KALIMAH SYAHADAH PADA SELIPAR HOTEL

KALIMAH SYAHADAH PADA SELIPAR HOTEL

Saya merujuk kepada berita yang disiarkan oleh themalaymailonline dan bhonline pada 20 September 2017 berkenaan rampasan sepasang selipar yang mempunyai kalimah syahadah di bawahnya. Saya juga menerima beberapa gambar foto yang menunjukkan seorang pemuda berbaju merah sedang memegang selipar dan gambar selipar yang mengandungi ayat-ayat azan. Saya juga menerima gambar-gambar serbuan di sebuah kilang yang membuat selipar itu.

Apa yang saya tahu setakat ini ialah:
1. Rampasan di hotel di buat oleh pegawa-pegawai Majlis Agama Islam Perak (MAIP).
2. Saya tidak tahu sama ada serbuan dan rampasan di kilang itu dibuat oleh pagawa-pegawai MAIP atau Polis.

Setakat ini nampaknya MAIPlah yang akan menyiasat kes itu, dan semestinya bagi kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Perak) 1992.

Dari apa yang ternampak setakat ini, jika ada bukti, besar kemungkinan, pertuduhan akan dibuat terhadap hotel, syarikat yang membuat slipper itu dan/atau pengarah-pengarahnya.

Perlu diambil ingatan dari awal bahawa hotel dan syarikat yang membuat selipar itu adalah syarikat sendirian berhad yang bukan “seorang yang beragama Islam” dan, oleh itu, terletak di luar bidangkuasa mahkamah syariah. Enakmen itu juga tidak terpakai kepadanya.

Jika hendak dituduh pengarah-pengarahnya, saya percaya mereka juga bukan orang Islam. Mahkamah syariah juga tidak mempunyai bidangkuasa terhadap mereka. Kesalahan-kesalahan di dalam enakmen berkenaan juga tidak terpakai kepada mereka. Malah pegawai-pegawai penyiasat syar’ie pun tidak ada bidangkuasa menyiasat mereka.

Oleh itu, sebelum dicabar, saya nasihatkan supaya MAIP segera membuat laporan Polis dan menyerahkan barang-barang kes kepada Polis untuk menjalankan siasatan bagi kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Kesiksaan dan undang-undang lain.

Penasihat Undang-Undang Negeri hendaklah menasihatkan MAIP dan Timbalan Pendakwa Raya hendaklah mengawasi penyiasatan dan mengambil alih pendakwaan supaya tidak berlaku kesilapan teknikal.

Tun Abdul Hamid Mohamad

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

22 09 2017

195 visits