ROBOH KUIL HARAM MELAYU RASIS

ROBOH KUIL HARAM, MELAYU RASIS!

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Belum pun Adib mendapat keadilan, semangat rasis orang India diapi-apikan semula oleh P.Ramasamy, Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Kali ini, kerana Kuil Sri Maha Mariamman  yang terletak dalam halaman Kemta Komunting, Taiping, telah di roboh.

P. Ramasamy berkata, beliau difahamkan kuil tersebut telah diroboh oleh pihak berkuasa penjara walaupun terdapat jaminan daripada kerajaan negeri kepada pemilik kuil, Hindu Sanggam Malaysia dan MIC ianya tidak akan dirobohkan

Beliau seterusnya berkata “PN munkin tidak terlalu berlainan daripada BN, malah ia mungkin lebih buruk kerana hanya terdapat seorang bukan-Melayu sebagai token dalam gabungan itu.”

“Berat sebelah terang-terangan PN terhadap orang bukan Melayu atau bukan Islam mungkin menimbulkan perbezaan antara etnik dan antara agama dalam suasana anti-etnik Malaysia.

 Saya akan melawat tapak tersebut di Taiping dalam masa terdekat untuk memastikan siapa yang bertanggungjawab atas perobohan kuil itu.”[i]

Sebelum kita bincang apa yang dikatakannya, kita perlu ambil perhatian kepada fakta sebenar mengenai tindakan merobohkan kuil itu, kerana apa yang dibesar-besarkan ialah betapa tidak adilnya tindakan itu.

Kuil itu dibina di atas tanah kerajaan Persekutuan yang dimiliki Jabatan Penjara, tanpa kebenaran.  Mungkin kerana kasihan, kurang prihatin atau cuai, seperti di merata-rata tanah kerajaan di seluruh negara, kuil itu dibiar beroperasi entah berapa lama, sambil ia semakin dibesarkan. Biar apa pun, kuil itu berada di atas tanah kerajaan secara haram. Orang-orang yang membinanya dan memilikinya adalah penceroboh. Mereka tidak mempunyai apa-apa hak di sisi undang-undang. Kerajaan berhak meroboh kuil itu bila-bila masa.

Masalahnya ialah campur tangan ahli-ahli politik. Saya katakan, di negara ini ahli-ahli politiklah yang menyusahkan dan menjadi penghalang palaksanaan undang-undang oleh penjawat awam. Sebagai ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka adalah pembuat undang-undang. Sepatutnya merekalah yang menghendaki undang-undang yang mereka buat itu dilaksanakan dengan tegas terhadap orang-orang yang melanggarnya.

Tetapi tidak, kerapkali merekalah yang akan campur tangan untuk mengelak ia dilaksanakan apabila ia mungkin akan menyebabkan mereka kehilangan undi. Dalam kes ini, daripada kenyataan P Ramasamy itu, kita percaya, apabila kuil itu hendak diroboh, Hindu Sangam Malaysia dan MIC telah membuat representasi, basar kemungkinan kepada kerajaan negeri Perak supaya ia tidak diroboh. Maka, mengikut beliau, kerajaan negeri (Perak) telah memberi jaminan kepada Hindu Sangam Malaysia dan MIC bahawa ia tidak akan diroboh.

Siapa yang memberi janji sedemikian? Ahli politik negeri Perak? Tanah itu kepunyaan kerajaan Persekutuan. Mereka tidak ada bidang kuasa membuat janji sedemikian. Lagi pula, jika ada janji sedemikian pun, ia tidak akan mengikat kerajaan Persekutuan.

Kita juga percaya, seperti biasa, ahli-ahli politik itu, kerana digertak pengundi-pengundi India akan mengundi pembangkang jika kuil itu dirorobohkan, kerana takut kehilangan undi dan kalah dalam pilihan raya, akan merayu kepada Jabatan Penjara dan Kerajaan Persekutuan supaya tidak merobohnya.

Tidak mustahil, seperti berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya, pemilik-pemilik kuil itu telah ditawarkan pula dengan tanah gentian dan “pampasan” untuk membina kuil baru. Lebih buruk lagi, kita lihat apa yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya yang mengorbankan nyawa Adib itu, setelah menerima tawaran tanah gentian dan wang “pampasan”, mereka masih enggan berpindah lagi. Perhatikan bagaimana penceroboh mendapat tanah dan “pampasan” dengan sokongan parti politik dan NGO mereka dan naifnya ahli-ahli politik Melayu!

Apabila, ia diroboh, melentinglah ahli-ahli politik mereka, menyalahkan kerajaan (PN) atas sebab hanya terdapat seorang bukan Melayu dalam kerajaan PN. Ertinya, yang disalahkan adalah orang Melayu yang kerana banyaknya dalam kerajaan, bersikap rasis dan melakukan ketidakadilan kepada orang bukan Melayu. Penceroboh menjadi mangsa ketidakadlilan kerajaan yang diterajui orang Melayu yang rasis! Perhatilah bagaimana fakta diputarbelitkan.

Keadaan seperti ini telah menggalakkan beratus-ratus kuil agama Hindu dibina di seluruh negara, terutama sekali di atas tanah kerajaan. Atas sebab yang sama juga tiada tindakan diambil. Masalah ini semakin hari menjadi semakin serius.

Satu misalan ialah kuil di Hospital Kuala Lumpur. Saya masih ingat, dalam tahun 1970-an, ia masih kecil, bertiang kayu dan berbumbung zink. Hari ini lihatlah betapa besarnya ukiran-ukiran tokong yang sedang dilakukan.

Kuil di Hospital Kuala Lumpur itu ditutup sekarang, mungkin pembinaannya ditahan. Sampai bila? Takutkah hendak merobohnya? Bagaimana jika berlaku perubahan kerajaan lagi? Enam puluh tahun BN berkuasa, ia cuai atau tidak berani merobohnya. Tidak hairanlah jika kuil haram itu akan disahkan (legalised) apabila berlaku perubahan kerajaan. Itulah masalah orang Melayu: ada kuasa tidak tahu  atau tidak berani menggunannya, walau pun sah mengikut undang-undang. Orang yang melanggar undang-undang lebih berani daripada orang yang dilindungi undang-undang.

Kembali kepada P Ramasamy. Beliau seorang ADUN dan Timbalan Ketua  Menteri Pulau Pinang. Beliau melanggar sempadan ke Perak untuk menjadi wira “berjuang untuk menghapuskan ketidakadilan kerajaan majoriti Melayu yang rasis terhadap kaum India.” Tidak mahu kalah, saya tidak hairan jika MIC dan NGO-NGO juga akan turut serta. Maka berulanglah kisah kuil Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya.  Di seluruh Malaysia terdapat beratus-ratus kuil haram di atas tanah kerajaan. Modal politik mereka tidak akan kehabisan.

Saya katakan, kerajaan perlu bertindak tegas: semua rumah ibadat, tidak kira kuil, tokong, gurdwara, gereja, masjid dan surau (jika ada) atau apa juga, yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan atau tanpa mematuhi undang-undang hendaklah diroboh, tanpa diberi tanah gantian dan/atau pampasan. Penceroboh perlu diberi pengajaran, seperti di negara-negara lain, bahawa orang yang tidak mematuhi undang-undang tidak boleh mengharap keuntungan daripada perbuatan salah mereka.

Ahli-ahli politik kerajaan hendaklah jangan campur tangan. Mereka perlu tahu untuk apa mereka dipilih dan apa tugas mereka. Demikian juga ahli-ahli politik pembangkang. Malah, sesiapa yang menyokong dan menggalakkan pelanggaran undang-undang dan mengapi-apikan semangat rasis pihak yang melanggar undang-undang  sambil menuduh pihak yang hendak melaksanakan undang-undang dengan sah, rasis dan tidak adil, di bawa ke muka pengadilan.

Penjawat-penjawat awam yang ditugaskan melaksanakan tugas-tugas itu perlu berani berdiri tegak dan menolak sebarang campur tangan ahli politik yang cuba menghalang mereka daripada melaksanakan tugas mereka itu.

Amat mendukacitakan, hari ini, moral ahli-ahli politik di negara ini berada di tahap yang paling rendah dalam sejarah. Siang malam, pemimpin-pemimpin parti memikirkan siapa lagi yang boleh “ditarik” untuk menyertai kumpulan mereka untuk merampas kuasa atau kekal berkuasa.  Ahli-ahli Parlimen dan ADUN sibuk membuat perkiraan sama ada harganya memadai untuk membuat lompatan. Saya akui bahawa mareka adalah kumpulan minoriti, tetapi bilangan mereka telah naik mendadak selepas PRU 14.

Dalam hal ini, ahli-ahli Parlimen PAS dan DAP adalah lebih kukuh pendirian mereka. Ini kerana, pada masa ini, mereka berada dalam parti yang kukuh dan mereka tidak ada pilihan lain yang lebih menguntungkan.

Penjawat-penjawat awam perlulah bersikap profesional dan menolak campur tangan ahli-ahli politik yang menghalang pelaksanaan undang-undang kerana kepentingan politik mereka. Pengundi-pengundi hendaklah menolak ahli-ahli politik yang tidak bermoral itu dan menyokong penjawat-penjawat awam dalam hal ini.

Itu sahajalah cara mengajar ahli-ahli politik menghormati undang-undang supaya mereka dapat dihormati semula. Cara paling berkesan menangani ahli-ahli politik pembangkang ialah dengan tidak melayan mereka. Jika mereka melampaui garisan undang-undang, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan. Biar apa pun, mereka tidak boleh dibiarkan mengulangi peristiwa di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya  di kuil Sri Maha Mariamman di Komunting, Taiping dan lain-lain lagi.

13 06 2020

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

 

[i] “PN  might not be too different to BN, in fact, it might be worst given the fact that there is only a token Malay representation in the coalition.

PN’s overt bias against no-Malays or non-Muslims might engender sound inter-ethnic and inter-religious in Malaysia’s anti-ethnic setting.

I will be visiting the site in Taiping very soon to ascertain who was responsible for the demolition of the temple.” (SM 09 06 2020)

106 visits