HALA TUJU UMNO SELEPAS PRU14

HALA TUJU UMNO SELEPAS PRU14
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

PRU14 telah berlalu. UMNO kalah teruk. Adakah perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan negara masih relevan? Adakah UMNO sudah tidak boleh dibaiki lagi? Patutkah ia dibiarkan terkubur? Atau, patutkah ia bertukar wajah dan menukar falsafah perjuangannya dan menjadi sebuah parti multi-racial? Atau bagaimana?

Saya menghujahkan bahawa UMNO tidak akan terkubur kerana kekalahan itu. Sebabnya adalah, pertama, pengundi-pengundi UMNO dalam PRU13 berpindah mengundi PH dalam PRU14 adalah kerana bencikan Dato’ Seri Najib dan pemimpin-pemimpin yang dilihat sebagai terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kebanyakan mereka bukanlah ahli UMNO yang keluar beramai-ramai dan menjadi ahli PPBM, Amanah atau pun DAP. Mereka hanya mengundi PH dalam pilihanraya itu. Kebanyakan mereka masih sayangkan UMNO.

Kedua, jika dibanding (anggaran) undi Melayu yang diperolehi UMNO dengan yang diperoehi PH, saya fikir UMNO memperolehi lebih banyak undi Melayu daripada PH. Jika dijumlah (anggaran) bilangan undi Melayu yang diperolehi UMNO dan PAS dan dibandingkan dengan yang diperolehi PH, saya percaya, bilangan undi Melayu yang diperolehi UMNO dan PAS adalah lebih kurang dua pertiga, manakala PH memperolehi, paling tinggi, satu pertiga sahaja. Ertinya dua pertiga pengundi Melayu masih menolak PH.

Ketiga, kekalahan UMNO juga disebabkan oleh pengundi-pengundi muda. Saya hujahkan orang muda memang begitu. Mereka tidak merasai pengalaman hidup di bawah penjajahan British, pemerintahan tentera Jepun, Bintang Tiga dan darurat. Mereka lahir dan hidup dalam keadaan merdeka, aman, tenteram, makmur dan dengan sekolah menengah, universiti dan biasiswa yang sedia menunggu.

Mereka tidak sedar bahawa UMNOlah yang berjuang untuk memperolehi semua itu. Mereka lupa bahawa kebanyakan mereka baru sahaja keluar dari kampung atau pedalaman satu atau dua generasi. Meraka lupa, tanpa itu semua, di mana mereka?

Pada umur itu, mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, apatah lagi di luar negera atas biasiswa kerajaan persekutuan yang diterajui oleh UMNO, dipengaruhi oleh ilmu akademik yang diajar oleh profesor-profesor mereka dan dari apa yang mereka (baru) baca, tertarik dengan konsep kesamarataan yang dilaungl-laungkan oleh PH dan NGO-NGO bukan Melayu. Mereka tidak menyedari bahawa, dalam konteks Malaysia, ia merugikan orang Melayu.

Lagi pula, pada umur itu mereka hendak “menukar dunia” (change the world).

Satu lagi kumpulan orang muda yang mengundi PH adalah yang tidak tinggi pelajarannya, termasuklah Mat Rempit. Mereka adalah golongan anti-establishment dan tertarik dengan ucapan-ucapan seperti ucapan YB Mohamad Sabu. Bagi mereka, manjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan adalah satu keseronokan.

Saya percaya, dalam masa 10 atau 20 tahun apabila anak-anak mereka akan mencari tempat untuk masuk ke universiti dan biasiswa dan, selepas itu, mencari kerja, mereka akan sedar kebijaksanaan pemimpin-pemimpin UMNO untuk menyediakan semua itu.

Namun demikian, untuk berlaku adil kepada semua, terutama sekali melihat apa yang berlaku dalam masa dua minggu selepas PRU14, Dato’ Seri Najib perlu disingkirkan dan tidak ada jalan lain melainkan menjatuhkan kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO dengan beliau bersamanya. Itu realitinya dan tragedinya. Semua pemimpin-pemimpin UMNO mesti memikul tanggungjawab menyebabkan kerajaan BN yang diterajui UMNO selama enam dekad itu tumbang.

Jika UMNO tidak terkubur, maka UMNO perlu diperkuatkan semula. Apa yang perlu dilakukan?

Pemimpin-pemimpin yang menjadi liability hendaklah disingkir dan digantikan dengan muka-muka baru yang bersih. Sekarang adalah masa yang paling baik untuk berbuat demikian kerana, pertama, terdapat kekosongan di atas dan tidak ada sesiapa yang nampak jelas untuk menggantikan Dato’ Seri Najib. Kedua, tanpa kuasa, politik wang akan berkurangan.

Pemimpin-pemimpin baru itu hendaklah belajar daripada kesilapan pemimpin-pemimpin UMNO pra-PRU14 dan tidak mengulanginya. Buangkan amalan dan sifat-sifat keji yang dibenci oleh pengundi. Persidangan Agung UMNO janganlah dijadikan medan pertandingan lawak jenaka dan suara siapa paling kuat untuk mendapat tepukan gemuruh. Itu tempat berbincang dengan serius dengan hujah-hujah yang bernas mengenai kedudukan dan masa depan UMNO dan negara.

Dengan itu, saya percaya banyak pengundi UMNO sebelum PRU14 yang berpindah mengundi PH akan kembali kepada UMNO.

UMNO tidak perlu risau jika terdapat ahli-ahli yang lari untuk memasuki PPMB, PKR ATAU Amanah. Kebanyakan mereka itu adalah opportunis yang mengharapkan sesuatu. Biarkan mereka pergi. UMNO akan menjadi lebih bersih.

Adakah falsafah perjuangan UMNO masih relevan?

Bagi saya, jawapan kepada soalan ini tertakluk kepada jawapan kepada soalan: Apakah tujuan ahli-ahli UMNO berjuang? Adakah mereka berjuang semata-mata untuk menang pilihan raya, dapat menubuhkan kerajaan dan mendapat habuan daripadanya? Atau, adakah mereka berjuang untuk matlamat tertentu, ia itu untuk agama, bangsa dan negara, dalam konteks Malaysia sekarang, untuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan lain-lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

Jika yang pertama, maka ikutlah sahaja apa yang disukai oleh majoriti pengundi seperti di negara-nagara barat. Buat kaji selidik, jika lebih banyak pengundi sukakan hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam dihapuskan, pinda matlamat perjuangan UMNO ke arah itu untuk mendapt undi mereka!

Soalnya, adakah itu matlamat perjuangan UMNO?

Sebaliknya, jika matlamat perjuangan UMNO adalah yang kedua, maka, sama ada menang atau kalah dalam pilihanraya, matlamat perjuangan itu tetap kekal.

Mungkin dihujahkan bahawa adalah lebih baik menang daripada kalah kerana jika menang, sebagai pemerintah kita dapat melakukan apa yang kita mahu. Hujah itu sah (valid) jika kita tidak terpaksa membuang matlamat kita untuk menang. Jika dari awal kita terpaksa membuangnya, jika menang pun, apa yang boleh dilaksanakan lagi? Kita sudah terikat dengan manifesto kita. Parti-parti yang menjadi rakan dalam pilihanraya itu tidak akan membenarkan kita berpatah balik (to go back on ) daripada janji-janji kita.

Seterusnya, jika matlamat perjuangan UMNO adalah yang kedua, maka UMNO perlulah menjelaskan pendiriannya. Dalam berbuat demikian, UMNO perlu menjelaskan bahawa ia hanya mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dan lain-lain yang telah dipersetujui semasa mencapai kemerdekaan dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, yang telah berjalan dengan baik selama enam dekad sehingga menjadikan Malaysia sebuah begara yang aman, tenteram dan makmur, malah sebuah negara membangun dan negara Islam contoh di dunia. Siapa rakyat Malaysia yang hidup selepas merdeka yang boleh berkata dia tidak langsung menikmatinya, tidak kira apa bangsa dan agamanya?

Dalam hal ini UMNO hanya mahukan hak masing-masing dikekalkan, bukan hendak mengambil hak pihak lain. Sebaliknya, pihak lain itulah yang mahu lebih. Yang lebih itu akan datang dari mana? Tentu dari hak orang Melayu. Jika tidak dari mana lagi? Itu yang ditentang oleh UMNO.

Patutkah UMNO diubah menjadikan sebuah parti multi-racial? Tujuannya ialah untuk menambah keahlian dan, dengan itu, pengundinya. Saya fikir tidak berbaloi berbuat demikian. Pertama, ia tidak akan menarik orang bukan Melayu menjadi ahli UMNO dengan ramai. Lihat sahaja kepada DAP dan Gerakan. Berapa ramaikah orang Melayu menyertainya? PKR tidak banyak bezanya. Yang menyertainya adalah peringkat pemimpin atasan yang mencari tempat dalam parti baru. Lihatlah berapa banyak pengorbanan yang terpaksa dubuat olah PKR untuk melayan (accomodate) mereka.

Kedua, adalah sukar untuk memilih siapa yang jujur dan siapa tidak. Mungkin ada yang menyertai UMNO dengan tujuan membuat kacau, malah mengubahnya dari dalam.

Biar apa pun, faktor utama yang akan menentukan sama ada UMNO akan semakin berkembang atau tidak di masa hadapan ialah apa yang dilakukan oleh penyokong-penyokong PH dan kerajaan PH. Lagi banyak tuntutan dibuat oleh kumpulan-kumpulan seperti Hindraf (atau serpihannya), Dong Zong dan Komango, malah DAP dan lagi banyak tuntutan mereka dilayan, semakin sedarlah orang Melayu bahawa hak mereka semakin terhakis.

Itu akan menyebabkan orang Melayu marah dan kembali kepada UMNO. (Maaf jika saya katakan orang Melayu kerapkali membuat keputusan kerana marah, bukan kerana fikir). Pada masa itu mungkin anak-anak muda yang disebut awal tadi pun, akan mula sedar.

Sebaliknya, jika kerajaan PH pandai menjaga hak dan kepentingan semua pihak dengan adil mengikut apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan orang Melayu merasai bahawa hak merekan terjamin, masa depan UMNO mungkin malap.

Bagi saya itu, tidak mengapa. Pokok pangkalnya hak semua pihak dipelihara dengan adil, mengikut peruntukan Perlembagaan, seperti yang dilakukan semenjak merdeka. Kita tidak kisah siapa melakukannya, asalkan ia dilakukan. UMNO bukan matlamat. Ia hanya alat untuk mencapai semua itu.

Tetapi, jika keadaan demikian berlaku pun, UMNO perlu terus ada untuk manjadi penjaga kepentingan orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Satu perkara yang perlu diingatkan di sini ialah, penghakisan hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu bukan hanya boleh dilakukan melalui pindaan Perlembagaan. Perlembagaan tidak perlu dipinda, tetapi penghakisan boleh dibuat melalui tindakan pentadbiran.

Memberi beberapa contoh, pertama, jika, seperti yang dijanjikan dalam kempen pilihanraya PH bahawa jumlah kakitangan awam akan di kurangkan separuh. Siapakah yang akan dibuang kerja itu jika bukan orang Melayu? Apabila bilangannya ditambah semula, nisbahnya semestinya akan merugikan orang Melayu.

Kedua, katakan sahaja biasiswa diberi mengikut merit, bilangan pelajar Melayu yang memperolehi biasiawa akan berkurangan berbanding dengan pelajar Cina. Sekarang, nasib baiklah terdapat Maktab Rendah Sains MARA dan sekolah-sekolah menengah seperti Sekolah Tunku Khursiah, Sekolah Seri Putri, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Sekolah Dato’ Abdul Razak dan lain-lain. Tetapi, berapa ramaikah pelajar yang boleh masuk ke sekolah-sekolah itu? Apatah lagi jika sekolah-sekolah itu dibuka kepada pelajar-pelajar bukan Melaya. Yang lainnya kekal di sekolah-sekolah di luar bandar dan tinggal di kampung yang kurang conducive untuk belajar berbanding dengan pelajar-pelajar Cina yang tinggal di bandar-bandar besar, berdekatan sekolah-sekolah ternama, tinggal di rumah yang jauh lebih selesa dan ibu bapa yang berpendapatan jauh lebih tinggi dan mampu membayar guru tiusyen.

Saya bercakap dari pengalaman sendiri. Sila baca biografi saya dalam laman-laman web saya. Saya tidak pernah termimpi untuk dapat masuk ke Universiti Harvard atau London School of Economics and Political Science. Anak-anak saya berjaya belajar di university-universiti itu, malah berjaya pula mendapat biasiswa Fulbright dan Matsushita Internal Foundation. Bezanya antara mereka dengan saya ialah mereka tidak mengalami handicap yang saya alami.

Ketiga, kerajaan PH boleh menutup beberapa universiti dan institusi Islam, malah jabatan Islam atas alasaan ianya terlalu banyak, bertindan, tidak perlu atau, kurangkan sahaja perbekalan kepada universiti-universiti, institusi-institusi Islam dan jabatan itu!

Jika UMNO dapat dipulihkan sekalipun, selagi orang Melayu berpecah belah, politik orang Melayu akan terus lemah. UMNO, PAS dan Perkasa perlu mencari jalan untuk bersatu atau berkerjasama.

Kebanyakan ahli-ahli Perkasa adalah bekas atau masih menjadi ahli UMNO. Saya dapati mereka itu berjiwa Melayu seperti ahli-ahli UMNO di tahun 50an. Mereka kecewa dengan UMNO. Saya fikir mereka patut kembali kepada UMNO. Mereka tidak sepatutnya menubuh parti baru. Ia hanya akan lebih mengeliru dan memecahbelahkan orang Melayu.

Saya telah banyak menulis mengenai perlunya kerjasama antara UMNO dan PAS demi menjaga kepentinga orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Saya tidak akan mengulanginya di sini. Sila rujuk laman-laman web saya. Memadailah dengan mengatakan bahawa di Pantai Barat, adalah jelas bahawa perlawanan tiga penjuru merugikan UMNO dan PAS. Ini perlu dielak di masa hadapan.

Untuk itu, kedua-dua pihak hendaklah mengenepikan kepentingan diri dan parti dan mencari jalan berkerjasama dalam PRU yang akan datang.

Wallahu a’lam.

01 Jun 2018 / 16 Ramadan 1439

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

1,002 visits