KUASA KE ATAS KEADILAN

KUASA KE ATAS KEADILAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Anwar) diberi pengampunan penuh, saya berkata bahawa satu-satunya asas baginya adalah “kekuatan adalah betul” (might is right). Parti beliau berkuasa, beliau akan menjadi Perdana Menteri (PM) oleh itu, beliau patut diberi pengampunan penuh dan layanan orang kenamaan (VIP) walaupun beliau masih seorang banduan. Maka, sebelum Lembaga Pengampunan mengadakan mesyuaratnya, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah menjanjikan PM semasa bahawa Anwar akan diampunkan; Anwar diperkenan menghadap sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan dan beliau diberitahu oleh YDPA sendiri bahawa beliau akan diberi pengampunan penuh.

Adakah semua banduan yang memohon pengampunan akan diberi layanan yang sama?

Diberi peluang kedua untuk menjadi PM, kita sangka Anwar akan beryukur kepada Allah swt dan tidak akan membangkitkan isu kes liwat itu lagi memandangkan orang yang memulakannya, Tun Dr. Mahathir, kini menjadi rakan politiknya dan beliau akan menumpukan perhatian untuk bersedia menjadi PM. Tetapi, peristiwa di kebelakangan ini tidak menunjukkan begitu.

Pertama, Anwar sendiri, seperti yang dilaporkan oleh Star Online pada 26 Ogos 2018, mahu “ketua-ketua badan kehakiman mengambil tindakan segera untuk membetulkan kesalahan yang ada”, sambil menambah bahawa beliau “tidak berminat untuk mengambil tindakan terhadap hakim-hakim atas keputusan mereka dalam perbicaraan kes liwatnya.”

Lebih mengejutkan adalah kenyataannya mengenai alasan pengampunannya yang diberikan oleh YDPA. Beliau berkata, “Apabila saya berjumpa dengan YDPA, baginda memberitahu saya bahawa baginda memberikan saya pengampunan penuh – bukan kerana baginda mempunyai kuasa untuk memberinya tetapi kerana tugas baginda adalah untuk membetulkan ketidakadilan.”

Pada 26 Ogos 2018, Free Malaysia Today melaporkan bahawa peguam Anwar, SN Nair, meminta siasatan diadakan mengenai “hukuman tidak adil” terhadap Anwar “kerana Yang di-Pertuan Agong telah memberikan pengampunan penuh kepada Anwar atas alasan sabitan itu, dengan jelas, dibuat kerana “miscarriage of justice”.

Mengikut laporan itu lagi, “SN Nair berkata, itu bererti kesemua hakim yang mensabitkan Anwar atas ketiga-tiga tuduhan itu telah tidak melaksanakan keadilan menurut undang-undang dan gagal mematuhi sumpah kehakiman mereka.”

Peguam itu juga berkata siasatan itu hendaklan diperluaskan kepada Jabatan Peguam Negara semenjak Mohtar Abdullah menjadi Peguam Negara.

Mari kita perhatikan kenyataan ini dengan teliti. Merujuk terlebih dahulu kepada kenyataan Anwar, dengan anggapan bahawa beliau telah menggunakan perkataan “ketua-ketua” dalam bentuk majmuk, beliau semestinya merujuk kepada Ketua Hakim Negara (KHN), Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar (Malaya) dan Hakim Besar (Sabah dan Sarawak).

Apakah yang beliau mahu mereka lakukan? Hanya terdapat dua kemungkinan. Pertama, mereka dikehendaki mengambil tindakan tatatertib terhadap hakim-hakim yang mensabitkan Anwar. Kedua, mereka perlu memanggil semula kes-kes itu dan membalikkan (reverse) penghakiman mahkamah.

Mengenai kemungkinan pertama, Anwar sendiri berkata bahawa beliau tidak berminat untuk mengambil tindakan terhadap hakim-hakim itu kerana keputusan mereka dalam kes liwatnyanya. Tetapi, hakikat bahawa beliau berkata demikian pun adalah satu perkara yang membimbangkan.

Ia bererti, apabila parti seseorang pemimpin itu memenangi pilihanraya umum dan membentuk kerajaan, beliau boleh mengambil tindakan terhadap hakim-hakim yang telah mensabitkannya! Jika beliau tidak berbuat demikian, itu semata-mata kerana murah hatinya.

Ia juga bermakna KHN semasa, Tan Sri Richard Malanjum perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap dirinya kerana beliau adalah salah seorang hakim yang mensabitkan Anwar di Mahkamah Rayuan dalam kes liwat pertama Anwar.

Sekiranya maksudnya adalah bahawa beliau mahukan ketua-ketua badan kehakiman itu memanggil semula kes-kes itu dan membalikkan keputusan itu, ia juga adalah satu kenyataan yang sangat membimbangkan. Sekali lagi, kita kembali kepada “kekuatan itu betul”. Hanya kerana partinya (bersama-sama parti-parti lain) berkuasa, beliau boleh mengarahkan ketua-ketua badan kehakiman untuk membalikkan sabitan anda.

Merujuk kepada alasan yang dikatakan diberikan oleh YDPA mengapa baginda memberikannya pengampunan penuh, dengan penuh hormat, ini adalah kesilapan paling serius yang dibuat oleh YDPA, berbanding tiga kesilapan lagi dalam hal ini, iaitu, pertama, menjanjikan PM semasa sebelum Lembaga Pengampunan mengadakan mesyuaratnya bahawa Anwar akan diampunkan; kedua, menerima Anwar menghadap, semasa beliau masih seorang banduan dan ketiga, memberitahunya bahawa beliau akan diampunkan, sebelum Lembaga Pengampunan mengadakan mesyuaratnya.

Dengan mengatakan bahawa baginda mengampuni Anwar kerana tugas baginda adalah untuk membetulkan ketidakadilan bererti bahawa panel lima orang hakim yang mensabitkan Anwar itu tidak berlaku adil atau melakukan “miscarriage of justice” yang memerlukan pengampunan diberikan.

Andainya YDPA telah berkata demikian (sepatutnya tidak), kita ingin mengetahui dengan lebih terperinci. Adakah ia bererti bahawa sabitan itu tidak boleh dipertahankan mengikut undang-undang kerana kekurangan bukti yang boleh diterima? Sejauh yang kita tahu, baginda bukan seorang peguam. Baginda juga tidak membaca rekod rayuan, malah, besar kemungkinan, alasan penghakiman pun tidak. Oleh itu, atas asas apa baginda menyandarkan pendapatnya?

Dalam episod ini, adalah lebih baik jika YDPA hanya mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan dan membiarkan setiausaha lembaga menyampaikan keputusan itu kepada banduan. Perlembagaan tidak menghendaki YDPA atau Lembaga Pengampunan memberi alasan mengapa mengampuni diberi. Tetapi, apabila disebut, walaupun secara peribadi, ia boleh dipetik untuk tujuan selanjutnya. Inilah yang berlaku di sini.

Walau bagaimana pun, saya tidak mengetahui apa-apa prosedur yang ada yang membolehkan kes-kes itu dibuka semula dan keputusannya diterbalikkan. KHN atau satu panel Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk memanggil semula dan menterbalikkan atau pun mengesahkan keputusan panel lain, sebelumnya. Jika tidak, keputusan mahkamah tertinggi tidak akan mektamad.

Mengenai kenyataan peguam Anwar, SN Nair, beliau mahu siasatan diadakan. Beliau tentulah bermaksud supaya satu suruhanjaya diadakan untuk menyiasat pertuduhan-pertuduhan terhadap Anwar. Beliau juga bergantung pada alasan yang diberikan oleh YDPA dalam membuat tuntutan itu.

Apakah yang beliau mahu disiasatkan? Bagi kes liwat pertama, Mahkamah Persekutuan telah membebaskan Anwar. (Sebenarnya sayalah hakim yang menulis penghakiman yang telah dipersetujui oleh Tengku Baharuddin Shah Tengku Mahmud, HMR yang membebaskannya). Adakah beliau mahukan hakim yang memberi penghakiman menentang, Dato’ Rahmah Hussain, Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan (salah seorang daripada mereka adalah Tan Sri Richard Malanjum, KHN sekarang) dan Hakim Mahkamah Tinggi (yang telah meninggal dunia) diambil tindakan tatatertib kerana mensabitkan Anwar?

Mengenai dua kes yang lain, adakah beliau juga mahu semua hakim-hakim yang telah mensabitkan Anwar diambil tindakan tatatertib atau untuk melakukan siasatan untuk mengisytiharkan bahawa Anwar tidak bersalah? Bagaimanakah ahli-ahli suruhanjaya itu akan membentuk (to form) pendapat mereka apabila mereka tidak pun membaca rekod rayuan? Walau bagaimana pun, adakah mereka itu hakim?

SN Nair juga mahukan siasatan itu dilanjutkan kepada Jabatan Peguam Negara semenjak Tan Sri Mohtar Abdullah menjadi Peguam Negara. Apa yang beliau mahu suruhanjaya itu lakukan? Adakah beliau mahu suruhanjaya itu mencadangkan tindakan tatatertib diambil terhadap Pendakwa Raya yang memutuskan untuk membuat pertuduhan terhadap Anwar? Tan Sri Mohtar Abdullah telah meninggal dunia. Tan Sri Gani Patail masih ada tetapi, jangan lupa, beliau telah dipecat oleh Dato’ Seri Najib (Najib) dan dilantik oleh kerajaan PH menjadi salah seorang ahli jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan kesalahan jenayah Najib dalam 1MDB.

Adakah anggota suruhanjaya itu akan meneliti semua kertas siasatan, jika ia masih ada dan mengisytiharkan bahawa Anwar tidak sepatutnya dituduh melakukan kesalahan-kesalahan itu?

Dalam menghendaki siasatan diadakan dan meluaskan skopnya, SN Nair seolah-olah terlupa pelakun utama dalam episod itu: Tun Dr. Mahathir. Kes liwat pertama tidak akan ada jika Tun Dr. Mahathir tidak mengarahkan siasatan dijalankan untuk memberi alasan kepadanya memecat Anwar. Kes penyalahgunaan kuasa adalah berkaitan dengan kes liwat pertama iitu.

Sebabnya tidak sukar difahami: Tun Dr. Mahathir kini menjadi rakan politik Anwar. Segala-galanya dimaafkan di antara mereka. Maka, salahkanlah polis, pendakwa raya dan hakim!

Perlu ditekankan bahawa kes liwat kedua tidak berkaitan dengan kes pertama. Ia adalah kes yang berasingan kecuali pesalahnya orang yang sama. Beliau terlalu bodoh untuk melakukan kesalahan itu sekali lagi setelah Tengku Baharuddin dan saya membebaskannya dalam kes pertama, bukan kerana kami tidak percaya beliau melakukannya, tetapi semata-mata kerana tidak cukup keterangan yang boleh diterima mengikut undang-undang, yang dikemukakan di mahkamah untuk mensabitkannya.

Selepas dibebaskan dalam kes pertama, beliau sepatutnya bersyukur kepada Allah swt dan tidak mengulanginya. Mungkin kerana terlalu yakin (over confidence), beliau melakukannya sekali lagi. Namun demikian, beliau diberi pengampunan penuh dan peluang kedua menjadi Perdana Menteri sekali lagi. Bukankah lebih baik jika beliau menumpukan perhatian kepada apa yang akan dilakukannya untuk kebaikan negara sebagai Perdana Menteri daripada cuba membersihkan namanya di mata orang ramai.

Sesungguhnya, beliau tidak perlu menghiraukan tentang pandangan orang ramai terhadapnya lagi. Biar apa pun pandangan mereka terhadap beliau, mereka telah memberikannya undi mereka. Itulah, sebagai seorang ahli politik, yang beliau mahu daripada mereka, selama ini.

Beliau sepatutnya memberi tumpuan kepada hubungannya dengan Allah swt yang telah begitu pemurah terhadapnya dengan memberi peluang kedua untuknya menjadi Perdana Menteri, dengan menyebabkan Tun Dr. Mahathir melutut kepadanya, dengan memberikan kemenangan kepada PH dan dengan membuat YDPA memberikan pengampunan penuh kepadanya.

Sebenarnya, saya telah menderita di tangan kerajaan BN kerana membebaskan Anwar. Saya telah disenarai hitam dan cuba dinafikan jawatan KHN walaupun saya hakim paling kanan pada masa itu. Tetapi, apabila Allah swt campur tangan melalui VK Lingam dan Raja-Raja, Perdana Menteri dan UMNO juga terpaksa mengalah. Maka saya menjadi KHN juga, walaupun saya tahu Tun Dr. Mahathir, yang telah bersara pada masa itu, tidak sukakannya. Saya tidak membalas dendam terhadap UMNO, selepas saya bersara.

31 08 2018

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

221 visits