KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA: KESANNYA KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA

SEMINAR “MEMAHAMI MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA ISLAM”
17 & 18 September 2002

KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA: KESANNYA KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA
Oleh
Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad
(Hakim, Mahkamah Rayuan, Malaysia)

 

Pendahuluan

Nama rasmi Malaysia seperti yang tersebut dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah “Malaysia” berbanding dengan Pakistan yang nama rasminya ialah “Islamic Republic of Pakistan” atau Iran yang nama rasminya ialah “Islamic Republic of Iran”. Sebelum penyatuan semula Jerman, nama rasmi Jerman Timur adalah “The German Democratic Republic” sedangkan nama Jerman Barat ialah “The Federal Republic of Germany.” Nama rasmi Korea Utara pula ialah “The Democratic People’s Republic of Korea” manakala nama rasmi Korea Selatan hanya “Republic of Korea”. Nama rasmi China Komunis pula ialah “People’s Republic of China”. Pemerintahan yang berpusat di Madinah semasa hayat Rasul Allah (s.a.w.) tidak mempunyai nama rasmi langsung.

Adakah kerana Pakistan dan Iran memakai perkataan “Islam” dalam nama rasminya menjadikannya “lebih Islam” (more Islamic) daripada Malaysia ataupun Saudi Arabia atau Mesir yang tidak memakai perkataan “Islam” pada nama rasminya, atau “lebih Islam” daripada pemerintahan yang diasaskan oleh Rasul Allah (s.a.w.) di Madinah yang tidak mempunyai nama rasmi langsung? Adakah Jerman Timur, pada masa itu, yang memakai perkataan “Democratic” dalam nama rasminya, lebih demokratik daripada Jerman Barat? Adakah Korea Utara lebih demokratik daripada Korea Selatan? Adakah kerana China Komunis dan juga Korea Utara yang memakai perkataan “People’s Republic” pada nama rasminya bererti rakyatnya mempunyai lebih banyak kuasa dalam pentadbiran negara daripada Amerika Syarikat atau Perancis?

Jawapan kepada semua soalan-soalan itu samalah seperti jawapan kepada soalan: adakah seorang yang bernama “Soleh” itu semestinya lebih “soleh” daripada seorang yang bernama “Awang Kechik”? Hakikatnya adalah seperti yang dikatakan oleh Shakespeare: “Apakah yang ada pada nama? Mawar, dengan apa namanya sekalipun, tetap sama wanginya.” Maka kita perlu lihat kepada hakikat, bukan nama, isi bukan bentuk (substance not form).

Peruntukan Perlembagaan mengenai Islam

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
“Ugama Islam ialah ugama bagi Pesekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan” – Perkara 3(1).

Perkara 8(1) memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. Perkara 8(2) memperuntukkan, antara lain, bahawa “tidaklah boleh ada pembezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab ugama….”

Perkara 74(1) memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang disebutkan dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama, iaitu Senarai Pertama dan Senarai Ketiga dalam Jadual Kesembilan. Perkara 74(2) memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang mengenai perkara yang disebutkan dalam Senarai Negeri, iaitu Senarai Kedua dalam Jadual Kesembilan. (Dalam kertas ini saya kan merujuk kepada “Senarai Pertama” sebagai “Senarai Persekutuan” dan “Senarai Kedua” sebagai “Senarai Negeri”).

Senari Negeri memperuntukkan perkara-perkara yang Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang yang diperuntukkan dalam senarai itu termasuklah hukum syarak dalam perkara-perkara tertentu dan penubuhan mahkamah syariah.

Senarai Persekutuan pula menyenaraikan perkara-perkara yang Parlimen boleh membuat undang-undang mengenainya. Senarai ini amat panjang. Ia adalah selain daripada yang diperuntukkan dalam Senarai Negeri.

Perkara 121(1A), suatu pindaan kemudian, memperuntukkan bahawa mahkamah-mahkamah yang hari ini kita panggil “mahkamah sivil” tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa mahkamah syariah.

Ulasan mengenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan

Dalam kertas ini saya tidak akan membincangkan peruntukan-peruntukan itu, baik mengenai tafsirannya mahupun masalah-masalah yang berbangkit daripadanya. Untuk mengikuti perbincangan-perbincangan itu sila rujuk, antara lain, kepada ucapan saya yang bertajuk “Sistem Kehakiman dan Perundangan di Malaysia: Satu Wawasan” (2001) 4 MLJ clxxx, kertas kerja saya bertajuk “Civil and Syariah Courts in Malaysia: Conflict of Jurisdiction” yang dibentangkan dalam International Seminar on Islamic Law in the Contemporary World di dewan ini pada 24-25 Oktober 2000 dan penghakiman-penghakiman saya dalam kes-kes Lim Chan Seng v. Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (1996) 3 C.L. J. 231 dan Abdul Shaik in Md. Ibrahim v. Hussien bin Ibrahim (1999) 5 M. L. J. 618 dan baru-baru ini dalam kes Kamariah Ali v. Kerajaan Negeri Kelantan & Satu lagi (2002) 3 C.L.J. 766.

Untuk tujuan kertas ini saya cuma ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan kepada beberapa perkara:

Pertama, hanya satu agama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu agama Islam.

Kedua, hanya satu agama sahaja yang menjadi “ugama bagi Persekutuan”, manakala agama-agama lain cuma boleh diamalkan, itu pun dengan aman dan damai.

Ketiga, hanya orang Islam sahaja yang mempunyai mahkamah agamanya yang dikenali sebagai mahkamah syariah.

Keempat, Perlembagaan Persekutuan cuma memperuntukkan ketua agama bagi satu agama sahaja, iaitu agama Islam.

Kelima, mengenai undang-undang agama, hanya undang-undang agama Islam sahaja yang boleh dijadikan undang-undang untuk dipakai terhadap orang-orang Islam. Tidak disebut bahawa undang-undang agama lain boleh dibuat untuk dipakai oleh penganut-penganut agama itu.

Keenam, perlu diambil ingatan bahawa perkara-perkara yang disebut dalam kedua-dua senarai itu hanya menjadi undang-undang apabila undang-undang dibuat mengenainya, bagi perkara-perkara yang tersebut dalam Senarai Persekutuan oleh Parlimen dan bagi perkara-perkara yang disebut dalam Senarai Negeri, oleh Badan Perundangan Negeri.

Ketujuh, perlu diambil ingatan bahawa Klausa (1A) kepada Perkara 121 bukan memberi kuasa membuat undang-undang tambahan kepada Badan Perundangan Negeri. Apa yang diperuntukkan hanyalah jika sesuatu perkara itu terletak dalam bidangkuasa mahkamah syariah, mahkamah sivil tidak mempunyai bidangkuasa mengenainya.

Kesannya terhadap pembangunan negara

Kita tidak boleh menafikan bahawa peruntukan-peruntukan Perlembagaan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada corak pembangunan negara kita. Sekurang-kurangnya, kerana adanya peruntukan-perutukan itu dan oleh sebab Malaysia adalah sebuah negara demokratik berbilang parti di mana pendapat umum adalah penting, maka parti yang memerintah akan senentiasa diperingatkan mengenainya. Sebaliknya, sama ada peruntukan-peruntukan itu membuahkan apa-apa hasil atau tidak terletak kepada apa yang dilakukan dalam lingkungan yang dibolehkan oleh Perlembagaan itu. Biar apa pun peruntukan yang ada dalam Perlembagaan, jika tidak dimanfaatkannya, tidak akan memberi apa-apa kesan, sama seperti Al-Quran yang cuma disimpan dalam almari.

Mungkin orang bertanya, jika demikianlah keadaannya, untuk apa diadakan peruntukan-peruntukan itu? Jawapannya ialah, peruntukan-peruntukan itu membolehkan kita berbuat sesuatu, seperti menubuhkan mahkamah syariah, mengkanunkan hukum syarak dalam perkara-perkara tertentu sebagai undang-undang untuk dipakai kepada orang-orang Islam, memasukkan matapelajaran agama Islam dalam kurikulum sekolah-sekolah dan lain-lain lagi seperti yang telah dilakukan. Jika peruntukan-peruntukan itu tidak ada, mungkin semua itu akan dicabar sebagai bercanggah dengan Perlembagaan. Sebagai misalan, di Amerika Syarikat, mengadakan kelas bible di sekolah pun tidak dibenarkan atas alasan ia bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Amerika Syarikat yang menjamin kebebasan beragama rakyatnya. Nampaknya kebebasan beragama telah ditafsirkan sebagai larangan belajar atau mengajar agama di sekolah-sekolah kerajaan.

Peruntukan-peruntukan itu juga memberi kesan bahawa kuasa membuat undang-undang oleh Badan Perundangan Negeri adalah terhad kepada perkara-perkara yang disebut dalam Senarai Negeri sahaja. Tidak boleh lebih dari itu. Jika lebih ia akan menjadi “tak berpelembagaan” (unconstitutional) dan tak sah. Tetapi, sekatan seperti itu terpakai juga kepada Parlimen. Parlimen juga tidah boleh membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang tersebut dalam Senarai Negeri.

Tetapi, ini tidak bererti bahawa Parlimen tidak boleh membuat undang-undang yang berasaskan undang-undang Islam, tetapi ia hendaklah mengenai perkara-perkara yang terdapat dalam Senarai Persekutuan. Sebenarnya, ini telah pun dilakukan dalam beberapa perkara. Misalan yang ketara ialah Akta Perbankan Islam 1983 dan Akta Takaful 1984. Ia bukan dibuat di bawah Senarai Negeri, tetapi di bawah Senarai Persekutuan. Ia dibuat di bawah tajuk undang-undang perbankan dan insurans yang terletak di bawah Senarai Persekutuan.

Oleh sebab ia adalah undang-undang Persekutuan maka bidangkuasa mengenainya diletak di bawah mahkamah sivil. Selain dari itu ada sebab-sebab lain yang memerlukannya diletak di bawah mahkamah sivil. Antaranya, pemakaiannya terbuka kepada orang Islam dan bukan Islam (undang-undang Islam yang dibuat di bawah Senarai Negeri cuma boleh dipakai untuk orang-orang Islam sahaja); suratcara-suratcara yang dipakai adalah serupa dengan yang dipakai dalam perbankan dan insurans konvensional dengan pengubahsuaian yang perlu khusunya untuk mengelak unsur riba; transaksi-transaksi itu juga melibatkan undang-undang sivil seperti undang-undang syarikat, undang-undang tanah, kontrak dan lain-lain; remedi-remedi yang diperlukan seperti perintah jualan di bawah Kanun Tanah Negara, pelaksanaan spesifik, injunksi, penggulungan syarikat dan kebankrapan, semuanya adalah remedi-remedi yang boleh diperolehi daripada mahkamah sivil; bidangkuasa kenegerian mahkamah syariah menimbulkan masalah-masalah penyampaian proses mahkamah, pelaksanaan dan kemungkinan ketidakpastian undang-undang hasil daripada kepututusan Mahkamah-Mahkamah Rayuan Syariah yang berasingan bagi setiap Negeri berbanding hanya dengan satu Mahkamah Rayuan (sivil) dan satu Mahkamah Persekutuan bagi seluruh negara.

Sekarang sudah hampir dua puluh tahun undang-undang perbankan Islam dan takaful dilaksanakan, belum ada satu kes pun di mana mahkamah sivil perlu memutuskan persoalan hukum syarak. Kes-kes yang berbangkit daripada perbankan Islam dan takaful, boleh dikatakan hampir kesemuanya, adalah serupa dengan kes-kes yang berbangkit daripada perbankan dan insurans konvensional. Perniagaan perbankan Islam dan takaful berjalan dengan baik dan sedang berkembang dengan pesatnya, mungkin antara yang terbaik di dunia pada masa ini. Pada pandangan saya, biarlah ia terus berjalan demikian. Kita perbaiki dari semasa ke semasa.

Sehubungan dengan itu mungkin syor saya supaya kedua-dua mahkamah itu digabungkan ada relevannya.

Sekarang saya akan cuba meninjau pembangunan negara kita dari beberapa sudut yang lebih khusus dan melihat pengaruh Islam di dalamnya.

Dasar Kerajaan

Kita mahu menjadi sebuah negara maju, tetapi kemajuan yang kita cari bukannya kemajuan material atau kebendaan semata-mata. Kita juga mahu mengimbangkan kemajuan material dengan kemajuan rohani dan moral. Memanglah, dalam usaha mencapai kemajuan material, ada kalanya kita pandang ke barat untuk mempelajari bidang-bidang yang mereka telah maju tetapi kita belum maju, seperti bidang sains dan teknologi, tetapi, pada masa yang sama, kita juga menolak unsur-unsur yang kita fikir tidak baik atau tidak sesuai dengan agama dan budaya kita. Adakalanya kita pandang ke timur untuk mempelajari dan mencontohi etika kerja mereka. Namun demikian, pada masa yang sama, mengikut pemerhatian saya, kita tidak pernah melupai nilai-nilai Islam. Kita terang-terang menekankan pembangunan rohani dan jasmani. Dan kita tidak malu berkata demikian kepada dunia.

Pada pandangan saya, peranan yang dimainkan oleh Malaysia di pentas dunia dalam dekad ini tidak boleh diperkecilkan. Dunia mengakuinya, malah ada yang tidak senang kerananya. Dan, sama ada kita memanggil atau menganggap Malaysia sebuah negara Islam atau tidak, dunia, termasuk kuasa-kuasa besar bukan Islam, malah musuh Islam, menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, ada kalanya ia adalah satu aset tetapi, lebih kerap, ia adalah satu liabiliti.

Pentadbiran

Dalam pentadbiran, antara lain, kita cuba menerapkan nilai-nilai Islam seperti jujur, rajin, berbudi bahasa, amanah, bertimbang rasa, sayangkan harta awam, tidak membazir harta awam, berdisiplin, mengamalkan kebersihan dan lain-lain. Untuk itu hingga waktu pejabat pun digunakan untuk mengadakan ceramah-ceramah agama. Tetapi, malangnya, dalam usaha ini kita kurang berjaya. Ini kerana, antara lain, penceramah-penceramah itu sendiri kurang menekankan sifat-sifat itu sebagai sebahagian daripada tuntutan Islam dan sunnah Rasul. Dalam hal ini, keadaan di negara-negar Islam di seluruh dunia, jika dibandingkan dengan di negara-negara bukan Islam yang lebih maju, amatlah menyedihkan, sedangkan saya tidak fikir ada satu agama lain yang lebih menekankan sifat-sifat itu.

Kehakiman dan Perundangan

Sesuai dengan peruntukan Perlembagaan kita, semenjak tahun lima puluhan, kita telah menubuhkan mahkamah-mahkamah syariah.

Di bidang perundangan, kita lihat undang-undang Islam, walau pun tidak sepenuhnya, dikanunkan dan dikuatkuasakan. Apa yang lebih menarik ialah ada undang-undang Islam yang turut di pakai oleh orang-orang bukan Islam secara sukarela, seperti perbankan Islam dan takaful. Bagi saya ini adalah satu perkembangan yang memberangsangkan. Bagi saya, inilah satu cara dakwah yang paling berkesan. Apatah lagi, jika kita boleh buktikan bahawa ianya lebih adil dan lebih menguntungkan, kerana bagi orang-orang bukan Islam, itulah sahaja ukurannya, bukan dosa pahala.

Pada pandangan saya, buat masa ini, di Malaysia ini, penerapan undang-undang Islam seperti itulah yang patut diberi keutamaan.

Malangnya, hari ini, orang-orang Islam di Malaysia lebih memberi tumpuan kepada beberapa kesalahan jenayah. Tekanan diberi kepada kesalahan bukan prinsip, hukuman bukan keadilan. Dan, kerana kebanyakan mereka tidak mengetahui undang-undang sivil, mereka menggariskan satu garisan pembahagi antara apa yang dipanggil “hukum syarak” dengan apa yang dipanggil “undang-undang sivil”, memberi gambaran bahawa apa yang dipanggil “undang-undang sivil” itu semuanya bercanggah dengan “hukum syarak” dan apa yang dipanggil “hukum syarak” itu semuanya bercanggah dengan “undang-undang sivil”. Malah, lebih dari itu, ada pihak yang memberi gambaran seolah-olah apa yang dipanggil “hukum syarak” itu semuanya telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, satu masalah satu hukum, tetap dan tidak berubah sampai bila-bila dan tidak ada pandagan manusia yang bukan Rasul di dalamnya.

Di sebaliknya pula, kebanyakan orang yang terlatih dalam undang-undang sivil pula tidak tahu undang-undang Islam dan apa yang mereka dengar dilaung-laungkankan oleh pejuang-pejuang undang-undang Islam sendiri hanyalah mengenai betapa dahsyatnya hukuman bagi beberapa kesalahan jenayah megikut hukum syarak. Akibatnya, satu pihak takut kepada apa yang mereka tidak tahu. Satu pihak mengutuk apa yang mereka tidak tahu. Dan, kedua-dua pihak menolak apa yang mereka tidak tahu.

Dilema ini patut diperbetulkan.

Saya sudah tiga kali menyuarakan cadangan ini dan saya akan ulangi lagi hari ini. Saya syorkan supaya fakulti-fakulti undang-undang dan syariah di universiti-universiti di negara kita bersama-sama membuat suatu kajian terperinci kepada semua undang-undang yang dipakai di negara ini pada masa ini untuk mengetahui berapa peratuskah undang-undang yang kita pakai hari ini yang bercanggah dengan prinsip-prinsip hukum syarak. Kita camkan mana yang bercanggah dan mana yang tidak. Bertolak dari situ, bolehlah kita tumpukan perhatian kepada yang berbeza dan menyediakandan deraf undang-undang mengikut hukum syarak mengenainya untuk dibandingkan dengan undang-undang sivil yang sedang dipakai itu.

Apabila saya menyebut cadangan ini kepada Prof. Mohamed Hashim Kamali beberapa bulan dahulu, beliau memaklumkan saya bahawa kajian yang serupa yang pernah diadakan di Pakistan suatu masa dahulu mendapati lebih kurang 95% daripada undang-undang di Pakistan yang juga berasaskan common law of England itu tidak bercanggah dengan hukum syarak. (Mungkin kerana saya membuka mulut mengenai cadangan itu, beliau telah menarik saya untuk duduk dalam jawatankuasa “Harmonization of Shariaah and Law”, Kulliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pada pandangan saya, eloklah ditubuhkan satu jawatankuasa induk yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada semua fakulti undang-undang dan syariah setiap universiti di Malaysia supaya kerja-kerja penyelidikan itu boleh dibahagi-bahagikan.) Tuan-tuan dan puan-puan juga mungkin terkejut jika saya menyebut bahawa mengikut David Moussa Pidcock dalam pendahuluannya dalam buku Napoleon and Islam, 96% daripada Code Napoleon adalah diambil daripada fatwa dan pendapat Imam Malik. Saya percaya, jika satu kajian dibuat di Malaysia, kita akan dapati bahawa, mungkin 80%, mungkin 90% daripada undang-undang yang kita pakai hari ini tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip hukum syarak.

Pelajaran

Anak saya menceritakan bahawa seorang rakan sekelasnya di peringkat sarjana di International University of Japan yang berasal daripada salah sebuah negara bekas Soviet di Asia Tengah yang majority penduduknya beragama Islam, terkejut apabila anak saya memberitahunya bahawa di Malaysia pelajaran agama Islam, termasuk pembelajaran Al-Quran, diajar di sekolah-sekolah kerajaan semenjak tahun satu hingga ke universiti. Di negerinya, untuk belajar membaca Al-Quran di rumah pun perlu mendapat kebenaran kerajaan. Bahan-bahan bacaan mengenai agama Islam tidak dibenarkan dijual atau dimiliki dan lain-lain lagi.

Bagi saya, penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia adalah satu perkara yang amat baik. Saya pernah berbual dengan beberapa pelajar yang datang dari negara-negara bekas komunis atau masih komunis dan dari negara-negara Islam yang miskin. Mereka amat terhutang budi kepada Malaysia. Bagi saya, mereka inilah harapan masa depan Islam di negara mereka dan kita telah memberi sumbangan ke arah itu.

Seperti yang telah disebut lebih awal, tanpa peruntukan-peruntukan mengenai Islam dalam Perlembagaan Malaysia, mungkin kita tidak akan melakukan semua itu. Mungkin juga ada pihak yang akan mencabar kesahannya di sisi Perlembagaan jika kita lakukan.

Penutup

Peruntukan-peruntukan Perlembagaan mengenai agama Islam membolehkan undang-undang mengenai agama Islam dibuat, aktiviti-aktiviti mengenai agama Islam dilakukan dan dibiayai oleh kerajaan, yang telah dilakukan dengan berbagai cara, dalam lingkungan dan cara yang dibolehkan oleh Perlembagaan itu. Tanpa peruntukan-peruntukan itu undang-undang dan apa yang dilakukan itu mungkin akan dicabar sebagai melanggar perlembagan dan tak sah. Walaupun terdapat peruntukan-peruntukan itu, baru-baru ini cabaran telah dibuat dalam kes Kamariah Bte. Ali dan tujuh kes lagi yang dikenali sebagai kes-kes murtad dari Kelantan itu. Dalam kes-kes itu, empat orang yang dilahirkan kepada ibu bapa Melayu di Negeri Kelantan, bermastautin di Kelantan, dibesarkan dan dididik sebagai orang-orang Islam, (malah, saya difahamkan bahawa dua daripada mereka adalah berkelulusan Universiti Azhar dan berkerja sebagai “guru agama”) telah mencabar kesahan undang-undang yang berkenaan agama Islam atas alasan ia menyekat kebebasan agama mereka yang dijamin oleh Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan. Saya menulis penghakiman Mahkamah Rayuan menolak hujah itu dan rayuan-rayuan mereka atas alasan bahawa undang-undang berkenaan dibuat mengikut kuasa yang diberi kepada Badan Perundangan Negeri Kelantan oleh Perkara 74(2) dan Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah sah. Tanpa peruntukan-peruntukan itu, cabaran mereka mungkin berjaya. Itu satu misalan kesan peruntukan-peruntukan itu yang jelas.

Tetapi, kita perlu ingat, sama ada dan setakat mana kita memanfaatkan peruntukan-peruntukan itu terserahlah kepada apa yang kita lakukan atau tidak lakukan. Bentuknya pula terletak kepada apa yang kita pilih. Apa yang kita pilih terletak kepada apa yang kita faham sebagai “Islam” dan yang kita lebih utamakan.

Saya ingin memetik anak saya sekali lagi kerana, pada pandangan saya, ia adalah satu timbalbalas yang amat baik. Seorang pelajar di peringkat sarjana yang berasal daripada Lebanon pernah berkata kepadanya: “Malaysia adalah satu-satunya negara Islam di dunia ini pada masa ini yang berjaya menggabungkan perinsip-perinsip Islam dengan pemodenan. Yang lainnya memilih salah satu daripadanya atau tidak langsung.”

Apakah pandangan tuan-tuan dan puan terhadap negara kita? Saya serahkan kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk menilainya sendiri.

Tetapi, dalam membuat penilaian itu, pertama, kita perlu membezakan antara Islam dengan Arab, antara hukum dengan adat, antara sunnah dengan kebiasaan, antara prinsip dengan pendapat. Kadua, kita tidak sepatutnya melihat sejarah seperti kita kita melihat bulan – dari jauh di malam yang tenang. Maka yang kita nampak hanyalah keindahannya. Jika tidak, penilaian kita mungkin tidak betul. Akibatnya, akan lebih tidak Islamlah nampaknya kita dan akan lebih Islamlah nampaknya mereka.

Sekian. Terima kasih.

13.8.2002

3,772 visits