KEPERLEMBAGAAN PELANTIKAN SEMULA KETUA HAKIM NEGARA SELEPAS UMUR 66 TAHUN ENAM BULAN

KEPERLEMBAGAAN PELANTIKAN SEMULA KETUA HAKIM NEGARA SELEPAS UMUR 66 TAHUN ENAM BULAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

(Saya perlu menjelaskan dari awal lagi bahawa saya tidak menulis artikel ini kerana saya tidak sukakan Tan Sri Md Raus Bin Sharif menjadi Ketua Hakim Negara atau tempoh jawatannya “dilanjutkan” melebihi 66 tahun enam bulan dengan syarat ia tidak melanggar Perlembagaan. Juga, ia bukanlah kerana perkhidmatan saya sendiri tidak “dilanjutkan” dengan cara yang sama. Saya menulis semata-mata dari sudut Perlembagaan.)

Perkara 125 (1) memperuntukkan bahawa:

“125. (1) Tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur enam puluh enam tahun atau sehingga suatu masa kemudiannya yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi masa itu tidak boleh kemudian daripada enam bulan selepas dia mencapai umur enam puluh enam tahun.”

Fasal (2) dan (5) tidak berkenaan dengan perbincangan kita.

Peruntukan itu dengan jelas menyatakan bahawa umur persaraan wajib hakim Mahkamah Persekutuan (termasuk Ketua Hakim Negara) adalah apabila dia mencapai umur 66 tahun. Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong boleh melanjutkannya selama enam bulan, dan tidak lebih dari itu.

Oleh sebab perkhidmatan Tan Sri Md Raus Bin Sharif telah pun dilanjutkan selama enam bulan, perkhidmatannya tidak boleh dilanjutkan lagi menurut fasal ini.

Bolehkah seorang Ketua Hakim Negara dilantik menurut Perkara 122 (1A) untuk menjadi Ketua Hakim Negara semula setelah beliau mencapai umur 66 tahun enam bulan? Fasal itu berbunyi:

“ 122. (1)……………..

(1A ) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembaaan ini, Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, boleh melantik mana-mana orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan olehnya:

Dengan syarat bahawa tiada hakim tambahan yang sedemikian menjadi tidak layak untuk memegang jawatan oleh sebab dia telah mencapai umur enam puluh enam tahun.”

Ambil perhatian bahawa, pertama, fasal ini memperuntukkan bahawa “Yang di-Pertuan Agong ….. boleh melantik”. Jadi, ia adalah pelantikan, bukan pelanjutan. Dalam erti kata lain, tempoh jawatan Ketua Hakim Negara tidak boleh dilanjutkan menurut fasal ini.

Kedua, fasal itu menyebut mengenai “hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan.” Kata-kata “hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan” itu hanya boleh bermaksud apa yang ia katakan, iaitu hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk melakukan kerja-kerja hakim Mahkamah Persekutuan, bukan untuk menjadi Ketua Hakim Negara, ketua Badan Kehakiman. Jadi, fasal itu bukanlah mengadakan peruntukan bagi Yang di-Pertuan Agong melantik seorang Ketua Hakim Negara.

Ketiga, fasal itu memperuntukkan bahawa pelantikan itu boleh dibuat atas nasihat Ketua Hakim Negara. Ini jelas menyokong pelantikan hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan dan bukan pelantikan Ketua Hakim Negara itu sendiri. Adalah tidak munasabah bagi Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Ketua Hakim Negara yang sedia ada untuk terus menjadi Ketua Hakim Negara atas nasihat Ketua Hakim Negara itu sendiri.

Jadi, Fasal 122 (1A) adalah peruntukan bagi pelantikan seorang Hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan, bukan pintu belakang untuk melantik seorang Ketua Hakim Negara. Menggunakannya sebagai pintu belakang untuk melantik Ketua Hakim Negaraa, akan menyebabkan penyalahgunaan peruntukan itu. Timbangkan ilustrasi-ilustrasi berikut:

1. Katakanlah ada persefahaman terdahulu (mengelakkan penggunaan perkataan “konspirasi”) di antara Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara yang sedia ada bahawa beliau akan terus menjadi Ketua Hakim Negara. Maka, Ketua Hakim Negara yang sedia ada akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melantiknya sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan. Selepas itu Perdana Menteri, mengikuti proses biasa, menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melantik beliau sebagai Ketua Hakim Negara pula.

2. Mungkin ada Ketua Hakim Negara yang, kerana sebab-sebab tertentu, sangat rapat dengan Yang di-Pertuan Agong sehingga beliau dapat mempengaruhi Yang di-Pertuan Agong untuk melantiknya menjadi Ketua Hakim Negara, malah melantiknya semula selepas itu.

3. Katakanlah Ketua Hakim Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melantik dirinya sebagai Ketua Hakim Negara dan Yang di-Pertuan Agong bersetuju. Sebaliknya, Perdana Menteri, yang bermaksud untuk melantik seorang Ketua Hakim Negara yang baru, akan melalui proses biasa seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan dan kemudian menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik calonnya sebagai Ketua Hakim Negara. Yang di-Pertuan Agong akan berada dalam keadaan serba salah.

4. Jika pelantikan melalui pintu belakang ini dibenarkan, apa yang akan terjadi kepada fungsi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Majlis Raja-Raja?

5. Ia boleh menjejaskan kebebasan Badan Kehakiman. Seorang Ketua Hakim Negara yang ingin dilantik semula selepas mencapai usia 66 tahun enam bulan atau yang telah dilantik (secara salah) dilantik mungkin sanggup berkompromi untuk mengambil hati Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, dengan harapan untuk dilantik semula selepas tempoh jawatannya tamat atau selepas pelantikan semulanya tamat. Ini akan mengkompromi kebebasan Badan Kehakiman.

6. Ia akan membawa kepada ketidakpastian di kalangan hakim-hakim mengenai kerjaya mereka. Mereka tidak dapat menjangka siapa yang akan menjadi Ketua Hakim Negara dan untuk berapa lama dan apakah peluang promosi mereka sendiri.

Sejak Fasal itu dimasukkan pada tahun 1965, saya tidak fikir sesiapa pun pernah berpendapat bahawa perkataan “hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan” dalam Perkara 122 (1A) termasuk Ketua Hakim Negara. Ia tidak munasabah.

Oleh itu, dengan hormat kepada Tan Sri Md Raus, saya berpendapat bahawa pelantikan beliau bagi tempoh tiga tahun lagi selepas beliau mencapai umur 66 tahun enam bulan itu adalah bercanggah dengan Perlembagaan.

Jika pelantikan itu dicabar di mahkamah, ia akan menyebabkan Hakim kanan selepas Ketua Hakim Negara iaitu Presiden Mahkamah Rayuan menjadi serba salah untuk mempengerusikan mahkamah untuk mendengar kes itu kerana beliau akan dituduh mempunyai kepentingan peribadi. Malah hujah yang sama boleh digunakan terhadap Hakim Besar (Malaya), Hakim Besar (Sabah dan Sarawak) dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, sekurang-kurangnya yang lebih kanan.

Melainkan jika pelantikan itu telah dibuat dengan sahnya menurut mana-mana peruntukan lain, cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah ini adalah bagi Tan Sri Md Raus mengetepikan kepentingan peribadi dan berkata “Saya telah menimbang semula mengenai keperlembagaan pelatikan ini dan saya merasa tidak selesa untuk terus memegang jawatan Ketua Hakim Negara dan saya meletak jawatan”.

Jika beliau berbuat demikian, saya pasti bahawa beliau akan diingati untuk jangka masa yang panjang kerana keberaniannya, tidak mementingkan diri, maruah dan integriti. Jiwanya juga akan tenang sepanjang hayat. Kerajaan akan melantik seorang Ketua Hakim Negara baru sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, dengan itu memelihara integriti Badan Kehakiman dan, moga-moga, integriti Kerajaan juga.

 

06 May 2017 (Diedit pada 27 Jun 2017)

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

865 visits