INTEGRITI: FIKIRLAH SENDIRI APA YANG ANDA MAHU

MAJLIS AMANAT PERDANA INTEGRITI 2021 (MAPI 21)
BICARA EKSEKUTIF INTEGRITI BERSAMA YABHG TUN ABDUL HAMID MOHAMAD

28 Februari 2022

INTEGRITI: FIKIRLAH SENDIRI APA YANG ANDA MAHU DALAM HIDUP INI

 

Ucapan ini mula-mula ditetapkan untuk disampaikan pada 24 Februari 2021. Disebabkan oleh wabak Covid-19, ia ditangguh dan ditangguh hinggalah ke hari ini, iaitu selama satu tahun empat hari. Mungkin tuan-tuan terfikir itu adalah satu tempoh yang panjang untuk saya menulis ucapan ini. Jika itulah yang difikirkan, ia tidak betul. Sebenarnya, saya mengambil lebih kurang 70 tahun untuk boleh menulis ucapan ini.
Lebih kurang lapan tahun dahulu, saya dan Dr. Chandra Muzaffar dijemput berucap dalam satu seminar mengenai integriti. Saya berucap dahulu. Saya perhatikan, kami mempunyai satu persamaan: kedua-dua kami berkerusi roda. Maka saya mulakan ucapan saya dengan berkata: nampaknya seseorang itu hanya layak dijemput bercakap mengenai integriti setelah dia berkerusi roda. Hadirin ketawa.

Jika analisis itu betul, hari ini, ditambah dengan bedridden selama tujuh tahun, mungkin saya lebih layak menyampaikan ucapan ini.

Saya tidak mengatakan YB Dato Talib Zulfilip menunggu sehingga keadaan saya menjadi begini baru beliau yakin untuk menjemput saya menyampaikan ucapan ini. Sebenarnya, saya mula mengenali beliau apabila saya menerima email daripadanya selepas saya menyampaikan ucapan “Integrity: You Know It But Do You Have It?” di Universiti Tenaga Nasional Malaysia (UNITEN) pada 03 Februari 2012, iaitu sembilan tahun dahulu.

Selepas itu, beliau menziarahi saya beberapa kali. Beliau telah menjadi penyebar utama ucapan saya itu dan pembeli buku-buku saya yang nombor dua terbanyak.

Alasan mengapa Dato’ Talib memilih buku pertama saya yang bertajuk I Will Never Beg untuk dijadikan cenderamata ialah kerana, mengikutnya, “This book is about integrity”. “How many people can write an autobiography with such a title?”, tanya beliau. Saya terhormat dengan komennya.

Semenjak itu, beliau mencadangkan saya pergi ke Sarawak untuk memberi ucapan mengenai integriti di sana. Malangnya, kesihatan saya tidak mengizinkan, hinggalah ke hari ini, itu pun ucapan ini hanya disampaikan melalui rakaman.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya sudah berada di penghujung jalan. Maka, hari ini, saya bercadang untuk berkongsi pemerhatian dan pengalaman saya dengan tuan-tuan dan puan-puan

Saya perhatikan bahawa, dalam masyarakat kampung dalam tahun-tahun 1950an (dan saya percaya, lebih awal), terdapat orang yang telah menjalani penghidupannya sebagai orang yang sangat berintegriti walaupun dia sendiri tidak tahu perkataan integriti, wibawa, telus dan sebagainya. Tetapi, dia tahu halal dan haram, baik dan buruk, benar dan salah, jujur dan ikhlas, memalukan dan dihormati. Dalam kehidupannya, dia lakukan apa yang baik, benar dan terhormat dan menjauhkan diri daripada sifat-sifat yang buruk, salah, dilarang dan memalukan. Dengan cara itu, tanpa disedarinya, dia menjadi seorang yang dihormati, berintegriti dan disanjung tinggi oleh masyarakat di sekelilingnya.

Sebagai contoh, saya memilih seorang orang kampung saya yang lahir di akhir abad ke sembilan belas dan meninggal dunia di akhir abad ke dua puluh. Bapanya seorang penanam padi. Selepas mengaji pondok di Kedah dan di Kelantan, bapanya menghantarnya ke Mekah. Setelah tinggal di sana beberapa tahun, beliau pulang ke kampungnya, berkahwin dengan seorang gadis sekampung, bekerja sebagai seorang penanam padi sambil mengajar al-Qur’an secara percuma dua kali sehari dan menjadi imam di masjid di qariah berkenaan.

Masjid berdindingkan buluh di qariah itu sudah buruk. Beliau mengadakan pakatan mengutip wang sebanyak RM15 satu keluarga setiap kali lepas menuai. Wang kutipan disimpan olehnya. Dalam tempoh itu beliau membeli sebuah kereta Austin 8, second hand. Khuatir disyaki beliau menggunakan “duit masjid”, pada hari Jumaat berikutnya, beliau membawa bungkusan “duit masjid” itu ke masjid. Sebelum solat Jumaat, beliau bangun dan berkata “Jika ada sesiapa yang menyangka saya menggunakan duit masjid untuk membeli kereta, sila datang kira,” sambil menunjuk kepada bungkusan duit masjid yang diletaknya di atas lantai balai lintang itu. Tiada siapa pun bergerak atau berkata apa-apa. Cukup duit dikutip, masjid pun dibina dengan sumbangan anak qariah sepenuhnya. Di zaman sebelum Merdeka, tidak ada bantuan kerajaan untuk membina masjid.

Di kawasan itu tidak ada sekolah. Di bawah pimpinannya, penduduk tempatan berpakat membina sekolah dengan menggunakan kayu dan buluh yang ditebang di hutan sungai mati berdekatan dan beratapkan nipah yang dibeli dengan wang kutipan. Sekolah siap, pejabat pelajaran menghantar guru, budak-budak di kawasan berkenaan pun pergi ke sekolah.

Terdapat seorang imam muda, orang Kedah yang berkahwin dengan anak saudaranya. Ada khabar-khabar angin imam muda itu menerima wang daripada taukeh kedai di mana permainan judi belangkas dijalankan. Satu hari Jumaat ditetapkan untuk “menyiasat” khabar-khabar angin itu. Beliau mencabar sesiapa yang melihat kejadian itu berlaku. Dua orang ahli qariah tampil ke hadapan membuat iqrar mereka melihatnya. Imam muda itu dipecat. Pada masa itu belum ada Majlis Agama Islam.

Ada seorang India bernama Banggaru yang tinggal berdekatan kampungnya. Isteri Banggaru meninggal dunia semasa melahirkan anaknya yang ke sebelas. Rumah Banggaru yang dibuat daripada tanah liat dan bahan-bahan buangan itu ditenggelami air. Beliau mengajak Banggaru dan anak-anaknya tinggal di bawah rumahnya sehingga banjir surut.

Lebih kurang 30 tahun kemudian sebuah kereta datang ke rumahnya. Di dalamnya, terdapat tiga orang lelaki India. Yang duduk di belakang kelihatan tua dan uzur. Dua orang yang lebih muda yang duduk di hadapan itu mengangkat lelaki tua itu masuk ke rumahnya. Orang itu adalah Banggaru. Dia hendak berjumpa dengan “Haji” sekali lagi sebelum dia mati untuk berterima kasih atas segala pertolongannya di masa dahulu. Banggaru tahu berterima kasih. Dia meninggal dunia tidak lama kemudian.

Terdapat dua keluarga Cina di tepi kampung itu, Ah Chua dan Mat Leh. Mereka selalu bergaduh. Selepas bergaduh mereka berlari ke rumahnya untuk mengadu mengenai yang lainnya. Beliau menasihati mereka supaya berbaik-baik.

Ada seorang Cina yang datang dari luar dan membuka kedai basikal di situ. Dia pergi ke rumah beliau untuk meminjam beberapa ratus ringgit. Pinjaman diberi tanpa faedah kerana faedah itu riba. Perniagaan Cina itu berkembang dan diwarisi oleh anak-anaknya. Saya tidak tahu sama ada anak-anaknya mengetahui kisah itu.

Suatu hari, emak Penghulu kampung itu pergi ke rumahnya mengadu dia dihalau oleh anaknya. Lebih kurang sepuluh tahun kemudian Penghulu tersebut, yang sudah bersara datang ke rumahnya, mengadu anaknya menghalaunya keluar dari rumah yang sama. Beliau mengingatkan penghulu itu berkenaan peristiwa yang lebih awal.

Walaupun sudah tua, beliau masih boleh mengayuh basikal. Suatu hari ada orang memberitahunya ada orang bermain judi di dalam hutan getah di pinggir kampung itu. Beliau mengayuh basikal ke situ, seorang diri. Melihat kedatangannya, mereka lari bertempiaran, bukan kerana mereka takut kepadanya, tetapi mereka malu jika mereka dikenal olehnya sebagai orang yang berjudi di situ.

Di bulan Ramadan, selepas tarawikh dan makan moreh, jemaah pun pulang. Kadang-kadang, anak-anak muda tidak pulang. Mereka membuat bising dan memukul gendang sahur (tiga orang sekali) hingga berjam-jam, mengganggu orang hendak tidur di rumah masing-masing. Beliau keluar dari rumahnya lebih kurang 40 meter dari surau itu dan memarahi mereka. Melihat beliau datang ke arah surau, mereka lari lintang pukang. Yang menariknya, ada bapa-bapa pemuda-pemuda itu, yang berasal dari kampung yang sama, semasa mudanya juga pernah kena marah dengannya kerana perbuatan yang sama.

Beliau meninggal dunia pada umur lebih kurang 100 tahun, malangnya tarikh lahirnya tidak diketahui. Pada malam itu, tiga generasi anak muridnya berjaga malam membaca al-Qur’an untuknya. Pemuda-pemuda yang kena marah dengannya menawarkan diri untuk mengusung jenazahnya ka tanah perkuburan, bukan dibawa dengan van jenazah, sejauh lebih kurang tiga kilometer itu. Mereka mahu memberi penghormatan terakhir kepadanya.

Demikianlah secebis kisah orang yang saya jadikan contoh itu. Orang itu adalah ayah saya. Jika saya layak memberi ucapan ini, ia adalah kerana beliau. Saya dedicate ucapan ini kepadanya.

Cerita ini menunjukkan bagaimana seorang tua, tanpa sebarang kuasa, seorang diri, dapat mengawal masyarakat satu qariah hanya dengan integriti. Beliau sendiri tidak merancang untuk menjadi seperti itu dan memain peranan seperti itu. Kewarakannya menyebabkan beliau menjalani penghidupan yang terpuji. Orang ramai menghormatinya kerana kejujurannya, kerana ketegasannya, kerana sifat-sifatnya yang terpuji dan kerana integritinya.

Dalam masyarakat sekarang, orang seperti itu mungkin telah hampir pupus, tetapi sifat-sifat itu kekal sebagai penyebab yang melahirkan seorang yang berintegriti.

Mengetahui apakah integriti adalah satu perkara, mempunyainya adalah satu perkara lain. Sebab itulah saya memilih tajuk “Integrity: You know it but do you have it?” bagi ucapan pertama saya mengenai integriti yang telah disebar luas oleh YB Datuk Talib itu.

Mengetahui mengenainya tidak menjadikan seseorang itu berintegriti. Berlagak mempunyainya padahal tidak mempunyainya menjadikan seseorang lebih tidak berintegriti.

Integriti yang kekal sebagai peribadi seseorang tidak boleh diperolehi dengan satu perbuatan. Ia adalah keseluruhan sifat-sifat baik yang dilakukannya sepanjang hayatnya.

Pernah tidak tuan-tuan terfikir bahawa apabila tuan-tuan melihat seseorang, tuan-tuan bukan hanya melihat wajahnya, hidungnya, pakaiannya dan lain-lain. Sebenarnya tuan-tuan melihat the sum total of his integrity. Apabila mata tuan-tuan terpandang wajahnya dan tuan-tuan mengenalinya, dengan sekelip mata otak tuan-tuan membuat analisis berdasarkan fakta-fakta yang tuan-tuan tahu mengenainya yang tersimpan dalam otak tuan-tuan dan mengeluarkan kesimpulannya berdasarkan fakta-fakta itu. Itulah yang tuan-tuan lihat, masing-masing mungkin melihat gambaran yang berlainan. Biar apa pun begitu kuat sekali kesan integriti dalam peribadi seseorang. Dia tidak boleh menutupnya, dia tidak boleh berlakon atau berbohong mengenainya.

Perkataan “integriti” tidak tertulis di dahi seseorang, malah jika ditulis, ia akan menjadi bahan ketawa. Tetapi, apabila kita melihat seseorang kita akan tahu, lebih kurang, sifatnya. Seorang dari negara jiran, kali pertama bertemu dengan seorang pegawai tinggi Malaysia terus membandingkannya dengan pegawai yang sama pangkatnya di negaranya. (Menyebut nama negaranya, beliau berkata) “masih jauh ke belakang. Lihatlah (beliau menyebut nama jawatan pegawai Malaysia itu), very humble, very straight.”

Suatu hari, A, seorang Melayu yang berumur dalam lingkungan tiga puluhan berjalan di kaki lima satu barisan kedai bersama isterinya. Mereka ternampak sebuah kedai perabut. Mereka masuk. Mereka sukakan sebuah almari dan bertanyakan harganya. Setelah tawar menawar mereka bersetuju dengan harganya. Mereka memberitahu taukeh kedai itu mereka akan datang semula kerana pada hari itu mereka tidak membawa wang secukupnya. Taukeh kedai itu berkata, tidak mengapa, dia akan hantar terus, bayaran boleh dibuat kemudian. Isteri A berkata, “Kalau kami tak bayar macam mana?” Taukeh kedai itu menjawab, “Saya sudah berniaga lebih 30 tahun. Saya tengok orang jalan masuk kedai saya pun saya sudah tahu macam mana punya orang.” Almari dihantar dan harganya dibayar pada hari itu juga.

Suatu hari seorang hakim membicarakan satu kes sivil yang melibatkan suatu partnership yang terdiri daripada seorang Cina dari Singapura dan seorang Cina dari Pulau Pinang di pihak yang sama, di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Jurubahasa Cina mahkamah itu terdengar Cina Singapura itu bertanya Cina Pulau Pinang itu, “Do you think this judge can be bribed”. Cina Pulau Pinang itu menjawab, “I don’t think so.” Perhatikan, orang boleh menilai integriti seseorang.

Seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar satu kes berprofail tinggi berkata kepada rakannya, “One good thing, nobody tries to influence us.” Rakannya menjawab, “Not you”. Tentu sekali Hakim berkenaan merasa gembira kerana tiada siapa yang berani cuba mempengaruhinya. Itu tanda beliau mempunyai integriti yang menyebabkan beliau disegani.

Kedua-dua kisah yang terakhir disebut ini menunjukkan semuanya bergantung kepada peribadi seseorang, betapa kukuh atau rapuhnya ia, yang dapat dibaca orang.

Pendek kata, kita tidak boleh sorok dan kita tidak boleh berpura-pura. Integriti akan terserlah dengan sendirinya. Tidak perlu ada Ph. D untuk dapat melihatnya.

Integriti menjadi lebih penting dalam politik hari ini yang berasaskan demokrasi. Walaupun ada golongan yang mungkin menyokong sesesorang pemimpin politik atas alasan-alasan lain, termasuk sogokan wang, tetapi untuk dihormati, seseorang ahli politik itu perlu mempunyai integriti.

Adalah mendukacitakan, integriti ahli-ahli politik di Malaysia, dalam beberapa tahun di kebelakangan ini berada di tahap yang paling rendah dalam sejarah. Sebagai satu golongan, integriti ahli-ahli politik adalah lebih rendah daripada ahli-ahli profesion lain.

Daripada pemerhatian saya, banyak ahli politik sudah tidak mengambil kisah mengenai integriti lagi. Apa yang penting ialah menjaga tengkuk dan perut sendiri. Lompat parti bukanlah suatu perkara yang memalukan lagi. Yang penting ialah berada dalam kerajaan, mendapat jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC. Parti-parti yang membentuk kerajaan pula tidak silu-silu cuba menarik Ahli-Ahli Parliment parti pembangkang untuk menguatkan kerajaan atau menarik Ahli-Ahli Parliament daripada parti dalam gabungan kerajaan sendiri untuk memperkuatkan parti sendiri. Parti-parti pembangkang pun demikian juga. Parti-parti yang bermusuhan berdekad-dekad boleh menjadi sahabat untuk menjatuhkan kerajaan dan menubuhkan kerajaan.

Gabungan parti-parti yang menang pilihan raya tidak percayakan taat setia ahli-ahli dan calon-calonnya yang menang atas tiketnya walaupun hanya selama satu malam untuk menunggu siang esoknya bagi TYT Yang di-Pertua Negeri mengadakan istiadat mengangkat sumpah Ketua Menteri hingga istiadat itu perlu diadakan pada malam itu juga. Begitu rendahkah integriti dan maruah Ahli-Ahli Yang Berhormat itu? Semua ini amat memalukan.

Dalam bidang politik kita tidak boleh memisahkan integriti daripada rasuah. Rasuah adalah pemusnah integriti orang politik yang paling besar. Lebih banyak ahli politik hilang integritinya kerana rasuah daripada sebab-sebab lain. Saya percaya, keberjangkitan rasuah di kalangan orang politik adalah lebih tinggi daripada Covid-19. Saya tidak tahulah berapa Nilai R-nya. Kebetulan ejaan rasuah juga bermula dengan huruf “r”.
Banyak faktor yang menyebabkan ahli-ahli politik lebih terdedah kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Antaranya, pertama, di Malaysia ini, banyak orang, saya ulangi, banyak orang, masuk politik untuk mencari makan. Mereka ini terdiri daripada orang-orang yang tidak berjaya dalam profesion mereka. Mereka bukanlah terdiri daripada orang-orang yang sudah mempunyai kedudukan ekonomi yang tegap. Maka, semasa di bawah mereka mengharapkan sumbangan daripada pemimpin yang mereka sokong. Apabila berkuasa, mereka perlu menggunakan kuasa untuk mendapat wang bagi mereka sendiri dan menyogok penyokong mereka.

Kedua, politik di negara kita telah menjadi politik wang. Untuk mendapat penyokong untuk memenangi jawatan dalam parti daripada serendah-rendahnya hingga setinggi-tingginya memerlukan wang jika tidak untuk merasuah pun, sekurang-kurangnya untuk belanja dan buah tangan.

Ketiga, apabila mula merasai nikmat kemakmuran, banyak yang lupa daratan, menjalani cara hidup yang mewah, melebihi kemampuan. Melihat isteri-isteri mereka membeli-belah amat menghairankan dari mana mereka mendapat wang.

Keempat, tempoh memegang jawatan yang singkat dan ketidakpastian seseorang ahli politik itu akan terpilih menjadi calon dan akan menang. Dia mungkin memegang sesuau jawatan itu hanya bagi satu penggal, tidak sampai atau lebih. Maka semasa berkesempatan, baiklah mengambil peluang.

Kelima, kita telah membuat pendekatan yang salah apabila memperkenalkan demokrasi. Kita menonjolkan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri sebagai “wakil rakyat”. Untuk mengambil hati pengundi, wakil-wakil rakyat itu melakukan apa sahaja termasuklah memberi buah tangan dan sumbangan wang. Akhirnya, mereka mengharapkan sumbangan-sumbangan itu malah memintanya. Semua itu menambah beban kewangan kepada wakil-wakil rakyat itu.

Akibatnya, wakil-wakil rakyat itu lebih menumpukan perhatian bagi menguatkan populariti dan kedudukan mereka. Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang saya temui di sebuah rumah di mana diadakan majlis perkahwinan berkata kepada saya “Ini rumah ke sepuluh dan terakhir hari ini”. Akibatnya, berapa orang Ahli Parlimen atau ADUN-kah yang membaca, meneliti dan memahami setiap Rang Undang-undang yang dibentang dan dibahas di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, sedangkan itu adalah tugas utama mereka?

Keenam, ketua parti perlu mengumpul dana untuk menghadapi pilihan raya. Pilihan raya di Malaysia memerlukan banyak wang untuk mengadakan majlis jamuan besar-besaran, memberi buah tangan, malah rasuah. Lihat sahaja bendera, kain regang di sepanjang jalan raya dan di atas pokok. Saya pernah berada di negara Belanda pada hari pilihan raya umum dan dua kali di Amerika Syarikat pada hari pilihan raya Presiden, saya tidak melihat satu bendera pun. Bayangkan betapa membazirnya kita. Semua itu memerlukan wang yang banyak dan membawa kepada rasuah di kalangan pemimpin-pemimpin politik kita. Ini tidak kira lagi dana untuk membeli Ahli Parlimen dan DUN dari parti lawan untuk menyeberang supaya dapat menubuhkan kerajaan.

Dalam tahun 2017, saya menulis satu rencana bertajuk “Pilihan Raya Tanpa Bendera”. Tiada siapa pun mempedulikannya. Nampaknya, Covid-19 lebih berkesan daripada tulisan saya dalam hal ini.

Ketujuh, biasanya, dalam kebanyakan skandal rasuah atau penyalahgunaan kuasa, mesti ada orang di belakangnya. Dia adalah perancang yang mempengaruhi ahli politik atau penjawat awam itu melakukan rasuah atau penyalahgunaan kuasa. Ahli politik atau penjawat awam masuk penjara, dia bebas dan kaya raya. Saya pernah membicarakan kes seperti itu. Kes 1MDB adalah satu misalan yang baik.

Saya menyebut perkara ini untuk memberi peringatan kepada semua ahli politik dan penjawat awam yang mempunyai kuasa supaya berwaspada dan menjauhkan diri daripada orang-orang seperti itu yang mula-mula akan berbuat baik dengan mereka dan akhirnya akan menjerumuskan mereka ke dalam rasuah atau penyalahgunaan kuasa dan orang-orang itu pun menghilangkan diri.

Budaya wang telah menjadi begitu serius di semua peringkat politik di Malaysia. Di peringkat atas, ahli-ahli Parlimen dan DUN bersedia dibeli dengan harga yang sesuai. Parti-parti politik, kerajaan dan pembangkang bersedia membeli Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN untuk mempertahankan atau menjatuhkan kerajaan.

Di peringkat paling atas, kes-kes yang sedang berjalan adalah misalan yang terbaik. Saya percaya sebab-sebab yang saya berikan tadi adalah berkenaan, yang paling penting adalah rasuah.

Di peringkat bawah, seorang penyokong parti kerajaan pernah berkata kepada saya: “MB dulu ghaub. Kita pun dapat juga shoru. MB sekarang tak ghaub. Kita pun miss shoru.” Perhatikan, dia lebih sukakan seorang Menteri Besar yang rasuah kerana dia juga mendapat habuan daripadanya.

Kesimpulannya, punca utama hilangnya integriti seseorang ahli politik dan penjawat awam ialah rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Bagaimana mengatasinya? Tidak ada jalan mudah dan ringkas. Menukar kerajaaan tidak menjamin penyelesaian masalah. Mungkin kita hanya menukar orangnya. Saya fikir penyelesaian terletak kepada kemahuan seseorang itu. Adakah dia sanggup menjauhkan diri dari rasuah dan hidup sebagai seorang yang berintegriti? Di samping itu, pendekatan kita terhadap politik dan pilihan raya dan faktor-faktor yang saya sebut lebih awal yang memerlukan seseorang mempunyai secukup wang untuk menjadi seorang ahli politik, patutlah diberi perhatian.

Bagi penjawat-penjawat awam, tidak ada sebab mereka sepatutnya terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa melainkan tamak. Mereka juga mungkin terpengaruh dengan “kemimpinan melalui teladan” bos-bos politik mereka. Saya percaya, penjawat-penjawat awam yang berkerja di bawah bos-bos politik yang bersih dan berintegriti akan malu untuk terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Itu adalah kesan kepimpinan melalui teladan yang baik.

Selain daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, faktor-faktor lain yang mengurangkan integriti seseorang boleh diletakkan di bawah satu tajuk: tidak jujur. Tidak jujur termasuklah berbohong, tidak menunaikan janji dan sepertinya.

Di kebelakangan ini juga, rasa hormat orang ramai terhadap Ahli-Ahli Parlimen, berkurangan akibat kelakuan Ahli-Ahli Parlimen yang mereka lihat dalam televisyen dan You Tube. Enam puluh tahun dulu, apabila berbahas di sekolah, jika seorang pelajar menggunakan bahasa yang kasar sedikit, dia dikatakan menggunakan bahasa yang “unparliamentary”. Hari ini, nampaknya bahasa seperti itu bukanlah “unparliamentary” lagi.

Saya selalu terfikir, sama ada dalam dunia politik Malaysia seorang yang menyertai politik boleh naik dan survive tanpa memberi atau menerima rasuah. Tetapi, kita perlulah mengasingkan sumbangan kepada parti untuk perbelanjaan pilihan raya yang dibenarkan oleh undang-undang yang dibuat secara telus kepada akaun parti dan dilaporkan selepas pilihan raya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Seperti yang saya telah sebut di awal tadi, saya berada di penghujung jalan dan saya telah melalui segala-galanya. Saya boleh berkata dan saya katakan, percayalah, di akhirnya, bukanlah seorang yang paling lama memegang jawatan atau paling banyak mengaut kekayaan sepanjang perkhidmatannya yang akan diingati dan dihormati berpanjangan, tetapi seorang yang berintegriti, walaupun tempoh perkhidmatannya singkat adalah orang yang akan diingati dan dihormati sepanjang zaman. Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz adalah misalan terbaik.

Percayalah bahawa betapa teruk pun cabaran yang kita hadapi, akhirnya it is worth to be honest. Memberi misalan terakhir dalam kerjaya saya, Perdana Menteri, parti yang memerintah dan kerajaan pada masa itu kesemuanya menyenarai hitamkan saya semata-mata kerana saya membebaskan musuh politik mereka. Mereka tidak peduli apakah keterangan yang ada di hadapan saya dan apakah undang-undang berkaitan. Bagi mereka, kamu membebaskan musuh politik kami, kamu adalah orangnya dan musuh kami.

Mereka berusaha dengan berbagai cara untuk tidak memberikan dua jawatan kosong di atas saya, kepada saya, walaupun sayalah Hakim yang paling kanan pada masa itu. Tetapi, jika Allah SWT menghendaki sesuatu itu berlaku, maka berlakulah ia. Kun fayakun, kata Allah di dalam al-Qur’an.

Sebab itulah, dalam ucapan pelantikan saya sebagai Ketua Hakim Negara, saya berkata:

Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kejujuran mengatasi segala-galanya. Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kebenaran terserlah jua.

Ingat tajuk buku saya, “The Truth Shall Prevail.”

Seorang profesor madya berkata kepada saya semasa kami sama-sama menjadi Ahli Lembaga Penasihat Syariah Bank Negara, selepas saya bersara:

“Dalam kerjaya Tun, Tun telah sampai ke kemuncak. Setelah bersara, Tun masih dihormati. Apa lagi yang Tun mahu?”

Hari ini pun, dalam keadaan begini pun, masih ada orang yang mahu mendengar ucapan saya, walau pun dalam bentuk rakaman. Apa lagi yang saya mahu?

Tetapi, dalam hal ini, saya hanya boleh bercakap bagi pihak diri saya sendiri, kerana banyak padang banyak belalang. Fikirlah sendiri apa yang anda mahu dalam hidup ini.

Sekian. Terima kasih.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

38 visits