HAK ASASI MANUSIA DARI PERSPEKTIF TRADISI ISLAM DAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA

GABUNGAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ISLAM BUKAN KERAJAAN
(Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN)
FORUM KEBANGSAAN HAK ASASI KEMANUSIAAN 1535H/2014
24 Januari 2014
HAK ASASI MANUSIA DARI PERSPEKTIF TRADISI ISLAM DAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara Malaysia)

 


Dalam masa yang singkat ini saya akan cuba melihat hak asasi manusia dari perspektif tradisi Islam dan Perlembagaan Malaysia. Sebagai sampingan, saya juga akan merujuk secara sepintas lalu kepada United Nations Declaration of Human Rights (UDHR), The Cairo Declaration (Deklarasi Kaherah) dan ASEAN Human Rights Declaration (Deklarasi ASEAN).

Saya tidak akan cuba menyenaraikan hak-hak asasi manusia yang disebut dalam Al-Qur’an dan Sunnah Rasul Allah untuk menunjukkan hak asasi manusia dalam tradisi Islam. Jika sasiapa yang ingin mengetahuinya dengan lebih terperinci, sila baca Deklarasi Kaherah atau kertas kerja saya bertajuk “Hak Asasi Manusia: Peranan dan Fungsi dari Perspektif Perlembagaan Malaysia” yang boleh di dapati dalam laman wab saya http://www.tunabdulhamid.my

Barang siapa yang kagum dengan peruntukan Perkara 1 dan 2 UDHR mengenai kesamarataan dan tak diskriminasi, sila baca Khuṭbatul-Wadāʿ yang disampaikan oleh Rasul Allah (s.a.w.) di Lembah Uranah, Arafat pada 9 March 632 ia itu 1,316 tahun sebelum UDHR digubal di mana Rasul Allah (saw), antara lain, berkata:
“Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain kecuali dengan taqwa.”
Barang siapa yang kagum dengan peruntukan Perkara 5 UDHR mengenai hak untuk bebas daripada dikenakan seksaan (torture) atau layanan kejam atau tidak berperikemanusiaan atau The Geneva Convention relative to the Protection of Civilian Persons in Time of War (GCIV) yang diterima pakai dalam tahun 1949 mengenai perlindungan orang awam semasa peperangan, sila baca Hadis Rasul Allah (saw) yang diriwayatkan oleh Muslim nombor 1731 yang antara lain melarang pencacatan (mutilation) dan pembunuhan kanak-kanak dan hadis riwayat Abu Da’ood dan Ibn Majah yang antara lain melarang pembunuhan perempuan dan hamba abdi semasa peperangan.

Juga, bacalah pesanan Abu Bakar As-Sidiq, Khalifah Islam yang pertama kepada askar-askarnya, di mana, antara lain, katanya:

“……Janganlah mencacatkan (mutilate) tubuh badan askar-askar musuh atau yang sudah mati. Janganlah membunuh kanak-kanak atau mereka yang di bawah umur. Janganlah membunuh orang tua lelakai atau pun perempuan. Janganlah mencabut pokok korma (atau pokok apa juga) dan juga janglah membakarnya. Janganlah merosakkan pokok buah-buahan. Janganlah menyembelih kambing biri-biri betina, lembu atau unta betina melainkan untuk keperluan makanan kamu……” (Terjemahan saya daripada Bahasa Inggeris).

Barang siapa yang kagum dengan peruntukan Perkara 6 UDHR yang mengisytiharkan bahawa setiap orang adalah diiktirafkan sebagai seorang (a person) di sisi undang-undang dan Perkara 17 mengenai hak memiliki harta patut tahu bahawa 1,400 tahun lebih awal Islam telah mengiktiraf bahawa seorang perempuan, sama ada berkahwin atau tidak, mempunyai identity tersendiri dan boleh memiliki harta sendiri. Di England hanya dalam tahun 1882 barulah perempuan berkahwin boleh memiliki harta atas nama mereka sendiri setelah Parlimen England meluluskan The Married Women’s Property Act 1882 (45 & 46 Vict. c.75. Sehingga ke hari ini orang perempuan di negara-negara Barat hilang nama asal mereka dan memakai nama suami mereka apabila berkahwin. Apa yang hendak dibanggakan?

UDHR telah diluluskan oleh United Nations General Assembly pada 10 Disember 1948. UDHR melihat hak asasi manusia dari sudut pandangan Barat, selepas Perang Dunia Kedua, semasa kuasa-kuasa Barat menjadi penjajah di seluruh dunia. Penyertaan negara-negara Asia dan Afrika amat terbatas kerana kebanyakannya sama ada masih dijajah dan tidak berpeluang mengambil bahagian atau terlalu lemah untuk memberi apa-apa impak.

Deklarasi Kaherah telah diterima pakai (adopted) dan dikeluarkan oleh anggota-anggota Organisation of the Islamic Conference (OIC) di Persidangan Kesembilan Belas Menteri-Menteri Luar Negara-Negara Islam di Kahirah pada 5 Ogos 1990. Pada 30 Jun 2000, negara-negara Islam yang menjadi ahli OIC bersetuju menyokong Deklarasi Kaherah.

Deklarasi Kaherah melihat hak asasi manusia dari sudut prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Islam dan tradisi Islam. Dalam mukaddimahnya Deklarasi Kaherah, antara lain, menyatakan:

“Mempercayai bahawa hak asasi dan kebebasan sejagat dalam Islam adalah sebahagian yang penting (integral part) daripada agama Islam dan tiada sesiapa, dari segi prinsipnya, mempunyai hak untuk menggantung (pelaksanaannya) sama ada kesemuanya atau sebahagiannya atau melanggar atau mengabaikannya…….mematuhinya adalah satu ibadat dan meninggalkannya atau melanggarnya adalah satu dosa besar, dan oleh itu setiap orang adalah bertanggungjawab secara individu – dan ummah adalah bertanggungjawab secara bersama – bagi manjaganya…..” (Terjemahan saya daripada Bahasa Inggeris)

Dari mukaddimah itu pun kita sudah dapat melihat perbezaan falsafah dan pendekatan Deklarasi Kaherah dengan UDHR. Deklarasi Kaherah melihat persoalan hak asasi manusia daripada sudut hubungan manusia dengan Allah s.w.t. manakala UDHR mengambil pendekatan keduniaan dan sekular. Ini kerana, mengikut Islam sovereignty adalah milik Allah s.w.t. Sebaliknya, mengikut fahaman demokrasi sekular moden Barat, the people adalah dianggap sebagai pemerintah agung (supreme ruler). Mengikut Islam hak asasi adalah kurniaan Allah s.w.t. dan ia adalah suatu yang sacret, tidak boleh dipertikaikan, universal dan kekal. Sebaliknya, orang-orang Barat menganggap bahawa mereka telah memperolehi hak-hak mereka daripada pemerintah mereka setelah perjuangan yang panjang. Deklarasi Kaherah memberi gambaran menyeluruh perspektif Islam mengenai hak asasi manusia dan mengesahkan Syari’ah sebagai sumbernya yang tunggal.

Perlu ditekankan bahawa Deklarasi Kaherah bukanlah sesuatu yang dicipta oleh penggubalnya untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Islam juga ada hak asasi manusia. Ia adalah hasil pengumpulan prinsip-prinsip yang terdapat dalam nas-nas Al-Quran dan Hadis Rasul Allah (s.a.w.) lebih daripada 1,300 tahun sebelum adanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada bulan November 2012, negara-negara ASEAN yang bersidang di Phnom Penh, sebulat suara menerima pakai (adopted) Deklarasi ASEAN. Deklarasi ASEAN melihat hak asasi manusia mengikut kesesuian di negara-negara ASEAN.

Bagi kita, apa yang paling penting ialah peruntukan Perembagaan Persekutuan. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Malaysia. Mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah tak sah dan batal. Peruntukan UDHR yang tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan juga tidak menjadi sebahagian daripada undang-undang domestik kita. Antara lain, ini diperuntukkan dengan jelas oleh seksyen 4(4) Human Rights Commission of Malaysia Act 1999. Seseorang tidak boleh mengambil tindakan undang-undang atas alasan dia telah dinafikan hak asasi manusia seperti yang terdapat dalam UDHR, misalnya, kerana ia bukanlah undang-undang demestik kita. Dia mesti tunjukkan bahawa penafian itu adalah menyalahi peruntukan undang-undang domstik dan/atau Perlembagaan kita. Sebagai misalan, mengikut Perlembagaan Persekutuan, seseorang itu adalah bebas mengamalkan agamanya tetapi orang bukan Islam dilarang mengembangkan agama mereka kepada orang-orang Islam. Mahkamah mestillah mematuhi peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan kita, bukanlah mengikuti peruntukan yang terdapat dalam UDHR.

Perlembagaan Persekutuan melihat hak asasi manusia dari sudut sebuah negara yang baru terlepas daripada belenggu penjajahan selama lebih daripada empat abad (dikira daripada kejatuhan Melaka) yang membawa kebanjiran pendatang bersama-sama bahasa, budaya dan agama mereka yang hampir menenggelamkan penduduk asal di bumi sendiri, yang terpaksa pula berkongsi kuasa dengan pendatang itu, selepas Merdeka. Sebab itu Perlembagaan Persekutuan mempunyai beberapa peruntukan untuk menyelamatkan keadaan seperti Perkara 153, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dan pemakaian Syari’ah dalam undang-undang keluarga bagi orang-orang Islam. Peruntukan yang serupa pun terdapat dalam Perlembagaan India – Perkara 16. Di samping itu hampir semua hak-hak asasi utama yang disebut dalam UDHR terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun dengan pengecualian-pengecualian dan pengubah-suaian yang perlu. Ini tidak dapat dielakkan. Perlembagaan Malaysia mestilah sesuai dengan keadaan, keperluan dan aspirasi Malaysia. Hal yang sama juga terdapat dalam Perlembagaan negara-negara lain.

Jika demikian, mengapa ada pihak-pihak di dalam dan luar negara yang senentiasa mencari salah dan mengadu kononnya Islam dan syariah tidak mengiktiraf hak asasi manusia?

Sebenarnya, masalah ini timbul dari faktor luar dan dalam masyarakat Islam itu sendiri. Faktor luar ialah, pertama, ketaksuban orang-orang Barat bahawa merekalah yang bertamaddun di dunia ini, seolah-olah tamaddun manusia bermula di Barat dan tidak akan berakhir selama-lamanya. Kedua, kejahilan yang disebabkan oleh perasaan bahawa tiada apa di luar negara-negara mereka (terutama sekali Amerika Syarikat) yang boleh dipelajari. Ini diburukkan oleh gambaran yang dipapar oleh media massa yang prejudice dan mempunyai agenda tersendiri setiap hari. Ketiga politik yang terlalu menyebelahi Israel.

Faktor-faktor dalaman masyarakat Islam juga tidak kurang pentingnya dalam memberi gambaran yang negative mengenai Islam dan ummat Islam. Lihat sahajalah apa yang dilakukan oleh orang Islam sendiri di negara-negara majority penduduk Islam baik di Asia Tengah, Timur Tengah mahupun Afrika. Ini menyebabkan masyarakat Barat, terutama sekali di Amerika Syarikat, menganggap bahawa apa yang mereka lihat dalam talivesyen mereka yang datang dari negara-negara itulah yang mencerminkan agama dan masyarakat Islam. Sehinggakan, dalam tahun 2005, apabila anak perempuan saya diisytiharkan “Best Speaker” dalam Philip C. Jessup International Law Moot Court Competition di Washington, Pengurus Besar pertandingan itu berkata kepadanya, “You open our eyes”. Dalam satu majlis di Syracuse, anak saya ditanya, “Selepas kamu pulang ke negara kamu, kamu boleh berkerja atau tidak?” Semasa belajar di University Harvard, nenek seorang rakan sekelasnya dari negeri Belanda mengajak anak saya pergi bercuti di rumahnya supaya dia boleh membuka tudung! Agaknya dia menyagka anak saya dipaksa oleh Taliban Malaysia untuk memakai tudung.

Di samping itu, tidak kurang pula rakyat Malaysia sendiri yang senentiasa memburukkan keadaan hak asasi manusia Malaysia di seluruh dunia. Mereka ini adalah opportunists. Mereka ada agenda politik. Mereka telah melihat orang Melayu berpecah belah dan lemah. Mereka nampak bahawa mereka mempunyai peluang untuk merampas kuasa politik daripada orang Melayu. Maka untuk mendapat sokongan luar mereka pun memburukkan negara Malaysia. Isu yang paling mudah untuk menarik perhatian Barat ialah Islam, Syari’ah dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Maka berkeliaranlah mereka ke merata dunia untuk menghasut dan memburukkan Malaysia.

Ini perlu disedari oleh orang Melayu, Islam dan Pribumi Sabah dan Sarawak. Perkara 153 bukan sahaja untuk menjaga kepentingan orang Melayu tetapi juga hak Pribumi Sabah dan Sarawak. Adakah Pribumi Sabah dan Sarawak sudah merasakan bahawa mereka sudah tidak memerlukannya lagi?

Apakah isu-isu yang dibangkitkan mengenai Islam?

Pertama, tiada kebebasan beragama, kerana, kata mereka, orang Islam tidak dibenarkan menukar agama. Di samping itu, orang Islam tidak dibenarkan berkahwin dengan orang bukan Islam jika orang bukan Islam itu tidak memeluk Islam. Itu Hukum Syarak yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan terpakai kepada orang Islam. Kita tidak mengatakan bahawa perbuatan mereka menyiksa diri sendiri dalam upacara agama mereka melanggar hak asasi manusia; kita tidak menentang peraturan agama mereka. Mengapa mereka hendak campur tangan dalam hal agama Islam?

Perlu ditegaskan di sini bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang seseorang menukar agamanya. (Perkara 11). Peraturaan yang diadakan adalah procedure. Untuk bercerai pun ada procedure.

Mereka mempertahankan hubungan seks sejenis. Apa motif mereka yang sebenar? Adakah sesiapa yang mereka hendak lindungi?

Mereka memperjuangkan perkahwinan sejenis. Secara peribadi, saya katakana, jika mereka mahu sangat, buatlah. Mungkin itu satu cara Allah s.w.t. hendak mempupuskan zuriat mereka. Mungkin Allah swt pun tidak mahu orang seperti itu mempunyai zuriat. Kita tidak tahu. Cuma, jangan cuba melibatkan agama Islam dan orang slam.

Mereka memburukkan Islam kerana kononnya tidak berlaku adil kepada perempuan kerana lelaki dibenarkan berpoligami dan kerana pusaka tidak diberi sama rata tetapi mereka tidak mempertikaikan pula siapa yang berkewajiban memberi nafkah isteri dan anak. Biar apa pun, itu soal kita. Kita tidak mempertikaikan amalan agama mereka. Mengapa mereka hendak campur tangan dalam urusan agama kita.

Mereka menimbulkan isu penggunaan kalimah Allah. Tujuan politik mereka ialah untuk memecahbelahkan orang Melayu dengan Pribumi Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian. Tujuan kedua adalah untuk mengkeristiankan orang Melayu. Selama 500 tahun Agama Kristian Gereja Roman Katholik bertapak di Malaysia. Mereka tidak pernah mengatakan Allah itu nama Tuhan mereka. Malah mereka mempersendakan nama Allah sebagai Tuhan orang Islam. Sekarang pun mereka hanya hendak menggukannya semasa menggunakan Bahasa Melayu. Apa tujuannya? Untuk meyakinkan orang Melayu bahawa agama mereka adalah serupa atau serumpun dengan Islam, bahawa dengan mengikut cara hidup mereka dan bersembahayang mengikut cara mereka yang lebih mudah dan seronok pun orang Melayu masih beriman dengan Allah. Selama 500 tahun mereka gagal menarik orang Melayu menganut agama mereka. Ini adalah taktik baru. Jika mereka betul telah insaf bahawa Allah itu tuhan mereka, mengapa mereka tidak meminta Pope di Vatican mengisytiharkan bahawa tuhan Roman Katholik adalah Allah? Takkanlah ini pun orang Melayu dan Islam, termasuk ulamak, tidak boleh nampak?

Satu perkara lagi yang orang Islam di Malaysia perlu membeberi perhatian ialah penampilan ungkapan “Abrahamic religions” (agama-agama Ibrahim) oleh orang-orang Islam sendiri. Soalan saya: Nabi Ibrahim a.s. menyibarkan berapa agama? Mungkin di Amerika Syarikat ianya sesuai untuk menunjukkan bahawa orang Islam itu bukanlah pengganas (terrorists). Tetapi, di Malaysia ia akan memakan diri orang Islam sendiri kerana akibatnya adalah sama seperti penggunaan kalimah Allah yang saya sebutkan tadi. Orang Melayu dan Islam perlulah sedar bahaya semua ini.

Akhir sekali, saya ingin membuat suatu kenyataan bahawa mengikut Perlembagaan Persekutuan undang-undang yang membenarkan perkahwinan sejenis tidak boleh dibuat untuk dipakai kepada orang Islam. Jika dilakukan, undang-undang itu tak keperlembagaan, tak sah dan batal. Sebabnya ialah Perlembagaan Peresekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang keluarga bagi orang Islam adalah Hukum Syarak. Hukum Syarak tidak membenarkan perkahwinan sejenis. Maka jika undang-undang seperti itu dibuat, ia adalah percanggah dengan Hukum Syarak dan, oleh itu, bercanggah pula dengan Perlembagaan, menjadikannya tak sah dan batal.

Maka, jika orang Melayu dan Islam di Malaysia mahu kedudukan itu kekal, mereka mestilah bersatu dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Demikian juga, jika Pribumi Sabah dan Srawak tidak mahu hak mereka terhakis, mereka juga perlulah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Terima kasih.

198 visits