PELAKSANAAN HUDUD DI BRUNEI: PERBEZAAN DI ANTARA BRUNEI DAN MALAYSIA (BHG 2)

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
Wacana Perancangan Strategik
PELAKSANAAN HUDUD DI BRUNEI: PERBEZAAN DI ANTARA BRUNEI DAN MALAYSIA
24 Februari 2014
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara Malaysia)


PENDAHULUAN

Saya akan menumpukan perbincangan saya kepada pelaksanaan mengikut susunan berikut:

Pertama, saya akan bincang keadaan di Brunei dari segi perlembagaannya, sistem kerajaannya, undang-undangnya dan mahkamahnya.

Kedua, saya akan bandingkan dengan keadaan di Malaysia dalam hal yang sama.

Ketiga, saya akan bincang bagaimana Brunei akan melaksanakan hukuman hudud.

Keempat, saya akan bincangkan dari perspektif perundangan bagaimana jika ia hendak dilaksanakan di Malaysia.

Kelima, saya akan lihat pengalaman di beberapa buah negara yang telah melaksananya.

Akhir sekali, saya akan serahkan kepada peserta dan pihak-pihak berkuasa berkenaan untuk berfikir, menimbang dan mengambil pendirian sendiri mengenainya.

Untuk mengelak kekeliruan, saya perlu sebut dari awal-awal lagi bahawa hukuman hudud masih belum dilaksanakan di Brunei. Pada 22 Oktober 2013, Kerajaan Brunei Darussalam telah mewartakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 (PKHJS 2013) dengan tujuan, secara ringkasnya, untuk melaksanakan hukuman hududii dan qisas di negara itu. Ia akan dikuatkuasakan (atau dilaksanakan) berperingkat-peringkat, bermula dengan kesalahan-kesalahn ta’zir yang di jadualkan dalam bulan April 2014. Sementara itu, peruntukan-peruntukan undang-undang yang sedia ada termasuk Penal Code akan berjalan seperti biasa dan kes-kes itu akan terus dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Ini kerana kerja-kerja mengemaskini undang-undang berkaitan seperti acara jenayah yang masih belum selesai.

Sistem Kerajaan dan politik di Brunei

Brunei adalah sebuah negara “Melayu, Islam, Beraja”. Islam adalah agama rasmi Brunei. Sultan adalah ketua agama rasmi Brunei. Baginda boleh, setelah berunding dengan Majlis Ugama Islam, tetapi tidak semestinya mengikut nasihat Majlis itu, membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan agama Islam. iii

Kuasa memerintah yang tertinggi bagi Brunei adalah terletak dalam tangan Baginda. Baginda adalah Perdana Menteri. Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Kuasa memerintah hendaklah dijalankan oleh Baginda. Baginda boleh melantik sebilangan orang Menteri dan Timbalan Menteri yang akan bertanggungjawab hanya kepada Baginda sahaja bagi menjalankan kuasa memerintah. Pelantikan mereka boleh di mansuhkan (revoked) tanpa memberi apa-apa sebab. iv

Terdapat sebuah Majlis Mesyuarat Di-Raja (MMDR) yang ahli-ahlinya terdiri daripada Timbalan Sultan, Pemangku-Pemangku Raja (kedua-duanya jika ada pelantikan dibuat), Ahli-Ahli Rasmi dan ahli-ahli yang dilantik oleh Baginda.v Tugas MMDR, antara lain, adalah untuk menasihatkan Baginda mengenai sebarang pindaan, tambahan atau pembatalan sebarang peruntukan Perlembagaan. Walau bagaimana pun Baginda tidak tertakluk kepada nasihat MMDR.vi

Perlembagaan Brunei memperuntukkan sebuah Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinetvii (Kabinet) yang ahli-ahlnya terdiri daripada Perdana Menteri (Baginda sendiri) dan Menteri-Menteri yang dilantik oleh Baginda.viii Ahli-ahli Kabinet “menduduki kerusinya …. selama tempoh selagi diperkenankan oleh….” Baginda.ix Keputusan Kabinet tidak sah jika ia tidak diperkenankan oleh Baginda.x Baginda dikehendaki, tetapi tertakluk kepada pengecualian-pengecualian, berunding (consult) dengan Kabinet dalam melaksanakan tugas-tugas Baginda.xi Baginda “tidak terikat untuk bertindak menurut nasihat Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri, tetapi dalam sebarang hal yang sedemikian, Baginda hendaklah membuat catatan secara bertulis, untuk dimasukkan ke dalam minit-minit mesyuarat, sebab-sebab keputusan Baginda itu.”xii

Perlembagaan Brunei juga memperuntukkan sebuah Majlis Mesyuarat Negara (MMN).xiii (ia bolehlah dibandingkan dengan Dewan Rakyat). MMN mempunyai 45 orang ahli, 30 daripadanya dilantik oleh baginda manakala 15 orang lagi dipilih melalui pilihanraya. Setiap orang ahli MMN memegang jawatan masing-masing selama ia diperkenankan oleh Baginda.xiv Tetapi, semenjak tahun 1962, dengan berkuatkuasanya Perintah Darurat, pilihanraya tidak diadakan. Oleh yang demikian, semua ahli MMN pada masa ini adalah dilantik oleh Baginda. Persidangan MMN telah diadakan semula semenjak tahun 2004 setelah di gantung dalam tahun 1984. Semenjak tahun 2004 ia bersidang setiap tahun selama 3 hingga 4 minggu setahun.xv

Perlembagaan Brunei memberi kuasa kepada Sultan untuk membuat pemasyhuran darurat.xvi Pemasyhuran darurat yang dibuat dalam tahun 1962 masih berkuatkuasa sehingga sekarang. Sepanjang pemasyhuran darurat berkuatkuasa, antara lain, Baginda “boleh membuat apa jua Perintah pun yang Baginda fikirkan dikehendaki bagi kepentingan orang ramai.” Perintah-perintah tersebut termasuklah “….. pengubahsuaian, pindaan, penggantian atau penggantungan semua atau mana-mana peruntukan sebarang undang-undang bertulis;”xvii Perintah Kanun Hukuman Jeyah Syariah 2013 adalah salah satu perintah itu.

Perkara 84 Klausa (2) memperuntukkan:

“(2) Tiada sebarang apa pun dalam Perlembagaan ini boleh dianggap mengurangkan hak dan kuasa kedaulatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan dan, bagi mengelakkan kewahaman, maka adalah diisytiharkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan berkuasa untuk membuat undang-undang dan memasyhurkan lagi satu Bahagian atau Bahagian-Bahagian Perlembagaan ini dari masa ke semasa jika difikirkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan elok diperbuat demikian.”

Ini dikuti dengan peruntukan Perkara 84A:

“84B. (1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan tidak pandai berbuat salah sama ada atas sifat peribadi atau rasmi Baginda. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan tidak boleh dibicarakan di dalam mana-mana mahkamah berkaitan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan oleh Baginda dalam masa atau selepas pemerintahan Baginda sama ada atas sifat peribadi atau rasmi Baginda.”

Perkara 84C memperuntukkan:

“84C. (1) Remedi bagi kajian semula kehakiman tiada dan tidak boleh didapati di Negara Brunei Darussalam.”

Bukan itu sahaja, Kalusa 3(d) menjelaskan bahawa tiada guama atau tindakan boleh diambil “berhubung dengan atau berbangkit dari apa-apa perbuatan, keputusan, pemberian, pembatalan atau penggantungan, atau keengganan atau peninggalan daripada berbuat demikian, sebarang perjalanan atau keengganan atau peninggalan daripada menjalankan sebarang kuasa, autoriti atau budibicara yang diberikan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, atau mana-mana pihak yang bertindak bagi pihak Baginda atau dengan titah perkenan Baginda atau dalam melaksanakan sebarang tugas awam, di bawah peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini atau sebarang undang-undang bertulis atau pun selainnya.”

Perkara 85 membolehkan Sultan, “dengan Pemasyhuran, meminda, menambah atau membatalkan sebarang peruntukan Perlembagaan ini termasuk Perkara ini; dan Perlembagaan ini tidak boleh dipinda, ditambah atau dibatalkan dengan cara lain.” Dalam menjalankan kuasa-kuasa itu Baginda “hendaklah berunding dengan Majlis Mesyuarat Di-Raja” tetapi Baginda “tidak terikat untuk bertindak mengikut nasihat Majlis itu.”

Perlu diingati bahawa kuasa-kuasa yang disebut ini terpakai sepanjang masa.

Biasanya tafsiran Perlembagaan adalah tugas Mahkamah. Tetapi, di bawah Perlembagaan Brunei tugas itu diberi kepada Tribunal Tafsiran yang mempunyai tiga orang ahli yang dilantik oleh Baginda dan memegang jawatan selama mereka diperkenankan oleh Baginda.xviii

Apakah yang tidak disebut dalam Perlembagaan Brunei? Beberapa perkara yang amat ketara ialah tidak ada peruntukan-peruntukan yang mengatakan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang utama negara dan mana-mana undang yang tidak selaras dengannya adalah tidak sah. Juga tidak ada peruntuan mengenai kebebasan asasi, pilihanraya, Badan Kehakiman mahupun mahkamah syari’ah.

Kesimpulannya, pertama, sistem politik dan kerajaan di Brunei adalah satu sistem beraja mutlak (absute monarchy). Dalam keadaan biasa pun Sultan mempunyai kuasa mutlak eksekutif dan perundangan. Kuasa Baginda megatasi peruntukan-peruntukan Perlembagaan di samping Baginda boleh meminda Perlembagaan dan juga membuat undang-undang. Dalam keadaan darurat, semenjak tahun 1962 hinggalah sekarang, Baginda boleh membuat undang-undang melalui perintah. Isi kandungan perintah itu boleh bercanggah dengan dan mengatasi mana-mana peruntukan Perlembagaan atau undang-undang.

Kedua, Brunei adalah sebuah negera unitary, bukan sebuah persekutuan dan tiada pembahagian kuasa perundangan di antara persekutuan dan negeri.

Ketiga, tidak ada sekatan keperlembagaan mengenai bidangkuasa mahkamah sivil mahupun mahkamah syariah. Misalnya bidangkuasa mahkamah syariah tidak terhad kepada orang-orang yang manganut agama Islam sahaja. Tidak ada sekatan mengenai jenis kesalahan yang boleh diletak di bawah bidangkuasa mahkamah syariah (misalnya kesalahan berkenaan “precepts of Islam” (suruhan Islam) atau mengenai jenis hukuman yang boleh dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah. Jika ada apa-apa sekatan pun, Sultan boleh tidak memperdulikannya atau menindanya.

Keempat, walapun di Brunei ada beberapa parti politik, parti-parti politik itu tidak memainan apa-apa peranan dalam pemerintahan. Juga, tidak ada gabungan parti-parti politik yang ahli-ahlinya terdiri daripada berbagai-bagai kaum dan agama untuk membentuk kerajaan dan tidak ada pembangkang.

Dalam keadaan itu, tidak ada apa atau sesiapa yang boleh menghalang Sultan jika Baginda hendak membuat sesuatu undang-undang dan melaksanakannya. Dalam keadaan itulah Perintah Kanun Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dibuat.

Sistem kerajaan dan politik di Malaysia

Malaysia adalah sebuah persekutuan. Ada perkara yang terletak dalam bidangkuasa perundangan persekutuan xix, ada yang terletak di bawah bidangkuasa perundangan negeri xx. Perlembagaan adalah undang-undang utama dan mana-mana undang-undang yang tidak selaras dengannya adalah tidak sah.xxi Kuasa kerajaan dibahagi kepada tiga: Eksekutif Perundangan dan Kehakiman. Hakikatnya, di peringkat persekutuan, kuasa eksekutif terletak kepada Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. Mereka adalah terdiri daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang dipilih dalam pilihan raya daripada komponan parti-parti yang menang majoriti dalam pilihan raya umum. (Kecuali beberapa orang yang dilantik daripada ahli Dewan Negara). Mereka bertanggungjawab (answerable) kepada pengundi-pengundi dan pengundi-pengundi boleh menjatukan sesebuah kerajaan melalui undi mereka jika mereka tidak sukakan sesebuah kerajaan. Yang Dipertuan Agong bertindak atas nasihat Jemaah Menteri. Mengikut konvensyen, Baginda mestilah mengikut nasihat Jemaah Menteri melainkan dalam beberapa hal tertentu.

Kuasa perundangan (legislative power) terletak kapada Parlimen yang terdiri daripada Dewan Rakyat, Dewan Negara dan perkenan Yang diPertuan Agong. Pindaan Perlembagaan memerlukan sekurang-kurangmya dua pertiga ahli Parlimen. Selain daripada itu ada perkara yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja. Parlimen persekutuan hanya boleh membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Ia tidak boleh membuat undang-undang bagi perkara-perkara yang terletak dalam bidangkuasa Negeri.

Kuasa kehakiman terletak kepada Badan Kehakiman. Ini termasuk kuasa mentafsir Perlembagaan dan semakan kehakiman (judicial review). Mahkamah berkuasa mengisytihar undang-undang, sama ada yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan Negeri tidak sah jika ia tidak selaras dengan Perlembagaan. Mahkamah juga berkuasa mengisytiharkan sesuatu perinatah, arahan atau tindakan seorang Menteri itu tidak sah memalui semakan kehakiman (judicial review). Ini biasanya dilakukan melalui perintah pengisytiharan (declaration), certiorari dan habeas corpus. Tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang.

Badan Perundangan Negeri hanya boleh membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang terletak dalam Jadual Kesembilan Senarai II (Senarai Negeri). Mahkamah Syari’ah adalah mahkamah negeri. Bidangkuasanya terhad kepada orang Islam sahaja.

Dengan latar belakang itu, kita lihat apa yang dilakukan oleh Brunei.

Cara Brunei melaksanakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

Undang-undang tersebut dibuat melalui Perintah yang dikeluarkan semasa keadaan darurat. Ia dibuat oleh Sultan yang mempunyai kuasa mutlak. Tiada siapa yang boleh menyoalnya. Tiada siapa yang boleh mencabarnya termasuk di mahkamah.

Untuk memahami cara ia akan dilaksanakan, kita perlu melihat secara ringkas akan kesalahan-kesalah berkenaan.

Sebelum ini, kedudukan di Brunei adalah seperti di Malaysia. Kesalahan-kesalahan jenayah dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Malah Penal Code yang dipakai di Brunei adalah Macaulay’s Penal Code yang mulanya di terima pakai di India dan kemudiannya di Pakistan, Sri Lanka, Myanmar, Malaysia, Singapura dan lain-lain tanah jajahan British. Kesalahan-kesalahan seperti membunuh, menyamun, mencuri, merogol dan menyebabkan kecederaan kepada manusia diperuntukkn di dalamnya dengan hukuman yang terdiri dari hukuman mati, penjara, sebatan dan/atau denda.

Lebih kurang sama seperti di Malaysia, kesalahan-kesalahan yang dikenali sebagai “jenayah syariah” diletakkan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syari’ah. Ini kerana Brunei mengambil undang-undang yang dipakai di Mahkamah Syari’ah di Malaysia sebagai contoh dalam penggubalan undang-undangnya. Malah, Brunei juga mengambil undang-undang yang dipakai di mahkamah syariah di Malaysia mengenai acara mal, acara jenayah, keterangan, undang-undang keluarga Islam sebagai contoh untuk membuat undang-undangnya.

Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 membahagikan kesalahan-kesalahan seperti berikut:

Pertama, kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman hudud. Misalannya, curi (sariqah), samun (hirabah), zina (zina), rogol (zina bil-jabar), liwat (liwat), menuduh berzina (qazaf) dan meminum minuman yang memabukkan.

Kedua, kesalahan-Kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman qisas dan diyat. Misalnya, menyebabkan kematian orang lain (qatl) dan menyebabkan kecederaan.

Ketiga, kesalahan-kesalahan am seperti tidak menunaikan sembahayang Jumaat, khalwat dan perbuatan tidak sopan yang membawa hukuman penjada atau denda (ta’zir).

Perintah ini pada amnya dikuatkuasakan terhadap orang Islam dan orang bukan Islam. Misalnya menyebabkan kematian orang lain, curi, samun, rogol dan liwat.

Terdapat kesalahan-kesalahan yang boleh dilakukan oleh orang Islam sahaja seperti meminum minuman yang memabukkan dan zina.

Terdapat kesalahan yang hanya boleh di lakukan oleh orang bukan Islam seperti menghina Nabi oleh orang bukan Islam dan mempermainkan ayat Al-Qur’an atau hadith oleh orang bukan Islam.

Terdapat juga perbuatan yang tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan oleh orang bukan Islam dengan orang bukan Islam. Tetapi ia menjadi kesalahan jika orang bukan Islam melakukannya dengan orang Islam. Misalnya zina.

Kita lihat pula dari perspektif bidangkuasa. Ada kesalahan-kesalahan yang terletak di bawah bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syari’ah. Misalnya, hamil luar nikah, tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak menghormati bulan Ramadhan, khalwat, perbuatan tidak sopan, lelaki berlagak menyerupai perempuan atau sebaliknya, mengamalkan sihir, mengembangkan ugama selain ugama Islam, pemujaan dan menuduh orang Islam sebagai kafir. Kesalahan-kesalahan ini akan dibicarakan oleh Mahkamah Syari’ah sahaja. Ini adalah kesalahan-kesalahan ta’zir yang hukumannya ialah penjara dan/atau denda.

Terdapat kesalahan-kesalahan yang telah diperuntukkan dalam Penal Code semenjak ia mula diterima pakai di Brunei tetapi sekarang diperuntukkan juga dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013. Misalannya seperti curi, samun, rogol, liwat, menyebabkan kematian orang lain dan menyebabkan kecederaan. Akibatnya, bagi kesalahan-kesalahan ini, terdapat peruntukan yang sama atau serupa dalam dua undang-undang yang berbeza dengan cara pembuktian yang berbeza, hukuman yang berbeza, pendakwa yang berbeza malah mahkamah yang berbeza!

Bagaimana kesalahan-kesalahan itu ditangani? Di manakah kesalahan itu dilaporkan, di balai Polis atau di pejabat Penguatkuasa Agama? Siapakah yang akan menyiasat kesalahan tersebut, Polis atau Penguatkuasa Pgama? Siapakah yang akan mendakwa, Pendakwa Raya atau Pendakwa Syar’ie? Mahkamah manakah yang akan membicarakan kes-kes itu, Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syari’ah?

Mengikut penjelasan yang di berikan oleh Awang Haji Mohd. Yusree Hj. Junaidi, Penolong Peguamcara Negara Brunei, kes-kes tersebut akan dilaporkan kepada dan disiasat oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dengan dibantu oleh Unit Penguatkuasa Agama dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lain, jika berkenaan.

Setelah penyiasatan selesai dijalankan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya. Penilaian akan dibuat, dengan dibantu oleh Ketua Pendakwa Syar’ie jika perlu, sama ada terdapat keterangan yang mencukupi bagi pembuktian kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah atau jika suspek ingin membuat pengakuan salah secara iqrar menurut Perintah Keterangan Mahkamah Syariah dan Perintah Kanun Peraturan Jenayah Syariah. Dalam hal yang sedemikian, maka kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Syari’ah dengan pendakwaan di buat oleh Pendakwa Syarie dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya jika perlu. Jika sebaliknya, maka pendakwaan akan diteruskan di bawah Penal Code di Mahkamah Sivil.

Dalam kata-kata lain, walaupun terdapat peruntukan kesalahan dalam dua undang-undang yang berbeza, seseorang itu hanya akan didakwa sekali sahaja, di bawah salah satu undang-undang itu.xxii Masa akan menentukan bagaimana susunan (arrangement) ini berjalan.

Bagaimanakah jika ia hendak dilaksanakan di Malaysia?

Bagaimanakah jika undang-undang seperti yang dibuat di Brunei itu hendak diadakan dan dilaksanakan di Malaysia dalam kerangka perundangan di Malaysia pada masa ini?

Dalam membincangkan isu ini, terlebih dahulu kita perlu mengambil perhatian peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai pembahagian bidangkuasa di antara persekutuan dan negeri. Mengikut Senarail I, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, “criminal law” (undang-undang jenayah) terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan dan Mahkamah Sivil. Sebaliknya “kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri dan Mahkamah Syari’ah.

Kita lihat pula kepada kesalahan-kesalahan tersebut. Kita dapati, di antaranya ada kesalahan-kesalahan yang telah pun wujud dalam Penal Code semenjak tahun 1936 dan berkuatkuasa semasa Perlembagaan Persekutuan digubal. Misalannya ialah kesalahan menyebabkan kematian kepada orang lain, mencuri, merompak, merogol dan menyababkan kecederaan kepada orang lain. Semestinya kata-kata “criminal law” yang digunakan oleh penggubal-penggubal itu merujuk, terutama sekali, kepada kesalahan-kesalahan dalam Penal Code itu. Jika tidak apa lagi yang dipanggil “criminal law” itu? Juga, jika tidak, maka semua perbicaraan kesalahan-kesalahan di bawah Penal Code di Mahkamah Sivil semenjak Merdeka adalah tak keperlembagaan, tak sah dan batal. Itu adalah satu pandangan yang tidak munasabah.

Sebaliknya, di antara kesalahan-kesalahan itu ada juga kesalahan-kesalahan yang tidak terdapat dalam Penal Code, malah telah pun diperuntukkkaan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syari’ah negeri-negeri. Misalannya ialah persetubuhan luar nikah, menuduh seorang berzina dan kesalahan-kesalahan berkaitan dengan minuman yang memabukkan. Bolehlah dihujahkan bahawa kesalahan-kesalahan itu ia bukan “criminal law”.

Jika hukuman-hukuman hudud dan qisas hendak dikenakan bagi kesalahan-kesalahan jenayah Persekutuan, ia hanya boleh dilakukan sebagai undang-undang persekutuan, ia itu, sebagai undang-undang jenayah dan bukan “kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada apa-apa halangan keperlembagaan bagi melakukan sedemikian. Parliament boleh memilih apa-apa hukuman kepada apa-apa kesalahan jenayah, termasuk hukuman mengikut Syari’ah. Dengan cara itu, penguatkuasaannya boleh meliputi orang Islam dan bukan Islam. Sebagai undang-undang jenayah ia terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil. Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa ke atas orang Islam dan bukan Islam. Untuk Parlimen Malaysia membuat undang-undang seperti itu, tidak ada pindaan keperlembagaan yang perlu dibuat dan rang undang-undang itu hanya perlu diluluskan dengan majority mudah. Keadaan ini bolehlah dibandingkan dengan undang-undang mengenai perbankan dan kewangan Islam dan takaful.

Perlu ditekankan di sini, undang-undang jenayah Persekutuan itu mestilah terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam kerana ia adalah undang-undang jenayah dan bukannya undang-undang peribadi dan kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Jika ia hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, ia akan bercanggah dengan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana itu adalah satu diskriminasi atas alasan agama dan oleh itu tak keperlembagaan, tak sah dan batal.xxiii

Bagaimana dengan kesalahan-kesalahan yang tidak terdapat dalam Penal Code atau mana-mana undang-undang Persekutuan, malah telah pun diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri seperti yang saya telah sebutkan tadi? Bagi kesalahan-kesalahan itu, bolehlah dihujahkan bahawa ia bukan “criminal law”. Bagi saya ia boleh dijadikan undang-undang Negeri. Tetapi, untuk memakai hukuman hudud kepadanya, ada halangannya, bukan halangan keperlembagaan tetapi halangan undang-undang Persekutuanxxiv yang menghadkan hukuman yang boleh di peruntukkan untuk dijadikan undang-undang Negeri dan diberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syari’ah. Jika Kerajaan Persekutuan sanggup meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 untuk membolehkan Badan Perundangan Negeri mengenakan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan itu, Badan Perundangan Negeri bolehlah membuat undang-undang itu. Sebagai undang-undang Negeri di bawah Senarai II, Jadual Kesembilan ia hanya terpakai kepada orang-orang Islam dan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syari’ah. Tidak ada isu keperlembagaan di sini.

Jika dilakukan demikian, maka akan wujudlah suatu keadaan di mana beberpa kesalahan hudud dan qisas menjadi undang-undang jenayah Persekutuan yang terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam dan dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Di samping itu akan ada pula beberapa kesalahan hudud yang menjadi undang-undang Negeri yang hanya terpakai kepada orang-orang Islam dan dibicarakan oleh Mahkamah Syari’ah. Wajarkah kita mempunyai undang-undang seperti itu? Saya serahkan kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk menjawab sendiri.

Kebanyakan orang menyangka, oleh kerana kesalahan-kesalahan itu adalah kesalahan hudud dan qisas mengikut Hukum Syarak dan oleh kerana agama Islam terletak di bawah bidangkuasa Negeri, maka Badan Perundangan Negrei boleh membuat undang-undang sedemikian. Paling tinggi, anggapan itu hanya separuh betul. Di Malaysia, apa-apa undang-undang yang hendak dibuat mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang saya telah sebut tadi, ada di antara kesalahan-kesalahan itu yang terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan dan Mahkamah Sivil. Jika kesalahan-kesalahan itu dijadikan kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang Negeri ia adalah tak keperlembagaan, tak sah dan batal.

Jika ia dilakukan juga oleh Badan Perundangan Negeri, pemakaiannya tidak boleh meliputi orang bukan Islam. Sebabnya ialah, Perlembagaan hanya memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang yang terpakai kepada orang-orang yang manganut agama Islam sahaja. Maka jika Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang menjadikan kesalahan-kesalahan itu terpakai juga kepada orang bukan Islam, undang-undang itu tak keperlembagan, tak sah dan batal. Mahkamah Syari’ah juga tidak mempunyai bidangkuasa terhadap orang bukan Islam. Jika Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang memberi kuasa kepada Mahkamah Syari’ah untuk membicarakan orang bukan Islam, undang-undang itu juga tak keperlembagaan, tak sah dan batal.

Kerapkali kita dengar orang berkata bahawa kesalahan-kesalahan itu hanya akan terpakai kepada orang Islam sahaja. Ini pun separuh betul. Sebabnya ialah, pertama, bagi kesalahan-kesalahan jenayah Persekutuan, kesalahan-kesalahan itu bukanlah undang-undang peribadi (personal law) atau kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah undang-undang awam. Kesalahan itu adalah kesalahan terhadap Negara (di England, Raja) bukan hanya terhadap mangsanya. Sebab itulah Pendakwa Raya yang mendakwa, bagi pihak Negara.

Kedua, seperti yang saya telah katakan tadi, undang-undang yang mengenakan hukuman hudud dan qisas bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan itu kepada orang Islam sahaja adalah bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan, oleh itu tak keperlembagaan, tak sah dan batal.

Ketiga, adilkah jika seorang Islam mencuri harta seorang bukan Islam dia dikenakan hukuman hudud (potong tangan) manakala seorang bukan Islam mencuri harta seorang Islam dia hanya boleh dikenakan hukuman penjara dan denda? Sebab itulah dalam undang-undang yang dibuat di Brunei itu, kesalahan-kesalahan menyebabkan kematian orang lain, menyebabkan kecederaan, mencuri dan menyamun misalnya terpakai kepada semua orang, Islam dan bukan Islam.

Satu perkara lagi yang perlu disebut ialah, sekurang-kurangnya terdapat satu kesalahan yang tidak boleh diperuntukkan baik di dalam undang-undang Persekutuan mahupun undang-undng Negeri kerana ia akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Kesalahan itu ialah irtidad atau seorang Islam mengisytiharkan dirinya bukan Islam. Dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 (Brunei), kesalahan itu membawa hukuman mati.xxv Di Malaysia, peruntukan seperti itu semestinya bercanggah dengan peruntukan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.xxvi Brunei tiada halangan keperlembagaan untuk memperuntukkan kesalahan seperti itu kerana ia tidak ada peruntukan seperti Perkara 11 dalam Perlembagaannya. Malah, jika ada pun, ia boleh tidak diperdulikan atau dipinda oleh Sultan.

Penutup

Saya berpendapat bahawa tidak kira undang-undang apa, walau betapa baiknya sekali pun, jika ia dilaksanakan tanpa persediaan yang rapi dan sesuai dengan keadaan semasa atau dilaksanakan dengan cara yang tidak betul, cekap dan jujur, ia boleh membawa kepada ketidakadilan. Oleh itu pelaksanaan sesuatu undang-undang itu mestilah dilakukan dengan berhati-hati dan dengan cara yang betul dan berhemah. Niat yang baik sahaja tidak memadai. Persediaan teknikal, kepakaran dan disiplin adalah antara factor yang akan menjadi penentu kejayaannya. Peristiwa perang Uhud adalah satu misalan yang baik: niatnya baik tetapi displin pemanah kurang. Mereka meninggalkan kedudukan masing-masing untuk berebut harta rampasan perang. Itu membolehkan Khalid Ibn Walid menyusun barisannya semula dan menyerang dari arah yang bertentangan. Akibatnya, tentera Islam yang dipimpin oleh Rasul Allah s.a.w sendiri pun kalah. Sunnah Allah berlaku jua biar bertapa baik niatnya sekalipun. Dalam kata-kata lain. kita perlu meletakkan sesuatu perkara itu dengan betul untuk mendapat hasil yang dikehendaki. Ianya semudah itu.

Pelaksanaan sesuatu undang-undang bukanlah tamat dengan penguatkuasaannya. Lebih penting ialah bagaimana pelaksanaan itu berjalan, apa kesan dan akibatnya, adakah ia membawa kepada keadaan masyarakat yang lebih aman dan tenteram dan adakah ia meningkatkan tahap keadilan di sesebuah negara itu?

Matlamat undang-undang jenayah bukanlah untuk mengenakan hukuman termasuklah sesuatu jenis hukuman tertentu. Matlamat undang-undang jenayah adalah untuk menegah perbuatan yang terlarang sambil mewujudkan ketenteraman awam dan melaksanakan keadilan jika berlaku pelanggaran terhadapnya. Hukuman adalah alat untuk mencapai matlamat tersebut. Alat bukannya matlamat. Maka, bagaimana alat itu digunakan perlu diambil kira. Hasilnya akan menjadi pengukur kejayaannya atau sebaliknya.

Dari apa yang kita baca mengenai apa yang berlaku di Pakistan, Nigeria dan Sudan, nampaknya pelaksanaan undang-undang itu masih belum boleh dikatakan berjalan dengan licin dan meningkatkan keadilan. Kita baca mengenai ketidak adilan kepada wanita-wanita mangsa rogol yang berakhir dengan dihukum kerana kesalahan zina, sebab mereka tidak dapat mengemukakan saksi-saksi secukupnya dan mereka mengandung.

Di Pakistan, tuduhan itu ditolak oleh Taqi Usmani, bekas Hakim Mahkamah Syari’ah Persekutuan Pakistan dan Hakim Mahkamah Agung Pakistan (Bahagian Rayuan Syari’ah) sambil mengatakan bahawa, semasa beliau menjadi Hakim, beliau tidak pernah menemui satu kes pun di mana seorang perempuan yang melaporkan dia dirogol berakhir dengan dihukum kerana berzina.xxvii Kita terima kenyataannya, tetapi bagaimana dengan kes-kes yang tidak pergi kepadanya, terutama sekali di kawasan pedalaman? Kita tidak tahu hakikat yang sebenar. Apa yang kita pasti ialah, setelah “berlaku tunjuk perasaan setiap hari” kesalahan rogol dikeluarkan daripada Hudud Ordinance dan dimasukkan semula ke dalam Penal Code dan dibicarakan oleh Mahkamah Sivil semula sehinggalah sekarang. Di sini saya memetik kata-kata Dr. Anwarul Haq, seorang rakyat Pakistan yang berkhidmat dengan Kerajaan Brunei selama kira-kira tiga puluh tahun, antara lain, untuk menggubal Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah 2013 yang kita sedang bincangkan ini. Soalan: Mengapa “berlaku tunjuk perasaan setiap hari” dan mengapa kesalahan rogol sahaja yang dikeluarkan daripada Hudud Ordinance dan dimasukkan semula ke dalam Penal Code? Semestinya tunjuk perasaan itu berkaitan dengan kesalahan rogol. Apa sebabnya?

Mengenai Nigeria, saya bertanya Hakim Ibrahim Bukar, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi, Wilayah Persekutuan, Abuja, Nigeria mengenai pegalaman Nigeria. Dalam jawapannya kepada saya melalui email pada 10 Disember 2013, beliau berkata dan saya petik sepenuhnya dengan terjemahan saya sendiri:

“Memang betul sistem perundangan syariah telah diperkenalkan di lebih kurang 10 buah negeri di bahagian utara Nigeria. Sebagaimana yang tuan sedia maklum Nigeria adalah sebuah Persekutuan yang terdiri daripada 36 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan. Sistem itu telah diperkenalkan di negeri-negeri itu secara tergesa-gesa dan lebih kerana keuntungan politik daripada pentingannya dan keperluannya. Tambahan lagi, idea itu timbul di negeri-negeri itu dan diperkenalkan tanpa rundingan dan pandangan Kerajaan Persekutuan. Di Nigeria, Jabatan Polis, Jabatan Penjara dan undang-undang keterangan terletak di bawah senarai bidangkuasa eksklusif Kerajaan Persekutuan. Tanpa “peralatan” itu, keadilan jenayah tidak boleh ditadbirkan dengan berkesan. Keadaan ini telah memberi kesan kepada innovasi itu. Kedua, kegagalan kerajaan untuk melakukan orientasi kepada anggota masyarakat yang terlibat dan membolehkan masyarakat bukan Islam di kawasan itu menghargai (appreciate) bahawa sistem itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja menyebabkan sistem itu ditentang. Kebanyakan pengamal undang-undang tidak mahir dalam syariah. Ini juga adalah satu faktor yang menghalang kejayaan pelaksanaannya. Kesimpulannya, pengenalan keadilan jenyah syariah, disebabkan oleh faktor-faktor ini dan lain-lain, tidaklah boleh dikatakan satu usaha yang berjaya. Malah, di kebelakangan ini, kita tidak langsung mendengar hukuman hudud dikenakan. Kebanyakan, jika tidak semua, hukuman yang telah dijatuhkan telah dibuat rayuan. Dalam keadaan itu, jawapan saya kepada soalan tuan ialah pelaksanaan hudud tidak atau masih belum diterima sepenuhnya.”xxviii

Lebih kurang sepuluh tahun dahulu, di satu persidangan di IKIM, Prof. Dr. Ibraheem Sulaiman daripada Centre of Islamic Studies, Ahmadu Bello University, Nigeria, antara lain, mengatakan bahawa pelaksanaan Syari’ah di Nigeria berlaku dengan cara mengejut dan tergesa-gesa.

Dalam satu rencana bertajuk “Enforcement of Hudood Punishments under Islamic Law in Nigeria: Implications for a Plural Legal System” yang ditulis oleh Aminu Adamu Bello dari Faculty of Law, University of Abuja, Nigeria, penulis itu merumuskan bahawa “….. data tidak menyokong kenyataan bahawa pelaksanaan hukuman hudud mempunyai apa-apa kesan ke atas kelakuan anti-sosial, terutama sekali rompakan bersenjata (hibara) di negeri-negeri itu.” (Terjemahan saya”).xxix

Mengikut rencana itu, “Setakat ini terdapat tidak kurang daripada 23 orang yang sedang menunggu hukuman potong tangan dan rejam di Negeri Bauchi sahaja. Banyak daripada mereka telah berada dalam penjara lebih kurang tujuh tahun tanpa pegesahan (“ratification”) atau sebaliknya terhadap hukuman mereka oleh kerajaan negeri.”(Terjemahan saya)xxx

Mengapa kerajaan negeri tidak mengesahkan hukuman-hukuman itu? Jawapannya, “……Gavnor-Gavnor itu mengatakan bahawa mereka tidak dapat mengesahkan hukuman-hukuman itu kerana hakim-hakim Mahkamah Syari’ah telah menjatuhkan hukuman-hukuman itu dengan tergsa-tergesa tanpa mamatuhi proses perundangan.’” (Terjemahan saya).xxxi

Malah, penulis rencana itu mencadangkan supaya pelaksanaan hukuman hudud dI negeri-negeri berkenaan di gantungkan.

Bagaimana dengan Sudan? Saya cuba mendapat, termasuk melalui rakan-rakan akademik, orang-orang yang mempunyai maklumat terus mengenai keadaan di Sudan untuk mejelaskan kepada kita keadaan sebenar di Sudan tetapi tidak berjaya. Saya tidak tahu mengapa. Apa yang kita baca dan lihat di internet amatlah membimbangkan. Tetapi, untuk berlaku adil, kita tidak tahu hal yang sebenar. Maka saya hanya akan memetik dua kenyatan ini.

Pertama, saya pernah membaca satu rencana (memanglah saya tidak dapat mencarinya sekarang) yang mangatakan bahawa, atas sebab-sebab politik, suatu malam, Presiden Jaafar Nameiri muncul di talivesyen dan mengisytiharkan bahawa mulai jam 12.00 malam itu Syari’ah akan dilaksanakan sepenuhnya di Sudan. Esoknya semua aktiviti perundngan terhenti. Polis tidak tahu yang hendak dibuat, pendakwa tidak tahu apa yang hendak dibuat, peguam tidak tahu apa yang hendak dibuat dan mahkamah juga tidak tahu apa yang hendak dibuat. Peguam-peguam berlari ke kedai-kedai buku mencari apa-apa buku yang ada mengenai Syari’ah.

Kedua, kita juga membaca bahawa, dalam bulan Mac 2013, Timbalan Hakim Besar Sudan, Abdul Rahman Sharfi membuat satu pengumuman bahawa jika doctor-doktor enggan memotong tangan penjenayah yang disabitkan oleh mahkamah, kerajaan akan melatih Hakim-Hakim untuk melakukannya sendiri! Malah beliau juga mencadangkan supaya doktor-doktor yang enggan melaksanakan hukuman itu didakwa.

Kita tidak boleh menjadikan apa yang kita lihat di Makkah dan Madinah sebagai ukuran. Orang-orang yang pergi ke sana adalah orang-orang yang hendak mengerjakan ibadat haji, kebanyakannya mungkin hanya sekali seumur hidup, membawa wang yang cukup yang mungkin disimpan seumur hidup, berhasrat mendapat haji yang mabrur dan kebanyakannya sudah lanjut usia dan sudah bertaubat. Semestinyalah mereka tidak akan melakukan kesalahan-kesalahan jenayah. Sebaliknya, tidakkah peraturan bahawa perempuan mesti diiringi oleh mahramnya (lelaki) dan hakikat bahawa hingga ke hari ini perempuan di Saudi Arabia tidak dibenarkan memandu kereta mempunyai kaitannya dengan keselamatan diri mereka?

Kita belum boleh membuat penilaian mengenai pelaksanaan undang-undang itu di Brunei kerana ia belum dilaksanakan. Mungkin dalam tempoh tiga atau lima tahun lagi kita boleh melihat bagaimana pelaksanaannya sebenarnya berjalan dan kesannya. Adakah ia meningkatkan tahap pencapaian keadilan? Adakah ia mengurangkan kadar jenayah seperti yang diharapkan? Adakah Negara Brunei Darussalam, yang sudah pun aman tenteram itu, akan menjadi lebih aman dan tenteram? Setakat ini negara-negara yang melaksanakan hukuman hudud, seperti Pakistan, Nigeria dan Sudan nampaknya masih jauh di belakang berbanding dengan negara-negara yang tidak melaksanakan hukuman hadd seperti Sweden, Norway, Iceland, Denmark dan Jepun dalam hal ini. Mungkin ada factor-faktor lain.

Cabaran paling besar kepada Brunei ialah bagaimana Pegawai-Pegawai Penyiasat Syari’ah, Pegawai-Pegawai Pendakwa Syari’ah dan Hakim-Hakim Syari’ah akan menjalankan tugas-tugas mereka dalam menyiasat, mendakwa dan membicarakan kes-kes itu, sekurang-kurangnya di peringkat awal. Selama ini, pengalaman mereka hanya terhad kepada kes-kes jenayah kecil seperti khalwat. Apabila undang-undang itu dilaksanakan, tiba-tiba mereka akan terpaksa menangani kes-kes yang lebih rumit eperti menyebabkan kematian, rogol dan menyebabkan kecederaan yang juga akan melibatkan penerimaan keterangan saintifik melainkan jika mereka hanya akan menunggu orang yang disyakki membuat pengakuan melalui iqrar, yang tidak mungkin berlaku. Adakah mereka boleh menangani penambahan bilangan kes yang mendadak? Berbeza dengan kes-kes khalwat yang biasanya berakhir dengan tertuduh mengaku salah, disebabkan oleh hukuman yang berat, kes-kes ini akan ditentang bersungguh-sungguh atas segala alasan yang boleh difikirkan, antaranya ada yang asing kepada Hakim-Hakim Syari’ah itu. Kita di dalam profesyen perundangan menunggu untuk membaca penghakiman Hakim-Hakim Syari’ah itu dalam bidang baharu mereka. Penghakiman-penghakiman itu akan mencerminkan mutu pentadbiran keadilan yang mereka lakukan.

Mungkin Brunei akan membuktikan sesuatu kelak. Kita tunggu dan lihat. Sekurang-kurangnya di Brunei ada satu perbezaan. Di Brunei pelaksanaannya bukanlah kerana survival politik atau untuk memenangi pilihanraya yang terdekat. Kerja-kerja ke arahnya telah berjalan kira-kira tiga puluh tahun dan masih belum selesai. Kita tahu bahawa mereka telah berusaha melakukan sehabis baik yang mereka boleh lakukan dengan jujur dan telah menghasilhan suatu model yang mereka percaya bersesuaian dengan keadaan di Brunei. Kita do’akan kejayaan mereka.

Mengenai Malaysia, saya telah meletakkan faktanya di hadapan tuan-tuan dan puan-puan. Saya serahkan kepada tuan-tuan dan puan-puan dan pihak-pihak berkuasa berkenaan untuk menimbang dan membuat keputusan masing-masing. Dalam berbuat demikian, adalah penting bahawa kita mengambil kira semua faktor yang berkenaan dan jika kita mebuat keputusan untuk melakukannya, eloklah ia dilakukan dengan betul dan cekap, bukan sahaja dengan niat yang baik.

Terima kasih.


NOTA

i Versi ini diubahsuai daripada versi Bahasa Melayu yang disampaikan pada 7 Januari 2014.
ii Saya menggunakan perkataan “hudud” sebagai perkataan Bahasa Melayu tanpa mengira dalam konteks “singular” atau “plural”.
iii Perkara 3 Perlembagaan Brunei
iv Perkara 4 Perlembagaan Brunei
v Perkara 5 Perlembagaan Brunei
vi Perkara 6 Perlembagaan Brunei
vii Perkara 10 Perlembagaan Brunei
viii Perkara 11 Perlembagaan Brunei
ix Perkara 12 Perlembagaan Brunei
x Perkara 19A Perlembagaan Brunei
xi Perkara 18 Perlembagaan Brunei
xii Perkara 19 Perlembagaan Brunei
xiii Perkara 23 Perlembagaan Brunei
xiv Perkara 31 Perlembagaan Brunei
xv Saya terhutang budi kepada Awang Haji Mohd. Yusree Hj. Junaidi, Penolong Peguamcara Negara Brunei kerana memberikan maklumat ini kepada saya.
xvi Perkara 83 Perlembagaan Brunei
xvii Perkara 83(4)(l) Perlembagaan Brunei
xviii Perkara 86 Perlembagaan Brunei
xix Jadual Kesembilan Senarai I Perlembagaan Persekutuan
xx Jadual Kesembilan Senarai II Perlembagaan Persekutuan
xxi Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan
xxii Seksyen 252 PKHJS 2013
xxiii Perkara 8(2). Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang……
xxiv Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965
xxv Seksyen 112 PKHJS 2013
xxvi 11. (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
xxvii The Islamization of Laws in Pakistan: The Case of Hudud Ordinances
xxviii “It is true that sharia legal system has been introduced in about 10 states in the northern part of the country. As you know Nigeria is a federation made up of 36 states and a federal capital Territory. The system was introduced in those states rather hastily and more for political gains than for its importance or the need for it. Added to that, the idea was conceived by the states and introduced in their respective territories without consultation or input from the federal government. In Nigeria, the police force, the prison and the law of evidence are under the exclusive legislative list; thus they are under the Federal Government. Without these apparatus, criminal justice cannot be effectively administered. That fact has affected the innovation. Secondly, the failure of Government to conduct proper orientation of the society to understand its scope and the necessity to make the non Muslim community within their territory to appreciate that the system apply only to Muslims has caused the system to be resisted. Most legal practitioners are not versed in sharia. That too is a minus to its successful take off. On the whole therefore, the sharia criminal justice is, because of these factors and more, cannot be said to be a successful venture. I fact, in recent times, one doesn’t hear hudud applied on citizens. Most if not all of those that were pronounced have attracted appeals. Under the circumstance, my take to your questions is that, application of hudud is not, at least has not yet been fully accepted.”
xxiv “…..data do not support an assertion that the enforcement of hudood penalties has had any effect on the nature of antisocial behaviour, especially armed robbery (hiraba), in these states.” Saya terhutang budi kepada Tasleem O.I. Akosile, seorang peguam dari Abuja, Nigeria yang mendapatkan rencana ini untuk saya.
xxx “So far, no fewer than 23 persons are currently awaiting amputation and death by stoning in Bauchi State alone. Many of the convicts have remained in prison for about seven years without the ratification or otherwise of their sentences by the state government”.
xxxi “…..these Governors have alleged that their inability to ratify the sentences was because the Shari’a Court judges ‘hurriedly [passed] such sentences without following due legal process.’”

2,414 visits