YDPA MENYELAMATKAN KEADAAN, TUN DR MAHATHIR BUAT MASALAH LAGI

YDPA MENYELAMATKAN KEADAAN, TUN DR MAHATHIR BUAT MASALAH LAGI

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

Pada 28 02 2020, lebih kurang jam 11.00 pagi, saya menyiapkan rencana saya bertajuk “Melayu Tertipu Lagi” dengan membuat beberapa kesimpulan, antaranya:

  1. Orang yang menggagalkan penubuhan kerajaan PN adalah Tun Dr. Mahathir.

 

  1. Dalam peristiwa ini, Tun Dr Mahathir dan DS Anwar sama-sama tidak boleh dipercayai. Diharapkan peristiwa ini akan menyingkirkan kedua-dua mereka daripada arena politik negara….

 

  1. UMNO, PAS, Bersatu (termasuk kumpulan Azmin) hendaklah bersatu teguh. Saya percaya, jika perikatan mereka kuat, parti-parti di Sabah dan Sarawak, MCA dan MIC akan menyertai mereka yang berkemungkinan membolehkan mereka menubuh kerajaan baru. Tetapi, ini hanya boleh dilakukan tanpa Tun Dr Mahathir dalam Bersatu kerana baliau tidak boleh menerima UMNO sebagai satu parti.

 Pada masa itu, belum nampak penyelesaian krisis itu. Terdapat tiga kumpulan, kumpulan Tun Dr. Mahathir, kumpulan DS Anwar dan kumpulan TS Muhyiddin yang disokong kuat oleh UMNO dan PAS, masing-masing tidak mempunyai majoriti.

Dalam masa 24 jam sehingga petang 29 02 2020, kita dengar cerita berbagai-bagai perkembangan; PH mencalonkan DS Anwar sebagai calon PM; DS Anwar dan pemimpin-pemimpin DAP dengan angkuh mengatakan “we have the numbers”; Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Waritan Sabah (Warisan) sekejap diberitakan menyokong Tun Dr. Mahathir, sekejap menokong DS Anwar dan sekejap menyokong TS Muhyiddin; DS Anwar sekejap menyokong Tun Dr Mahathir, sekejap menawarkan dirinya sebagai calon dan berlagak seperti sudah pasti akan dilantik; Tun Dr Mahathir yang enggan menerima kekalahan, bermodalkan sokongan GPS dan Warisan, membuat perkiraan dengan PKR, DAP dan Amanah untuk ditonjolkan semula sebagai calon PH, yang bererti kerajaan PH yang ditamatkannya dengan peletakan jawatannya hendak dihidupkan semula dan DS Anwar sanggup mengundur diri daripada menjadi calon PM demi menyelamatkan kerajaan PH.

Perkembangan yang terakhir disebut itu menunjukkan sejauh mana DS Anwar dan Lim Kit Siang sangup berkompromi untuk menyelamatkan kerajaan PH kerana, mereka tahu, jika mereka terlepas kuasa, mereka akan berada di kedudukan yang merugikan.

Akhirnya, pada petang 29 02 2020, terbitlah kenyataan Istana Negara yang dengan rasminya mengatakan bahawa YDPA telah berkenan melantik TS Muhyiddin sebagai Perdana Meteri Kelapan.

Kita berhenti di sini dahulu untuk membuat beberapa pemerhatian.

  1. Dengan keluarnya kenyataan itu, tamatlah krisis seminggu itu. (Apa yang akan berlaku selepas itu, akan dibincang berikutnya.)
  1. Dengan terlantiknya TS Muhyiddin sebagai PM, Tun Dr Mahathir dan DS Anwar tersingkir daripada perebutan untuk menjadi PM. Mereka akan terus menimbulkan masalah. Itu keistimewaan dan kepakaran mereka berdua. Diharapkan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu sudah muak dengan tindak tanjuk mereka dan mengenepikan mereka untuk selama-lamanya.
  1. Orang Melayu merasa lega kerana tidak lagi akan melihat karenah Lim Guan Eng, Mujahid, Waytha Moorhy, Theresa Kok, Syed Sdiq, Mat Sabu dan lain-lain.
  1. Peletakan jawatan Tommy Thomas memberi nafas lega kepada lebih seribu pegawai-pegawai perundangan, ada yang telah memberi perkhidmatan lebih daripada tiga puluh tahun, menjadi pakar dalam bidang masing-masing tetapi tidak diber kepercayaan terhadap kepakaran mereka mereka oleh Tommy Thomas. Sebaliknya beliau melantik peguam-peguam swasta dan dibayar upah dengan wang pembayar cukai. Diharapkan seorang pegawai daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang kanan, berintegriti, berpengalaman dan berkaliber akan dilantik mengganti beliau. Demikian juga diharapkan seorang pegawai MACC yang kanan, berintegriti, berpengalaman dan berkaliber akan dilantik mengganti Lateefa Koya.

Tetapi, sebaik sahaja kenyataan itu diterbitkan, pemimpin-pemimpin PH, diketuai Tun Dr Mahathir bersama-sama DS Anwar telah menolak keputusan yang dibuat oleh YDPA itu. Itu tidak menghairankan. Mereka akan merayu dengan lemah longlai untuk mendapat pengampunan. Mereka terima pengampunan walau pun cara dilakukannya menyelahi prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Tetapi, apabila YDPA membuat satu keputusan yang tidak menyebelahi mereka, YDPA pun mereka tentang. Ini menunjukkan sejauh mana mereka sanggup lakukan untuk mencapai matlamat mereka. Mereka tidak mempunyai had dan batasan.

Perkara 40 (2), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:

“Yang  di-Pertuan  Agong  boleh  bertindak  menurut  budi bicaranya  pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

 (a)  melantik seorang Perdana Menteri;”

Perkara 43(2)(a) menghendakli baginda “melantik sebagai Perdana Menteri… seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan….’

Jika tidak, selepas dilantik, satu undi tidak percaya mungkin dikemukakan. Jika kalah, mengikut konvensyen, PM itu akan terpaksa meletak jawatan, dan masalah itu berulang semula.

Dalan kata-kata lain, YDPA tidak dikehendaki menemuduga setiap ahli Parlimen, apatah lagi mengambil kira senarai yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir, untuk membuat keputusan itu.

Sekarang, keputusan telah dibuat, PM telah dilantik, tak usahlah memperdulikan apa kata Tun Dr Mahathir, mahupun senarainya. Jika beliau dan PH tidak berpuashati, mereka bolehlah mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen. Itu caranya, bukan mencabar budibicara YDPA.

Bagaimana kedudukan Tun Dr Mahathir dan ahli-ahli Parlimen dalam senarai Tun Dr Mahathir yang tidak menyokong TS Muhyiddin, dalam Bersatu? Saya ulangi apa yang saya katakan dalam rencana saya “Melayu Tertipu Lagi”, jika mereka tidak mengikut pendirian parti, singkirkan mereka.

Pagi ini, saya teruja melihat pemimpin-pemimpin UMNO. PAS dan Bersatu bersama-sama ke Istana Negara untuk menubuh kerajaan baru. Di harapkan ia berkekalan. GPS dan Warisan eloklah berfikir semula dan tidak lagi mengikut Tun Dr Mahathir ke mana sahaja yang dibawanya. Sudah tiba masanya beliau ditinggalkan atau disingkirkan.

Beliau telah terlalu banyak membuat masalah sepanjang tempoh beliau menjadi PM: menyebabkan krisis Perlembagaan dengan Raja-Raja sebanyak dua kali; menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas; menyebabkan UMNO dibatalkan; bergaduh dengan Tun Musa Hitam; bergaduh dengan DS Anwar; bergaduh dengan Tun Abdullah Badawi; bergaduh dengan DS Najib; menyerahkan kuasa politik orang Melayu kepada DAP; menyebabkan krisis Perlembagaan lagi sekarang; mencabar YDPA; masuk keluar UMNO entah berapa kali. Nampaknya selagi beliau ada dalam arena politik, beliau tidak berhenti-henti menimbulkan masalah. Cukuplah.

Kita mulakan hari baru, tanpa Tun Dr. Mahathir, DS Anwar dan Lim Kit Siang.

01 03 2020

6 visits