ADAKAH FATWA MENGIKAT SYARIKAT?

ADAKAH FATWA MENGIKAT SYARIKAT?

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Rencana ini merujuk kepada fatwa Jawatankuasa Fatwa Selangor bertajuk “Fatwa Pemikiran Liberalisme Dan Pluralisme Agama” yang disiarkan dalam Warta Selangor pada 17 Julai 2014.

Bahagian II (Senarai Negeri) kepada Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, antara lain, memperuntukkan bahawa undang-undang Islam seperti yang disebutkan dalam Perenggan 1 terletak dalam bidangkuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat undang-undang. Peruntukan-peruntukan berikut dalam Perenggan 1 Senarai Negeri akan menjadi relevan dalam perbincangan di bawah:

“hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam”;

“pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam”;

“keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam”;

“mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam”;

“penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak…”

Perhatikan bahawa frasa “orang yang menganut agama Islam” digunakan berulang kali dalam perenggan itu. Oleh itu, undang-undang Islam, pewujudan dan hukuman bagi kesalahan, bidang kuasa mahkamah Syariah dan kawalan penyebaran doktrin dan kepercayaan, semuanya dikaitkan dengan orang yang menganut agama Islam.

Sudah tentu, frasa “orang yang menganut agama Islam” itu merujuk kepada manusia, orang atau individu yang boleh beriman atau tidak beriman, yang kepada mereka Nabi Muhammad (s.a.w.) telah diutuskan dan Al-Quran diturunkan.

Selaras dengan Senarai Negeri, DUN Selangor membuat Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Enakmen No. 1 tahun 2003).

Seksyen 2 enakmen tersebut, antara lain, memperuntukkan:

‘“orang Islam” ertinya—

(a) seseorang yang menganut agama Islam;

(b) seseorang yang salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya, pada masa kelahiran orang itu, ialah orang Islam;

(c) seseorang yang dibesarkan atas asas bahawa dia orang Islam;

(d) seseorang yang lazimnya dikenali sebagai orang Islam;

(e) seseorang yang telah memeluk agama Islam mengikut seksyen 108; atau

(f) seseorang yang ditunjukkan telah menyatakan dalam hal keadaan apabila dia terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar, bahawa dia ialah orang Islam, sama ada pernyataan itu secara lisan atau bertulis;

dan termasuklah Majlis Agama Islam Selangor yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Enakmen ini’.

Perhatikan bahawa dalam semua subseksyen itu, perihalan yang dilampirkan pada perkataan “seseorang” itu hanya boleh bermakna bahawa ia merujuk kepada manusia. Ia tidak boleh memberi apa-apa makna lain kerana hanya manusia boleh menganut agama Islam atau bukan Islam, beriman atau tidak beriman. Ini adalah selaras dengan frasa “orang yang menganut agama Islam” dalam Senarai Negeri.

Selanjutnya, perhatikan bahawa proviso kepada Seksyen 2 “dan termasuk Majlis Agama Islam Selangor yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Enakmen ini” hanya ditambah pada tahun 2011 oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2011 (Enakmen 25 tahun 2011).

Hakikat bahawa ia ditambah kemudian jelas menyokong hujah saya bahawa peruntukan asal tidak termasuk bukan manusia. (Sama ada, memandangkan kepada frasa “orang yang menganut agama Islam” dalam Perlembagaan, pindaan itu sah atau tidak, adalah satu perkara lain.) Atas andaian bahawa ia sah, jika syarikat-syarikat hendak dimasukkan dalam takrifan “orang Islam”, pindaan yang serupa perlulah dibuat.

Seksyen 46 memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Fatwa. Adalah jelas bahawa ia dibuat mengikut frasa dan bagi maksud “penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak” dalam Senarai Negeri.

Seksyen 47 memperuntukkan kuasa jawatankuasa itu untuk “menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubungan dengan Hukum Syarak.”

Seksyen 49 memperuntukkan:

“Fatwa yang disiarkan dalam Warta adalah mengikat

49. (1) Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di Negeri Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan peribadi.

Perhatikan juga bahawa fatwa, apabila disiarkan dalam Warta hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam, yang, menurut takrifan dalam Seksyen 2, semestinyalah orang (manusia) yang beragama Islam. Selepas itu adalah menjadi kewajipannya di sisi agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu. Ini juga adalah konsisten dengan frasa “orang yang menganut agama Islam” dalam Senarai Negeri.

Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Enakmen No. 9 tahun 1995) memperuntukkan:

“Seksyen 13. Pendapat yang bertentangan dengan fatwa.

(1) Mana-mana orang yang memberikan, mengembangkan atau menyebarkan apa-apa pendapat tentang apa-apa isu, ajaran Islam atau Hukum Syara’ yang bertentangan dengan mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mahkamah boleh memerintahkan supaya mana-mana dokumen atau bahan antara lain yang mengandungi pendapat yang disebut dalam subseksyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan yang berkaitan dengan pendapat itu.”
Saya menghujahkan bahawa, memandangkan bahawa enakmen itu dibuat di bawah Senarai Negeri, perkataan “mana-mana orang” semestinya bermaksud orang (manusia) yang memeluk agama Islam.
Kita perhatikan bahawa, setakat ini, peruntukan-peruntukan Perlembagaan dan semua undang-undang yang dibuat di bawah Senarai Negeri adalah terpakai kepada “orang yang menganut agama Islam”, yang semestinyalah manusia. Majlis Agama Islam Selangor adalah satu-satunya pengecualian. Sama ada ia bercanggah dengan Perlembagaan atau tidak, tidak berkenaan dengan perbincangan kita di sini.
Selanjutnya, perhatikan bahawa kuasa untuk melucuthakkan dan memusnahkan sebarang dokumen atau bahan lain yang mengandungi pendapat yang bertentangan dengan fatwa, terletak pada mahkamah, bukan Jawatankuasa Fatwa.
Enakmen itu berfungsi begini. Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa. Apabila disiarkan dalam Warta, Seksyen 13 mula berkuatkuasa. Jika mana-mana orang memberi, mengembangkan atau menyebarkan apa-apa pendapat mengenai apa-apa isu, ajaran Islam atau Hukum Islam yang bertentangan dengan fatwa itu, dia melakukan suatu kesalahan. Jika mana-mana dokumen atau medium lain yang mengandungi pendapat yang dilarang itu akan dilucuthakkan dan dimusnahkan, maka mahkamah akan membuat perintah itu.
Pada 17 Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor menyiarkan fatwa berikut dalam Warta:

“FATWA PEMIKIRAN LIBERALISME DAN PLURALISME AGAMA

1. SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

2. Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.

3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.

4. Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.”

Merujuk kepada perenggan 1, perkara (subject matter) fatwa itu, seperti yang disebut dalam tajuknya dengan betul, adalah pemikiran liberalisme dan pluralisme agama. Oleh itu, fatwa itu sepatutnya hanya menyatakan bahawa “pemikiran liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.”

Fatwa seperti itu akan selaras dengan kesalahan yang terdapat dalam Seksyen 13 (1) Enakmen No. 9 tahun 1995), iaitu memberikan, mengembangkan atau menyebarkan pemikiran liberalisme dan pluralisme agama yang merupakan satu pendapat tentang isu, ajaran Islam atau Hukum Syara’ yang bertentangan dengan fatwa.

Perhatikan betapa peliknya kesalahan itu jika dikatakan: memberikan, mengembangkan atau menyebarkan SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, organisasi atau institusi, yang merupakan satu pendapat tentang isu, ajaran Islam atau Hukum Syara’ yang bertentangan dengan fatwa.

Ingat, bahawa fungsi Jawatankuasa Fatwa adalah “menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubungan dengan Hukum Syarak”(Seksyen 47) yang merupakan “penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak” (Senarai Negeri).

Dengan mengatakan bahawa “SIS Forum (Malaysia)… yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama, adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”, Jawatankuasa Fatwa itu telah membuat keputusan fakta bahawa SIS Forum (Malaysia) berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama. Selepas itu, ia memutuskan bahawa SIS Forum (Malaysia) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, tanpa memberinya hak untuk didengar, bertentangan dengan prinsip natural justice.

Membuat keputusan seperti itu adalah fungsi mahkamah, selepas perbicaraan.

Atas sebab penafian natural justice sahaja, setakat fatwa itu menyatakan bahawa SIS Forum (Malaysia) … yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama, adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, fatwa itu tidak sah.

Kedua, fatwa itu menganggap SIS Forum (Malaysia), pertubuhan dan institusi sebagai orang (manusia) yang menganut agama Islam dan yang boleh berpegang dengan pemikiran liberalisme dan pluralism agama.

Itu satu lagi kecacatan fatwa itu. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, fatwa hanya dimaksudkan untuk manusia (individu, orang) yang menganut agama Islam, bukan entiti undang-undang atau robot.

SIS Forum (Malaysia) adalah sebuah syarikat yang dihadkan oleh jaminan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965. Ia mempunyai entiti undang-undang yang berasingan daripada penjamin/pemegang saham. Ia bukan seorang Islam atau bukan Islam kerana ia tidak boleh beriman dengan Islam atau agama apa pun, malah, dengan pemikiran liberalisme dan pluralism agama. Oleh itu, fatwa tidak mengikatnya. Yang terikat dengan fatwa adalah orang (manusia) yang menganut agama Islam, termasuklah pegawai dan ahli SIS Forum (Malaysia).

Jawatankuasa Fatwa telah membuat kesilapan yang sama apabila ia mengeluarkan fatwa bahawa syarikat-syarikat diwajibkan membayar zakat. (Lihat “Fatwa Tentang Zakat Ke Atas Syarikat Yang Dimiliki Oleh Pelbagai Jenis Pemegang Saham Yang Bercampur Muslim dan Non- Muslim” bertarikh 24 Julai 2001.)

Besar kemungkinan, dalam mengluarkan kedua-dua fatwa itu, jawatankuasa itu tidak menyedari isu entiti undang-undang berasingan syarikat atau bahawa fatwa hanya mengikat orang-orang yang menganut agama Islam.

Bagaimanapun, apabila isu itu dibangkitkan, cendekiawan-cendikiawan Syariah menyelidik jurisprudence tradisional Syariah untuk mencari sama ada Syariah mengiktiraf konsep entiti undang-undang berasingan. Mengikut kajian mereka, masjid, Baitul mal dan wakaf adalah entiti undang-undang berasingan (walaupun kesemuanya sangat berbeza dengan syarikat berhad) dan oleh itu, mereka memutuskan bahawa Syariah mengiktiraf konsep entiti undang-undang berasingan.

Untuk memberi agama kepadanya, mereka melihat kepada pemegang saham sesebuah syarikat itu. Jika pemegang sahamnya orang Islam, berkenaan dengan zakat, mereka berkata syarikat itu wajib membayar zakat. Mereka tidak pula berkata syarikat itu juga wajib solat, berpuasa dan menunaikan haji!

Saya yakin, apabila isu yang sama dibangkitkan berkenaan dengan SIS Forum (Malaysia), dalam mempertahankan fatwa itu, para cendikiawan Syariah itu akan bergantung pada hujah yang sama.

Beberapa cendekiawan Syariah yang telah mendengar prinsip mengangkat tudung korporat (lifting the corporate veil), kini cuba bergantung pada prinsip itu untuk mengenakan (attribute) agama pemegang saham kepada syarikat berkenaan.

Saya mengatakan bahawa mereka salah dalam kedua-duanya.

Mengenai yang pertama, mereka tidak memahami bahawa sebuah syarikat mempunyai entiti undang-undang yang berasingan daripada pemegang-pemegang sahamnya. Sebuah syarikat tidak boleh beriman atau tidak beriman, oleh itu ia tidak boleh menjadi seorang yang menganut agama Islam atau bukan Islam. Undang-undang mengatakan dengan jelas bahawa fatwa hanya dimaksudkan untuk orang Islam, yang bermaksud manusia atau individu yang menganut agama Islam.

Mengenai yang kedua, mengangkat tudung korporat (lifting the corporate veil) adalah prinsip common law yang sangat jarang digunakan oleh mahkamah, untuk mengenakan liabiliti sebuah syarikat kepada pemegang-pemegang sahamnya. Contoh yang mudah ialah di mana syarikat berhutang sejumlah yang ia tidak mampu membayarnya. Dalam keadaan yang sangat terkecuali (Under very exceptional circumstances), mahkamah mengangkat tudung korporat (lift the corporate veil) untuk menjadikan pemegang-pemegang saham bertanggungjawab untuk membayar hutang syarikat itu.

Tidak ada keadaan di mana tudung korporat diangkat untuk menjadikan syarikat bertanggungjawab membayar hutang pemegang-pemegang sahamnya, yakni terbalik (reverse). Inilah yang cuba dilakukan oleh cendikiawan Syariah itu, di sini: mereka cuba mengangkat tudung korporat untuk melihat agama pemegang saham dan menjadikan (attribute) agama pemegang-pemegang saham sebagai agama syarikat itu. Jika hutang pemegang-pemegang saham pun tidak boleh dijadikan hutang syarikat, apatah lagi agama mereka! Dengan hormat, mereka telah tersalahpaham prinsip itu sepenuhnya.

Saya ulangi bahawa, di bawah undang-undang kita, Jawatankuasa Fatwa hanya diberi kuasa untuk “menyediakan fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubungan dengan Hukum Syarak”. Fungsinya adalah untuk menentukan hukum, bukan untuk menghakimi sesiapa, tanpa kehadiran, apatah lagi syarikat, sama ada ia sesat atau tidak (syarikat tidak bolah sesat atau tidak sesat) tanpa memberikannya hak untuk didengar.

Apabila disiarkan dalam Warta, fatwa hanya mengikat manusia yang beragama Islam, bukan entiti undang-undang yang tidak boleh beriman atau tidak beriman dan, oleh itu, bukan seorang Islam atau bukan Islam. Untuk menjadikan fatwa mengikat syarikat, syarikat mestilah dianggap sebagai seorang manusia/individu yang beragama Islam. Itu tidak betul.

Seterusnya, “syarikat” adalah perkara persekutuan dan tidak boleh tertakluk kepada undang-undang negeri yang dibuat di bawah Senarai Negeri yang mewujudkan kesalahan terhadap ajaran Islam oleh orang yang menganut agama Islam, kerana syarikat tidak boleh menganut apa-apa agama.

Selain dari itu, syarikat juga berada di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mungkin dikatakan bahawa ini adalah satu lacuna (kesilapan) dalam undang-undang berkenaan. Saya katakan tidak. Penggubal Perlembagaan dan penggubal undang-undang berkenaan mengetahui siapa yang mereka berikan perhatian: manusia yang boleh menganut agama Islam atau bukan Islam; yang boleh mematuhi dan menegakkan atau menolak dan mengabaikan fatwa; yang tertakluk kepada kesalahan yang dibuat di bawah Senarai Negeri; dan yang tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Itu Jawatankuasa Fatwa gagal memahaminya.

Merujuk kepada Perenggan 2 fatwa, walaupun berkenaan orang-orang Islam, Jawatankuasa Fatwa tidak mempunyai bidangkuasa untuk membuat perintah untuk melucuthakkan dan memusnahkan mana-mana dokumen atau bahan lain yang mengandungi pendapat yang ditegah itu. Subseksyen (2) seksyen 13 Enakmen No. 9 tahun 1995 dengan jelas menyatakan bahawa yang mempunyai kuasa untuk membuat perintah berkenaan ialah mahkamah. Bidangkuasa Jawatankuasa Fatwa hanyalah “penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak”.

Mengenai Perenggan 3, saya tidak fikir Jawatankuasa Fatwa mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan perintah sedemikian terhadap agensi persekutuan, selain daripada ia bukan seorang Islam atau bukan Islam.

Mengenai Perenggan 4, saya tiada komen.

Sila ambil perhatian bahawa saya tidak mengatakan bahawa fatwa itu salah menurut hukum syarak. Sebaliknya, saya hanya menunjukkan bahawa fatwa itu, seperti yang dibuat itu, telah melebihi kuasa yang diberikan kepada Jawatankuasa Fatwa oleh Perlembagaan dan undang-undang.

Untuk mencari kebenaran, saya mengalu-alukan hujah undang-undang yang berlawanan. Saya tidak kisah tentang keputusan. Saya lebih pentingkan alasan-alasan.

12 09 2019

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

143 visits