PERSIDANGAN TAHUNAN BIRO BANTUAN GUAMAN 1996

PERSIDANGAN TAHUNAN BIRO BANTUAN GUAMAN 1996
20 APRIL 1996
THE LEGEND RESORT, CHERATING, KUANTAN, PAHANG
Ucapan Utama
Oleh
Y.A. Dato’ Abdul Hamid bin Hj. Mohamad

 


Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Tahun 1972. Pada masa itu saya berkhidmat di Kuala Kubu Baru sebagai Yang Di Pertua Mahkamah Sesyen. Biro Bantuan Guaman baru dibuka. Di luar Kuala Lumpur, cuma ada satu cawangan, iaitu di Alor Setar, untuk memberi perkhidmatan di seluruh Kedah dan Perlis.

Saya menulis surat kepada Encik Wan Yahaya bin Pawan Teh (pada masa itu belum Dato’), Pengarah Pertama Biro Bantuan Guaman (BBG) menawarkan diri saya untuk berkhidmat dalam BBG.

Saya berbuat demikian kerana saya merasa sebagai seorang anak kampung, anak peladang, saya faham masalah orang-orang di Kedah dan Perlis dan boleh berbuat sesuatu untuk mereka.

Seminggu dua selepas itu saya menerima jawapan beliau berterima kasih kepada saya. Tidak lama kemudian saya ditukarkan ke Alor Setar.

Sampai di Alor Setar, saya dapati pejabat BBG terletak di tingkat pertama dan kedua di atas sebuah kedai kopi. Di Perlis saya menumpang bilik kosong di sebelah Dewan Undangan Negeri. Terdapat 5 orang kakitangan, seorang kerani, 3 orang jurubahasa dan seorang pelayan pejabat, semuanya lantikan pertama. Maka bermulalah perkhidmatan saya dengan BBG.

BBG satu jabatan baru, saya pegawai baru, kakitangan semuanya baru. Fail Meja pun belum ada masa itu malah meja itu pun baru. Maka terserahlah kepada kebijaksanaan dan inisiatif sendiri untuk berbuat sesuatu.

Pada masa itu orang ramai belum tahu apa BBG. Saya pun pergi ke merata-rata tempat memberi ceramah.

Masalah kedua ialah untuk masuk Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah pada masa itu kurang senang dengan kehadiran peguam. Saya sendiri pun tidak arif dalam hukum Syarak. Walau bagaimanapun, melalui hubungan peribadi, masalah itu, sedikit demi sedikit, dapat diatasi.

Hari ini, suku abad kemudian, beberapa orang kadi yang saya kenal masa itu (yang masih hidup) menjadi kawan baik.

Bidangkuasa BBG masa itu tidak luas, kebanyakannya kes-kes tuntutan nafkah dan kes-kes sewaan sawah. Tetapi, orang ramai yang tahu wujudnya BBG datang dengan berbagai-bagai masalah. Setengah daripada mereka dinasihatkan oleh Wakil Rakyat. Ada kalanya wakil rakyat pun datang minta nasihat.

Pada masa itulah saya mula menyedari bahawa pengalaman saya sebagai Majistret dan Yang Di Pertua Mahkamah Sesyen selama tiga thun sebelum itu, tidak memadai.

Walau bagaimanapun, saya buat apa yang saya boleh buat. Memandang ke belakang sekarang, saya masih tidak pasti sama ada sumbangan saya itu memadai atau tidak. Tetapi, sekurang-kurangnya Negeri Perlis berpendapat bahawa ia memadai untuk memberikan saya pingat P.J.K.

Satu perkara saya hendak sebut. Saya menawarkan diri saya untuk perkhidmatan itu dengan penuh idealisma. Saya menyangka bahawa semua orang yang datang ke BBG adalah orang miskin, jujur dan teraniaya. Tetapi, tidak berapa lama kemudian saya dapati bahawa di kalangan rakyat pun ada “crook”. Maka saya meletakkan satu cogan kata di pintu bilik saya yang saya tulis dalam tulisan Jawi. Bunyinya begini:

“Datanglah dengan ikhlas.
Pulanglah dengan senyum.”

Selepas hampir 3 tahun saya ditukarkan ke Jabatan Hasil Dalam Negeri. Saya pun pergi melaporkan diri kepada Peguamcara Negara pada masa itu. Beliau bertanya saya berapa lama saya di BBG. Saya jawab, hampir 3 tahun. Beliau berkata: “What a waste!”. Hati saya hancur. Tetapi tidak mengapalah. Nasib.

Itulah pengalaman saya dengan BBG. Tetapi hari ini saya rasa gembira sekali. Kerana sekurang-kurangnya tuan-tuan ingatkan saya, dan menjemput saya kemari. Terima kasih.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Saya harap tuan-tuan yang berkhidmat dengan BBG pada masa ini tidak merasa dirinya tersingkir. Tidak mengapalah kerja ini tidak glamour. Jika semua pegawai hendakkan kerja yang glamour, siapa akan melakukan kerja yang tak glamour. Siapa yang akan memberi bantuan guaman atau nasihat undang-undang kepada orang-orang miskin, yang tidak mampu mengambil peguam?

Saya perhatikan bahawa bidangkuasa BBG telah banyak ditambah.

Dari segi pengalaman yang boleh didapati oleh seseorang pegawai yang berkhidmat di BBG, saya rasa ianya adalah agak luas, terutama sekali dalam guaman sivil. Pada pandangan saya, untuk tujuan menambah pengalaman dalam bidang guaman sivil, BBG memberi peluang yang baik. Ia bermula dari seorang anakguam datang menemui tuan-tuan, menemuduga anakguam dan saksi-saksi, menderaf pliding dan afidavit, membuat permohonan interlokutori, memeriksa saksi-saksi dalam perbicaraan, berhujah baik dalam perbicaraan atau rayuan dan melakukan prosiding pelaksanaan. Tuan-tuan berpeluang hadir di semua Mahkamah Sivil, dari serendah-rendahnya hingga setinggi-tingginya. Selain dari itu tuan-tuan berpeluang juga hadir di Mahkamah Syariah. Tuan-tuan sebenarnya adalah peguam-peguam yang lengkap. Oleh itu saya harap tuan-tuan akan memanfaatkan peluang itu. Ianya amat berguna kelak apabila tuan-tuan dilantik menjadi Hakim, insya Allah.

Saya sedar masalah tuan-tuan, seperti yang sentiasa berlaku dalam perkhidmatan kita, ialah kerapkali kita ditukarkan ke suatu jabatan (termasuk BBG) tanpa sebarang latihan. Ini satu hakikat yang kita terpaksa terima. Sebenarnya dalam perkhidmatan kita, kita tidak dapat elak daripada belajar sambil bekerja dan bekerja sambil belajar. Malah saya katakan, biar betapa kanan pun seorang pegawai itu (termasuk Hakim), setiap hari dia bekerja, dia belajar. Setiap hari ada perkara baru yang dihadapinya yang perlu dipelajarinya. Tidak ada sesiapa yang boleh memberi syarahan, ceramah, seminar yang boleh melengkapkan seseorang itu untuk tahu segala-galanya mengenai pekerjaan yang bakal dibuatnya. Kita bukan komputer yang boleh diprogram terlebih dahulu. Malah, sebab kita manusia dan bukan komputer, kita mempunyai kelebihan daripada komputer. Komputer boleh memberi jawapan kepada sesuatu masalah jika maklumat mengenainya diprogramkan terlebih dahulu. Kita boleh mencari maklumat sendiri, berfikir sendiri dan mencari jawapan sendiri.

Ini tidak bererti latihan tidak perlu diberi. Bagi saya latihan sambil bekerja, terutama sekali jika diberi oleh orang-orang yang telah membuat kerja itu. Ia hendaklah bersifat khusus dan praktikal.

Saya percaya, sebelum tuan-tuan ditempatkan di BBG, tuan-tuan telah pun berkhidmat beberapa tahun sebagai Majistret, Timbalan Pendakwa Raya atau di jabatan-jabatan lain. Pengalaman itu sedikit sebanyak akan membantu tuan-tuan sebagai peguam BBG. Tetapi, ianya tidak cukup. Sebab sebagai seorang peguam BBG, tuan-tuan akan menemui berbagai-bagai masalah kepeguaman.

Bidangkuasa nasihat melibatkan semua perkara. Adalah mustahil bagi seorang peguam mengetahui semua undang-undang dalam semua perkara, biar berapa lama pun dia bertugas, apatah lagi dalam beberapa tahun. Apa yang kita belajar di Universiti, hanyalah bagaimana hendak mencari undang-undang dan membaca undang-undang. Itu pun dalam beberapa bidang yang tertentu sahaja. Jangan sangka, oleh sebab kursus undang-undang di Universiti mengambil masa 4 tahun, apabila lulus tahun pertama kita sudah tahu ¼ daripada undang-undang, selepas lulus tahun kedua kita sudah tahu ½, selepas lulus tahun ketiga kita sudah tahu 3/4 dan selepas lulus peperiksaan akhir, kita sudah tahu semua undang-undang. Tunggu hingga anakguam tuan-tuan yang pertama datang menemui tuan-tuan. Masa itu tuan-tuan akan tahu berapa banyak yang tuan-tuan tidak tahu!

Oleh itu nasihat saya ialah, jangan terburu-buru memberi nasihat rambang. Dapatkan fakta-fakta yang relevan daripada anakguam, selidik, fikir dan baru beri nasihat. Ini terutama sekali dalam perkara sivil, misalnya yang melibatkan undang-undang tanah, amanah dan pesaka. Kita mesti akui bahawa dalam tugas kita sebagai pegawai kehakiman dan perundangan kita tidak terdedah kepada bidang ini, oleh itu kita tiada pengalaman mengenainya. Sebagai Hakim pun, terutama sekali di peringkat awal, saya merasa kekurangan dalam bidang ini, apatah lagi, di Pulau Pinang dengan sistem “conveyancing”, “trust deed”, “Deed Poll”, “Deed of Settlement” dan lain-lain yang masih ditemui hingga sekarang.

Saya tidak tahu sama ada latihan praktikal boleh diatur dalam bidang ini. Kalau boleh, saya rasa orang yang paling layak yang boleh memberi panduan ialah peguam-peguam “conveyancing”, bukan pegawai-pegawai Kehakiman dan Perundangan.

Berbanding dengan zaman saya dahulu, bidangkuasa BBG telah ditambah dengan banyaknya. Saya percaya bilangan orang yang datang mendapat bantuan BBG juga telah bertambah berkali-ganda. Setelah wujud selama suku abad, sepatutnya orang ramai telah tahu benar mengenai BBG.

Tetapi saya tidak yakin bahawa kebanyakan orang ramai terutama sekali di kawasan luar bandar, tahu, atau peduli untuk ambil tahu, dan menggunakan perkhidmatan BBG.

Saya merujuk khususnya kepada:

(a) Hak-hak dan tanggungan-tanggungan di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 – para 7, Jadual Ketiga.

(b) Hak-hak dan tanggungan-tanggungan mengenai tindakan-tindakan sivil bagi ganti-rosak yang timbul daripada kemalangan yang melibatkan kereta-kereta motor yang termasuk dalam makna Akta Pengangkutan Jalan 1987 – Para 8.

(c) Permohonan Probet dan Surat Mentadbir Pusaka – para 13.

Dari apa yang saya lihat, masalah pembahagian pusaka masih menjadi satu masalah sosial di kalangan orang-orang Melayu di luar bandar.

Selepas kematian seseorang, jarang benar waris-warisnya mengambil suratkuasa mentadbir atau memohon pembahagian pusaka. Ini kadang-kadang berlarutan sehingga 3 atau 4 keturunan.

Sebab utamanya ialah kerana nilai pusaka itu terlalu kecil, terlalu banyak waris yang berselerak, masing-masing tidak mahu mengambil inisiatif kerana ia, antara lain, melibatkan perbelanjaan. Maka kekallah keadaan itu sedemikian. Cuma apabila tanah itu diambil oleh kerajaan, atau ada orang yang hendak membelinya, barulah kelam kabut – kerana wang sudah terbayang.

Mungkin BBG patut keluar pejabat dan melancarkan satu kempen untuk menyedari mereka ini dan seterusnya membantu mereka dalam hal ini. Saya serahkan kepada tuan-tuan untuk memikirkannya.

Satu perkara lagi ialah mengenai tuntutan gantirugi yang berbangkit daripada kemalangan jalan raya. Selama 6½ tahun saya di Pulau Pinang saya belum temui satu kes yang diwakili oleh BBG. Juga saya belum dengar orang kampung saya bercakap bahawa mereka ada meminta perkhidmatan BBG dalam hal ini.

Saya tidak tahu adakah ini kerana jaring yang dipasang oleh peguam-peguam begitu rapat sekali matanya sehingga tidak ada kes yang terlepas kepada BBG! Saya rasa kepentingan mangsa-mangsa kemalangan lebih terjamin jika mereka menggunakan perkhidmatan BBG. Mungkin usaha yang lebih patut dilakukan untuk memberitahu orang ramai tentang perkhidmatan BBG yang mereka boleh terima dalam hal ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya diminta memberi pandangan tentang bagaimana hendak menjadi peguam BBG yang efektif dalam kontek Malaysia.

Pada pendapat saya tidak ada satu jalan singkat, tidak ada satu formula keramat untuk menjadi seorang peguam BBG yang efektif.

Namun demikian, rasanya beberapa perkara patutlah disebut.

Pertama sekali BBG hendaklah sampai kepada sasarannya. Siapakah sasaran BBG? Daripada bidangkuasa yang diberi kepada BBG kita dapat lihat siapa sasaran BBG. Untuk sampai ke sasaran itu kita kenalah turun ke padang. Kita tidak boleh cuma tunggu di pejabat dan mengharapkan kumpulan sasaran itu datang kepada kita.

Dalam hubungan kita dengan mereka pula, kita mesti boleh menyesuaikan diri kita dengan mereka. Kita mesti ingat bahawa BBG diwujudkan untuk memberi khidmat kepada orang-orang yang jika tidak ada BBG tidak akan mampu mendapat perkhidmatan peguam. Kita dibayar gaji untuk memberi perkhidmatan itu. Tetapi itu tidak bererti kita mesti ikut cakap mereka dalam semua hal. Kita dengar aduan mereka. Kita dapatkan fakta-fakta dan keterangan yang perlu daripada mereka. Tetapi, keputusan teknikal, sama ada bantuan patut/boleh diberi atau tidak, bentuknya, apa jenis tindakan yang boleh dibuat mengikut undang-undang, adalah keputusan kita. Sebagai peguam, tuan-tuan ada tanggungjawab kepada Mahkamah, selain daripada kepada mereka sebagai anakguam tuan-tuan. Maka keputusan tuan-tuan, tindakan tuan-tuan hendaklah mengikut undang-undang dan peraturan.

Bagaimana hendak menjadi peguam yang baik? Tidak ada sesiapa yang boleh memberi jawapan yang tepat. Ia terletak kepada diri setiap pegawai itu, sikapnya, minatnya, usahanya dan kebolehannya.

Dalam membuat persediaan sesuatu kes, hubungan fakta, keterangan dan undang-undang sangat rapat. Cuma kalau kita tahu fakta kes kita baru kita boleh cari undang-undang mana yang kita boleh pakai. Cuma apabila kita tahu undang-undang mana yang kita hendak pakai, baru kita tahu fakta mana yang relevan dan keterangan yang perlu dicari.

Setelah mengetahui fakta yang boleh dibuktikan dan undang-undang yang hendak dipakai, barulah kita mula menggubal pliding. Ini satu “area” lagi di mana pengalaman amat penting. Kita boleh gunakan “precedent” yang ada. Tetapi, fakta setiap kes itu berlainan dari yang lain. Hanya pengalaman yang dapat menolong seseorang peguam itu dalam perkara ini.

Dalam sesuatu guaman sivil, prosedur amat penting. Seseorang pegawai yang telah berkhidmat sebagai Penolong Kanan Pendaftar mungkin mempunyai sedikit kelebihan dalam hal ini. Namun demikian, tidak ada jalan singkat untuk mengetahui kaedah-kaedah prosedur sivil. Kita perlu membaca dan memahaminya. Jangan kerana tersilap prosedur, kes yang baik akan gagal. Ada kalanya saya lihat satu kes yang kukuh itu gagal kerana kesilapan peguam dalam pliding atau gagal mematuhi kaedah-kaedah tertentu. Sebagai peguam kita tentu tidak dapat memaafkan diri kita jika kita kalah kes bukan kerana keterangan tidak cukup, tetapi kerana tersilap prosedur atau gagal mematuhi kaedah-kaedah yang ditetapkan.

Saya dapati, berapakali, dalam membuat persediaan sesuatu kes, peguam-peguam lebih menitikberatkan nas-nas (authortities) daripada fakta. Sebenarnya, dalam sesuatu kes, mencari undang-undang dan mengemukakan hujah undang-undang adalah perkara yang paling senang. Hakim-hakim pun, biasanya mendengar nas-nas yang sama dipetik kepadanya berulang-ulang kali. Hakim sendiri pun boleh cari.

Bagi saya, yang lebih penting dititikberatkan ialah fakta dan keterangan. Sesuatu kes diputuskan berdasarkan fakta yang dibuktikan di Mahkamah. Kalau ia tidak dikemukakan, hakim tidak boleh mengambil maklum fakta itu, berlainan dari undang-undang.

Oleh itu, seseorang peguam hendaklah menitikberatkan perkara fakta dan keterangan. Dia mesti tahu fakta kesnya semasak-masaknya dan mengemukakannya ke Mahkamah. Jika fakta sudah ada, undang-undang akan ikut.

Jika fakta kes itu “complicated”, atau terdapat banyak dokumen-dokumen, baik semasa mengemukakan keterangan atau berhujah, adalah lebih baik menyediakan satu senarai “chronology of events” dan ikut “chronology” itu. Cara itu lebih mudah diikuti dan difahami oleh hakim yang membicarakan kes itu.

Seseorang peguam mesti ingat jika hakim tidak dapat faham kesnya atau hujahnya, dia tidak akan menang kes itu.

Mengenai bahasa, Tun Suffian pernah menasihatkan saya (saya berpeluang berkhidmat dengannya selama 7 tahun sebagai Timbalan Pendaftar). Saya dapati nasihatnya amat berguna dan saya pakai hingga hari ini. Katanya, kalau kita boleh pilih antara perkataan yang susah dengan yang mudah, pilih yang mudah. Kalau kita boleh pilih antara ayat yang pendek dengan ayat yang panjang, pilih yang pendek. Kalau kita merasa ragu-ragu sama ada sesuatu perkara itu patut disebut atau tidak, jangan sebut.
Tuan-tuan dan puan-puan,

Untuk apa kita bercakap atau menulis? Kita mahu sampaikan sesuatu maklumat atau idea kepada orang yang mendengar atau membacanya. Kalau kita tidak boleh beri orang itu faham apa yang kita hendak sampaikan, ertinya kita gagal, baik berapa panjang kita menulis atau bercakap, baik berapa cantik bahasa yang kita gunakan. Oleh itu gunakan bahasa yang orang boleh faham.

Sebagai peguam kita tidak boleh gunakan “slides” atau gambar. Hanya satu alat yang kita boleh gunakan – bahasa. Oleh itu kalau kita tidak boleh sampaikan idea atau maklumat yang kita hendak sampaikan melalui penggunaan bahasa, adalah lebih baik kita cari kerja lain – selain daripada peguam.
Tuan-tuan dan puan-puan,

Rasanya saya pun sudah bercakap terlalu banyak. Cuma saya harap saya dapat difahami. Jika tidak saya pun gagal juga.

Sekali lagi, terima kasih kerana menjemput saya dan memberi peluang kepada saya untuk bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan dalam persidangan ini.
Terima kasih.

 

140 visits