DARI SAWAH KE ISTANA KEHAKIMAN

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM SUTAN AZLAN SHAH (KUISAS)
MINGGU PENGHAYATAN MAHASISWA KUISAS
Bukit Chandan Kuala Kangsar

31 Ogos 2014 

DARI SAWAH KE ISTANA KEHAKIMAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara)


Mula-mula saya menolak jemputan untuk berucap di majlis ini sebab tempatnya terlalu jauh untuk saya berkereta dan tarikhnya terlalu dekat. Tetapi, di atas permintaan YBhg Tan Sri Nordin Kardi saya menerima juga. Beliau meminta saya bercakap mengenai diri saya. Maka, hari ini saya akan bercakap mengenai diri saya tetapi saya akan kaitkan dengan perkembangan sejarah negara kita.

Saya dilahirkan dua bulan selepas Jepun menakluki Semenanjung Tanah Melayu di sebuah kampung yang bernama Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang. Kampung itu terletak lebih kurang satu kilometre dari Sungai Muda yang menjadi sempadan di antara Pulau Pinang dengan Kedah. Di bawah pemerintahan British, Pulau Pinang adalah sebuah Negeri Selat (Straits Settlement).

Kampung itu di kelilingi sawah padi. Semua penduduknya adalah pesawah yang berasal dari Pattani yang berpindah dari Pattani ke Kedah dan Seberang Perai apabila Siam mengalahkan kerajaan Melayu Pattani dan dalam tahun 1821 menyerang Kedah. Di antara mereka terdapat ulama’-ulama’ yang terkenal yang membuka pondok di Seberang Perai Utara, seperti Haji Abdullah Pa’ Him (Kepala Batas), Dato’ Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi; Tuan Hussain (Pokok Sena) ayah Haji Ahmad Tuan Hussain, ahli Parlimen PAS tunggal yang menang Pilahanraya Umum Pertama dalam tahun 1955 di Kerian, Perak dan Tuan Haji Mohd Salleh Al-Masri (Tanah Liat) bapa mertua Tuan Haji Ahmad Fuad, Presiden PAS yang pertama.

Ayah saya mengaji pondok di Pendang, Kedah, di pondok Tok Kenali di Kelantan dan di Masjidil Haram. Ayah saya berada di Makkah pada masa yang sama dengan Haji Ahmad Badawi, ayah kepada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi. Sekembalinya dari Makkah, ayah saya berkahwin dengan emak saya yang juga dari kampong yang sama dan berkerja sebagai pesawah sambil mengajar Al-Qur’an secara sukarela kepada tiga jenerasi penduduk di kampong saya.

Saya mempunyai dua orang abang dan seorang kakak. Abang-abang saya mengaji pondok atau Sekolah Arab selepas tamat sekolah Melayu. Mereka berkerja sebagi pesawah. Kakak saya tidak bersekolah sebab, pada masa itu, budak-budak perempuan tidak bersekolah. Saya anak bungsu. Itulah yang membezakan saya daripada mereka.

Satu peristiwa yang penting dalam hidup saya ialah, suatu pagi, lebih kurang seminggu sebelum sekolah dibuka semula di awal tahun, semasa duduk di pintu rumah saya, saya berkata kepada ayah saya bahawa saya hendak pergi ke sekolah. Ayah saya bersetuju. Saya pun lari ke rumah kawan dua beradik saya, Hassan dan Yahya, dan memebritahu mereka saya akan ke sekolah dan sama ada mereka juga hendah ikut. Mereka tanya bapa mereka dan beliau juga bersetuju.

Sampai harinya, saya pun memakai baju abang saya dan berkaki ayam mengikut budak-budak yang lebih besar, berjalan melintasi tiga kampung dan satu kawasan sawah untuk ke Sekolah Melayu Paya Keladi. Pada masa itu tidak ada pakaian seragam. Kasut adalah luxury, hanya dibeli sebelum raya. Di musim hujan ia tidak dipakai takut kotor. Apabila mengharungi sawah, memang tidak praktikal memakai kasut. Wang sekolah 10 sen sehari. 5 sen boleh beli bihun, nasi lemak, kuih, sotong katok, ais gelas atau ais kepal.

Semasa dalam Darjah 3, waktu membuat gasing, saya tertetak jari telunjuk kanan saya hingga putus. Ayah saya membawa saya ke Klinik di Kepala Batas. “Dresser” itu menjahit balik bahagian yang putus dengan jari saya, tanpa bius. Bayangkan berapa sakitkya. Selama beberapa bulan saya berulang alik ke kelinik itu, menanggung kasakitan sehingga akhirnya bahagian yang putus itu kering dan tanggal dengan sendiri.

Saya tidak pergi ke sekolah selama dua minggu. Kemudian, apabila saya pergi semula, saya belajar menulis dengan tangan kiri dan mengambil peperiksaan tahun itu menulis dan melukis dengan tangan kiri.

Di sekolah kami membaca buku Hikayat Abdullah, Kisah Pelayaran Abdullah, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Saya masih ingat kali pertama saya tamat membaca ketiga-tiga jilid dalam tulisan jawi itu. Semangat saya berkobar-kobar apabila sampai kepada kata-kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia”.

Suatu hari, guru darjah saya berkata bahawa beliau hendak mendafar saya untuk masuk ke sekolah Inggeris. Sepatutnya, kelas Special Malay One untuk semua pelajar Melayu yang datang dari seluruh Seberang Perai Utara itu diadakan di St. Mark’s School, Butterworth. Tetapi, kelas itu ditolak ke St. Mark’s Branch School, Prai. Untuk ke sekolah setiap hari saya terpaksa mengayuh basikal sejauh tiga kilometer, menaiki bas sejauh 17 kilometer, berjalan kaki sejauh 1½ kilometer, menyeberang Sungai Perai dengan sampan dan berjalan kaki sejauh ½ kilometer lagi. Patut di sebut, semenjak saya memasuki kelas Special Malay One, saya mendapat Biasiswa Persekutuan sebanyak RM45 sebulan. Biasiswa itu diberi kepada seorang pelajar sahaja dalam satu kelas. Oleh sebab saya mendapat No. 1 dalam peperiksaan, tiada siapa yang merungut. Ada dua orang pelajar lain yang diberi dermasiswa sebanyak RM15 sebulan.

Sekarang saya faham, mengapa kelas Special Malay One dan bukan kelas lain yang ditolak ke Perai. Sekolah itu sekolah missionary. Mereka tahu mereka tidak boleh mengkristiankan budak-budak Melayu. Mereka terpaksa mengadakan kelas itu kerana arahan Kerajaan. Maka kelas itulah yang paling rendah prioritinya.

Mulai tahun 1955, selama tiga tahun saya berulang alik ke Perai, bangun pukul 5.45 pagi dan sampai balik ke rumah lebih kuran 5.45 petang. Kadang-kadang saya terlepas bas, saya mengayuh basikal terus ke Hujung Batu untuk naik sampan.

Sebenarnya, tahun-tahun 1954, 1955 dan 1956 itu adalah tahun-tahun yang penting dalam politik Semenanjung Tanah Melayu menuju kepada Kemerdekaan.

Tengku Abdul Rahman Putra telah mengambil alih UMNO daripada Dato’ Onn Jaafar. Tuan Haji Ahmah Fuad yang kalah kepada Tengku Abdul Rahman menubuh PAS. Pilihanraya Umum yang pertama diadakan dalam tahun 1955. Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) memenangi 54 kerusi manakala PAS mendapat satu kerusi, di Kerian Perak. Pergerakan memununtut kemerdekaan sedang berjalan dengan rancak.

Perlu diingati bahawa, Semenanjung Tanah Melayu tetah dijajah daripada orang Melayu. Oleh sebab itulah, yang menentangnya, baik Dato Bahaman, Dato Sagor, Dato Maharaja Lela, Dol Said, Tok Janggut atau Rusli Dhobi, adalah orang Melayu. Yang menentang Malayan Union adalah orang Melayu. Yang berkorban nyawa menentang pengganas Kominis semasa darurat adalah orang Melayu. Yang menuntut kemerdekaan adalah orang Melayu. Orang bukan Melayu menyertai gerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka melihat ianya akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka. Perhatikan bahawa tujuan orang Melayu menuntut kemerdekaan dan tujuan orang bukan Melayu menyertai gerakan itu adalah berbeza. Orang Melayu menuntut kemerdekaan untuk membebaskan tanahair mereka. Orang bukan Melayu menyertai gerakan menuntut kemerdekaan untuk menjaga kepentingan mereka, selepas Merdeka. MIC asalnya ditubuh untuk menghantar sukarelawan ke India untuk menuntut kemerdekaan India dari British. Itu fakta sejarah.

Semasa rundingan kemerdekaaan, PAS menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan Negeri-Negeri Melayu demi manjaga hak keistimewaan orang Melayu. Semasa Malaysia hendak ditubuhkan PAS menentangnya kerana ia akan mengurangkan paratusan orang Melayu dan takut kiranya orang Melayu akan hilang kuasa politik dan dengan itu kedudukan orang Melayu dan agama Islam akan tergugat.

Parti Boroh Malaya menuntut supaya ditubuhkan kerajaan unitari kerana, mengikut mereka, mengekalkan Sultan-Sultan dan Negeri-Negeri Melayu akan mewujudkan sebuah kerajaan beraja. Dalam kata-kata lain mereka hendak menghapuskan sistem beraja di Malaya. Siapakah majority ahli-ahli Parti Boroh?

Parti Kominis Malaya mengangkat senjata untuk menubuhkan kerajaan kominis ala-China. Beberapa orang pemimpin parti-parti kiri Melayu lari ke hutan dan menyertai Parti Kominis Malaya kerana takut ditangkap British. Mereka diperalatkan oleh Chin Peng untuk mempengaruhi orang Melayu menyokong perjuangan mereka. Nasib baik, pada masa itu orang Melayu tidak terpengaruh degan mereka.

Hasil daripada tolak ansur di antara orang Melayu dan bukan Melayu, maka terbentuklah satu konntrak social: orang Melayu bersetuju memberikan kerakyatan kepada orang bukan Melayu dan orang Melayu bersetuju hak-hak Raja-Raja Melayu dikekalkan, agama Islam dijadikan agama Persekutuan, Bahasa Melayu dijadikan Bakasa Kebangsaan dan beberapa hak keistimewaan seperti yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan diberikan kepada orang Melayu.

Pada detik 12.00 tengah malam Semenanjung Tanah Melayu pun merdeka. Bagi saya ia sangat bermakna. Dalam kampung saya, sebuah radio pun tidak ada. Maka, semingu sebelum 31 Ogos 1957, saya mengeluarkan wang simpanan saya yang saya simpan daripada wang biasiswa saya untuk membeli sebuah radio untuk mendengar perisytihran Kemerdekaan. Malam itu berkumpullah orang kampung saya di rumah ayah saya untuk mendengar perisytiharan itu.

Tetapi, pada detik yang sama, satu perkara berlaku, yang kebanyaakan orang tidak sedar. Ini digambarkan dengan jelas oleh Professor Shad Saleem Farouqi dalam bukunya yang bertajuk “Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia” di muka surat 710. Katanya:

“As a result of the “social contract” between the various races, millions of migrants to British Malaya were bestowed with citizenship by the Merdeka Constitution. It is believed that the number of citizens in Malaya doubled at the stroke of midnight on August 31, 1957 due to the constitutional grant.”

“Akibat “kontrak sosial” di antara berbagai kaum, berjuta-juta pendatang ke Malaya yang diperintah oleh British itu diberi kerakyatan oleh Perlembagaan Merdeka. Adalah dipercayai bahawa jumlah warga negara Malaya bertambah sekali ganda pada detik tengah malam 31 Ogos 1957 disebabkan oleh pemberian Perlembagaan itu.” (Terjemahan saya).

Dalam tahun 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Kedudukan anak negeri Sabah dan Sarawak hampir serupa dengan kedudukan orang Melayu di Semenanjung. Maka peruntukan yang serupa dibuat untuk mereka – lihat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam tempoh itu, saya bersekolah seperti biasa. Tetapi oleh sebab saya sudah naik ke kelas menengah, kelas saya telah berpindah ke Butterworth dan lebih mudahlah bagi saya kesekolah.

Satu perubahan besar berlaku kepada diri saya dalam tahun 1960. Kerajaan melancarkan Minggu Bahasa Kebangsaan. Antara acara yang didakan ialah peraduan syarahan. Saya tidak pernah bersyarah di khalayak ramai. Walau bagimana pun saya mendaftarkan diri, menulis ucapan saya sendiri dan pada hari berkenaan, naik ke pentas memakai seluar panjang abang saya dan berucap. Saya menjadi Johan di peringkat Daerah, Negeri dan Kawasan Utara dan No. 3 di peringkat Kebagsaan.

Semasa di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah St Mark’s saya menjadi pelajar Melayu pertama dilantik sebagai Ketua Pengawas di sekolah itu. Dalam tahun itu juga saya menjadi johan pertandinan syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan Bahagian Pelajar Melayu Lelaki. Saya juga menulis satu lagi ucapan yang disampaikan oleh rakan sesekolah saya dalam pertandingan itu. Beliau menjadi naib johan Bahagian Pelajar Perempuan Melayu. Johan Bahagian Pelajar Bukan Melayu Perempuan ialah seorang pelajar keturunan Baba Melaka, bernama Choong Giok Hee. Sekarang beliau adalah Toh Puan Hamidah Choong Binti Abdullah, isteri saya dan ibu kepada anak-anak saya. Itu semua taqdir.

Sepanjang persekolahan saya, di kampung saya tidak ada air paip dan lampu elektrik. Saya belajar memakai lampu minyak gas. Sekarang saya hairan macam mana saya boleh nampak. Saya minum air perigi yang keruh, sebab itu kawasan sawah padi. Hari ini saya hairan bagaimana saya boleh minum dan tidak sakit perut. Saya cuci baju di perigi sendiri, perigi jiran, parit tali air atau, jika semua tiada air, di Sungai Muda, di bawah Jambatan Merdeka. Saya seterika baju dengan seterika arang. Semua saya lakukan sendiri.

Hobi saya semasa budak-budak ialah menimba ikan, menyerkap ikan dan menahan taut. Saya menolong ibu dan ayah saya membuat kerja di sawah daripada membajak hingga ke memukul padi.

Saya masuk ke Tingkatan Enam di St. Xavier’s Institution, Pulau Pinang. Dalam darjah kami hanya ada tiga orang pelajar Melayu. Kebanyakan guru kami adalah “brother teachers” yang datang dari England, Jerman, Canada dan lain-lain. Saya bermasalah memahami percakapan mereka. Di minggu pertama, kami dikehendaki menulis satu essay. Pada minggu berikutnya brother itu masuk ke kelas dan memanggil nama saya. Saya bangun. Selepas itu beliau membaca essay saya kepada kelas. Pelajar-pelajar kelas saya menyangka saya pandai. Sebenarnya, keistimewaan saya ialah menulis essay, yang saya manfaatkan hingga ke hari ini.

Sekolah itu adalah sekolah missionary Roman Catholik. Setiap pagi pelajar-pelajar bukan beragama Roman Katholik diletakkan dalam satu kelas “moral instruction”. Suatu hari brother berkenaan berkata bahawa selama tiga hari berturut-turut beliau akan memberi kuliah mengenai agama Islam. Dalam kuliahnya pada hari pertama, beliau berkata bahawa rukun Islam yang kelima ialah jihad. Saya bangun membantah. Di penghujung kelas itu, beliau berkata untuk dua hari berikutnya beliau menyerahkan kelas itu kepada saya.

Saya pun membuat persediaan dan mengambil alih kelas itu selama dua hari, 45 minit sehari. Saya tekankan mengenai keesaan Allah s.w.t dan kerasulan para rasul, termasuk Isa a.s. dengan merujuk kepada tafsir al-Qur’an dalam Bahasa Inggeris. Selepas dua hari, seorang pelajar perempuan Cina berkata kepada saya “Hamid, I want to be a Muslim”.

Lebih kurang seminggu kemudian, “Brother Principal” datang ke tepi kelas saya dan memanggil saya keluar. Beliau berkata, “You have a bright future. I would like you to concentrate on your studies. From now on, you don’t have to attend the moral instruction class. You can go to the library and study.”

Saya sangat gembira dan bertanya beliau sama ada saya boleh beritahu pelajar-pelaar Melayu lain. “No. This is special for you.” Saya merasa gembira dan terhormat, rakan-rakan saya pun envy saya, hinggalah 15 tahun kemudian.

Suatu pagi 15 tahun kemudian, semasa saya menjadi Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, saya ternampak Brother Principle saya beratur untuk mendapat perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah. Saya menjemput beliau be bilik saya dan memanggil seorang Pesuruhjaya Sumpah untuk memberi perkhidmatan yang dikehendakinya. Apabila beliau keluar dari bilik saya, saya teringat peristiwa tersebut. Kali ini soalan bermain difikiran saya: Adakah itu keistimewaan yang diberikan khas kepada saya atau itu satu helah untuk mengeluarkan saya dari kelas itu? Sampai hari ini saya tidak tahu jawapannya yang sebenar.

Saya masih mendapat biasiswa sebanyak RM45 sebulan. Bersama-sama beberapa orang kawan, ada yang belajar di Methodist Boys’ School, ada yang belajar di Madrasah Al-Masyhur, ada yang belajar di Choong Ling High School, saya menyewa bilik di sebuah rumah seorang Cina tua di kawasan yang terkenal dengan kumpulan kongsi gelap. Syukur mereka tidak mengganggu kami.

Walaupun saya mendapat biasiswa Persekutuan untuk ke Universiti Malaya dalam bidang kesusasteraan, bersama-sama beberapa orang pelajar Cina sedarjah, saya memohon untuk mempelajari undang-undang di Universiti Singapura. Saya masuk ke Universiti Singapura. Sehingga ke hari itu saya tidak pernah jumpa seorang peguam atau masuk ke pejabat peguam.

Sampai di sana, saya dapati terdapat 180 pelajar tahun pertama. Kami dipanggil “kamikaze troop” sebab di akhir tahun pertama hanya 1/3 akan lulus dan naik ke tahun dua. Di minggu pertama kami di kehendaki mengambil English test. Kebetulan kami dikehendaki menulis satu essay. 56 orang daripada 180 pelajar lulus (1/3). Saya juga lulus. Di akhir tahun pertam, 54 orang lulus untuk naik ke tahun dua (1/3). Syukur saya adalah salah salah seorang daripadanya dan di antara 38 orang yang “graduate” dalam masa empat tahun.

Pada awal bulan Mei 1969, saya memasuki Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Beberapa hari kemudian, saya terperangkap dalam peristiwa 13 Mei di Kampung Baru, Kuala Lumpur di mana saya menumpang di rumah seorang kawan.

Apabila perintah berkurung di angkat beberapa jam, saya mengambil teksi ke lapangan terbang dan menaiki penerbangan ke Pulau Pinang dan pulang ke kampung. Di kampung, saya menerima arahan untuk melapor diri sebagai Mejistret di Kangar, Perlis. Litaran saya termasuk Jitra dan Pulau Langkawi. Jitra hanya mempunyai selorong rumah kedai. Di Langkawi cuma ada sebuah bas, tiga buah teksi, sebuah ambulans dan dua buah kereta Polis.

Saya berkhidmat dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan selama 21 tahun. Dalan tempoh itu saya berkhidmat sebagai Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penasihat Undang-Undang Negeri, Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan hasil Dalam Negeri dan Ketua Bahagian Pendakwaan sebelum saya dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (1990).

Dalam tempoh tersebut saya berkhidmat selama tujuh tahun di bawah Tun Mohamed Suffian dan Raja Azlan Shah. Pengajaran daripada Tun Mohamed Suffian ialah “humility, honesty and clarity”. Katanya kepada saya: “If you can choose between a simple word and a bombastic word, choose a simple word. If you can choose between a short sentence and a long sentence, choose a short sentence. If you have any doubt, delete.” Pengajaran daripada Raja Azlan Shah ialah: “If you have no time, make time!”

Dalam tahun 2002, saya dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi diikuti dengan Hakim Mahkamah Rayuan (2000) dan Hakim Mahkamah Perekutuan (2003).

Dalam tahun 2004, saya dikehendaki mempengerusikan Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Di hari pertama, peguam beliau mengusulkan supaya saya menarik diri daripada membicara kes itu atas alasan besar kemungkinan saya akan berat sebelah. Saya menolak. Dato’ Seri Anwar Ibrahim bangun dan dengan suara yang lantang “mengutuk” saya di mahkamah terbuka. Tetapi, selepas itu sehingga hari saya menyampaikan penghakiman, beliau diam. Beliau hanya mendengar dan mengambil nota.

Dua hari sebelum penghakiman di sampaikan, pemandu saya meletak jawatan dengan serta merta. Malam itu cermin tingkap dua buah kereta anak-anak saya (cuma Kancil dan Iswara buruk sahaja) kena pecah. Tingkap dapur rumah saya juga kena kopak. Tetapi tidak ada barang-barang yang hilang. Dua hari selepas itu saya memandu sendiri dari Gombak ke Putrajaya dan menyampaikan penghakiman saya. Apabila saya selesai membaca penghakiman saya dan membebaskan beliau, beliau bangun dan berkata, “My Lord, Thank you. May God bless you. That is all I want to say.”

Perlu di tekankan di sini. Apabila seorang hakim membicarakan sesuatu kes, beliau mestilah membuat keputusan berdasarkan fakta yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang berkenaan, bukan sama ada beliau percaya kejadian itu berlaku atau tidak. Saya bagi satu misalan. Seorang lelaki balik ke rumahnya dan mendapati istrinya sedang berzina dengan seorang lelaki lain. Di atas keterangan si- suami itu sahaja, bolehkah seorang hakim manjatuhkan hukuman hudud, walau pun hakim itu percaya cerita si-suami itu?

Dalam tahun 2006, saya adalah Hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan. Terdapat dua kekosongan jawatan yang lebih tinggi, tetapi hakim yang lebih “junior” dilantik untuk memangku satu daripadanya. Yang satu lagi dibiarkan kosong. Kemudiannya, apabila kekosongan hendak di isi, saya diketepikan juga. Pada masa itu saya teringat apa yang Tun Mohamed Suffian, secara beseloroh, dalam konteks pada masa itu, pernah berkata kepada saya: “You know Hamid, when the Bar Council says we are pro-government and the government says we are anti-government, it means that we are independent.”

Demikian juga halnya dengan saya: Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak mahu saya membicarakannya sebab beliau menyagka saya orang Tun Abdullah Badawi sebab kami sama-sama berasal dari Kepala Batas. Kerajaan yang diketuai oleh Tun Abdullah Badawi (mulanya) tidak mahu saya menjadi Ketua Hakim Negara kerana menyangka saya orang Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebab saya membebaskannya. Jika demikian, ertinya saya independent (bebas).

Kemudian, kebetulan, keluar video tape V.K.Lingam diikuti degan siasatan Suruhanjaya Di Raja. Banyaklah kisah yang tak diingini terkeluar menyebabkan inegriti Badan Kehakiman berada di tahap yang paling rendah dalam sejarah. Maka, barulah saya ditawarkan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan sebulan kemudian Ketua Hakim Negara. Saya tahu Al-Marhum Tuanku Sultan Azlan Shah memain peranan penting dalam pelantikan saya. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada ruhnya. Suatu pengajaran daripada peristiwa itu ialah: jika Allah s.w.t. menghendaki sesuatu itu berlaku, tidak ada sesiapa yang boleh menghalangnya.

Sebab itulah, dalam ucapan pelantikan sebagai Ketua Hakim Negara saya berkata:

Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kejujuran mengatasi segala-galanya. Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kebenaran akan terserlah jua.

Memandang ke belakang, hidup saya telah pun disusun. Hendak dikatakan kebetulan, terdapat terlalu banyak kebetulan. Saya tidak dan tidak boleh merancangnya sebagitu. Tetapi, sepanjang perjalanan hidup saya, saya dicuba seteruk-teruknya. Di sepanjang perjalanan hidup saya juga, saya telah berusaha bersungguh-sungguh dengan jujur sambil menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t. Di akhirnya saya diberi ganjaran yang saya sendiri tidak menduganya. Tetapi, dalam hidup ini, tidak ada satu ganjaran yang lebih penting daripada integriti. Itu satu perkara yang kita ada atau tidak ada. Tidak ada sesiapa yang boleh menghadiahnya kepada kita. Kita terpaksa berusaha memperolehinya sendiri, sepanjang hayat.

Semua ini boleh berlaku kerana semenjak merdeka negara kita telah ditadbir dengan baik berbanding dengan negara-negara lain yang merdeka selepas Perang Dunia Kedua. Ia membolehkan negara kita berada dalam keadaan aman, tenteram dan telah membangun dengan pesat dalam bidang ekonomi, pelajaran, sosial, agama dan lain-lain. Mana satu kaum yang boleh berkata bahawa mereka tidak menekmati kamakmuran Malaysia walau sedikit pun? Negara kita adalah di antara beberapa buah negara sahaja dalam dunia ini yang Perlembagaan asalny masih berkuatkuasa. Malah Malaysia disifatkan sebagai model negara membangun dan negara Islam moden.

Malangnya rakyat Malaysia tidak tahu berterima kasih. Tunjukkan kepada saya sebuah negara dalam dunia yang menjaga kebajikan rakyatnya lebih daripada Malaysia. Terdapat banyak rakyat Malaysia yang mencari makan di sini tetapi, memburuk-burukkan negara sendiri apabila pergi ke luar negara. Sebaliknya rakyat Indonesia, biar bagaimana susahnya sekalipun, tetap berbangga dengan negaranya. Rakyat Singapura dengan bangganya meminum “Newater” yang diperbuat daripaka air longkang.

Hari ini, saya telah bersara selama enam tahun. Dalam tempoh itu saya telah menjalani empat pembedahan, kehilangan suara sebanyak dua kali dan sebanyak dua kali juga menyangka bahawa zaman saya berucap di khalayak ramai sudahlah berakhir. Dalam tempoh itu juga saya telah menulis dan manyampaikan sebanyak 84 kertas kerja, rencana, kuliah umum, ceramah dan syarahan. Saya menerima dua Ijazah Kehormat Doktor Falsafah, dilantik menjadi Adjunct Professor di tiga buah universiti. Hari ini pun saya masih mempengerusikan dua jawatankuasa di Bank Negara Malaysia termasuk menjadi ahli dua jawatankuasa lagi di Bank Negara Malaysia dan Surhanjaya Sekuriti Malaysia. Anihnya, dalam keadaan saya sekarang pun, saya menerima lebih banyak jemputan untuk berucap dan membentang kertas kerja daripada semasa saya menjadi Ketua Hakim Negara, termasuk oleh jabatan kerajaan, NGO, institusi kewangan dan lain-lain.

Sebenarna, saya sudah boleh tidur dan berehat. Tanggungan saya terhadap keluarga saya pun boleh dikatakan telah selesai. Semua anak-anak saya sudah berkerja. Yang sulung, seorang juruterbang MAS, Kapten Boeing 737. Yang kedua (lelaki juga) berkelulusan LLB (IIUM), LLM (UKM), LLM (King’s College London) dan berkerja di Jabatan Pegam Negara. Pernah dipinjamkan ke Malaysian Mission to WTO di Geneva selama 3 ½ tahun. Yang ketiga, perempuan, kelulusan London School of Economics and Politial Science (International Relations) dan mendapat Masters Degree dari International University of Japan atas biasiswa Matsushita International Foundation dan berkhidmat dengan Kemenerian Luar Negeri. Pernah berkhidmat di The Hague, Belanda selama 3 tahun. Sekarang berkhidmat di Malaysian Mission to the United Nations di New York. Baru-baru ini beliau menyampaikan kenyataan Malaysia mengenai Gaza di United Nations General Asembly. Adiknya, juga perempuan, berkelulusan LLB (IIUM). Dalam tahun 2005, beliau memenangi hadiah Best Speaker dalam Philip Jessup International Moot Court Competition Final di Washington. Selepas itu beliau mendapat biasiswa Fulbright untuk belajar di Universiti Harvard untuk ijazah LLM (Public International Law). Belia juga telah diterima untuk beramal sebagai seorang peguam di New York State. Sekarang beliau berkerja di Jabatan Peguam Negara.

Saya mencerita semua ini bukan untuk berbangga tetapi untuk menunjukkan kepada saudara saudari, jika kita berusaha bersungguh-sungguh, Insya Allah, semua itu boleh dicapai. Tetapi, kita mesti ingat bahawa tidak ada jalan senang untuk senang.

Jadi, mengapa saya tidak hanya tidur dan berehat? Sebabnya, saya memandang bahawa ada sebabnya mengapa Allah s.w.t. membolehkan saya bangun dan bercakap semula walau pun dengan cara yang terhad. Ada tugas yang diletakkan di atas bahu saya yang saya perlu laksanakan. Ini kerana, pada masa ini, bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia sedang menghdapi satu cabaran yang paling serius dalam sejarah, sedangkan mereka berpecah belah, leka atau lupakan diri.

Semua ini saudara saudari mesti sedar. Ingatlah bahawa kita baharu satu atau dua jenerasi keluar dari kampung. Jangan sudah lupa daratan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut apakah cabaran yang bangsa Melayu dan umat Islam sedang hadapi di negara ini sekarang, sila baca rencana, ceramah dan kertas kerja saya yang boleh didapati dalam laman web saya. Itu amal jariah saya, jika diterima oleh Allah s.w.t. Manfaatkanlah seberapa yang boleh.

Sekian. Terima kasih

430 visits