PRU 15: UMNO DAN PAS PERLU RUNDING KERJASAMA SEMULA

PRU 15: UMNO DAN PAS PERLU RUNDING KERJASAMA SEMULA

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Selepas bersara, meIihat politik orang Melayu dan Islam di Malaysia sangat lemah akibat perpecahan orang Melayu sendiri dan tuntutan orang bukan Melayu semakin melampau, saya mula bercakap mengenai perpaduan Melayu dalam tahun 2012. Kemuncaknya ialah ucapan saya semasa saya menerima anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 2015 yang memberi peluang kepada saya untuk berucap kepada seluruh negara.

Maka, antara hari yang paling gembira dalam hidup saya ialah pada 14 September 2019. Dalam keadaan uzur dan kesakitan, saya pergi ke PWTC dengan menaiki ambulans (yang disediakan Pas kerana mereka mahu saya menghadiri majlis itu) untuk menyaksikan majlis tandatangan Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas. Bagi diri saya sendiri, saya merasakan bahawa cita-cita saya untuk melihat kedua-dua parti terbesar Melayu itu, yang telah memecahbelahkan orang Melayu dan merugikan politik orang Melayu hingga jatuhnya kerajaan BN yang diterajui UMNO semenjak Merdeka itu, bekerjasama, jika tidak bersatu pun, tercapai.

Pada masa itu, saya nampak Pas lebih bersungguh-sungguh daripada UMNO mahukan muafakat itu. Ini boleh difahami kerana, pada masa itu, PKR dan Bersatu berada dalam Pakatan Harapan (PH). Amanah, bukan sahaja berada dalam PH, ia adalah serpihan dari Pas. Masakan Pas hendak bekerjasama dengannya.

Selepas itu, dengan gembiranya saya melihat penyokong-penyokong UMNO dan Pas di kampung-kampung yang telah dipecah-belahkan, terutama sekali oleh Pas, selama berdekad-dekad., telah mula berbaik semula. Saya percaya Muafakat Nasional akan berjaya.

Tetapi, dukacita tidak lama selepas itu mula ternampak tanda-tanda bahawa Pas lebih cenderung untuk berbaik-baik dengan Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri PH, dan Bersatu dan membelakangkan Muafakat Nasional dan UMNO. Ia bermula dengan Pas memberi sokongang kepada Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15. Kita boleh nampak sebabnya ialah Pas mengharapkan Tun Dr. Mahathir akan memberi “royalti petroleum” (salah nama) kepada Kelantan dan Terengganu.

Ini diikuti dengan sokongan awal Pas kepada Konvensyen Maruah Melayu tajaan Bersatu yang, pada masa itu, masih berada dalam PH. Saya percaya tujuan asal konvensyen itu hendak diadakan ialah untuk menarik orang Melayu kepada Bersatu dan PH. Sebab itulah saya menolak jemputan untuk membentang kertas kerja di konvensyen itu. Tetapi, akhirnya, disebabkan oleh penyertaan Pas dan UMNO (yang terpaksa) ia telah berubah sifatnya hingga membawa kepada perpecahan Bersatu dan kejatuhan PH. Tindakan DS Najib dan DS Zahid yang mengugut menarik keluar sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO kepada TS Muhyiddin kerana sebab yang boleh kita duga, telah merapatkan lagi Pas kepada Bersatu.

Dengan tertubuhnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pemipin-pemimpin Pas dilantik menjadi Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC dan Presiden Pas, DS Haji Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas ke Timur Tengah, semakin rapatlah Pas dengan Bersatu dan semakin rengganglah ia dengan UMNO.

Semua itu lebih merapatkan lagi Pas kepada Bersatu-Muhyiddin. Apa yang boleh diberi oleh UMNO? Pukulan terakhir adalah apabila Pas menyertai Bersatu mendaftarkan PN sebagai sebuah parti politik. Dengan TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Pas tentu berfikir ia berada di sebelah yang selamat. Mengapa hendak menyertai sebuah parti yang lebih besar darinya?

Kemudian, Pas mendapat satu lagi alasan: Pas tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang korup. Ingat, tuduhan Pas menerima sumbangan wang daripada UMNO masih berdengung di telinga kita. Ia senyap kerana Pas menarik balik kesnya terhadap Sarawak Report di mahkamah di London. Namun demikian, kegagalan UMNO merehatkan DS Najib dan DS Zahid memberi alasan kepada musuh politiknya menggunakan alasan itu, yang memang tidak boleh ditangkis.

Maka, dengan penuh yakin, Pas dan Bersatu memasuki PRN Melaka. Keputusannya mengejutkan semua, bukan setakat UMNO/BN menang tetapi seteruk mana PH dan PN kalah. Jika hendak dikatakan fluke (kebetulan), demikian juga kemenangan PH dalam PRU14. Jika itu fluke, keputusan yang serupa diulangi di Johor, negeri TS Muhyiddin sendiri.

Penyokong-penyokong PN cuba menghujahkan bahawa UMNO/BN menang kerana perpecahan undi yang disebabkan banyaknya calon parti-parti bertanding. Seperti yang telah disebut di atas, demikian juga kemenangan PH dalam PRU14. Yang pentingnya calon UMNO/BN mendapat undi terbanyak di antara calon-calon yang bertanding di sesuatu kawasan itu. Di kedua-dua negeri itu, UMNO/BN bukan sekadar memenangi majoriti mudah tetapi lebih dua pertiga.

Membandingkan undi yang diperolehi UMNO/BN dengan jumlah pengundi berdaftar juga tidak membuktikan apa-apa kerana mereka yang tidak keluar mengundi tidak mengundi dan kita tidak tahu siapa mereka akan undi jika mereka mengundi. Jumlah undi yang memberi kemenangan majoriti dua pertiga di dua buah negeri berturut-turut itu tentu lebih pasti (real) daripada telahan sesuatu yang belum berlaku.

Jika apa yang saya sebut dalam rencana-rencana saya semenjak tahun 2019 bahawa faktor-faktor yang memberi kemenangan kepada Bersatu dalam PRU14 sudah tidak ada dalam PRU15; bahawa, bertanding sendirian dalam PRU15 kemenangan Bersatu, jika ia menang sekalipun, akan boleh dibilang dengan jari, adalah anggapan, sekarang di dua buah negeri ia telah menjadi realiti. Kemungkinan apa yang telah berlaku dalam keadaan yang serupa di dua buah negeri akan berulang dalam keadaan yang serupa di negeri-negeri lain adalah lebih besar daripada kemungkinan yang tidak berlaku dalam keadaan yang serupa di dua buah negeri akan berlaku dalam keadaan yang serupa di negeri-negeri lain.

Suka atau tidak, itulah realiti yang berada di hadapan Pas. Pas terpaksa memilih di antara UMNO dan Bersatu.

Selepas dua PRN itu, saya tidak fikir UMNO dan Bersatu akan boleh berada dalam satu gabungan untuk menghadapi PRU15. Pertelingkahan antara Najib-Zahid dan Muhyiddin terlalu serius untuk dilupai dalam sekelip mata. UMNO tidak nampak apa faedahnya bersama dengan Bersatu yang tidak mempunyai sokongan akar umbi dan tidak boleh membawa undi. Sebaliknya, UMNO terpaksa berkorban kerusi-kerusinya dan pekerja-pekerjanya untuk memberi kemenangan beberapa kerusi kepada Bersatu, jika mereka bergabung.

Sebaliknya, Bersatu yang pernah memiliki jawatan Perdana Menteri tentu masih merasakan ia bukan melukut di tepi gantang dan tentu mahukan bilangan kerusi yang banyak, paling kurang sama banyak dengan yang ditandinginya dalam PRU14. Itu adalah satu perkiraan atas dasar yang salah kerana faktor-faktor yang memberi kemenangan kepada Bersatu dalam PRU14 itu sudah tidak ada lagi. Hari ini, Bersatu+Pejuang pun tidak sama dengan Bersatu semasa PRU14. Maka, tidak hairanlah jika selepas PRN Melaka dan Johor, UMNO tidak akan melayan tuntutan Bersatu seperti itu jika keduanya hendak bekerjasama. Oleh itu, pada pandangan saya, kerjasama antara UMNO dan Bersatu tidak mungkin berlaku.

Berlainan dengan Pas, ia mempunyai penyokong dan pengundi tegar yang percaya bahawa menyokong dan mengundi Pas adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Mereka terdapat di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Mereka sanggup berkorban untuk Pas. Pemimpin-pemimpin Pas menunggang faktor ini sepenuhnya. Bagi UMNO/BN memasuki PRU15 bersendirian agak merbahaya. Demikian juga Pas. Bekerjasama dengan UMNO adalah lebih menguntungkan. Maka, berdasarkan practicality sahaja pun, adalah lebih wajar UMNO dan Pas bekerjasama dalam PRU15 ini.

Tambahan kepada faktor tersebut ialah untuk menghalang kemenangan PH dan penghakisan kuasa politik Melayu. Faktor ini lebih penting.

Maka, demi perpaduan Melayu, demi agama, bangsa dan negara, pemimpin kedua-dua parti Melayu itu hendaklah mengenepikan kepentingan parti dan diri dalam menghadapi PRU15 ini dan bergabung atau bekerjasama dan memasuki PRU15 sebagai satu gabungan melainkan di Kelantan dan Terengganu.

Saya mengecualikan Kelantan dan Terengganu kerana dua sebab. Pertama, saya tidak fikir kedua-dua parti itu akan boleh mencapai persetujuan mengenai pembahagian kerusi di dua buah negeri itu. UMNO merasa ia lebih kuat daripada yang difikirkan oleh Pas. Permusuhan di antara keduanya sudah terlalu lama dan mendalam. Ia tidak boleh dilupakan dengan sekelip mata.

Kedua, jika UMNO dan Pas menentang sama sendiri di semua kawasan pun di dua buah negeri itu, ia tidak akan mengakibatkan kemenangan kepada PH. Yang akan menang ialah sama ada UMNO atau Pas. Sama ada kedua-dua buah negeri itu diperintah oleh UMNO atau Pas, tidak ada apa bezanya kepada kepentingan Melayu dan Islam. Cara berfikir pemimpin-pemimpin kedua-dua parti itu di Kelantan dan Terengganu adalah sama. Yang berbeza hanyalah orangnya.

Pembahagian kerusi di antara UMNO dan Pas di negeri-negeri selain daripada Kelantan dan Terengganu hendaklan dilakukan mengikut budi bicara terbaik pemimpin-pemimpin kedua-dua parti itu. UMNO dan Pas boleh menggunakan simbol mereka masing-masing, yang pentingnya di mana UMNO bertanding, Pas tidak bertanding, dan sebaliknya. UMNO dan Pas hendaklah sentiasa ingat bahawa musuh bersama mereka adalah PH. Mereka perlulah sedar bahawa mereka melakukan satu disservice kepada bangsa Melayu dan agama Islam dengan menentang sama sendiri di negeri-negeri selain daripada Kelantan dan Terengganu itu.

Kesimpulan

Walapun keputusan PRN Melaka dan Johor menyebelahi UMNO/BN, adalah agak merbahaya bagi UMNO/BN memasuki PRU15 bersendirian. Bagi Pas pula, adalah lebih menguntungkannya jika ia bekerjasama dengan UMNO di negeri-negeri selain daripada di Kelantan dan Terengganu. Ia juga akan dapat mengelak kemungkinan PH berkuasa semula. Di Kelantan dan Terengganu, UMNO dan Pas boleh bertanding melawan satu sama lain. Siapa yang menang di peringkat DUN boleh menubuh kerajaan sendiri.

Bagi kerusi Parlimen, calon-calon Pas yang menang atas tiket Pas di dua buah negeri itu itu hendaklah menyertai gabungan UMNO/BN+Pas bagi menubuh kerajaan di peringkat Persekutuan.

Bagi kerusi DUN  di negeri-negeri selain daripada Kelantan dan Terengganu, calon-calon UMNO dan Pas yang menang hendaklah bergabung untuk menubuh kerajaan negeri di negeri masing-masing.

Akhir kata, jika pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas tidak dapat bersetuju mengenai pembahagian kerusi DUN di negeri-negeri selain daripada Kelantan dan Terengganu sekalipun, diharapkan mereka boleh bersetuju mengenai kerusi Parlimen, demi mengelak PH berkuasa semula di peringkat Persekutuan. Itulah yang paling penting.

26 03 2022

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

41 visits