ISLAM DAN TAFSIRAN KEPERLEMBAGAAN OLEH MAHKAMAH DI MALAYSIA

MUZAKARAH PAKAR IKIM
MALAYSIA: KEMELUT NEGARA ISLAM NEGARA SEKULAR
19 Februari 2013

ISLAM DAN TAFSIRAN KEPERLEMBAGAAN OLEH MAHKAMAH DI MALAYSIA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara)

Tafsiran Perlembagaan Persekutuan terletak dalam bidangkuasa mahkamah sivil. Tugas ini dilakukan apabila persoalan keperlembagaan timbul dalam sesuatu kes di hadapan mahkamah itu. Jika keperluan itu berlaku, tugas hakim adalah “mentafsir” dan “menggunapakainya” (interprert and apply) kepada fakta kes berkenaan dan membuat keputusan. Kuasa mahkamah adalah untuk mentafsir peruntukan-peruntukan Perlembagaan itu, bukan memindanya atau menulis semula (rewrite) peruntukan-peruntukan itu sambil berselindung di sebalik perkataan “mentafsir”. Mahkamah bukan Parlimen. Masalahnya, kerap kali, orang memandang kepada mahkamah untuk menyelesaikan masalah Badan Perundangan .

Dalam kertas ini saya beri tumpuan khas kepada tema muzakarah ini ia itu “Kemelot Negara Islam Nergara Sekular.”

Perkara 3

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:

“3. (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan……”

Sebagai perbandingan, Perlembagaan Pakistan, selain daripada mempunyai “preamble” (muqaddimah) yang panjang mengenai Islam, menyatakan bahawa nama negara Pakistan ialah “Islamic Republic of Pakistan” dan mengisytiharkan Islam sebagai Agama Negara (“State Religion”) Pakistan. Perlembagaan Iran menyataakan bahawa nama rasmi Iran ialah “Islamic Republic of Iran” dan bentuk kerajaannya ialah “Islamic Republic” (Perkara 2). Sebaliknya Perlembagaan India mempunyai “preamble” yang menyatakan bahawa India adalah sebuah negara “secular” dan, dalam Perlembagaan India, tidak terdapat peruntukan mengenaai agama negara itu. Perlembagaan Turki memperuntukkan bahawa Turki adalah sebuah negara “secular” (Perkara 2). Tetapi, bendaranya, walaupun berwarna merah, mempunyai simbol bulan dan bintang yang selalunya dikaitkan dengan Islam. Perkara 29(1) Perlembagaan Indonesia mengisytiharkan: Negara berdasar atas Ketuhanan Yang Maha Esa. Tidak disebut sama ada negara Indonesia sekular atau tidak dan agamanya. Sebelum penyatuan semula Jerman, nama rasmi Jerman Timur ialah “The German Democratic Republic” sedangkan nama Jerman Barat ialah “The Federal Republic of Germany.” Nama rasmi Korea Utara pula ialah “The Democratic People’s Republic of Korea” manakala nama rasmi Korea Selatan hanya “Republic of Korea”.

Saya percaya India tidak dikenali dan tidak pernah dirujuk sebagai sebuah “negara Islam”. Tetapi, Turki, walau pun ia bersungguh-sungguh mengatakan ia sebuah negara sekular, mungkin oleh sebab ramai penduduknya yang bragama Islam dan sejarahnya yang berkait rapat dengan perkembangan Islam ke Eropah, kerap pula dirujuk sebagai sebuah “negara Islam”, terutama sekali oleh orang-orang Islam dari negara-negara lain. Pakistan dan Iran memanglah dikenali sebagai “negara Islam”, tidak kiralah apa maknanya. Di mata dunia, Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai sebuah “negara Islam”, malah “negara Islam contoh di abad ini.” Tetapi, rakyat Malaysia sendiri, tertakluk kepada kepentingan politik semasa masing-masing, berbelah bagi mengenainya. Indonesia pula kerap disebuat sebagai negara yang mempunyai penduduk Islam yang terbanyak di dunia. Bagaimana jika Jerman Timur (dahulu) dan Korea Utara cuba ditonjolkan sebagai negara “demokratik” seperti nama masing-masing? Besar kemungkinan orang akan kewata.

Saya serahkan kepada para peserta muzakarah ini untuk membuat kesimpulan sendiri daripada fakta-fakta yang saya sebut itu, jika boleh dibuat apa-apa kesimplan.

Kes yang paling kerap dirujuk dalam hal Islam atau sekular itu ialah penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Bin Che Soh v. Public Prosecutor (1988) 2 MLJ 55. Kes ini didengar oleh lima orang hakim dan penghakimannya ditulis oleh Tun Salleh Abas. Kerapkali ia dirujuk sebagai otoriti bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Mari kita lihat dengan lebih dekat kes itu mengenai apa, apa keputusannya dan apa kesannya.

Persoalan dalam kes itu ialah sama ada hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah dan bagi kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 bercanggah dengan ajaran Islam dan, oleh itu tak keperlembagaan dan tak sah (unconstitutional and void). Peguam menghujahkan, oleh sebab Islam adalah “agama bagi Persekutuan” (Perkara 3(1)), dan oleh sebab Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Persekutuan (Perkara 4(1), maka hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan itu, yang bukan kesalahan “hudud” dan “qisas”, adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan oleh itu tak keperlembagaan (unconstitutional).

Mahkamah tidak menjawab soalan sama ada hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan-kesalahaan itu bercanggah dengan ajaran Islam atau tidak. Mahkamah menimbang apa yang dimaksudkan dengan perkataan “Islam” dalam Perkara 3(1) oleh penggubal Perlembagaan. Untuk menjawab soalan itu, Mahkamah merujuk kepada sejarah semenjak campur tangan British dalam Negeri-Negeri Melayu dan memutuskan, secara rengkasnya, bahawa semasa penjajahan British, undang-undang Islam hanya terhad kepada undang-undang mengenai perkahwinan, perceraian dan pesaka sahaja. Pada pandangan mahkamah, demikianlah fahaman penggubal perlembagaan mengenai perkataan “Islam” dalam konteks Perkara 3(1) itu. Jika sebaliknya, kata penghakiman itu, tentu sekali ada satu peruntukan lagi dalam Perlembagaan yang memberi kesan bahawa mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan ajaran Islam menjadi taksah. Bukan sahaja itu tidak dilakukan, kata penghakiman itu seterusnya, sebaliknya Perkara 162 mengekalkan kesenambungan undang-undang sekular sebelum Perlembagaan (preserves the continuity of secular law prior to the Constitution”). Kesimpulannya, mahkamah menolak hujah peguam-peguam itu. Kesannya ialah kesalahan-kesalahn itu yang membawa hukuman mati adalah sah di sisi Perlembagaan.

Adakah mahkamah mengatakan bahawa Malaysia sebuah “negara sekular” atau “negara Islam”? Jawabnya tidak dan bukan itu persoalan yang perlu diputuskan oleh mahkamah.

Dalam penghakiman itu perkataan “secular” di sebut sebanyak tiga kali. Kali pertama dalam rangkai kata “secular institutions” semasa memetik daripada buku karangan M.B. Hooker. Dua kali lagi dalam rangkai kata “secular law” semasa merujuk kepada undang-undang yang berkuatkuasa pada hari Kemerdekaan.

Sebenarnya, penggunaan perkataan “secular” untuk meggambarkan institusi-institusi itu pun tidak asing daripada menimbulkan masalah. Apakah ukuran sesuatu institusi itu sekular atau “Islamic”. Jika kita kata institusi baitul mal itu “Islamic” bagaimana dengan Perbendaharaan? Jika Majlis Syura itu “Islamic”, bagaimana dengan Parlimen? Perlembagaan Pakistan menggunakan perkataan “Majlis Es-Syura (Parliament)”. Perlembagaan Malaysia menggunakan perkataan “Parliament”. Adakah Perlimen Pakistan “Islamic” dan Parlimen Malaysia sekular? Adakah Kabinet, Kementerian-kementerian, Jabatan-jabatan Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi, Hospital, sekolah, jalanraya, lapangan terbang, pelabuhan, Tenaga Nasional, Felda dan lain-lain semuanya sekular dan atas asas apa? Adakah sebuah negara Islam tidak patut ada semua itu kerana ianya sekular?

Penggunaan perkataan “secular” bagi undang-undang pun tidak sunyi daripada masalah. Adakah akta-akta yang dibuat oleh Parlimen dan Enakmen yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri semuanya sekular? Lihat Enakmen Acara Jenayah Syariah dan Enakmen Acara Mal Syariah, misalnya. Kebanyakn peruntukan-peruntukan itu diambil daripada Criminal Procedure Code dan Subordinate Courts’ Rules. Adakah peruntukan-peruntukan itu sekular apabila dipakai di mahkamah sivil dan menjadi “Syari’ah” apabila dipakai di Makhamah Syari’ah dan diberi nama “Syari’ah”? Adakah undang-undang jalan raya sekular sebab ia baru diwujudkan dalam abad dua puluhan. Jika di zaman Khalifah Umar Ibn Khattab r.a. ada kereta dan beliau membuat peratauran mengenai penggunaannya, mungkin hari ini peraturan itu akan dikenali sebagai “undang-undang jalanraya Syari’ah” dan jika had laju ditetapkan, mungkin ia akan dikenali sebagai “had laju Syari’ah” atau “had laju Islam” (mengikut penggunaan perkataan itu di Malaysia)!

Apakah intipati keputusan kes Che Omar Bin Che Soh? Jawabnya: hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah dan bagi kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan sah.

Jika saya ditanya apakah pandangan saya mengenai kes Che Man Bin Che Soh, jawapan saya ialah saya bersetuju dengan keputusan itu. Hakikat bahawa Perkara 3 (1) mengatakan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan” tidak dengan sendirinya menjadikan semua undang-undang yang bercanggah dengan Syari’ah tak sah dan batal. Seperti yang dikatakan dalam penghakiman kes itu, jika itulah yang dikehendaki maka perlulah ada satu peruntukan lagi yang mengatakan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan Hukum Syara’ adalah tak sah dan batal. Untuk mewujudkan sesuatu undang-undang, Parlimen atau Dewan Undangan Negeri perlulah membuat undang-undang itu, tertakluk kepada bidangkuasa masing-masing. Itulah system berparlimen yang kita pakai? Adakah system demokrasi berparlimen yang kita pakai juga “unIslamic”?

Ini bukan suatu perkara yang anih. Sebagai perbadingan, mari kita lihat Perlembagaan Pakistan secara sepintas lalu. Perlembagaan Pakistan mempunyai preamble yang panjang. (Saya akan baca terjemahan dalam Bahasa Melayu yang saya buat sendiri):

“Bahawa kedaulan ke atas seluruh alam (universe) hanyalah milik Allah Yang Maha Kuasa, dan kuasa yang akan dilaksanakan oleh rakyat Pakistan setakat had yang ditetapkan olehNya adalah satu amanah yang sacret .
………
Di mana prinsip-prinsip demokrasi, kebebasan, kesamataraan, toleransi dan keadilan sosial, seperti yang dinyatakan oleh Islam, hendaklah dipatuhi sepenuhnya;

Di mana orang-orang Islam akan dibolehkan mengatur kehidupan mereka sebagai individu dan kumpulan mengikut ajaran dan kehendak Islam seperti yang ditetapkan dalam Al-Qur’an dan Sunnah…..”

Perkara 1(1) memperutukkan:

“1.(1) Pakistan hendaklah menjadi Republik Persekutuan yang akan dikenali sebagai Republik Islam Pakistan, selepas ini dirujukkan sebagai Pakistan.”

“2. Islam hendaklah menjadi agama Negara Pakistan.
(“2. Islam shall be the State religion of Pakistan.”

“31(1) Langkah-langkah hendaklah diambil untuk membolehkan orang-orang Islam di Pakistan, secara perseorangan atau berkumpulan, untuk mengatur kehidupan mereka mengikut prinsip dan konsep asas Islam dan mengadakan kemudahan yang akan membolehkan mereka memahami erti kehidupan mengikut Al-Qur’an dan Sunnah.
(2) Negara hendaklah berusaha, mengenai orang-orang Islam Pakistan,-
(a) menjadikan pembelajaran Al-Qur’an dan ilmu-ilmu mengenai Islam wajib, menggalakkan dan memberi kemudahan pembelajaran Bahasa Arab dan memastikan percetakan dan pengeluaran Al-Qur’an yang betul dan tepat;
(b) menggalakkan perpaduan dan pematuhan standard moral keIslaman; dan
(c) mengadakan organisati zakat, waqaf dan masjid.”

“203C. (1) Hendaklah tertubuh bagi tujuan Chapter ini sebuah Mahkamah yang akan dikenali sebagai Mahkamah Syari’ah Persekutuan.
………..
203D. (1) Mahkamah boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau di atas petisyen seorang warganegara Pakistan atau Kerajaan Perekutuan atau Kerajaan Daerah, meneliti dan memutuskan persoalan sama ada sesuatu undang-undang itu atau peruntukan sesuatu undang-undang itu bertentangan dengan ajaran Islam, sebagaimana yang ditetapkan dalam Al-Qur’an dan Sunnah Rasul Allah, selepas ini dirujuk sebagai Ajaran Islam.”

Walau pun terdapat peruntukan-peruntukan seperti itu, selama beberapa dekad, Pakistan terus memakai Macaulay’s Penal Code yang serupa dengan Penal Code India dan Malaysia. Hanya semasa pemerintahan Presiden Muhammad Zia-Ul-Haq, barulah Penal Code dipinda dan dimasukkan hukuman Qisas, Diyat, Arsh, Daman and Ta’zir (Section 53). Pindaan juga dibuat kepada Chapter XVI “Of Offences Affecting The Human Body.” (Kesalahan mengenai badan manusia).

Ordinan Hudood (Pakistan) dibuat dalam tahun 1979 juga semasa pemerintahan Presiden Presiden Muhammad Zia-ul-Haq. Tetapi, disebabkan oleh bantahan orang ramai kerana ketidakadilan yang berlaku dalam pelaksanaannya bagi kes rogol, pada 1 Disember 2006, semasa pemerintahan Presiden Pervez Musharraf, ia dipinda oleh Women’s Protection Bill. Di bawah undang-undang baru itu, kesalahan merogol dituduh di bawah undang-undang sivil.

Apa yang saya hendak tunjukkkan ialah bahawa wujudnya peruntukan-perutukan sedemikian sekalipun, tidak dengan sendirinya mengubah undang-undang. Undang-undang perlu diuat oleh Badan Perundangan sebelum ia wujud dan boleh dilaksanakan. Itulah sistem berparlimen. Maka kita lihat undang-undang hudud tidak diwujudkan selama beberapa dekat, selepas itu diwujudkan dan kemudiannya sebahagiannya dijadikan semula kesalahan di bawah undang-undang sivil, sedangkan peruntukan Perlembagaan tidak berubah. Satu soalan yang timbul difikiran saya ialah: Apakah yang dibuat oleh Mahkamah Syariah Persekutuan itu? (Mungkin kita tidak mengetahui secukupnya).

Kembali kepada kes Che Omar bin Che Soh. Malangnya, penghakiman itu menggunakan perkataan “secular”, itu pun bukan untuk menggambarkan negara, tetapi institusi-institusi dan undang-undang. Itu pun penggunaannya tidak tepat dan perkataan itu tidak perlu digunakan. Disebabkan oleh kepentingan politik dan kumpulan, ia kerap dipetik di luar konteks bagi mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, sedangkan Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak sekali pun memakai perkataan “secular”. Perhatian tidak diberi kepada perisytiharan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan” sedangkan agama-agama lain sekali pun tidak disebut. Perhatian tidak diberi bahawa adanya peruntukan-peruntukan mengenai Ketua Agama Islam yang tidak ada bagi agama-agama lain. Perhatian tidak diberi bahawa terdapat peruntukan yang melarang pengembangan agama-agama lain di kalangan orang-orang Islam; bahawa terdapat peruntukan mengenai pemberian bidangkuasa kepada Badan Perundangan Negeri mengenai undang-undang Islam termasuk penubuhan mahkamah Syariah, pengwujudan kesalah-kesalahan mengenai “precept of Islam”, penubuhan dan pengurusan institusi-institusi Islam seperti Baitul Mal dan wakaf, yang semuanya tidak diperuntukkan bagi agama-agama lain. Adakah ini semua peruntukan sekular?

Adakah Perkara 3(1) itu satu peruntukan yang sesia? Saya kata tidak. Sekurang-kurangnya, dengan adanya peruntukan itu kita dikenali dunia sebagai sebuah “negara Islam”. Hari ini pun, di peringkat antarabangsa, Malaysia dikenali sebuah sebuah “negara Islam” dan mengaitkan Islam dengan Malaysia, sama ada mengenai perkara yang baik atau tidak baik. Malaysia dianggapkan sebagai contoh sebuah negara Islam maju di zaman ini. Kerajaan mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan dan perkembangan perbankan Islam, kewangan Islam dan takaful sehingga kita berada di hadapan dalam bidang itu. Dalam negera, kita boleh melakukan aktiviti-aktiviti keIslaman dengan menggunakan dana awam, termasuklah membina Universiti-Universiti dan Kolej Islam, menubuh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, mengadakan tilawah Al-Qur’an, Majlis Agama Islam, Masjid-masjid, sekolah-sekolah agama Islam, rancangan agama dalam radio dan tevelisyen milik kerajaan, hinggalah kepada majlis-majlis tahlil dan ceremah agama dalam waktu pejabat, di bangunan pejabat. Muzakarah ini pun dibuat dengan dana awam. Semua itu dilakukan atas dasar bahawa “Islam adalah agama bagi Malaysia.” Dan orang bukan Islam pun tidak berani membantahnya. Jika mereka membantah, bantahan mereka boleh ditolak dengan mudah.

Bayangkanlah jika tidak ada perisytiharan itu. Bolehkah semua itu dilakukan dengan mamakai dana awam, waktu pejabat, bangunan pejabat dan kakitangan kerajaan tanpa menimbulkan masalah? Bagaimana jika penganut agama-agama lain juga mahukan perkara yang serupa? Kita bina masjid, surau dan bilik solat dalam kapus universiti dan asrama pelajar. Bagaimana jika mereka menuntut dibina tokong, gereja dan gurdwara di kampus-kampus university awam kerana mereka juga mempunyai hak mengamalkan agama mereka mengikut cara mereka?

Katakanlah Perlembagaan kita menyebut bahawa agama bagi Malaysia adalah Kristian, Hindu atau Budha atau tidak menyebutnya langsung, bagaimana “landscape” Malaysia hari ini? Saya minta tuan-tuan dan puan-puan berfikir dan menjawab sendiri.

Satu perkara yang orang silap faham ialah, oleh sebab Perlembagaan Persekutuan memberi bidangkuasa perundangan (saya ulangi, bidangkuasa membuat undang-undang) dalam hal-hal yang ternyata dalam Senarai II (Senarai Negaeri) Jadual Kesembilan dan ia adalah terhad, maka mereka menganggap bahawa Perlembagaan kita menghalang Hukum Syarak dalam hal-hal lain dijadikan undang-undang. Itu tidak betul. Dewan Undangan Negeri tidak boleh melakukannya. Itu betul. Tetapi, tidak ada apa yang menghalang Parlimen Persekutuan melakukannya, jika hendak dilakukan. Malah ia telah pun dilakukan dalam perbankan Islam, kewangan Islam dan takaful dan Malaysia diiktiraf berada di kedudukan nombor satu di dunia, pada masa ini.

Selain daripada itu, kerapkali peguam-peguam sivil tidak tahu bahawa sesuatu undang-undang yang sedia ada itu adalah patuh Syari’ah, malah serupa dengan Syari’ah manakala ahli-ahli Syari’ah pula tidak tahu bahawa prinsi-prinsip Syari’ah telah pun dijadikan undang-undang. (Sila layari laman web saya untuk mengetahui denga lebih lanjut.)

Saya percaya jika hari ini disiytiharkan Malaysia akan melaksanakan Undang-Undang Islam sepenuhnya, lebih daripada 90% undang-undang yang sedia tidak akan berubah.

Saya berpendapat bahawa kita tidak sepatutnya melihat Kerajaan Rasul Allah s.a.w. di Madinah itu sebagai mercu pembangunan dan tamaddun Islam, bahawa semua institusi dan undang-undang yang ada pada masa itu sudah lengkap untuk sepanjang zaman dan tidak ada perubahan, pembaharuan, perbezaan dan pembaikan yang boleh dilakukan lagi, hingga ke akhir zaman. Sebaliknya, kita lihat Khalifah Umar Ibn Khattab r.a., misalnya, membuat beberapa pembaharuan. Demikian juga di zaman pemerintahan Bani Ummayyah, Abassaih, Adalusa hinggalah kepada Empayar Othmaniah dan ke hari ini. Memanglah ada perkara-perkara yang di larang oleh Islam yang diwujudkan, seperti institusi “harem” dan kelab lumba kuda. Yang pentingnya, bukan semua yang berlainan itu “unislamic” kerana ia tidak ada atau tidak serupa dengan apa yang ada di zaman pemerintahan Madinah. Ukuran yang kita patut guna ialah: “Adakah ia bercanggah dengan prinsip-prinsip Syariah?” Bukan, “Adakah ia berlainan atau sesuatu yang baru?” Apa yang saya katakan ini terpakai juga kepada undang-undang. (Sila layari laman web saya untuk mengetahui dengan lebih lanjut.)

Mengenai undang-undang, mungkin banyak orang tidak tahu. Bank Negara Malaysia telah pun mengambil inisiatif untuk mencadangkan pindaan kepada mana-mana undang-undang yang dipakai dalam perbankan Islam, kewangan Islam, takaful, malah mu’amalat yang bercanggah dengan Syari’ah untuk menjadikannya patuh Syari’ah dan juga untuk menyerap prinsip-prinsip Syari’ah ke dalam undang-undang kita. Ini dilakukan dengan penubuhan Jawatankuasa Penyesuaian Undang-undang yang saya menjadi Pengerusinya.

Setakat ini, kami telah dan sedang mengkaji 17 undang-undang, termasuklah Kanun Tanah Negara. Satu peruntukan telah pun dimasukkan ke dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2012. (Sila layari laman web saya).

Maka, hari ini, saya memohon kerjasama para peserta muzakarah ini. Sesiapa yang telah mengenal pasti peruntukan mana dalam undang-undang mana yang bercanggah dengan Syari’ah dan patut dipinda supaya ia selaras dengan Syari’ah, silalah kemukakan penemuan dan cadangan itu kepada saya atau kepada Jawatankuasa Penyesuaian Undang-Undang, Bank Negara Malaysia. Nyatakan kedudukan Syari’ahnya dan alasannya. Pada masa ini kita tumpukan kepada bidang muamalat dahulu.

Marilah sama-sama kita mengisi “keislaman” Malaysia sebagai ganti kepada berbahas sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau negara sekular.

Terima kasih

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my

1,385 visits