HATI JANTUNG DAN OTAK

HATI, JANTUNG DAN OTAK
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Saya membesar dengan sangkaan bahawa hati itu terletak di dada saya sebelah kiri. Oleh sebab itulah apabila kita menyebut perkataan “hati” (sama ada dikaitkan dengan perkataan-perkataan lain atau tidak), secara otomatik tangan kita menunjuk ke dada sebelah kiri.

Tetapi, gambarannya ialah seketul daging yang padat yang menentukan sifat atau emosi seseorang seperti baik hati, busuk hati, lembut hati, keras hati. terang hati, patah hati, kecil hati, makan hati, sakit hati dan buah hati.

Hanya apabila saya telah berada di sekolah menengah baru saya tahu, dan agak terkejut, bahawa apa yang ada di sebelah kiri dada saya itu adalah jantung, apatah lagi apabila mengetahui bahawa ia adalah satu pam yang kerjanya mengepam darah ke seluruh badan.

Setelah mengetahui bahawa organ yang berada di dada sebelah kiri itu adalah jantung, cuba gantikan perkataan hati dengan perkataan jantung kepada perkataan-perkataan yang saya sebut sebelum ini. Maka kita akan mendapat perkataan-perkataan berikut: baik jantung, busuk jantung, lembut jantung, keras jantung, terang jantung, patah jantung, kecil jantung, makan jantung, sakit jantung dan buah jantung.

Organ yang berfikir, menentukan sifat dan perasaan seseorang pula adalah otak. Tetapi, lihatlah akibatnya jika kita menggantikan perkataan otak di tempat yang kita gunakan perkataan hati yang saya sebut itu. Kita akan memperolehi kata-kata seperti berikut: baik otak, busuk otak, keras otak, lembut otak, sakit otak, terang otak, makan otak, jantung otak, patah otak, kecil otak dan buah otak.

Sekarang kita sudah tahu bahawa hati itu sebenarnya apa yang dipanggil “liver” dalam bahasa Inggeris. Cuba kita terjemahkan pula kata-kata yang dikaitkan dengan hati dengan mengaitkannya dengan “liver”. Hasilnya, good liver, smelly liver, hard liver, soft liver, fruit liver, sick liver, clear liver, eating liver, heart liver, broken liver dan small liver.

Hari ini, melalui buku dan internet, orang awam pun boleh tahu fungsi hati yang sebenar yang tidak boleh diketahui oleh sesiapa tanpa kemajuan sains perubatan di abad terkebelakang ini. Atas alasan itu, mungkin ilmuan dan sasterawam Melayu silam dapat dimaafkan kerana “kesilapan” mereka menggunkan perkataan “hati”.

Tetapi, mengapa, setelah megetahui fungsi hati sebenar pun, kita terus meminda peribahasa yang menggunakan perkatan selain daripada hati, yang sekian lama diguna, dan pada pandangan saya dengan betul, dengan perkataan hati? Misalnya, cenderamata digantikan dengan cenderahati? Tetapi cahaya mata tidak pula digantikan dengan cahaya hati.

08 08 2017

170 visits