HAK ASASI MANUSIA DARI PERSPEKTIF ISLAM DAN PERLEMBAGAAN

FORUM KEBANGSAAN HAK ASASI KEMANUSIAAN BAHAGIAN SABAH
Kota Kinabalu
14 Oktober 2014

HAK ASASI MANUSIA DARI PERSPEKTIF TRADISI ISLAM DAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA (KOTA KINABALU)
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 


Apakah yang dimaksudkan dengan kata-kata “hak asasi manusia”? Saya tidak akan mencuba memberi takrifannya. Sebaliknya, saya akan merujuk kepada Universal Declaration of Human Rights (UDHR) yang diluluskan oleh United Nations General Assembly pada 10 Disember 1948. Sebagai perbandingnan saya akan merujuk kapada The Cairo Declaration on Human Rights in Islam (“Deklarasi Kaherah”) yang diterima pakai (adopted) dan dikeluarkan oleh anggota-anggota Organisation of the Islamic Conference (OIC) di Persidangan Kesembilan Belas Menteri-Menteri Luar Negara-Negara Islam di Kahirah pada 5 Ogos 1990. Saya akan merujuk kepada ASEAN Human Rights Declaration (Deklarasi ASEAN). Selepas itu saya akan melihat peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak asasi manusia. Kemudian, saya akan cuba bincang mengenai peranan dan kesan peruntukan-peruntukan itu kepada undang-undang negara dan kedudukan hak asasi manusia khususnya di Malaysia.

UDHR berbangkit daripada pengalaman Perang Dunia Kedua. Ia disifatkan sebagai statement pertama hak asasi manusia secara global. UDHR diterima oleh United Nations General Assembly pada 10 Disember 1948 dengan 48 buah negara menyokong, termasuk Afghanistan, Iran, Pakistan dan Turki. Tetapi 8 buah negara yang terdiri daripada Blok USSR dan Saudi Arabia menentang. Yemen tidak hadir untuk mengundi. Pakistan tidak bersetuju dengan pendirian Saudi Arabia dan mengkeritik pendirian Saudi Arabia.

Dalam tahun 1982, wakil Iran di Bangsa-Bangsa Bersatu, Said Rajaie-Khorassani, mengatakan bahawa UDHR adalah satu kefahaman sekular tradisi Judeo-Kristian. (“a secular understanding of the Judeo-Christian tradition”) yang tidak boleh dilaksanakan oleh orang Islam tanpa melanggar undang-undang Islam. Pada 30 Jun 2000, negara-negara Islam yang menjadi ahli OIC bersetuju menyokong Deklarasi Kaherah. Deklarasi itu memberi gambaran menyeluruh perspektif Islam mengenai hak asasi manusia dan mengesahkan Syari’ah sebagai sumbernya yang tunggal. Ia mengisytiharkan tujuannya sebagai garispanduan umum bagi anggota-anggta OIC dalam bidang hak asasi manusia. Deklarasi Kaherah biasanya dilihat sebagai response negara-negara Islam kepada UDHR.

Deklarasi Kaherah melihat persoalan hak asasi manusia daripada sudut hubungan manusia dengan Allah s.w.t. manakala UDHR mengambil pendekatan keduniaan dan sekular. Ini kerana, mengikut Islam sovereignty adalah milik Allah s.w.t. Sebaliknya, mengikut fahaman demokrasi sekular moden Barat, the people adalah dianggap sebagai pemerintah agung (supreme ruler). Mengikut Islam hak asasi adalah kurniaan Allah s.w.t. dan ia adalah suatu yang sacret, tidak boleh dipertikaikan, universal dan kekal. Sebaliknya, orang-orang Barat menganggap bahawa mereka telah memperolehi hak-hak mereka daripada pemerintah mereka setelah perjuangan yang panjang.

Pada bulan November 2012, negara-negara ASEAN yang bersidang di Phnom Penh, sebulat suara menerima pakai (adopted) Deklarasi ASEAN.

Untuk melihat isi kandungannya, saya akan cuba senaraikan hak-hak asasi yang disebut dalam UDHR dengan seberapa ringkas.

Perkara 3: Hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan diri.

Perkara 4. Hak bebas daripada perhambaan.

Perkara 5. Hak bebas daripada dikenakan seksaan atau layanan kejam atau tidak berperikemanusiaan.

Perkara 6: Hak diiktiraf sebagai seorang di sisi undang-undang.

Perkara 7: Hak persamaan di sisi undang-undang.

Perkara 8: Hak mendapat remedi terhadap pelanggaran hak asasi yang diberi kepadanya oleh perlembagaan dan undang-undang.

Perkara 9: Hak tidak boleh dikenakan tangkapan, penahanan atau buangan sewenang-wenangnya.

Perkara 10. Hak mendapat pembicaraan yang adil dan terbuka oleh tribunal bebas dan saksama.

Perkara 11: Hak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah mengikut undang-undang di dalam perbicaraan terbuka dan hak tidak boleh disabitkan atas suatu kesalahan kerana sebarang tindakan atau ketinggalan yang tidak merupakan suatu kesalahan jenayah pada masa ianya dilakukan atau dikenakan penalti lebih berat daripada yang terpakai ketika kesalahan itu dilakukan.

Perkara 12. Kebebasan daripada gangguan sewenang-wenangnya dalam hal-hal pribadi, keluarga, rumahtangga atau surat-menyuratnya, atau percerobohan ke atas maruah dan nama baiknya.

Perkara 13. Kebebasan bergerak dan bermastautin di sesebuah negara.

Perkara 14. Kebebasan menikmati perlindungan dari penganiayaan di negara-negara lain.
.
Perkara 15. Hak kewarganegaraan dan ianya tidak boleh dilucut sewenang-wenangnya.

Perkara 16. Lelaki dan perempuan berhak berkahwin dan mempunyai keluarga. Mereka mempunyai hak yang samarata berhubung dengan perkahwinan. Perkahwinan hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan mereka. Keluarga adalah unit kumpulan semulajadi dan asasi dalam masyarakat dan adalah berhak kepada perlindungan oleh masyarakat dan Negara.

Perkara 17. Hak memiliki harta dan tiada sesiapa pun boleh dilucutkan hartabendanya sewenang-wenangnya.

Perkara 18. Kebebasan berfikir, conscience dan beragama termasuk kebebasan menukar agama atau kepercayaannya, dan kebebasan menganuti agama atau kepercayaannya.

Perkara 19. Hak kebebasan mengeluarkan buah fikiran.

Perkara 20: Hak kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan.

Perkara 21. Hak untuk mengambil bahagian dalam kerajaan negaranya; peluang samarata dalam perkhidmatan awam di negaranya; pilihanraya hendaklah diadakan.

Perkara 22. Hak kepada keselamatan sosial (social security).

Perkara 23. Hak kepada pekerjaan, hak kepada penggajian yang sama bagi kerja yang sama dan hak menubuh dan menjadi ahli kesatuan sekerja bagi memperlindungi kepentingan-kepentingannya.

Perkara 24 . Hak mempunyai masa dan masa lapang, termasuk had masa kerja yang munasabah dan cuti bergaji yang berkala.

Perkara 25. Hak mendapat taraf hidup yang sesuai bagi kesihatan dan kebajikan diri dan keluarganya, termasuklah makanan, pakaian, perumahan dan perubatan penjagaan dan perkhidmatan sosial yang perlu, dan berhak kepada perlindungan ketika semasa keuzuran dan lain-lain. Ibu dan anak berhak kepada jagaan serta bantuan khas. Semua kanak-kanak, samada dilahirkan di dalam maupun di luar nikah, hendaklah menikmati perlindungan sosial yang sama.

Kebanyakan peruntukan dalam UDHR itu terdapat dalam Deklarasi Kaherah, Deklarasi ASEAN dan Perlembagaan Persekutuan. Tetapi, jika ada peruntukan mengenai perkara yang sama pun, peruntukannya tidaklah semestinya betul-betul sama. Ada pula perkara yang terdapat dalam satu atau beberapa dokumen itu, tetapi tidak terdapat dalam yang lainnya, dan sebaliknya. Sebagai misalan, UDHR mempunyai peruntukan mengenai hak mendapat keselamatan sosial dan waktu rehat dan masa lapang termasuk cuti bergaji. Deklarasi Kaherah dan Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut hak itu secara spesifik. Tetapi di Malaysia, ia diperuntukkan dalam undang-undang. Kita ada sekim pencen, KWSP, SOCSO dan lain-lain. Dari segi cuti, tidak ada negara dalam dunia ini yang mempunyai lebih banyak cuti awam daripada Malaysia, termasuklah pada hari perayaan setiap agama yang ada di Malaysia.

UDHR tidak menyebut berkenaan penjajahan. Tetapi Deklarasi Kaherah dengan tegas memperuntukkan:

“Colonialism of all types being one of the most evil forms of enslavement is totally prohibited……” – Perkara 11(b).

Ini pengaruh sejarah. Negara-negara Barat yang mempelopori UDHR adalah negara-negara yang terlibat dalam penjajahan yang berleluasa di beberapa abad di kebelakangan ini. Malah, hingga ke hari ini pun ia masih berlaku, walaupun dalam bentuk dan atas alasan yang berlainan, termasuk yang sengaja diada-adakan.

Perkara 14 Deklarasi Kaherah adalah menarik. Ia, antara ialn, memperuntukkn:

“Usury (riba) is absolutely prohibited.” (Riba adalah di tegah sama sekali.)

Tidak ada peruntukan seperti itu dalam UDHR, Deklarasi ASEAN, mahu pun Perlembagaan Persekutuan. Sebabnya boleh difahami. Asas perbankan dan kewangan Barat adalah riba. Jika peruntukan seperti dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam tahun 1957, semua bank terpaksa ditutup sebab pada masa itu belum pun ada institusi-institusi kewangan Islam. Demikian juga di negara-negara Islam lain dan negara-negara ASEAN lain. Namun demikian, pada hari ini, Malaysia berada di hadapan sekali dalam pembangunan kewangan Islam walaupun kewangan konvensional masih juga diamalkan. Buat masa ini, itu adalah suatu keadaan yang tidak dapat dielak.

Deklarasi ASEAN mengesahkan (affirms) semua hak sivil dan politik yang tersebut dalam UDHR (Perkara 10). Ada pula perkara yang ia pergi lebih jauh daripada UDHR seperti memperuntukkan hak untuk mendapat air minuman yang selamat dan bersih (Perkara 28). Ini mungkin berbangkit daripada wujudnya negara-negara ASEAN yang berkongsi sungai seperti Sungai Mekong dan Singapura yang bergantung kepada Malaysia untuk mendapat air minuman.

Deklarasi ASEAN juga mempunyai peruntukan-peruntukan yang dikatakan boleh melemahkan hak asasi manusia, oleh sesetengah pihak, seperti: “……… the realisation of human rights must be considered in the regional and national context bearing in mind different political, economic, legal, social, cultural, historical and religious backgrounds.” – Perkara 7.

Untuk tujuan forum ini, rumusan berikut bolehlah dibuat mengenai dokumen-dokumen itu:

  • UDHR melihat hak asasi manusia dari sudut pandangan Barat, selepas Perang Dunia Kedua, semasa kuasa-kuasa Barat menjadi penjajah di seluruh dunia. Penyertaan negara-negara Asia dan Afrika amat terbatas kerana kebanyakannya sama ada masih dijajah dan tidak berpeluang mengambil bahagian atau terlalu lemah untuk memberi apa-apa impak.
  • Deklarasi Kaherah melihat hak asasi manusia dari sudut pandangan negara-negara Islam yang kebanyakannya baru terlepas daripada belenggu penjajahan, sedang mencari identiti sendiri dan cuba berdiri di atas kaki sendiri.
  • Deklarasi ASEAN melihat hak asasi manusia mengikut kesesuian di negara-negara ASEAN.
  • Perlembagaan Persekutuan melihat hak asasi manusia dari sudut sebuah negara yang baru terlepas daripada belenggu penjajahan selama lebih daripada empat abad (dikira daripada kejatuhan Melaka) yang membawa kebanjiran pendatang bersama-sama bahasa, budaya dan agama mereka yang hampir menenggelamkan penduduk asal di bumi sendiri, yang terpaksa pula berkongsi kuasa dengan pendatang itu, selepas Merdeka. Sebab itu Perlembagaan Persekutuan mempunyai beberapa peruntukan untuk menyelamatkan keadaan seperti Perkara 153, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dan pemakaian Syari’ah dalam undang-undang keluarga bagi orang-orang Islam. (Peruntukan Perkara 153 kerapkali disebut sebagai “hak keistimewaan orang Melayu” pada hal tajuk sebenarnya ialah “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.” Peruntukan yang serupa pun terdapat dalam Perlembagaan India – Perkara 16). Di samping itu hampir semua hak-hak asasi utama yang disebut dalam UDHR terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun dengan pengecualian-pengecualian dan pengubah-suaian yang perlu. Ini tidak dapat dielakkan. Perlembagaan Malaysia mestilah sesuai dengan keadaan, keperluan dan aspirasi Malaysia. Hal yang sama terdapat dalam Perlembagaan mana-mana negara pun.

Apakah kesan dokumen-dokumen itu kepada negara kita?

Kita lihat UDHR dahulu. Walau pun Deklarasi itu tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang di sesebuah negara, ia telah diterima pakai dan mempengaruhi kebanyakan perlembagaan negara, termasuklah Malaysia. Ia juga telah menjadi asas kepada undang-undang negara, undang-undang antarabangsa, konvensyen dan triti. Deklarasi itu juga telah diterima pakai bagi tujuan mentakrifkan perkataan seperti “fundmental freedoms” dan “human rights” dalam United Nations Charter yang mengikat negara-negara yang menjadi anggota Bangsa-Bangsa Bersatu. Pakar-pakar undang-undang antarabangsa mengganggapnya sebagai sebahagian daripada undang-undang antarabangsa. Atas sebab itu, Deklarasi itu adalah satu dokumen asas Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia telah menjadi satu alat yang kuat untuk memberi tekanan diplomatic dan moral kepada kerajaan-kerajaan yang melanggar mana-mana peruntukannya. United Nations International Conference on Human Rights 1968 menasihatkan bahawa ia “merangkumi satu obligasi anggota-anggota komonuti antarabangsa” kepada semua orang.” (It “constitutes an obligation for the members of the international community” to all persons.”)

Tetapi, apa yang sebenarnya berlaku adalah lebih dari itu. Kuasa-kuasa besar Barat bukan sahaja cuba memaksa negara-ngara yang lemah menerima pakai prinsip hak asasi manusia ala-mereka, malah menggunakan hak asasi manusia sebagai alasan untuk menekan, melemahkan, menjatuhkan kerajaan, malah memerangi negara-negara yang tidak sehaluan dengan mereka atau untuk kepentingan mereka. Dalam berbuat demikian, mereka menyebabkan kematian, kecedraan, kemusnahan dan pelanggaran hak asasi manusia yang tak terhingga. Bezanya ia dilakukan bukan ke atas rakyat mereka sendiri. Seolah-olah asalkan ia dilakukan terdadap rakyat negara lain, terutama sekali yang berlainan warna kulit dan agama dengan mereka, tidak mengapa. Sebaliknya, mereka menutup mata, malah menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh negara-negara yang sehaluan dengan mereka.

Tidak cukup dengan itu, badan-badan bukan kerajaan dan hartawan-hartawan di negara-negara itu juga menggunakan pengaruh dan kekayaan mereka untuk membiayai aktiviti-aktiviti kumpulan-kumpulan tertentu di negara-negara yang tidak disenangi mereka untuk menentang, melemahkan malah menjatuhkan kerajaan di negara sendiri, atas nama hak asasi manusia dan demokrasi. Apa yang menyedihkan ialah ada pula rakyat negara-negara yang menjadi sasaran itu, termasuk, saya percaya, di Malaysia yang sedia menerima pembiayaan seperi itu.

Apakah kesan Deklarasi Kaherah? Dari segi perundangan, ia juga tidak mengikat Malaysia. Memandangkan bahawa OIC tidaklah sebesar dan sekuat Bangsa-Bangsa Bersatu, tiada kuasa-kuasa besar dan NGO-NGO yang dibiayai oleh hartawan-hartawan yang bertindak menekan negara-negara lain, terutama yang lemah dan memandangkan bahawa negara-negara Islam sendiri pun masih senentiasa berada dalam pergolakan dan ketidak-tentuan, menyebabkan pematuhan hak asasi manusia di negara masing-masing pun tidak memuaskan, saya tidak fikir ia mempunyai kesan tekanan yang sama kuat dengan UDHR. Biar apa pun, ia adalah berguna untuk menjadi dokumen rujukan mengenai hak asasi manusia mengikut perspektif Islam.
Saya telah membuat carian sepintas lalu penghakiman-penghakiman mahkamah Malaysia melalui internet. Saya tidak jumpa satu pun rujukan kepada Deklarasi Kaherah tetapi, di dalam tempoh 12 tahun kebelakangan ini sahaja saya temui sebanyak lapan kes yang merujuk kepada UDHR. Ini boleh difahami kerana UDHR itu lebih masyhur.
Deklarasi ASEAN lebih merupakan satu persefaham negara-negara sahabat di rantau ini dan lebih sesuai dengan keadaan di Malaysia.

Apakah peranan Perlembagaan Persekutuan dalam soal hak asasi manusia? Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Malaysia. Mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah tak sah dan batal. Peruntukan UDHR yang tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan juga tidak menjadi sebahagian daripada undang-undang domestik kita. Antara lain, ini diperuntukkan dengan jelas oleh seksyen 4(4) Human Rights Commission of Malaysia Act 1999. Seseorang tidak boleh mengambil tindakan undang-undang atas alasan dia telah dinafikan hak asasi manusia seperti yang terdapat dalam UDHR, misalnya, kerana ia bukanlah undang-undang demestik kita. Dia mesti tunjukkan bahawa penafian itu adalah menyalahi peruntukan undang-undang domstik dan/atau Perlembagaan kita. Mahkamah perlu memutuskan tuntutan itu berasaskan sama ada perbuatan yang diadukan itu melanggar peruntukan undang-undang dan/atau Perlembagaan atau tidak. Jika jawapannya “Ya” baharulah tuntutan itu boleh berjaya. Mahkamah mungkin mendapati bahawa perbuatan yang diadukan itu melanggar pruntukan UDHR, tetapi tidak melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kerana Perlembagaan Persekutuan meletakkan pengecualian atau syarat kepada hak tersebut. Sebagai misalan, seseorang itu adalah bebas mengamalkan agamanya tetapi orang bukan Islam dilarang mengembangkan agama mereka kepada orang-orang Islam. Mahkamah mestillah mematuhi peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan kita, bukanlah mengikuti peruntukan yang terdapat dalam UDHR. Dalam kata-kata lain, walaupun rujukan boleh dibuat kepada peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam UDHR dalam mentafsirkan peruntkan undang-undang dan atau Perlembagaan kita, tetapi ia sekali-kali tidak boleh mengatasi peruntukan Perlembagaan dan undang-undang kita.
Sekarang mari kita lihat bagaimana Hakim-Hakim menggunakan UDHR sebagai bahan rujukan dalam mentafsirkan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang kia dengan lebih dekat.
Saya dapati terdapat perbezaan pandangan dan pendekatan hakim-hakim muda sekarang. Dalam tahun 1981, dalam kes Merdeka University Berhad v Government of Malaysia [1981] 2 MLJ 356. Dalam kes itu, di mahkamah Tinggi, Hakim Eusoffe Abdoolcafer, antara lain, berkata:

“It (UDHR) is merely a statement of principles devoid of any obligatory character and is not part of our municipal law”.

Di Mahkamah Persekutuan ((1982) 2 MLJ 243), hujah yang bersandarkan kepada UDHR telah ditinggalkan.

Dalam tahun 1999, Parlimen telah meluluskan Human Rights Commission of Malaysia Act 1999. Seksyen 2, antara lain mentakrifkan “human rights” seperti berikut:

“human rights” refers to fundamental liberties as enshrined in Part II of the Federal Constitution;”

Seksyen 4 (4) mengatakan:

“(4) For the purpose of this Act, regard shall be had to the Universal Declaration of Human Rights 1948 to the extent that it is not inconsistent with the Federal Constitution.

Dalam tahun 2002, menulis penghakimannya di Mahkamah Persekutuan dalam kes Mohamd Ezam bin Mohd Noor v Ketua Polis Negara (and 4 Other Appeals) [2002] 4 AMR 4053, Siti Norma H.B.(M) berkata:

“In my opinion the status and the weight to be given to the 1948 Declaration by our courts have not changed………. Since such principles are only declaratory in nature, they do not, I consider, have the force of law or binding on Member States.

The fact that regard shall be had to the 1948 Declaration as provided for under s 4(4) of the Human Rights Commission of Malaysia Act 1999 makes no difference to my finding. This is so as my understanding of the pertinent words in the sub-section that “regard shall be had” can only mean an invitation to look at the 1948 Declaration if one is disposed to do so, consider the principles stated therein and be persuaded by them if need be. Beyond that one is not obliged or compelled to adhere to them. This is further emphasised by the qualifying provisions of the sub-section which states that regard to the 1948 Declaration is subject to the extent that it is not inconsistent with our Federal Constitution.”

Tetapi, di kebelakangan ini, terdapat beberapa orang Hakim yang nampaknya memberi tekanan yang lebih mengenai pentingnya UDHR itu. Dalam tahun 2007, dalam kes Abd Malek bin Hussin v Borhan bin Hj Daud & 2 Ors [2007] 6 AMR 583 (MT) Hakim Dato’ Mohd Hishamudin Mohd Yunus, antara lain berkata:

“The preservation of the personal liberty of the individual is a sacred universal value of all civilised nations and is enshrined in the Universal Declaration of Human Rights and Fundamental Freedoms of 1948.”

Dalam tahun 2010, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng, antara lain, berkata dalam kes Suzana binti Md Aris (Claiming as Administrator of the Estate and a dependant of Mohd Anuar bin Sharip, deceased) v DSP Ishak b Hussain & 3 Ors [2010] 6 AMR 276:

“The UDHR is part and parcel of our jurisprudence as the international norms in the UDHR are binding on all member countries unless they are inconsistent with the member countries’ constitutions…..”

Perbincangan mengenai UDHR telah mengambil tempat yang lebih utama dalam kes Indira Gandhi a/p Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & 5 Ors [2013] 4 AMR 848, sekali lagi penghakiman Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng. Antara lain katanya:

“To begin with the Universal Declaration of Human Rights 1948 (“UDHR”) is already part of the corpus of our law……..

“It would not be incorrect to say that we have given the principles of the UDHR a statutory status and a primal place in our legal landscape. The UDHR is part and parcel of our jurisprudence as the international norms in the UDHR are binding on all member countries unless they are inconsistent with the member countries’ constitutions. Indeed there is the persuasive argument that the principles enunciated in the UDHR have attained the status of international customary law.”

Pesuruhjaya Kehakiman ini nampaknya telah mengenepikan atau sekurang-kurangnya, tidak memperdulikan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam hal itu. Itu tidak sepatutnya berlaku.
Saya merasa sedikit lega apabila pembaca penghakiman Hakim Mohamad Ariff dalam kes SIS Forum (Malaysia) v Dato’ Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar (Menteri Dalam Negeri) [2010] 2 MLJ 377 di mana beliau, antara lain, berkata:

“……in relation to the applicability of international norms……. the position adopted by the Malaysian courts has been not to directly accept norms of international law unless they are incorporated as part of our municipal law: See Merdeka University Berhad v Government of Malaysia [1981] 2 MLJ 356, for example. I do not believe this position has changed even with the passing of s 4(4) of the Human Rights Commission Act 1999…………”

Kenyatan Hakim Mohamad Ariff itu adalah betul dan selaras dengan apa yang dikatakan oleh Siti Norma Yaacob (H.B.(M)) dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan yang saya sebut tadi. Bagaimana Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng boleh mengepikannya?

Merujuk kepada UDHR bukanlah salah. Mengguna pakai perinsip-prinsipnya dalam mentafsirkan peruntukan Perlembagaan kita, di mana sesuai dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang negara kita, juga tidak salah. Tetapi, saya khuatir, dalam keghairahan untuk menerima pakai “norma-norma antarabangsa”, ada Hakim-Hakim yang meletakkan peruntukan-peruntukan UDHR lebih utama daripada peruntukan Perlembagaan kita sendiri. Saya lebih khuatir kiranya kata-kata “melainkan ianya tidak bercanggah dengan perlembagaan” itu cuma bermain di bibir dan bukan dipatuhi sepenuhnya. Untuk memutuskan sama ada isi kandungan UDHR bercanggah dengan Perlembagaan atau tidak, bukanlah hanya sekadar melihat perkataan yang digunakan. Tidak kurang pentingnya ialah skim Perlembagaan itu dan keadaan di negara kita.

Saya beri satu misalan. Ambil soal perkahwinan dan pesaka. Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kewujudan perbezaan undang-undang yang terpakai kepada orang-orang Islam dan bukan Islam. Maka, dalam memutuskan isu diskriminasi atau persamaan (discrimination or equality), misalnya, jika seseorang Hakim itu hanya memakai prinsip-prinsip yang terdapat dalam UDHR tanpa mengambil kira bahawa seorang itu beragama Islam atau bukan, tanpa memakai (apply) undang-undang yang terpakai kepadanya (ia itu hukum Syarak bagi orang Islam), semestinya keputusan itu tidak betul.

Saya menyuarakan kekhuatiran ini kerana melihat apa yang telah berlaku di Amerika Syarikat berkenaan perkahwinan sejenis. Perlembagaan Amerika Syarikat dan peruntukan mengenai kebebasan dan persamaan (freedom and equality) telah wujud beberapa ratus tahun. Undang-undang mengenai perkahwinan yang mengatakan bahawa perkahwinan adalah hubungan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan telah wujud sekian lama. Tidak pernah mahkamah mengatakan undang-undang itu tak keperlembagaan kerana melanggar hak kebebasan dan persamaan. Pada 26 June 2013, Supreme Court of the United States memutuskan dalam kes US v Winsdor bahawa seksyen 3 Defense of Marriage Act, 1996 (DOMA) yang mentakrifkan perkahwinan sebagai tidak termasuk hubungan di antara sesama jenis itu tak keperlembagaan, tak sah dan batal.

Di Malaysia, hal seperti itu tidak boleh berlaku bagi orang Islam. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang yang terpakai kepada orang Islam dalam hal perkahwinan adalah “Islamic law” (“Hukum Syarak”). Syarak dengan jelas tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis. Maka, jika isu itu timbul di mahkamah, perhatian hendaklah diberi kapada fakta sama ada undang-undang yang dipertimbangkan itu mengenai perkahwinan orang Islam atau bukan Islam. Ia tidak boleh hanya dipertimbangkan mengikut peruntukan-peruntukan mengenai kebebasan, persamaan dan tak diskriminasi dan UDHR apatah lagi mengikuti penghakiman-penghakiman Supreme Court of the United States.

Kita mesti prihatin bahawa ada pihak-pihak di dalam dan di luar negara yang senentiasa mencari salah dan mengadu kononnya Islam dan Syari’ah beracanggah dengan hak asasi manusia.

Masalah ini timbul dari faktor luar dan dalam masyarakat Islam itu sendiri. Faktor luar ialah, pertama, ketaksuban orang-orang Barat bahawa merekalah yang bertamaddun di dunia ini, seolah-olah tamaddun manusia bermula di Barat dan tidak akan berakhir selama-lamanya. Kedua, kejahilan yang disebabkan oleh perasaan bahawa tiada apa di luar negara-negara mereka (terutama sekali Amerika Syarikat) yang boleh dipelajari. Ini diburukkan oleh gambaran yang dipapar oleh media massa yang prejudice dan mempunyai agenda tersendiri setiap hari. Ketiga politik yang terlalu menyebelahi Israel.

Faktor-faktor dalaman masyarakat Islam juga tidak kurang pentingnya dalam memberi gambaran yang negative mengenai Islam dan ummat Islam. Lihat sahajalah apa yang dilakukan oleh orang Islam sendiri di negara-negara majority penduduk Islam baik di Asia Tengah, Timur Tengah mahupun Afrika atas nama Islam atau jihad. Itu salah kita sendiri.

Di samping itu, tidak kurang pula rakyat Malaysia sendiri yang senentiasa memburukkan keadaan hak asasi manusia Malaysia di seluruh dunia. Mereka ini adalah opportunists. Mereka ada agenda politik. Mereka telah melihat orang Melayu dan Islam berpecah belah dan lemah. Mereka nampak bahawa mereka mempunyai peluang untuk merampas kuasa politik daripada orang Melayu. Maka untuk mendapat sokongan luar mereka pun memburukkan negara Malaysia. Isu yang paling mudah untuk menarik perhatian Barat ialah Islam, Syari’ah dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Maka berkeliaranlah mereka ke merata dunia untuk menghasut dan memburukkan Malaysia.

Isu-isu yang dibangkitkan mengenai Islam pula ialah, pertama, tiada kebebasan beragama, kerana, kata mereka, orang Islam tidak dibenarkan menukar agama. Di samping itu, orang Islam tidak dibenarkan berkahwin dengan orang bukan Islam jika orang bukan Islam itu tidak memeluk Islam. Itu Hukum Syarak yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan terpakai kepada orang Islam. Kita tidak mengatakan bahawa perbuatan mereka menyiksa diri sendiri dalam upacara agama mereka melanggar hak asasi manusia; kita tidak menentang peraturan agama mereka. Mengapa mereka hendak campur tangan dalam hal agama Islam?

Mereka mempertahankan hubungan seks sejenis. Apa motif mereka yang sebenar? Adakah sesiapa yang mereka hendak lindungi?

Mereka memperjuangkan perkahwinan sejenis. Secara peribadi, saya katakan, jika mereka mahu sangat, buatlah. Mungkin itu satu cara Allah s.w.t. hendak memupuskan zuriat mereka. Mungkin Allah swt pun tidak mahu orang seperti itu mempunyai zuriat. Kita tidak tahu. Cuma, jangan cuba melibatkan agama Islam dan orang slam.

Mereka memburukkan Islam kerana kononnya tidak berlaku adil kepada perempuan kerana lelaki dibenarkan berpoligami dan kerana pusaka tidak diberi sama rata tetapi mereka tidak mempertikaikan pula siapa yang berkewajiban memberi nafkah isteri dan anak. Biar apa pun, itu soal kita. Kita tidak mempertikaikan amalan agama mereka. Mengapa mereka hendak campur tangan dalam urusan agama kita.

Satu lagi isu yang dibangkitkan mereka ialah hak yang diberi kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Ini perlu disedari oleh orang Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Perkara 153 bukan sahaja untuk menjaga kepentingan orang Melayu tetapi juga hak anak negeri Sabah dan Sarawak. Jika hak orang Melyu terkahis, hak anak negeri Sabah dan Sarawak juga turut terhakis. Anak negeri Sabah dan Sarawak mesti sedar bahawa hak mereka, kedudukan mereka dan nasib mereka adalah sama dengan orang Melayu. Mereka patut bersama-sama orang Melayu mempertahankan hak mereka.

Sebab itulah saya menentang cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Memansuhkan Akta Hasutan tidak akan membantu untuk mewujudkan perpaduan rakyat dan ketenteraman negara. Sebaliknya, ia akan menyebabkan ketegangan hubungan antara kaum, menyebabkan permusuhan dan pergaduhan antara kaum dan menggugat ketentraman negara. Dalam hal ini juga, anak negeri Sabah dan Sarawak perlu sedar bahawa kedudukan dan nasib mereka adalah besama orang Melayu.

Sekian. Terima kasih.

1,070 visits