ADAKAN UNDANG-UNDANG SEWA DAN BELI DAN PAJAK GADAI ISLAM

ADAKAN UNDANG-UNDANG SEWA DAN BELI DAN PAJAK GADAI ISLAM

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

   

  1. Akta Sewa dan Beli Islam (Islamic Hire and Purchase Act)

 Semenjak Hire Purchase Act 1967 diadakan, semua transaksi sewa beli (kenderaan, perabut dan lain-lain) termasuk oleh orang Islam, dilakukan mengikut akta tersebut. Transaksi-transaksi di bawah Akta tersebut berasaskan riba yang haram bagi orang Islam.

Untuk mengelaknya, institusi-institusi kewangan telah mengadakan transaksi sewa dan beli patuh Syariah. Mereka melakukannya mengikut nasihat jawatankuasa Syariah yang ditubuhnya sendiri dan ahli-ahlinya yang dilantik dan diberi elaun oleh institusi-institusi itu sendiri.

Akibatnya:

  1. Tidak ada keseragaman mengenai hukum yang ditetapkan oleh jawatankuasa-jawtankuasa Syariah itu;
  2. Jawatankuasa-jawatankuasa Syariah itu tidak mempunyai kepakaran yang cukup dalam bidang berkenaan;
  3. Oleh sebab ahli-ahli jawatankuasa-jawatankuasa Syariah itu dibayar elaun oleh institusi-institusi berkenaan, tidak nampak bahawa mereka itu bebas dalam membuat keputusan mereka;
  4. Tidak ada undang-undang dan peraturan khusus untuk dipatuhi; dan
  5. Tidak ada agensi kerajaan yang mengawal selia industri itu.

Namun demikian, industi sewa dan beli Islam itu terus berkembang sehingga jumlahnya dianggarkan melebihi RM60 bilion. Jumlah ini adalah anggaran kerana tiada statistik rasmi bagi industri sewa dan beli Islam di Malaysia.

Biasanya, pihak industri lebih gemar sekiranya industri mereka tidak dikawal oleh agensi kerajaan. Tetapi, dalam hal ini, pihak industri sendiri yang meminta kerajaan mengawalnya, demi untuk memastikan keseragaman amalannya dan sahnya transaksi-transaksi itu di sisi Syarak.

Semenjak lebih kurang 30 tahun dahulu, pihak Jawatankuasa Teknikal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang pada suatu masa, saya sendiri pernah menjadi ahlinya, dengan bantuan Jabatan Peguam Negara telah cuba menggubal satu Akta berkaitan dengan jual dan beli Islam. Tetapi, oleh kerana kekurangan kepakaran dalam jawatankuasa itu; oleh kerana ia tidak mendapat sokongan bersungguh-sungguh oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta tiada kehendak politik (political will), maka usaha tersebut terbengkalai.

Pada tahun 2009, saya dilantik oleh Bank Negara Malaysia sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengharmonian Undang-undang Sibil dan Syariah (JKPUSS). Satu daripada fokus JKPUSS ialah mengadakan akta/undang-undang sewa dan beli Islam. Saya mengumpulkan berbagai pihak termasuk pihak industri itu sendiri, peguam-peguam swasta, pegawai-pegawai Bank Negara, pegawai Peguam Negara untuk bersama-sama menggubalnya. Jika ada isu Syariah yang diperlu ditangani oleh JKPUSS, kami merujuknya kepada Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia. Pada masa itu, saya juga adalah salah seorang ahli Majlis Penasihat Syariah tersebut.

JKPUSS, dengan sokongan dari Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia berjaya menyiapkan satu  draf undang-undang sewa dan beli Islam dan mengemukakannya kepada KPDNHEP. Namum, akibat pertukaran pegawai yang bertanggung jawab beberapa kali serta keperluan mengkajinya setiap kali ada pegawai baru, draf tersebut telah terpendam beberapa tahun. Saya sendiri terpaksa pergi berjumpa dengan Menteri berkenaan untuk meyakinkan beliau betapa pentingnya undang-undang tersebut.

Selepas itu, ia bergerak semula. Akhirnya, sampailah kepada pihak KPDNHEP mengemukakan draf undang-undang tersebut kepada Jabatan Peguam Negara untuk penggubalan muktamad. Sebelum berbuat demikian, KPDNHEP atas inisiatifnya sendiri, telah mengadakan satu lagi menyuarat. Kali ini, dijemput pihak JAKIM menghadiri mesyuarat itu. Dalam mesyuarat itu, pegawai JAKIM yang hadir telah menyoal mengapa tidak digunakan draf asal JAKIM yang telah terbengkalai itu. Namun, pihak JAKIM tidak berupaya untuk menyatakan dengan jelas sama ada draf JAKIM itu lengkap atau tidak; apa beza di antara draf JAKIM dan JKPUSS; apa kekurangan draf JKPUSS  dan apa cadangannya untuk memperbaikinya, jika ada.

Walau bagaimanapun, keadaan itu telah menyebabkan KPDNHEP menangguhkan lagi penghantaran draf Akta yang disediakan oleh JKPUSS kepada kepada Jabatan Peguam Negara. Selepas itu saya tidak tahu apa yang berlaku, kerana saya pun uzur dan JKPUSS telah dibubarkan. Besar kemunkinan tidak ada apa yang berlaku selepas itu.

Pengalaman ini menunjukkan bagaimana suatu usaha itu tidak berjaya dilakukan akibat pegawai-pegawai di kementerian berkenaan tidak faham isu teknikal undang-undang yang digubal lalu memendamkannya.

Sebenaya, pegawai-pegawai itu tidak perlu faham draf undang-undang itu keseluruhannya. Oleh kerana bukan semu orang faham semua perkaralah, maka diadakan jawatankuasa. Tugas KPDNHEP dalam hal ini sebagai sekretariat, adalah untuk mengemukakan draf itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk menyediakan gubalan yang muktamad dan, selepas itu, menyediakan kertas kabinet.

JAKIM sebenarnya tidak mempunyai apa-apa bidangkuasa yang diberikan oleh undang-undang. Ia hanya boleh memberi pandangan dalam sesuatu perkara, jika diminta, itu pun bukan fatwa. Ia juga tiada kepakaran dalam semua bidang. Kelulusannya tidak perlu diperolehi. Selain dari itu, isu-isu berkaitan dengan Syariah telah pun dirujuk kepada Lembaga Penasihat Syariah Bank Negara yang ditubuh oleh undang-undang.

Saya meminta YAB Perdana Menteri sendiri untuk mengambil inisiatif bagi menghidupkan semula cadangan mengadakan akta/undang-undang itu. Beliau hanya perlu mengarahkan kementerian berkenaan bahawa beliau mahukan akta/undang-undang itu dibuat untuk dilulus oleh Parlimen dengan seberapa segera. Maka KPDNHEP akan terpanggil untuk mengambil tindakan. KPDNHEP cuma perlu mengemukakannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk penggubalan muktamad. Saya percaya Peguam Negara yang baharu tiada masalah melakukannya.

 

  1. Akta Pajak Gadai Islam/Al Rahnu (Islamic Pawn Shop/Al-Rahnu Act)

Semenjak diadakan Pawnbroking Act 1972, semua transaksi pajak gadai, termasuk yang melibatkan orang Islam, dijalankan mengikut akta itu. Ia juga berasaskan riba.

Sama juga dengan industri sewa beli, untuk mengelak riba dan juga transaksi-transaksi yang tidak patuh Syariah, semenjak lebih kurang dua puluh tahun dahulu, institusi-institusi kewangan, dengan bantuan penasihat-penasihat Syariah, mengadakan produk Al-Rahnu. Mereka juga melakukannya secara berasingan mengikut model masing-masing. Tiada keseragaman, tiada undang-undang dan peraturan untuk dipatuhi dan tiada kawalan khusus oleh mana-mana agensi kerajaan.

Namun demikian, mengikut maklumat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pada tahun 2017, nilai industri pajak gadai Islam yang diuruskan oleh institusi-institusi Perbankan Islam melalui produk Ar-Rahnu adalah sebanyak RM2 billion (25% daripada jumlah keseluruhan nilai industri pajak gadai).

Pajak gadai terletak di bawah bidangkuasa KPKT. Semasa saya menjadi pengerusi JKPUSS dahulu, saya diberi tahu, di bawah kerajaan BN, Menteri yang bertanggung jawab terhadap kementerian berkenaan adalah daripada MCA. Beliau menentang diwujudkan akta/undang-undang Al-Rahnu kerana ia akan bersaing dengan industri pajak gadai yang dimonopoli oleh orang Cina.

Apabila beliau diganti oleh seorang Menteri Melayu, saya memanggil pegawai yang bertanggungjawab bagi bahagian berkenaan. Pegawai itu adalah seorang Cina. Apabila saya bertanya apa rancangan kementerian itu mengenai Al-Rahnu, beliau menjawab, Al-Rahnu akan menjadi saingan yang tidak adil kepada industri pajak gadai kerana pengamal Al-Rahnu tidak perlu membayar fee.

Saya menjawab, jika fee tidak dikenakan sekarang, itu kerana tidak ada undang-undang yang menghendaki lesen diambil dan fee dibayar. Jika ada undang-undang yang menghendaki lesen diambil dengan bayaran fee, fee kena dibayar juga.

Ini dengan jelas menunjukkan bagaimana mereka tidak menyokong pembangunan industri Al-Rahnu.

Saya cadangkan kerajaan PN mengambil inisiatif mengadakan akta/undang-undang Al-Rahnu. Dengan adanya akta/undang-undang ini, ia akan mengukuhkan lagi industri tersebut dan, yang paling utama, memastikan hak-hak pengguna, terutamanya mereka yang berugama Islam, dilindungi dan halal mengikut syarak.

Untuk makluman, Bank Negara Malaysia sedang dalam usaha mengukuhkan produk-produk Ar-Rahnu yang ditawarkan institusi Perbankan Islam untuk memastikan ianya mengikut prinsip Syariah yang tepat. Ini adalah selari dengan Dokumen Polisi Tadbirurus Syariah yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada akhir tahun 2019. Dengan adanya akta/undang-undang Ar-Rahnu yang khusus, ia akan menyokong usaha Bank Negara Malaysia. Saya yakin, Bank Negara Malaysia akan bersedia membantu KPKT sekiranya ia berhasrat menggubal akta/undang-undang itu.

Akhir kata, jika Kerajaan PN berjaya membuat dua undang-undang itu, katakanlah dalam masa setahun sekalipun, ia akan menunjukkan kejayaan Kerajaan PN yang tidak dapat dilakukan dalam masa 30 tahun oleh kerajaan BN dan PH. Melakukannya tidak melibatkan perbelanjaan. Malah, ia akan menjadi sumber kewangan. Ia juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan baru terutamanya untuk anak-anak Melayu. Selain daripada itu, ia menunjukkan komitmen kerajaan PN untuk terus membangun sektor kewangan Islam di Malaysia dan mengekalkan kedudukan negara kita sebagai pusat kewangan Islam yang terunggul di dunia. Ianya juga akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai  pusat kecemerlangan dan rujukan bagi sektor kewangan Islam kerana buat pertama kalinya  undang-undang tersebut diadakan, di dunia. Insya Allah, ganjaran di akhirat juga mungkin menunggu kerana ia membolehkan umat Islam mengelak daripada terlibat dengan riba.

2020 03 23

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

67 visits