MEMBINA KASATUAN SIKAP DALAM MENGHADAPI CABARAN SEMASA TERHADAP ISLAM DI MALAYSIA

MUKTAMAR MAJLIS AMAL ISLAMI MALAYSIA 2016
25 Februari 2016
MEMBINA KASATUAN SIKAP DALAM MENGHADAPI CABARAN SEMASA TERHADAP ISLAM DI MALAYSIA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Tajuk ini diberikan kepada saya. Saya tidak memindanya, tetapi saya cuba memadankannya dengan apa yang saya hendak katakan.

Saya telah banyak kali menulis atau berucap mengenai perpaduan orang Melayu/ Islam di Malaysia semenjak bulan April 2014 apabila tersiarnya dan menjadi viralnya rencana yang saya tulis di Bilik Cempaka, Wad 28, Hospital Kuala Lumpur sehingga kepada ucapan saya di Majlis Penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah dalam bulan Oktober 2015. (Kesemuanya boleh didapati dalam laman web saya). Hari ini saya akan memberi ringkasan point-point saya dan mengembangkannya untuk menjadi asas penyatuan sikap semua pihak yang terlibat untuk mencapai tujuan itu.

Dalam konteks Malaysia, Melayu dan Islam adalah synonymous. Apa yang menguntungkan orang Melayu menguntungkan orang Islam. Apa yang merugikan orang Melayu merugikan orang Islam. Demikianlah sebaliknya. Maka, apabila saya menggunakan salah satu perkataan tersebut, mengikut konteknya, ia juga akan meliputi yang lainnya,

Kemuncak perpaduan orang Melayu adalah dalam tahun 1946. Pada masa itu orang Melayu bersatu padu menentang Malayan Union. Orang Melayu bersatu padu menentang ancaman pengganas Kominis. Orang Melayu juga bersatu padu dalam pejuangan menuntut kemerdekaan. Walaupun pada masa itu orang Melayu sudah berpecah kepada tiga buah parti politik nasional iaitu UMNO, Parti Negara dan PAS, semuanya sekata dalam menuntut kemerdekaan.

Dalam tahun 1963, Konfrontasi Sukarno dan, dalam tahun 1965, Malaysian Malaysia Lee Kuan Yew telah menyatupadukan orang Melayu. Dalam tahun 1969, peristiwa 13 Mei telah sekali lagi merapatkan perpaduan orang Melayu.

Satu “common factor” dalam keadaan-keadaan itu ialah orang Melayu/Islam merasakan bahawa mereka berhadapan dengan ancaman dari luar.

Selepas 1969, negara menjadi lebih aman dan tenteram, kemajuan dan kamakmuran telah mula dirasai, kampung telah bertukar wajah, hampir semua rumah sudah mempunyai kereta dan banyak pula yang telah mempunyai anak yang berkelulusan atau berada di universiti, hampir kesemuanya atas biasiswa kerajaan persekutuan, kerajaan yang diterajui oleh UMNO dan BN, satu faktor yang kerapkali tidak diambil hirau (“taken for granted.”)

Dalam keadaan itu, anak-anak muda itu mula lupa asal usul mereka, mereka telah lupa bahawa mereka baru keluar dari kampung satu atau dua generasi, malah ada yang merasakan bahawa peruntukan-peruntukan perlembagaan dan dasar yang mengubah nasib mereka itu sudah tidak perlu lagi. Ada pula yang terlalu taksub dengan sesuatu yang bersifat kearaban, tanpa dapat membezakan di antara Arab dan Islam, Shari’ah dan budaya, fakta dan pandangan.

Pemimpin-pemimpin Melayu dalam UMNO telah menjadi leka dan sombong dengan kuasa dan kekayaan. Mereka merasakan bahawa UMNO akan kekal sebagai parti pemerintah buat selama-lamanya. Mereka cemburu jika ada muka-muka baru yang akan menandingi mereka. Maka UMNO menjadi ketandusan pemimpin dan reput dari dalam. Rakyat hilang kepercayaan terhadap UMNO.

Orang Melayu yang berada di luar UMNO, antaranya kerana tidak mendapat tempat dalam UMNO, mula nampak bayangan kekayaan jika berkuasa. Maka, PKR mahu berkuasa tidak kira dengan apa juga caranya dan tidak kira apa yang akan terjadi kepada bangsa, agama dan negara. PAS, terutama sekali golongan “bukan ulamak” seperti jurutera dan doktor yang menyertai PAS kerana kesukaran memecah banteng hierarchy UMNO, juga telah mula nampak kemewahan yang boleh didapati melalui kuasa pemerintahan. Kedua-dua parti itu sedar bahawa mereka tidak boleh berkuasa di peringkat persekutuan tanpa sokongan parti orang bukan Melayu dan parti itu adalah DAP. DAP dan orang Cina telah nampak peluang untuk memperalatkan orang Melayu untuk memperkuatkan kedudukan mereka, dan sekali gus melemahkan kedudukan orang Melayu.

Orang Melayu dalam PKR seolah-olah tidak kisah manakala orang PAS seolah-olah tidak dapat membaca keadaan itu. PAS berfikir dengan mentality Kelantan. Mereka lupa bahawa paratusan orang bukan Melayu di negeri lain dan di Malaysia adalah jauh lebih banyak daripada di Kelantan; bahawa orang Cina di Kelantan berlainan daripada orang Cina di negeri-negeri lain (sebab bilangan mereka kecil); bahawa di Kelantan, pada hakikatnya, hanya ada UMNO dan PAS, kedua-duanya Melayu dan Islam (walaupun pada suatu masa PAS menidakkan keislaman UMNO, sekarang nampaknya tidak lagi, Alhamdulillah) dan bahawa mentality pemimpin UMNO dan PAS Kelantan adalah sama, ia itu mentalili “Kelantan adalah Kelantan” dan “Kelantan dahulu”. Semasa berkempen di Kelantan, pemimpin-pemimpin UMNO pun memakai kopiah putih! Maka, sama ada Kelantan diperintah oleh BN atau pembangkang tidak ada beza kesannya kepada orang Melayu/Islam. Selain daripada itu pemimpin-pemimpin PAS itu juga telah mula khayal dengan impian Putrajaya, pusat pemerintahan negara yang, sebelumnya, hendak dilelongnya, jika menang pilihanraya. Maka berlakulah kesepakatan di antara PKR, PAS dan DAP.

Saya telah berkata beberapa kali dan saya ulangi bahawa, hari ini, orang Melayu/Islam di Malaysia sedang menghadapi “ancaman luar” yang paling serious dalam sejarah. Malangnya, berlainan daripada di masa-masa lepas, orang Melayu tidak menyedarinya. Saya telah berkata beberapa kali dan saya ulangi bahawa jika pakatan pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan, parti yang akan menjadi tunggak (dominant) pakatan itu ialah DAP, bukan PKR dan bukan PAS; bahawa PKR atau PAS tidak akan dapat mengawal cita-cita DAP seperti UMNO berjaya mengawal cita-cita MCA dan Gerakan semenjak Merdeka dan bahawa satu perkara yang pasti berlaku jika pakatan pembangkang menang di peringkat persekutuan ialah, hak, kepentingan dan dedudukan orang Melayu dan Islam akan berkurangan. Sebab, orang-orang Cina meninggalkan MCA dan Gerakan dan menyokong DAP sebab mereka mahu lebih daripada apa yang telah mereka perolehi melalui MCA dan Gerakan. Dari mana “yang lebih” itu akan datang jika tidak daripada orang Melayu? Takkanlah itu pun orang Melayu tidak boleh fikir?

Tetapi Alhamdulillah, perubahan telah mula ternampak. PAS telah menyingkirkan golongan “Mat Sabu”. Pakatan antara PAS dengan DAP nampaknya telah berkecai. Pakatan dengan PKR pun nampaknya semakin renggang. Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd. Najib dan Presiden PAS, Dato’ Abdul Hadi Awang telah sama-sama menghadiri majlis yang sama dan berucap di majlis yang sama, Dato’ Seri Najib telah secara terbuka menghulurkan tangan kepada PAS untuk berkerjasama malah ahli-ahli panel dalam muktamar ini pun terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS.

Nampaknya, kedua-dua pihak telah berada di garisan yang sama untuk memulakan perjalanan. Sekarang kita perlu lihat apa halangan yang ada dan bersama-sama bersedia untuk untuk mengatasinya.

Bagi saya, yang pertama sekali, orang Melayu perlu berfikir. Fikir, bukan rasa, bukan ingat. Kita hendaklah bermula dengan menggunakan perkataan “fikir” sebagai kata kerja “Saya fikir” (seperti kita kata “I think” apabila bercakap dalam bahasa Inggeris), bukan “Saya rasa” atau “Saya ingat”, akhirnya tiada siapa yang fikir berkenaan isu semasa dalam konteks Malaysia hari ini dan membuat keputusan yang bersesuaian dengan keadaan hari ini. Saya percaya ada sebabnya mengapa Allah s.w.t. mengulangi ayat “Afalaata’qiluun” sebanyak 13 kali dalam Al-Qur’an. Mungkin ada pakar-pakar Al-Quran dalam muktamar ini yang boleh memberi pencerahan kepada kita. Dalam konteks tertentu, perkataan “rasa” dan “ingat” memang sesuai digunakan.

Kedua, orang Melayu hendaklah membuang sifat hasad dengki sesama sendiri dan pada masa yang sama terlalu sensitif terhadap perasaan orang bukan Melayu sehingga orang bukan Melayu tidak perlu sensitif terhahap perasaan orang Melayu. Ditepuk belakang dan dipuji sedikit, ada “ustaz-ustaz” yang sanggup menyamakan pemimpin bukan Islam sekutu mereka sebagai “Khalifah Umar Ibni Abdul Aziz”, menyibar cerita beliau akan memeluk agama Islam, malah mengangkat tangan mendoakannya! Mentaliti itu hendaklah dikikis dari jiwa orang Melayu. Kita mesti ada harga diri.

Ketiga, orang Melayu perlu menumpukan fikiran dan tenaganya terhadap isu-isu pokok, bukan yang remeh-temeh. Di awal abad ke 20, orang Melayu di Pulau Pinang berpecah dua dan bermusuhan kerana permainan borea, satu kumpulan terkenal dengan “Bendera Merah” dan satu lagi “Bendera Putih”. Mereka bergaduh atas nama bendera mereka. Dalam tahun 1950an, orang Kelantan heboh dengan masalah hukum air liur anjing, hingga satu muzakarah besar diadakan yang menemukan ulamak-ulamak lulusan Al-Azhar dan Timur Tengah (yang dikenali sebagai “Kaum Tua”) dengan graduan-graduan Darul Uloom Deoband, India, termasuk Dr. Burhanuddin Al-Helmi (yang dikenali sebagai “Kaum Muda”). Dalam tahun 1970an dan 1980an, umat Islam, terutama sekali di Pantai Timur Semenanjung Malaysia berdepan pula dengan isu pengkafiran, dua Imam, pengharaman daging sembelihan dan lain-lain kerana berada dalam parti politik yang berlainan. Dan seterusnya.

Kempat, orang Melayu mesti sedar bahawa isu pokok yang menghadapi mereka sekarang ialah untuk menyelamat kerajaan persekutuan yang diterajui oleh UMNO demi untuk mempertahankan kedudukan agama Islam dan hak-hak keistimewaan orang Melayu. Yang lainnya adalah secondary. Hudud bukanlah isu pokok sekarang. Hudud bukanlah satu-satunya ukuran keislaman sesebuah negara. Ia hanyalah satu jenis hukuman bagi kesalahan jenayah. Tidak ada sebuah parti politik di dunia ini yang wujud semata-mata untuk memperjuangkan pelaksanaan satu jenis hukuman jenayah. Biar apa pun, kerajaan persekutuan yang diterajui oleh UMNO adalah gandingan yang terbaik untuk pelaksanaan hudud, bukan pakatan pembangkang yang diterajui oleh DAP. Itu PAS perlu sedar dan terangkan kepada ahli-ahlinya.

Kelima, dengan berkerjasama di peringkat kerajaan, PAS boleh kekal sebagai PAS dan UMNO boleh kekal sebagai UMNO. Malah PAS akan dapat menyertai kerajaan persekutuan. Mungkin ada pemimpin-pemimpin pertengahan dalam UMNO yang takut kehilangan peluang menjawat jawatan dalam kerajaan persekutuan, kepada PAS. Mereka perlu fikir, mereka mahu hilang sedikit atau hilang semua? Mereka perlu bertanya diri mereka sendiri untuk apa mereka menyertai UMNO? Adakah untuk kepentingan diri semata-mata?

Keenam, mengenai UMNO. Saya telah berkata dan saya ulangi, sebagai sebuah parti Melayu/Islam, UMNO berada di atas landasan yang betul. Masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya. Persepsi rasuah yang tinggi di kalangan mereka, isteri-isteri mereka yang berbelanja tidak sepadan dengan pendapatan rasmi suami mereka, menjatuhkan imej pemimpin-pemimpin UMNO di mata rakyat. Lebih menyedihkan ialah, dalam keadaan tenat yang UMNO berada sekarang, pada masa pemimpin-pemimpin UMNO sepatutnya mengukuhkan parti, mereka bercakaran sesama sendiri. Percayalah, semua itu adalah “alamat kiamat” sesebuah parti, jika keadaan itu tidak diperbetulkan segera.

Saya percaya jika kesemua pihak memberi perhatian serius kepada faktor-faktor yang saya sebut itu dan berusaha dengan ikhlas kearah perpaduan dan/atau kerjasama, demi untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara, insya Allah ia akan tercapai.

Ada orang berkata kepada saya, setelah membaca rencana-rencana saya dia mengambil keputusan untuk mengundi BN dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Tetapi, masalahnya dia tidak sukakan pemimpin tertentu. Pemimpin itu akan menganggap undinya itu adalah undi untuk beliau, sedangkan itu bukan tujuannya.

Saya akui itu adalah satu dilemma. Tetapi, dalam keadaan yang kita hadapi sekarang, kita perlu memberi tumpuan kepada ummah, bukan pemimpin. Pemimpin datang dan pergi, ummah kekal. Ummah menentukan siapa pemimpin, bukan sebaliknya. Tidak ada sesiapa yang lebih besar dari ummah, melainkan seorang Rasul. Seorang pemimpin yang berjiwa besar juga sepatutnya tahu bila dia patut berundur. Pertimbangannya ialah apabila dia sudah hilang credibility dan menjadi liability kepada parti dan demi kepentingan agama, bangsa dan negara, bukan kepentingan diri. Maka, kita janganlah bakar kapal kerana tidak sukakan nakhoda. Nakhoda janganlah membakar kapal kerana tidak mahu melepaskan jawatan. Dan, janganlah ada pula orang yang kerana hendak sangat menjadi nakhoda, hingga sanggup membakar kapal.

Setakat ini, dalam ucapan ini, saya tumpukan kepada kerjasama antara UMNO dan PAS di peringgkat persekutuan. Sekarang saya akan mengembangkan lingkarannya. Sebenarnya, jika kerjasama itu di antara UMNO (BN) dan PAS sahaja pun, ia boleh dikembangkan ke negeri-negeri. Jika demikian, Kelantan, Trengganu, Pahang, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor akan selamat.

Saya tidak menyebut PKR kerana saya tidak nampak PKR, sebagai sebuah parti, pada masa ini, boleh menyertai kerjasama ini. Lagi pula PKR tidak pernah berkata ia memperjuangkan hak orang Melayu. Ia cuma memperjuangkan hak seorang Melayu, itu pun jika orang itu masih menganggap fakta Melayunya itu masih relevan. Walau bagaimana pun, saya minta pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PKR supaya bertanya diri mereka sendiri: mereka berjuang untuk apa? Jika untuk mencapai keadilan kepada pemimpin agung mereka, sebenarnya tidak ada ketidakadilan dilakukan terhadapnya. Dia sahaja yang melaungkan ketidakadilan setiap kali mahkamah membuat keputusan yang tidak memihak kepadanya. Jika keputusan itu memihak kepadanya, dia diam. Saya ingin bertanya: siapa yang lebih layak untuk membuat kenyataan ini daripada saya?

Sebenarnya, perjuangan mereka hanya untuk mendapat kuasa tidak kira apa akibatnya kepada hak, kepentingan dan kedudukan bangsa Malayu dan umat Islam. Tidakkah sudah tiba masanya untuk pemimpin-pemimpin Melayu/Islam PKR berfikir semula dan mengubah pendirian mereka demi untuk mempertahankan hak, kepentingan dan kedudukan orang Melayu/Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan?

Demikian juga NGO-NGO Melayu/Islam. Merka juga sepatutnya menyertai perpaduan ini untuk mencapai tujuan yang sama. Pada masa yang sama, mereka patut bergabung sesama sendiri, mengurangkan bilangan, menambahkan keahlian dan memperkuatkan kedudukan, bukan masing-masing hanya menjaga periuk nasi sendiri, satu tabiat yang perlu dikikis daripada jiwa orang Melayu.

Sebenarnya, tidak ada apa-apa perbezaan prinsip atau ideology di antara semua kempulan-kumpulan Melayu/Islam, baik parti politik atau NGO, yang boleh menjadi halangan kepada perpaduan atau kerjasama di antara mereka. “Halangan” yang ada hanyalah kepentingan diri: takut hilang pendapatan, jawatan dan kedudukan atau takut tidak berpeluang mendapatnya. Sanggupkah mereka berjiwa besar dan mengenepikan “halangan” itu?

Akhir kata, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak juga patut sedar bahawa kedudukan mereka dalam Perlembagaan adalah serupa dengan kedudukan orang Melayu. Jika mereka mahu kedudukan mereka selamat, mereka hendaklah bersama-sama orang Melayu, UMNO dan BN. Bahawa sebahagian daripada mereka beragama Kristian tidak pernah menjadi masalah. Mereka boleh terus mengamalkan agama mereka seperti biasa. Kita bantah penggunaan kalimah “Allah” dalam bible dan upacara agama dalam Bahasa Melayu, terutama sekali di Semenanjung, kerana motifnya adalah untuk mempengaruhi orang Melayu menganut agama Kristian setelah mereka gagal berbuat demikian selama 500 tahun.

Kita bukan hendak meminggir mana-mana kaum. Kita hanya hendak mempertahankan peruntukan-peruntukanp Perlembagaan yang sedia ada. Malah, semua kaum sepatutnya bersama-sama mempertahankan Perlembagaan kerana hanya dengan cara itu perpaduan, harmoni, ketenteraman, kemajuan dan kemakmuran akan dapat dikekalkan.

Saya telah berkata apa yang saya hendak katakan. Terserahlah kepada pemimpin-pemimpin dan orang Melayu/Islam sama ada hendak menerima pandangan saya atau tidak. Soalnya, apakah yang mereka lebih utamakan, kepentingan diri atau ummah?

Sekian. Terima kasih.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

150 visits