PENGELUARAN SIJIL HALAL DALAM BIDANGKUASA PERSEKUTUAN

PENGELUARAN SIJIL HALAL DALAM BIDANGKUASA PERSEKUTUAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Pendahuluan

Bukan semua perkara berkenaan dengan Islam terletak di bawah bidangkuasa negeri. Memanglah, untuk mengetahui hukum sama ada sesuatu produk itu halal atau tidak, ia perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri. Tetapi, fatwa itu hanya berkuatkuasa dalam negeri itu sahaja.

Tanda “halal” yang diletakkan kepada sesuatu produk dan dibuktikan oleh sijil halal itu adalah satu perihal dagangan (trade description) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang terletak di bawah bidangkuasa persekutuan. Ianya samalah seperti perbankan Islam dan kewangan Islam. Perbankan dan kewangan terletak di bawah bidangkuasa persekutuan. Sama ada perbankan dan kewangan itu “Islam” atau “konvensional” adalah perihal jenisnya.

Kita boleh meromoskan kedudukan sekarang mengenai pengeluaran sijil halal seperti berikut:

1. Pengeluaran sijil halal terletak di bawah bidangkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

2. Undang-undang berkenaan adalah APD 2011 yang terletak di bawah portfolio KPDNKK.

3. “Halal” adalah satu daripada perihal dagangan di bawah akta itu;

4. Segala kuasa mengenainya terletak kepada Pengawal, Timbalan Pengawal dan Penolong Pengawal yang dilantik oleh Menteri mengikut seksyen 3 akta itu.

5. Kuasa pendakwaan, seperti biasa, terletak kepada Pendakwa Raya.

6. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dilantik oleh Menteri sebagai Pihakberkuasa Berwibawa untuk membuat perakuan halal.

7. Semua permohonan untuk mendapat perakuan halal hendaklah dibuat kepada JAKIM atau MAIN.

Mengapa ia tidak sepatutnya diletak di bawah bidangkuasa negeri

Pertama, pensijilan halal adalah perihal dagangan yang terletak di bawah bidangkuasa persekutuan. Negeri tidak ada kuasa mengeluarkannya. Saya tidak mengatakan apa yang dilakukan pada masa ini tidak sah, kerana pensijilan halal tetap berada di bawah KPDNKK, tetapi JAKIM dan MAIN dilantik untuk melaksanakan tugas-tugas itu bagi pihak KPDNKK. Oleh sebab ia terletak di bawah portfolio KPDNKK, KPDNKKlah yang sepatutnya melaksanakannya sama seperti perihal dagangan lain. Semua perkara mengenainya hendaklah berada di bawah kementerian itu. Jika pegawai-pegawai agama diperlukan, mereka boleh diserapkan daripada JAKIM.

Kedua, pengeluaran sijil halal bukan hanya melibatkan soal hukum. Sebelum kita boleh menetapkan hukum, kita perlu tahu isi kandungan sesuatu produk itu. Jika ia seekor binatang, bolehlah kita lihat rupanya dan sifat-sifatnya. Tetapi, bagi produk yang telah diproses, ujian saintifik perlu dilakukan. Mufti, ulama dan ustaz tidak tahu segala-galanya. Kepakaran selain daripada mengenai hukum syarak juga diperlukan. Ini termasuk perkhidmatan yang disumbangkan oleh Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan lain-lain. Jabatan-jabatan itu adalah jabatan-jabatan persekutuan.

Ketiga, jika bidangkuasa mengeluarkan sijil halal diletakkan di bawah bidangkuasa negeri, sijil yang dikeluarkan oleh MAIN sesebuah negeri itu hanya berkuatkuasa dalam negeri itu sahaja. Ertinya, sebuah syarikat yang hendak memasarkan produknya ke seluruh Malaysia perlu memohon sijil halal daripada setiap negeri untuk diiktiraf di seluruh negara. Ini akan memakan masa dan juga belanja yang tinggi. Apabila menerima permohonan, setiap negeri akan mengadakan pemeriksaan dan ujian yang serupa menyebabkan duplikasi kerja.

Keempat, siasatan dan pendakwaan adalah dua perkara yang sangat penting. Jika ia diletakkan di bawah bidangkuasanegeri (pada pandangan saya itu tidak boleh dilakukan sebab ia terletak di bawah bidangkuasa persekutuan) kesalahan-kesalahan mengenainya hendak dibicarakan oleh mahkamah sivil atau mahkamah syariah? Mahkamah syariah tidak ada bidangkuasa terhadap orang bukan Islam, termasuk syarikat-syarikat. (Sebuah syarikat berhad bukanlah “seorang yang menganut agama Islam” sebab syarikat tidak boleh beriman atau kufur.) Ertinya, seorang individu bukan Islam dan syarikat tidak boleh dihadapkan ke mahkamah syariah kerana kesalahan-kesalahan pensijilan halal.

Pada masa yang sama, KPDNKK juga perlu menguatkan bahagin penguatkuasaan, penyiasatan, dan pendakwaannya. Tertakluk kepada pembetulan, sehingga ke hari ini, belum ada pendakwaan dilakukan. Kesalahan hanya dokompaun.

Ini menunjukkan kelemahan penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan di bawah susunan yang ada sekarang. Saya dapati sukar untuk mempercayai jika dikatakan selama ini hanya terdapat kesalahan-kesalahan kecil yang boleh dikompaun. Kerap kali, kes-kes dikompaun kerana pegawai berkenaan tidak berpengalaman dan takut berhadapan dengan peguam-peguam yang berpengalaman di mahkamah.

Kes-kes pensijilan halal boleh melibatkan syarikat-syarikat besar yang mampu mendapat perkhimatan peguam-peguam perpengalaman. Sebab itu kementerian juga perlu mempunyai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang berpengalaman dalam pendakwaan. Kita tidak boleh mengharapkan MAIN berbuat demikian kerana ia adalah jabatan kerajaan negeri, manakala TPR adalah pegawai persekutuan. Lagi pula, tidak cukup kerja/kes jika seorang TPR hendak diletakkan di setiap negeri, apatah lagi di Perlis.

Cadangan perubahan yang perlu dibuat

Saya berpendapat, kedudukan bidangkuasa yang sedia ada itu tidak sepatutnya diabah. Ia akan menimbulkan lebih banyak masalah. Perkara ini terletak di bawah tanggungjawab KPDNKK. Kementerian itulah yang sepatutnya ditugaskan untuk melaksanakannya.

Sekarang KPDNKK hanya menjadi “Pengawal”. Kerja pensijilan, penguatkuasaan, pengawasan, penyiasatan dan pendakwaan diserahkan kepada JAKIM dan MAIN. Semua itu adalah jabatan agama dan kebanyakan pegawai-pegawainya adalah berkelulusan syariah, pengajian Islam dan bahasa dan sastera Arab, yang tidak berkenaan dengan kerja-kerja itu.

Saya berpendapat, semua kerja-kerja pensijilan halal hendaklah dijalankan oleh KPDNKK sama seperti urusan mengenai perihal dagangan lain. Jika belum ada, satu bahagian pensijilan halal baru bolehlah diwujudkan dan di bawahnya diadakan bahagian pensijilan, penguatkuasaaan, penyiasatan, pendakwaan dan lain-lain yang perlu.

Saya dipahamkan bahawa KPDNKK mempunyai cawangannya di negeri-negeri. Semuanya boleh digunakan supaya urusan di sesebuah negeri dilakukan di negeri-negeri berkenaan, sama seperti urusan perihal dagangan lain yang dilakukan pada masa ini.

Untuk ujian saintifik, kerjasama jabatan-jabatan berkenaan di negeri-negeri berkenaan boleh diminta.

Penetapan hukum

Saya fikir soal hukum amat jarang timbul. Hampir semua benda yang halal dan haram telah diketahui. Misalnya, bahan binatang yang haram dimakan seperti babi adalah haram. Ia tidak memerlukan fatwa lagi. Masalahnya ialah menentukan bahan itu ada atau tidak dalam sesuatu produk. Apa yang perlu dilakukan ialah ujian saintifik, bukan fatwa.

Walau bagaimana pun, saya mencadangkan penetapan hukum untuk tujuan halal di bawah APD 2011 dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JFK). Untuk itu, JFK boleh diberi kuatkuasa undang-undang seperti Majlis Penasihat Syariah Bank Negara (MPSBN) dan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (MPSSS) mengikut Perenggan 4(k), Senarai I (Senarai Persekutuan), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan:

“(k) Penenetuan hukum Syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang persekutuan;”

Ia hendaklah dilakukan dengan mengadakan satu akta yang boleh dinamakan Akta Majlis Fatwa Kebangsaan (AMFK). Kuasa boleh diberi kepadanya untuk membuat penetapan hukum bagi maksud undang-undang persekutuan selain daripada perkara-perkara yang terletak di bawah MPSBN dan MPSSS. Jangan sentuh perkara-perkara yang terletak di bawah MPSBN dan MPSSS. Untuk mengetahui sebab-sebabnya, sila rujuk kertas kerja, ucapan dan rencana saya mengenainya yang boleh didapati dalam laman-laman web saya.

Kesimpulan

1. Kuasa mengeluarkan sijil halal dan perkara berkaitan dengannya adalah perkara persekutuan dan hendaklah dikekalkkan sebagai perkara persekutuan di bawah portfolio KPDNKK. Adalah tanggungjawab kementerian itu untuk menjalankan semua kerja yang berkaitan dengannya sama seperti perkara-perkara perihal perdagangan lain.

2. Bagi tujuan menentukan isu-isu syariah dan mengeluarkan keputusan mengenainya untuk tujuan undang-undang persekutuan, termasuk isu-isu syariah berkaitan dengan industri halal, tetapi tidak termasuk perkara-perkara yang terletak di bawah bidangkuasa MPSBN dan MPSSS, AMFK perlu diadakan. Ini akan memberi kuasa undang-undang kepada JFK dan keputusannya berkuatkuasa di seluruh Malaysia.

Akhir kata

Saya bimbang, kerana salah paham mengenai bidangkuasa serta prasangka terhadap JAKIM, pensijilan halal akan diserahkan kepada negeri-negeri, padahal ia terletak di bawah bidangkuasa persekutuan di bawah portfolio KPDNKK . Tindakan sedemikian bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan tetapi, saya percaya, akan menjejaskan industri halal Malaysia dan akan menghalang usaha Malaysia untuk menjadi hab industri halal. Sama seperti perbankan dan kewangan Islam, Malaysia sudah berada di hadapan dalam pensijilan halal, oleh itu, kita tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang mungkin menjejaskan kedudukan Malaysia, lebih-lebih lagi, kerana silap paham kita mengenai kedudukan sebenar.

17 Ogos 2018

[email protected]
www.tunabdulhamid.my
www.tunabdulhamid.me

318 visits