UCAPAN PERASMIAN PERSIDANGAN DWI-TAHUNAN TIMBALAN PENDAFTAR DAN PENOLONG KANAN PENDAFTAR SE MALAYSIA 2008

UCAPAN PERASMIAN PERSIDANGAN DWI-TAHUNAN TIMBALAN PENDAFTAR DAN PENOLONG KANAN PENDAFTAR SE MALAYSIA 2008
KUALA TRENGGANU
26 – 28 August 2008
Oleh
Tun Dato’ Seri Abdul Hamid Mohamad
Ketua Hakim Negara


 

Ini adalah kali pertama dan terakhir saya berucap dalam majlis ini. Ini juga adalah kali terakhir saya berucap kepada pegawai-pegawai kehakiman sebagai Ketua Hakim Negara. Terserahlah kepada tuan-tuan dan puan-puan sama ada hendak memberi perhatian kepada apa yang saya akan katakan atau tidak. Bagi saya, seperti yang saya katakan dalam ucapan perlantikan saya, jika saya menjadi Ketua Hakim Negara hanya selama satu hari sahaja pun, dalam masa satu hari itu saya akan lakukan apa yang saya, dengan jujur, fikir adalah betul. Ini termasuk berkata apa yang saya, dengan jujur, fikir adalah betul dan patut dikatakan. Apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan, dasar mungkin berubah, “style” mungkin berubah, tetapi perkara-perkara asas tidak akan berubah.

Apakah perkara asas bagi seseorang pekerja? Jawabnya mudah: menjalankan tugas dengan tekun, teliti, menepati masa dan jujur. Setakat mana seseorang itu dapat melakukannya terserahlah kepada dirinya sendiri. Pegawai atasan boleh menyuruh, memperingati, menasihat, menolong, malah marah, tetapi jika kita sendiri tidak bertekad untuk melakukannya sehabis baik yang kita boleh lakukan, ia tidak akan memberi kesan. Allah s.w.t. pun ada berfirman:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” Surah Al-Ra’d ayat 11.

Kerja tidak akan siap jika tidak dibuat. Kerja yang dibuat tidak akan siap dengan sempurna jika ia tidak dibuat dengan bersungguh-sungguh, teliti dan segera. Itu Sunnah Allah: setiap sesuatu itu berlaku mengikut fitrahnya. Rasul Allah (s.a.w.) pun, semasa hendak diserang oleh kaum Musyrikin Makkah, berusaha meminta nasihat sahabat-sahabat bagaimana hendak mempertahankan diri dari serangan itu, menerima pandangan Salman Al-Farsi, bertungkus lumus mengorek parit dengan peralatan kuno untuk mempertahankan Madinah. Siapa lebih di sayangi Allah s.w.t. daripada Baginda? Bukankan Allah s.w.t. menghantar Baginda untuk menyebar agama Islam? Mungkinkah Allah s.w.t. mahu melihat Islam terkubur di saat yang genting itu? Bukankah Rawdah itu berada di sebelah rumah baginda? Dalam keadaan itu pun, disamping berdo’a memohon pertolongan Allah s.w.t., Baginda dan sahabat-sahabat berusaha mencari taktik peperangan yang berkesan di zaman itu dan melaksanakannya untuk mematahkan serangan musuh itu. Itulah pengajaran yang kita patut ambil.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Daripada pemerhatian saya, biasanya sesuatu kerja itu tidak dilakukan bukan kerana seseorang pegawai itu tidak tahu melakukannya. Ia tidak dilakukan kerana cuai, tidak mengambil berat dan sebagainya. Kedua, perkara yang akhirnya menjadi masalah besar kerapkali terbit daripada kecuaian melakukan perkara yang mudah dan kecil. Saya beri satu misalan. Baru-baru ini, saya menerima satu aduan daripada orang awam bahawa kesnya telah diperintahkan supaya dipindahkan daripada satu mahkamah kesuatu mahkamah di negeri lain. Sudah empat tahun perintah itu dibuat. Beliau masih menunggu perkembangannya. Beliau menyemak di mahkamah pertama. Beliau diberi tahu bahawa kes itu telah dipindahkan ke mahkamah kedua. Beliau pergi menyemak di mahkamah kedua. Beliau diberi tahu bahawa fail itu belum diterima oleh mahkamah itu. Akhirnya, apabila aduan itu disiasat, didapati bahawa fail itu masih belum dihantar ke mahkamah kedua. Apakah jawapan yang saya boleh beri selain daripada meminta maaf? Tidakkah itu memalukan? Perkara seperti itu tidak sepatutnya memakan masa Ketua Hakim Negara. Masa itu lebih berfaedah jika digunakan untuk melakukan kerja yang lebih besar dan sukar seperti menulis alasan penghakiman.

Tuan-tuan dan puan-puan ditugaskan untuk menjalankan pentadbiran mahkamah. Saya minta tuan-tuan dan puan-puan memberi perhatian sepenuhnya dalam menjalankan tugas tuan-tuan dan puan-puan dan menyelia kakitangan di bawah seliaan tuan-tuan dan puan-puan. Pastikan bahawa fail-fail untuk perbicaraan disediakan sebelum hari perbicaraan supaya perbicaraan tidak akan tertangguh kerana fail tidak ditemui. Pastikan dokumen-dokumen dan surat-surat dimasukkan kedalam fail-fail berkenaan. Pastikan notis-notis rayuan di rekod, dihantar kepada mahkamah yang kepadanya keputusan itu dirayu. Pastikan bahawa Hakim dimaklumkan mengenai rayuan-rayuan itu dan fail berkenaan diberi kepadanya untuk membolehnya menulis alasan penghakiman. Pastikan nota keterangan ditaip dan, bagi kes jenayah, rekod rayuan disediakan. Adalah amat mengecewakan saya setiap kali saya menerima aduan atau membaca berita mengenai sesuatu kes atau rayuan telah tertunggak bertahun-tahun kerana kecuaian dalam perkara yang remeh.

Tuan-tuan dan puan-puan tahu atau sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan. Tidak perlu saya menyebutnya satu persatu. Apa yang penting ialah melakukannya.

Jika ada masalah, gunakanlah forum ini untuk mencari jalan mengatasinya. Untuk itulah persidangan ini diadakan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya sudah sampai di penghujung kerjaya saya. Berdiri di hujung jalan dan memandang kebelakang saya perhatikan bahawa, dalam hidup ini, kejujuran mengatasi segala-galanya dan kebenaran akhirnya akan terserlah juga. Saya juga perhatikan bahawa jika kita terlalu “berkira” dengan rakan-rakan sekerja dan orang bawahan kita, Allah s.w.t. juga akan “berkira” dengan kita. Sebaliknya, Allah s.w.t. juga pemurah dengan orang-orang yang pemurah hati dan tenaganya.

Jika saya tidak bertemu lagi dengan tuan-tuan dan puan-puan selepas ini, sama ada sebagai Ketua Hakim Negara atau bukan, saya ucapkan selamat bertugas dan selamat maju jaya.

Sekian. Terima kasih.

106 visits