PEMIMPIN-PEMIMPIN POLITIK MALAYSIA AKAN BERSARA DI PENJARA BERAMAI-RAMAI?

PEMIMPIN-PEMIMPIN POLITIK MALAYSIA AKAN BERSARA DI PENJARA BERAMAI-RAMAI?

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya tersentak untuk menulis rencana ini apabila mendengar kenyataan Ketua Polis Negara pada hari Isnin 8 Januari 2024 bahawa pihak Polis telah mengemukakan kertas siasatan terhadap Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri sebanyak dua kali itu kepada Peguam Negara. Beliau juga memaklumkan bahawa kertas siasatan terhadap DS Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS juga telah dikemukakan kepada Peguam Negara pada petang 8 Januari 2024 itu juga.

Pada hari yang sama saya terbaca berita SPRM akan memanggil seorang mantan Perdana Menteri untuk merakam kenyataannya mengenai perbelanjaan sebanyak RM700 juta untuk mempromosi kerajaan di antara tahun 2020 hingga 2022. Pada 12 Januari 2024, kita mendapat tahu pemimpin berkenaan adalah DS Ismail Sabri.

Pada 3 Mac 2023 Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu telah dituduh dengan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan suapan berjumlah RM232.5 juta. Walau bagaimana pun, pada 18 Ogos 2023, beliau berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa itu. Walaupun pertuduhan salah guna kuasa telah dibatalkan, beliau masih berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta dan satu pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta.

Sebaliknya, DS Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan baru beberapa bulan sahaja dilepaskan tanpa dibebaskan daripada berpuluh-puluh pertuduhan apabila Peguam Negara tidak mahu meneruskan pendakwaan terhadapnya, sehari sebelum beliau bersara. Lihat “Asingkan Jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya” (10 09 2023).

Jangan lupa bahawa DS Najib Tun Razak, juga mantan Perdana Menteri, masih manjalani hukuman penjara dan menghadapi lain-lain pertuduhan di mahkamah. DS Rosmah Mansor, isteri DS Najib juga sedang menghadapi pertuduhan terhadap dirinya.

Mengenai penyiasatan terhadap Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin, adalah sukar untuk dipercayai bahawa DS Anwar Ibrahim tidak memain peranan untuk menghidupkannya setelah kejadian itu, jika benar berlaku, telah barlaku begitu lama.

Adalah sukar mempercayai bahawa pihak Polis dan SPRM telah sekian lama tidak menyaisat kes-kes tersebut tetapi apabila DS Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri mereka baru mula menyiasatnya jika tidak atas arahannya. Adalah juga sukar mempercayai bahawa pihak Polis dan SPRM telah sekian lama menyiasat kes-kes itu, tetapi hanya apabila DS Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri baru mengemukakan kertas siasatan kepada Peguam Negara atau menyambung siasatan itu, jika tidak atas arahan DS Anwar Ibrahim.

Anggapan yang lebih munasabah ialah DS Anwar Ibrahim telah mengarahkan siasatan terhadap mereka dilakukan, atau, jika siasatan telah lama dilakukan, beliau telah mengarahkan supaya ia dihidupkan semula. Orang ramai termasuk penganalisis politik terus mengatakan bahawa tindakan itu bermotifkan politik: untuk membalas dendam atau untuk mendiskreditkan mereka  dan pada masa yang sama menonjolkan dirinya sebagai seorang pejuang anti-rasuah dan anti-penyalahgunaan kuasa dalam usaha untuk melanjutkan usia politiknya. Tambahan pula ia dilakukan pada masa tersebarnya desas desus Perikatan Nasional sedang berusaha untuk merampas kuasa.

Tetapi, jika benar pun DS Anwar mengarahkan tindakan-tindakan itu, beliau mempunyai satu hujah yang sah: walaupun beliau tahu kesalahan-kesalahan  itu dilakukan, sehingga beliau menjadi Perdana Menteri, beliau tidak berpeluang mengambil tindakan kerana beliau tiada kuasa melakukannya. Berada di dalam penjara dan sebagai  pembangkang, Polis dan SPRM  tidak akan menghiraukan aduannya.

Jika itulah hal yang sebenar dan jika benarlah Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin  telah melakukan kesalahan jenayah kewangan yang merugikan negara, kita patut memuji DS Anwar kerana berjaya mambawa mereka ke mahkamah juga akhirnya.

Setakat ini kita tidak tahu hal yang sebenar. Beliau mengetahuinya. Maka, jika beliau tidak terlibat mengarahkan siasatan terhadap Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin, beliau patutlah mengeluarkan kenyataan mengatakan beliau tidak mengarahkan mereka. Polis dan SPRM juga patut mengesahkannya. Mereka juga perlu menjelaskan mengapa mereka menunggu hingga sekarang untuk mula menyiasat atau mengemukakan kertas siasatan kepada Peguam Negara.

Jika DS Anwar terlibat mengarah pihak Polis dan SPRM menghidupkan siasatan-siasatan tersebut dan beliau hanya berupaya berbuat demikian setelah menjadi Perdana Menteri, beliau juga patut menyatakan demikian. Itulah cara sebaik-baiknya bagi beliau membersihkan namanya.

Saya tekankan di sini bahawa adalah tidak salah di sisi undang-undang bagi Perdana Menteri mengarahkan Polis dan SPRM menyiasat sesiapa sahaja asalkan ia bertujuan mencari keterangan untuk mengetahui sama ada orang itu telah melakukan kesalahan atau tidak dan, jika ada keterangan, mengambil tindakan yang bersesuaian terhadapnya. Yang salah ialah mengada-adakan keterangan palsu untuk menuduh seseorang. Jika tindakan itu menguntungkan politik beliau pun tidak ada salahnya asalkan keterangan yang diperolehi itu benar. Ini terutama sekali jika ia melibatkan kesalahan-kesalahan yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara. Saya tambah, itu adalah tanggungjawab Perdana Menteri.

Sampai kita kepada penyiasatan terhadap TS Haji Abdul Hadi Awang. Daripada kenyataan Ketua Polis Negara, kesalahan beliau bukanlah rasuah atau  penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan kerugian kepada negara. Ia adalah susulan satu hantaran di akaun Facebook bertajuk Minda Presiden PAS lalu yang mengulas mengenai parti DAP.

Menurut Ketua Polis Negara TS Razaruddin Husain, “hasil siasatan awal polis mendapati hantaran berkenaan mengandungi kenyataan yang berunsur perkauman yang boleh mencetus kegusaran awam.

“Satu laporan polis berkait perkara ini telah dibuat di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada jam 7 malam tadi (semalam).

‘’’’’’’’’

Dalam pada itu, katanya, PDRM turut akan merakam percakapan wartawan New Straits Times (NST) yang menerbitkan berita secara dalam talian berhubung kenyataan Hadi itu.

Katanya, siasatan ke atas artikel itu berkaitan laporan berita bertajuk ‘Hadi again accuses DAP of Chinese agenda, using Malay spokesperson to achieve goals’.

“Antara intipati kenyataan itu adalah DAP berhasrat mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang dianuti oleh Barat.

“Selain itu, antara intipati lain yang diterbitkan menerusi laporan itu adalah dakwaan Hadi bahawa ‘DAP berjaya melantik jurucakap daripada orang Melayu yang lupa akan kemelayuan mereka dan terpinggir dari segi ketaatan kepada Islam’,” katanya.

………….

Menurut Razarudin kedua-dua pihak iaitu Hadi dan akhbar NST akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”

Saya tidak mahu  mengulas mengenai merit kes itu kerana saya tidak tahu apa keterangan yang ada dan Peguam Negara sedang menimbang sama ada TS Haji Abdul Hadi Awang patut dituduh di mahkamah. Cuma, saya ingin mengemukakan dua soalan untuk semua pembaca berfikir dan membuat keputusan sendiri. Soalan: Jika apa yang dikatakan oleh TS Haji Abdul Hadi Awang itu dikatakan terhadap UMNO, adakah ia menjadi satu kesalahan? Bagaimana apabila seorang Ahli Parlimen DAP menuntut jawatankuasa yang menentukan Hukum Syarak hendaklah mempunyai  seorang bukan Islam sebagai ahlinya sedangkan di Malaysia Hukum Syarak hanya terpakai kepada orang Islam?

Kesalahan yang dikaitkan dengan TS Haji Abdul Hadi Awang itu adalah berlainan daripada kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin. Tulisan seperti itu, jika ia merupakan satu kesalahan pun, tidaklah sama beratnya dengan kesalahan-kesalahan yang dikaikan dengan Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin.

Menghukum TS Haji Abdul Hadi Awang atas kesalahan ini tidak akan menarik sokongan kepada DS Anwar Ibrahim. Orang Melayu akan menuduh DS Anwar yang bertanggungjawab menggerakkan penyiasatan kes tersebut untuk mendiamkan Presiden PAS itu, mengenepikan beliau daripada arena politik dan melemahkan PAS. Ini terutama sekali apabila ia berlaku pada masa yang sama dengan Langkah Dubai.  DS Anwar Ibrahim lebih baik menjauhkan diri daripadanya melainkan beliau memang terlibat.

Mengenai siasatan terhadap DS Ismail Sabri. Kita juga tertanya-tanya mengapa siasatan ini juga dilakukan pada minggu yang sama hingga ia menyebabkan seorang pemerhati berkata, “Nak tangkap habis semuakah?” Hujah-hujah saya di atas yang berkenaan juga terpakai.

KESIMPULAN

Apa yang amat menarik perhatian berita-berita yang  saya sebut di permulaan rencana ini ialah, pertama,  hampir kesemua bekas Perdana Menteri ditambah dengan bekas Menteri Kewangan dan Ketua Parti Pembangkang, disisat pada masa yang sama.

Kedua, mengenai kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh Tun Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin, siasatan dilakukan atau dihidupkan semula lama selepas kesalahan-kesalahan itu dikatakan dilakukan oleh mereka.

Ketiga, ia berlaku pada masa yang sama dengan Langkah Dubai yang DS Anwar Ibrahim juga mengeluarkan kenyataan mengenainya. Beliau juga mengeluarkan kenyataan pada 9 Januari 2024, sehari selepas Ketua Polis Negara  mengeluarkan kenyataannya, selepas beliau menghadap YDPA, antara lain mengatakan “Baginda juga bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.”

Semuanya menyebabkan orang ramai beranggapan bahawa semua tindakan Polis dan SPRM itu dilakukan atas arahan DS Anwar Ibrahim untuk menyelamatkan kedudukan politik beliau.

Sebenarnya, mengenai kelewatan mengambil tindakan terhadap kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh Tun Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin, DS Anwar Ibrahim mempunyai satu hujah yang sah bagi mematahkan tuduhan mereka, ia itu, sebelum ini beliau beliau  tidak berpeluang mengambil tindakan terhadap mereka kerana beliau tiada kuasa melakukannya.

Mengenai siasatan terhadap DS Ismail Sabri ia adalah kesalahan baru.

Mengenai penyiasatan terhadap TS Haji Abdul Hadi Awang, saya tidak fikir seorang yang secerdik DS Anwar Ibrahim dan berpengalaman seperti beliau akan mengarah Polis untuk menyiasat kenyataan seperti itu untuk menuduh Presiden PAS itu untuk menguatkan kedudukan politiknya. Jika pihak Polis melakukannya untuk membantu politik DS Anwar Ibrahim pada masa ini, ia adalah satu perkiraan yang kurang bijak.

Biar apa pun, katakanlah kesemua mereka dituduh, disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara, maka akan berlakulah satu peristiwa bersejarah di mana paling banyak bekas Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin politik menjadi banduan pada masa yang sama.

Jika demikianlah halnya, bagaimanakah orang ramai akan melihat DS Anwar Ibrahim? Saya fikir mereka akan terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama ialah kumpulan yang percayakan kebebasan mahkamah[i]. Mereka akan menyanjung DS Anwar Ibrahim sebagai juara anti-rasuah dan anti-penyalahgunaan kuasa dan penyelamat negara.

Kumpulan kedua ialah mereka yang tidak percayakan kebebasan mahkamah. Mereka  akan melihat beliau sebagai seorang yang sangggup menggunakan Polis, SPRM, Pendakwa Raya dan Mahkamah untuk memenjarakan musuh-musuh politiknya dan menyelamatkan kedudukannya.[ii]

Biar apa pun pandangan mereka, apa yang penting ialah semua pihak yang menjalankan tugas mereka dalam urusan ini melakukannya dengan jujur. Dengan cara ini, moga-moga akan lebih bersihlah pemimpin-pemimpin politik kita di masa hadapan.

15 01 2024

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

[i] Kumpulan yang percayakan kebebasan mahkamah dan kumpulan yang tidak mempercayai kebebasan mahkaman termasuk individu berubah  dari satu kes ke  satu kes mengikut sama ada mereka suka atau tidak sesuatu keputusan itu.

[ii] Pandangan dalam perenggan ini ada tempatnya kurang berkenaan dengan kesalan yang dikatakan dilakukan oleh DS Haji Abdul Hadi Awang.

 

 

10 visits