat apa yang dikehendaki, termasuk untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang, sanggup pula bersekongkol dengan DS Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan DAP.  Syukurlah mereka gagal.

Saya tidak kisah siapa yang menjadi Perdana Menteri di kalangan pemimpin-pemimpin parti yang menjadi anggota Kerajaan Perikatan Nasional selain daripada beberapa orang yang sedang menghadapi kes di mahkamah melainkan mereka telah dibebaskan oleh mahkamah. Saya tidak berkata mereka bersalah sehingga mereka didapati bersalah oleh mahkamah. Tetapi, ini soal imej parti di mata pengundi dan imej negara di mata dunia.

Selain dari itu, apa yang penting ialah Pakatan Harapan tidak berkuasa semula atau gabungan yang serupa dengannya tidak berkuasa, sebelum PRU15.

Biar apa pun, kita merasa lega apabila Rang Undang-Undang Belanjawan 2021 telah diluluskan di peringkat dasar. Ertinya, sedikit sebanyak, common sense masih ada pada mereka. Kita harapkan ia akan berkekalan sehingga tamatnya ancaman Covid-19 dan PRU15 diadakan. Tetapi, apa yang sedang berlaku di Perak menyebabkan ketidaktentuan pula.

Saya tidak risau sangat mengenai orang Melayu sekarang. Majoriti mereka telah menyedari bahaya pemerintahan gabungan Pakatan Harapan dan kerjasama dengan DAP. Tetapi saya risaukan pemimpin-pemimpin politik Melayu. Kebanyakan mereka terlalu mengutamakan kepentingan diri, bukan memperkuatkan kedudukan politik orang Melayu/Islam.

Maka, saya harap umat Melayu/Islam dan NGO-NGO Melayu/Islam akan memperingatkan pemimpin-pemimpin politik Melayu supaya terus berada di atas landasan yang betul demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Jika ahli-ahli UMNO tidak mahu atau tidak sanggup membersihkan UMNO daripada pemimpin-pemimpin yang menjadi liability, kita harap umat Melayu/Islam dan NGO-NGO Melayu/Islam yang masih sayangkan UMNO boleh mengenakan tekanan terhadap mereka supaya berundur.

Tiga perkara yang perlu diberi perhatian sekarang ialah, pertama, menghalang Pakatan Harapan atau gabungan yang serupa dengannya daripada berkuasa sebelum PRU15. Pakatan Harapan atau gabungan baru itu tidak boleh berkuasa melainkan ada Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perikatan Nasional, termasuk dari UMNO, berpaling tadah. Hal seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Walaupun ia tidak sunyi dari kelemahan, Kerajaan Perikatan Nasional perlu dipertahankan sehingga PRU15. Kelemahan boleh diperbaiki. Terlepas kakuasaan politik kali kedua, jangan harap ia akan dapat diperolehi semula dalam masa terdekat.

Kedua, membuat persediaan untuk menghadapi PRU15. Yang paling penting ialah meletakkan calon-calon yang bersih, berkelayakan dan berkebolehan. Pengundi sudah pandai menilai integriti dan kesesuaian seseorang calon. Kita memerlukan orang-orang untuk membuat undang-undang dan menteri-menteri yang boleh mentadbir kementerian dan yang boleh berhadapan dengan pemimpin-pemimpin negara-negara luar, bukan yang akan memalukan Malaysia di mata dunia.

Selain dari itu, adalah amat penting mengelak pertandingan sesama sendiri. Pakatan Harapan atau gabungan yang serupa dengannya tidak boleh menang di kawasan majoriti Melayu. Ia akan menang jika parti-parti Melayu memecahbelahkan undi orang Melayu. Pemimpin-pemimpin Melayu hendaklah mengenepikan kepentingan diri untuk memastikan kemenangan gabungan parti-parti Melayu, tidak kiralah apa namanya. Hasad dengki, tamak haloba, cantas mencantas, konspirasi dan sabotaj hendaklah dibuang sama sekali.

Ketiga, menyediakan perancangan apa yang akan dilakukan selepas menang PRU15. Tanpa perancangan yang jelas dan berkesan, kita hanya akan mengulangi sejarah Kerajaan PH.

Janganlah selepas berjaya membantah ratifikasi ICERD dan menjatuhkan Kerajaan PH, kita sendiri yang menyerahkan kerajaan kepada Pakatan Harapan atau gabungan yang serupa dengannya yang akan meratifikasikan ICERD semula. Itu orang Melayu, terutama sekali pemimpin-pemimpin politik Melayu, perlu fikir.

Sekian. Terima kasih.

 

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

39 visits