KEPERLUAN PERSEFAHAMAN ANTARA PARTI-PARTI POLITIK DAN NGO-NGO MELAYU

PERJUMPAAN PELAN STRATEGI MELAYU/ISLAM PULAU PINANG

26 09 2020

KEPERLUAN PERSEFAHAMAN ANTARA PARTI-PARTI POLITIK DAN NGO-NGO MELAYU

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya fikir, semenjak Merdeka, tidak ada suatu masa di mana cabaran terhadap orang Melayu dan agama Islam di negara kita lebih teruk daripada dua puluh dua bulan negara ini berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan. Juga, tidak ada suatu masa di mana perpaduan orang Melayu lebih teruk daripada beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam tahun 2018, kita melihat kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh orang Melayu selama 60 tahun tumbang walaupun peratusan penduduk orang Melayu/Islam adalah sebanyak 60%. Sebabnya adalah kerana undi orang Melayu berpecah tiga kepada BN, PAS dan PH. BN (khususnya UMNO) dan PAS yang berlawan sama sendiri menjadikan perlawanan tiga penjuru dengan PH, menyebabkan PH menang dalam lebih kurang 30 kawasan Parlimen.

Kita tidak terima (we do not approve)  sebarang perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh sesiapa. Yang bersalah mesti dihukum. Tetapi, menyerahkan kuasa politik orang Melayu kepada orang bukan Melayu bukanlah caranya untuk mengatasi masalah itu.

Pengundi-pengundi Cina yang bersepadu di belakang DAP, disokong pengundi Melayu yang termakan diayah pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH, memberi kemenangan kepada PH.

Dalam masa 22 bulan berikutnya, orang Melayu merasa dan melihat akibat kesilapan mereka.

Ada yang sedar, ada yang tidak dan ada yang tidak mahu sedar. Yang benar-benar sedar (Kumpulan Pertama) terdiri daripada pemimpin masyarakat, rakyat jelata, pesara dan NGO-NGO bebas yang tidak berkepentingan. Mereka merasa dan melihat sendiri kesan apa yang dilakukan oleh kerajaan PH dan penyokong-penyokongnya. Mereka serik dan mereka benar-benar mahukan orang Melayu bersatu semula, lupakan parti, lupakan jawatan dan kedudukan dan tumpukan kepada usaha menangani cabaran yang dihadapi itu.

Saya pergi dahulu kepada kumpulan yang tidak sedar, atau lebih tepat tidak mahu sedar (Kumpulan Kedua) kerana perbincangan saya mengenai mereka adalah amat ringkas. Mereka adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin PKR, Bersatu-Mahathir dan Amanah dan penyokong-penyokong mereka. Mereka pertahankan pendirian parti mereka kerana mereka mendapat faedah daripadanya. Noktah.

Ada yang sedar tetapi kepentingan menyebabkan mereka sangsi akan akibat perpaduan (Kumpulan Ketiga). Mereka itu terdiri khususnya daripada pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS. Mereka nampak kesan kesilapan mereka. Tetapi, mereka khuatir akan kesan perpaduan: mereka khuatir kiranya dalam PRU15, mereka kehilangan peluang menjadi calon ahli Parlimen atau DUN. Pemimpin-pemimpin bawahan khuatir terlepas peluang jawatan-jawatan yang diberi sebagai imbuhan kerana menyokong partinya. Maka, mereka sangsi terhadap perpaduan.

Tetapi, Alhamdulillah, Allah memberi pertunjuk kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS. Akibatnya, mereka bersetuju mengadakan Muafakat Nasional yang menggerunkan PH. Kemenangan di kesemua PRK selepas diadakan muafakat itu, telah menyebabkan parti-pati bukan Melayu yang mengutuk UMNO dan mengancam akan keluar dari BN, menghampirinya semula dan memberi sokongan kepada  BN semula. Malah, Gerakan yang begitu teruk mengutuk UMNO dan keluar dari BN pun hendak kembali kepada BN semula. Begitu tebal muka mereka.

Perpaduan ini melangkah selangkah lagi apabila sebahagian daripada pemimpin-pemimpin Bersatu yang dipimpin oleh TS Muhyiddin dan sebahagian daripada pemimpin-pemimpin PKR yang diketuai DS Azmin Ali membawa keluar pengikut-pengikutnya dan menyertai UMNO, PAS dan beberapa buah parti di Sabah dan Sarawak untuk menggulingkan Kerajaan PH dan menubuhkan Kerajaan PN.

Tidak boleh dinafikan, penukaran kerajaan itu melegakan orang Melayu dan Islam. Tidak boleh dinafikan bahawa rakyat miskin daripada semua bangsa dan agama telah merasa nikmatnya, terutama sekali semasa berhadapan dengan bencana Covid-19 itu. Tidak boleh dinafikan bahawa ia telah mententeramkan negara, khususnya daripada ancaman perselisihan kaum dan agama.

Tetapi, ia tidak memuaskan dari segi mewujudkan perpaduan Melayu. Betul, kebanyakan orang Melayu menolak PH, tetapi yang menyebabkan masalah adalah pemimpin-pemimpin dalam gabungan PN itu sendiri.

Mula-mula kita lihat tindakan Perdana Menteri. Kita mengharapkan beliau akan mengambil kesempatan itu untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan Melayu dan Bumiputra. Sebaliknya beliau lebih mementingkan survival beliau sebagai Perdana Menteri. Maka, beliau lebih mengutamakan orang-orang daripada parti beliau sendiri dan yang baru melompat masuk ke parti beliau dan juga dari Sabah dan Sarawak yang memberi sokongan kepada beliau, menyebabkan ternampak seolah-olah ada tawar menawar. Pemimpin-pemimpin UMNO yang berkemungkinan menggerhanakan beliau, diketepikan. Dalam hal ini, mungkin DS Zahid Hamidi juga memain peranan, juga untuk survival dirinya.

Maka, UMNO yang mempunyai bilangan ahli Parlimen yang terbanyak merasa terpinggir. Memikirkan bahawa ia berkemungkinan menambahkan bilangan kerusi Parlimen dan meperolehi jawatan Perdana Menteri, pemimpin-pemimpin UMNO mendesak supaya diadakan PRU15 dengan segera. Tetapi Presidennya, DS Zahid tidak bersetuju, mungkin kerana beliau mempunyai perkiraan lain, sesuai dengan kepentingannya. TS Muhyiddin juga tidak bersetuju kerana beliau tidak yakin dengan prestasi partinya sendiri manakala PAS menyokong DS Muhyiddin dengan harapan dapat memujuknya memberikan wang ihsan petrolium kepada Terengganu dan Kelantan.

PAS cuba mendapt wang ihsan petrolium daripada Kerajaan Persekutuan semenjak pemerintahan PH dengan menyatakan sokongan terhadap Tun Dr. Mahathir, seolah-olah tidak kisah dengan apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH dan penyokong-penyokongnya terhadap hak dan kepentingan orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Mungkin hujah yang diberikakan PAS ialah Tun Dr, Mahathir adalah lebih baik daripada DS Anwar, satu pusingan-U daripada pendirinya pada suatu masa dahulu, apabila PAS menolak tuduhan liwat terhadap DS Anwar dan menggelarkan Dr Mahathir sebagai Maha Firaun.

Apabila TS Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, hingga sekarang, PAS memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya, malah menjadi ahli PN yang didaftarkan sebagai sebuah parti politik, membelakangkan Muafakat Nasional yang ditubuhnya lebih awal, dengan UMNO. Adakah ia bersekongkol dengan Bersatu untuk meminggirkan UMNO? Semua itu menampakkan seolah-olah PAS lebih mementingkan wang ihsan petrolium daripada perpaduan Melayu/Islam.

Sampai kepada Bersatu, saya berkali-kali berkata, dengan tsunami patah balik orang Melayu dan tanpa undi orang Cina, jika ia bertanding sendiri, walaupun dengan sokongan kumpulan bekas-PKR yang diketuai DS Azmin Ali (dengan syarat PAS tidak mengkhianati Muafakat Nasional dengan UMNO), Bersatu bernasib baik jika ia boleh memenangi bilangan kerusi Parlimen yang boleh dikira dengan jari tangan. Keadaan mungkin lebih teruk apabila Tun Dr Mahathir menubuh Pejuang.

Maka, kita lihat cubaan Bersatu untuk menarik ahli-ahli Parliman UMNO menyertainya. Ini telah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir semenjak kekalahan BN dalam PRU14, tetapi kegagalannya mula nampak apabila BN memenangi beberapa PRK berturut-turut. Tamparan terakhir kepada Tun Dr Mahathir ialah apabila parti Bersatunya sendiri yang berpecah dan menyertai PN untuk menumbangkan Kerajaan PH dan menafikannya daripada menjadi Perdana Menteri semula.

Keresahan Bersatu menyebabkan ia membuka keahliannya kepada orang bukan Melayu, satu usaha yang sesia.

Kita perhatikan, dalam membuat sesuatu keputusan, orang politik hanya memikirkan kepentingan diri dan (pemimpin-pemimpin) parti di masa terdekat. Mereka akan bersahabat atau bermusuh pada sesuatu masa jika ia memberi keuntungan material segera kepada mereka. Bukan mereka tidak langsung mempunyai tujuan bersama, tetapi cuma setakat ia menguntungkan mereka pada masa itu, atau untuk mengelak kekalahan pada masa itu. Mungkin itulah politik!

Biar apa pun, kita mesti akui peranan baik yang dimainkan oleh mereka semua dalam tempoh tujuh bulan kebelakangan ini.

TS Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Bersatu berjasa kerana keluar daripada PH dan menyebabkan tumbangnya Kerajaan PH.

TS Muhyiddin, dengan parcaturan politiknya, berjaya menafikan PH daripada berkuasa semula sudah selama tujuh bulan, walaupun harga yang dibayar amat tinggi.

UMNO, walaupun merungut, tidak menarik  balik sokongannya kepada TS Muhyiddin dan Kerajaan PN, dengan itu  mengelak PH  berkuasa semula. Sama ada DS Zahid  mempunyai perkiraan peribadi lain tidak mengapalah, asalkan PH tidak berkuasa semula.

Sokongan padu PAS kepada TS Muhyiddin menyelamatkan kedudukan TS Muhyiddin dan mengekalkan kerajaan PN hingga sekarang, tidak kiralah apa motifmya.

Tetapi keputusan yang dibuat atas kepentingan politik semata-mata, akan ternyata kurang arif dan merugikan negara. Misalnya keputusan mengadakan dan menambah sekolah vernakular untuk mengambil hati pengundi Cina dan, baru-baru ini, kepututusan TS Muhyiddin mengenai isu berkaitan dengan hasil petrolium di Sarawak. (Berkenaan Terengganu dan Kelantan, sila baca rencana saya bertajuk Pencapaian Tuan Guru Nik Aziz (24 05 2017) dalam laman web saya.)

Tetapi, kita memerlukan rakan seperjuangan yang berpanjangan untuk mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu/Islam selagi adanya negara kita Malaysia, bukan setakat PRU15. Ini rancangan jangka panjang.

Dalam ucapan ringkas ini, saya tinggalkan itu dahulu. Kita tumpukan kepada isu segera yang mendesak dahulu. Isu paling mendesak bagi orang Melayu/Islam di Malaysia hari ini ialah mengelak PH menang PRU15 dan berkuasa semula. Yang lain adalah sampingan.

Untuk menang PRU15 parti-parti Melayu di luar PH perlulah mengelak berlawan sama sendiri. Saya tidak kisah jika mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu di mana BN atau PN meletak calon bukan Melayu asalkan mereka tidak menyebabkan calon PH menang.

Dalam hal ini, orang Melayu perlu belajar daripada orang Cina dan meniru cara mereka bertindak. Walau pun di luar mereka nampak berpuak-puak, di belakang mereka bermuafakat. Mereka mempunyai persefahaman dalam hal-hal yang menguntungkan atau merugikan mereka dan mereka bersatu untuk memperjuangkannya atau menentangnya.

Persefahaman orang Melayu ini hendaklah meliputi parti-parti Melayu dari peringkat persekutuan hinggalah ke negeri dan daerah, supaya semua dapat bertindak bersama.

Siapakah yang akan memulakan usaha untuk mewujudkan persefahaman itu? Kita tidak boleh mengharapkan parti politik sebab mereka tidak percaya antara satu sama lain. Lagi pula, mereka masing-masing mempunyai ego yang tebal.

Maka, NGOlah yang perlu menggerakkannya. Tetapi, NGO-NGO Melayu mestilah kuat dan bersatu. Jika NGO-NGO Melayu tidak dapat bersatu pun, sekurang-kurangnya mereka hendaklah mempunyai persefahaman mengenai isu-isu yang merugikan atau menguntungkan orang Melayu dan Islam dan mereka hendaklah sekata dan bertidak bersama. Ini adalah cabaran kepada NGO-NGO Melayu/Islam. Jika UMNO dan PAS boleh mewujudkan Muafakat Nasional, tidak ada sebab mereka tidak boleh melakukan perkara yang sama di antara mereka.

Dalam mewujudkan persefahaman dan kerjasama di antara parti-parti politik dan NGO-NGO Melayu, kita tidak perlu merombak parti, persatuan dan kumpulan atau menubuh satu pertubuhan baru. Yang perlu ialah mereka mempunyai persefahaman untuk mengambil pendirian bersama dan bertindak bersama jika timbul sesuatu isu yang mencabar atau merugikan hak dan kepentingan orang Melayu.

Kecuaian orang Melayu untuk berbuat demikian, antara lain, telah memperlihatkan pertambahan bilangan sekolah jenis kebangsaan Cina yang mendadak dan tuntutan-tuntutan Dong Zong yang melampau yang, kesannya, ialah mengiktirafkan dan mewujudkan satu sistem persekolahan yang selari dengan sistem persekolahan kebangsaan. UMNO takut tidak mendapat undi orang Cina. PAS sibuk mengkritik UMNO, NGO-NGO Melayu masing-masing bertindak sendiri atau tidak langsung. Yang untung adalah orang Cina.

Kita tidak mahu hal seperti itu berulang, malah kita mahu memperbetulkan kesilapan yang telah berlaku itu, seberapa boleh.

Itulah cabaran kepada orang Melayu. Sanggupkah mereka mengenepikan kepentingan diri demi untuk mempertahankan kepentingan bangsa dan agama?

Biar apa pun kita perlu mencuba dan saya sarankan NGO-NGO bersatu tujuan sesama mereka terlebih dahulu dan memulakan risikan di kalangan parti-parti politik Melayu dan menjadi pengurus tidak rasmi bagi membincang isu-isu yang timbul dari masa ke semasa.

Jika muafakat antara UMNO dan PAS boleh berlaku, persefahaman antara parti-parti politik dan NGO-NGO Melayu/Islam mengenai isu-isu yang melibatkan orang Melayu dan Islam adalah lebih mudah. Ia tidak melibatkan pembahagian kerusi pilihanraya; ia tidak melibatkan jawatan dalam Kabinet, GLC, dan lain-lain.

Saya tahu Tan Sri, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan adalah anak Pulau Pinang, demikian juga saya. Tumpuan tuan-tuan dan puan-puan adalah khusus kepada Pulau Pinang. Tetapi, Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Malaysia. Segala perubahan yang berlaku di Malysia juga memberi kesan kepada Pulau Pinang.

Saya lahir di zaman pemerintahan Jepun, melalui Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu, pemberontakan Kominis, perjuangan menuntut kemerdekaan, penubuhan Malaysia, Konfrantasi Indonesia, Mei 13, Mageran, Dasar Ekonomi Baru, kekalahan Kerajaan BN, tumbangnya Kerajaan PH dan pemerintahan Kerajaan PN.

Di Pulau Pinang saya melihat sambutan Pertabalan Queen Elizabeth II; saya melihat PRU1 (tahun 1955) hingga yang terakhir setakat ini (PRU14); saya melihat Pulau Pinang di bawah Kerajaan Perikatan (era Wong Po Nee); saya melihat Pulau Pinang di bawah Gerakan (era Lim Chong Eu, di luar dan di dalam Perikatan/BN) dan saya melihat Pulau Pinang di bawah pemerintahan DAP, hingga sekarang.

Memandang kebelakang, orang Melayu terlalu pemurah. Dalam PRU1 (1955), sepatutnya jawatan Ketua Menteri diambil oleh UMNO, tetapi UMNO bermurah hati menyerahkannya kepada MCA. Di era Lim Chong Yu, ia manjadi “hak tradisional” orang Cina, sehingga, pernah, pada suatu masa dalam tahun 1990an, walaupun UMNO mempunyai bilangan kerusi yang lebih daripada Gerakan, jawatan itu tetap diberi kepada Gerakan. UMNO hanya berpuas hati dengan jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Lihatlah bagaimana kita melepas peluang hingga sekarang kita tidak lagi berpeluang.

Terus terang, saya sendiri menerima hakikat bahawa kita sudah tidak berpeluang lagi menebus jawatan itu hinggalah Dr. Zaki, Us. Azizee dan En. Luqman (yang saya tidak kenali sebelumnya) menziarah saya pada 30 Ogos 2020.

Dr. Zaki membawa satu berita yang merupakan cahaya di hujung terowong: orang Melayu adalah penduduk majoriti di Pulau Pinang.

Tetapi itu hanyalah permulaan perjalanan 1,000 batu. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  1. Kawasan pilihanraya majoriti Melayu hendaklah lebih banyak daripada kawasan majoriti bukan Melayu.
  1. Jumlah orang Melayu yang berpindah keluar daripada Pulau Pinang tidak melebihi bilangan orang bukan Melayu yang berbuat demikian;
  1. Tidak ada perpindahan pengundi bukan Melayu dari kawasan majoriti besar orang bukan Melayu ke kawasan majoriti kecil orang Melayu seperti dari George Town ke Seberang Perai;
  1. Orang Melayu yang berhak mengundi mestilah mendaftar dan mengundi; dan
  1. Orang Melayu bersepadu mengundi PN atau BN.

Ini perlu diberi perhatian dan diambil tindakan oleh parti-parti dan NGO-NGO Melayu Pulau Pinang. Saya fikir, tuan-tuan boleh mengambil inisiatif untuk mendapat persefahaman dan kerjasama NGO-NGO Melayu dan parti-parti politik Melayu untuk bertindak bersama dalam menangani isu-isu ini, sebagai langkah permulaan, di peringkat negeri Pulau Pinang.

Untuk berkesan, idea ini perlulah diketengahkan ke peringkat Persekutuan. Tuan-tuan jangalah merasa kerdil untuk melakukannya. Tidak ada sesiapa yang terlalu kecil untuk mengemukakan sesuatu idea yang terlalu besar.

Sekian. Terima kasih.

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

NOTA: Ucapan ini ditulis dan dirakamkan sebelum DS Anwar Ibrahim mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

34 visits