PINDAAN AKTA 164 TAHNIAH KEPADA KERAJAAN

PINDAAN AKTA 164: TAHNIAH KEPADA KERAJAAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Apabila saya membaca Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), saya telah menulis dua artikel dalam bahasa Inggeris yang disiarkan oleh The New Straits Times. Yang pertama bertajuk “A Personal Touch” telah disiarkan pada 18 April 2017 dan yang kedua bertujuk “Section 88A Unconstitutional” telah disiarkan pada 23 April 2017.

Saya gembira RUU itu telah diluluskan oleh Parlimen dengan bantahan saya terhadap seksyen 88A diambil kira oleh Kerajaan. Tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan. Saya membantah seksyen itu atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan memihak kepada pihak yang tidak memeluk agama Islam. Dengan seksyen itu ditarik balik, RUU itu adil kepada kedua-dua pihak.

Saya tidak hairan jika NGO-NGO seperti Hindraf dan parti-parti politik seperti DAP dan MCA menentangnya. Tetapi saya hairan membaca bahawa SUHAKAM juga turut “kecewa” kerana seksyen 88A digugurkan. Adakah SUHAKAM mahu satu peruntukan yang memihak kepada orang bukan Islam dan bercanggah dengan Perlembagaan dijadikan undang-undang?

Saya gembira melihat PAS menyokong RUU itu. Tetepi, saya dukacita bahawa PAS masih tidak faham dan menghendaki kes-kes tersebut dibicarakan oleh mahkamah syariah.

Saya telah menjelaskan mengapa kes-kes tersebut perlu dibicarakan oleh mahkamah sivil. Sebab-sebabnya ialah:

1. Perkahwinan berkenaan adalah perkahwinan mengikut undang-undang sivil. Perceraiannya juga adalah mengikut undang-undang sivil. Mahkamah syariah tidak ada bidangkuasa membicarakan kes perceraian yang berbangkit daripada perkahwinan mengikut undang-undang sivil.

2. Akta 164 terletak di luar bidangkuasa mahkamah syariah.

3. Mahkamah syariah tidak ada bidangkuasa ke atas pihak yang tidak memeluk Islam. Jika kes-kes itu dibicarakan oleh mahkamah syariah, pihak yang tidak memeluk agama Islam tidak boleh membuat tuntutan di mahkamah syariah atau hadir untuk menentang atau membuat tuntutan balas. Ini menyebabkan ketidakadilan kepada pihak yang tidak memeluk agama Islam.

Pada masa ini pun kes-kes itu didengar oleh mahkamah sivil. Apa yang kita hendak lakukan ialah memberi peluang kepada pihak yang memeluk agama Islam untuk membuat permohonan di mahkamah sivil. Pada masa ini hanya pihak yang tidak memeluk agama Islam sahaja yang boleh berbuat demikian. Ini untuk berlaku adil kepada pihak yang memeluk agama Islam.

16 08 2017

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

 

292 visits