BADAN KEHAKIMAN DIUGUT: PANDANGAN SEBELAH LAGI

BADAN KEHAKIMAN DIUGUT: PANDANGAN SEBELAH LAGI

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Semenjak Raja Petra menerbitkan artikelnya “Pendedahan Mengejutkan: Konflik Kepentingan Hakim Perbicaraan Najib Nazlan Terdedah” pada 14 Mac 2022 dalam blognya, Malaysia Today, kita hanya membaca pandangan sebelah pihak mengenai isu itu, sama ada daripada kenyataan akhbar oleh Ketua Pendaftar, Majlis Peguam, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi DAP, Ketua Hakim Negara, The Edge Malaysia mahu pun Dr. Shad Saleem Faruqi.

Dalam artikel ini, saya memberikan pandangan sebelah lagi dengan tujuan semata-mata untuk memberikan hujah kedua belah pihak kepada orang ramai supaya mereka berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membuat keputusan mengenai isu tersebut. Saya tidak mengatakan saya betul dan mereka salah, Raja Petra betul dan Hakim Mohd Nazlan salah, atau sebaliknya.

Merujuk kepada kenyataan Majlis Peguam dan laporan The Edge Malaysia, dikatakan bahawa Raja Petra dan ahli politik terutamanya penyokong Najib sedang mengugut Badan Kehakiman. Sama ada itu benar atau tidak, tidakkah boleh dihujahkan bahawa mereka juga mengugut SPRM dalam menjalankan tugasnya? Majlis Peguam seolah-olah lupa bahawa SPRM-lah yang menyiasat Najib yang membawa kepada sabitan kesalahannya. Sekarang, hanya kerana dakwaan dibuat terhadap hakim yang telah mensabitkan Najib, sabitan yang mereka takut kiranya diketepikan, mereka melompat membelanya dan meragui kredibiliti SPRM.

Majlis Peguam  menuntut penyiasatan setara dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap laporan polis yang dibuat oleh Hakim Mohd Nazlan; bahawa tidak sepatutnya ada double standard dalam mendekati perkara itu; bahawa siasatan SPRM melanggar doktrin pengasingan kuasa; bahawa ia menjejaskan kebebasan badan kehakiman; bahawa ia tidak berperlembagaan dan ia harus ditangani di bawah Perkara 125 Perlembagaan.

Soalan: Sekiranya Hakim Mohd Nazlan membebaskan Najib adakah Majlis Peguam akan mengeluarkan kenyataan yang sama?

Tidak perlu dikatakan bahawa laporan polis Hakim Mohd Nazlan dan laporan yang dibuat terhadap Hakim Mohd Nazlan mesti diberi penyiasatan yang setara dan saya pasti ia sedang diberikan. Tetapi, dengan menuntut “penyiasatan setara” diberikan kepada laporan Hakim Mohd Nazlan tetapi cuba menghalang siasatan dijalankan terhadap laporan terhadap Hakim tersebut, tidakkah Majlis Peguam mengamalkan double standard?

Saya menerima beberapa mesej WhatsApp dan e-mel, semuanya daripada bukan-peguam yang bertanya soalan yang sama: Adakah menyalahi doktrin pengasingan kuasa bagi SPRM menyiasat hakim? Ia menunjukkan bahawa bukan-peguam pun mendapati pandangan Majlis Peguam itu pelik. Hakim tidak terkecuali daripada undang-undang. Perlukah saya berkata lebih daripada itu kepada Presiden Majlis Peguam?

Majlis Peguam juga mengatakan bahawa siasatan itu menjejaskan kebebasan Badan Kehakiman. Puan Presiden, kebebasan Badan Kehakiman tidak termasuk kebebasan untuk melakukan jenayah dan daripada disiasat mengenainya.

Majlis Peguam juga mengatakan bahawa siasatan itu tidak mengikut perlembagaan. Saya ingin tahu di bawah peruntukan manakah ia tidak berperlembagaan?  Presidennya merujuk kepada Perkara 125. Saya menggesa beliau membaca semula peruntukan itu. Perkara itu merujuk kepada situasi di mana seseorang  Hakim itu “patut dipecat atas alasan apa-apa pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) atau atas alasan tidak berdaya, oleh sebab kelemahan tubuh atau akal atau apa-apa sebab lain, untuk menunaikan fungsi jawatannya  dengan  sepatutnya,..”  Ia tidak meliputi pelakuan kesalahan jenayah. Sebaliknya, SPRM dan Polis hanya mempunyai kuasa untuk menyiasat kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa masing-masing dan bukan perkara yang disebut dalam Perkara 125. (Walaupun Dr. Shad Saleem Faruqi cuba meluaskan liputan Perkara 125, saya tidak fikir boleh boleh tidak bersetuju dengan dua ayat terakhir saya itu.)

Saya merujuk kepada dua kenyataan akhbar oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan. Atas sebab apa pun, tiada dakwaan sedemikian pernah dibuat terhadap mana-mana hakim dalam tempoh lima puluh tahun yang lalu. Jadi reaksi Badan Kehakiman dengan mengeluarkan kenyataan akhbar itu juga adalah yang pertama. Saya percaya Ketua Pendaftar tidak akan mengeluarkan kenyataan sedemikian melainkan diarahkan oleh Ketua Hakim Negara.

Ambil perhatian bahawa dakwaan Raja Petra itu bukanlah dakwaan umum terhadap Badan Kehakiman. Ia adalah dakwaan terhadap hakim tertentu. Kenapa badan kehakiman harus melompat membelanya?

Walaupun dakwaan itu telah dibuat oleh seorang penulis blog, jika peguam Najib tidak membuat permohonan untuk perbicaraan semula atau tidak menggunakannya sebagai alasan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mahkamah mengetepikan sabitan dan memerintahkan perbicaraan semula, perkara itu berakhir di situ.

Jika peguam Najib memilih untuk melakukan salah satu daripada dua perkara yang disebut sebelum ini, jika tiada kenyataan dikeluarkan oleh Badan Kehakiman, walaupun mahkamah menolak permohonan atau hujah itu, tiada kritikan atas alasan berat sebelah boleh dilemparkan terhadap Badan Kehakiman.

Sebaliknya, apabila kenyataan itu telah dikeluarkan, peguam Najib boleh berhujah bahawa mahkamah berat sebelah kerana Badan Kehakiman telah mengeluarkan kenyataan menolak dakwaan itu lebih awal. Jika dan apabila mahkamah menolak permohonan atau hujah itu, ia memberi alasan kepada pengkritik untuk mengatakan bahawa mahkamah berat sebelah. Bagaimanapun, mengapa memberi alasan kepada Najib dan penyokongnya untuk menyerang keputusan mahkamah?

Mengenai sub judice, tidakkah kenyataan oleh Badan Kehakiman itu juga sub judice? Ia sepatutnya lebih lagi, ia datang dari Badan Kehakiman sendiri sebelum isu itu diputuskan oleh mahkamah, jika dibangkitkan.

Sekarang kita sampai kepada ucapan Ketua Hakim Negara. Tidak  ada bahagian yang saya tidak bersetuju dengannya. Saya hanya mempersoalkan mengenai kesesuain masanya.

Walaupun Ketua Hakim Negara tidak menyebutnya, sesiapa yang membaca ucapan itu tahu bahawa beliau merujuk kepada artikel yang ditulis oleh Raja Petra yang dilaporkan dalam Malaysia Today bahawa Hakim Mohd Nazlan sedang disiasat oleh SPRM.

Saya mengulangi apa yang saya katakan mengenai kesan dua kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ketua Pendaftar. Ambil perhatian bahawa satu peristiwa penting telah berlaku selepas kenyataan akhbar kedua itu, iaitu SPRM mengesahkan bahawa ia sedang menyiasat Hakim berkenaan.

Soalan: Tidakkah lebih baik membiarkan SPRM meneruskan dan menyelesaikan siasatan?

Di akhir siasatan, SPRM akan memutuskan sama ada tiada bukti untuk menyokong dakwaan Raja Petra itu atau terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong pertuduhan terhadap Hakim berkenaan. Jika ia yang awal disebutkan, Hakim itu dibersihkan. Tidakkah lebih baik bagi Hakim berkenaan bahawa beliau  dibersihkan oleh SPRM selepas siasatan lengkap dan tiada kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh Badan Kehakiman? Jika keputusan itu yang kemudian disebut, maka fail siasatan itu akan dirujuk kepada Pendakwa Raya (Peguam Negara) untuk memutuskan sama ada hendak mendakwa Hakim berkenaan atau tidak. Jika, berdasarkan keterangan, Pendakwa Raya memutuskan untuk tidak membuat pertuduhan, perkara itu tamat di situ. Jika beliau memutuskan sebaliknya, proses perbicaraan bermula. Sama ada Hakim itu dibersihkan atau tidak, tiada kritikan boleh dilemparkan terhadap Ketua Hakim Negara. Beliau tidak boleh dituduh cuba mengganggu siasatan oleh SPRM.

Sekiranya saya dituduh pro-Najib, biarlah saya jelaskan bahawa saya tidak kisah walaupun Najib terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di penjara dengan syarat beliau mendapat perbicaraan yang adil. Saya tidak mengatakan dakwaan Raja Petra bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil, ada merit atau tidak. Itu untuk mahkamah memutuskannya. Saya tidak mengatakan dakwaan Raja Petra dan laporan bahawa Hakim Mohd Nazlan terlibat dalam skandal kewangan 1MDB benar atau tidak, mahupun sama ada laporan Hakim Mohd Nazlan terhadap Raja Petra ada merit atau tidak. Itu hanya akan diketahui selepas SPRM menyelesaikan siasatan terhadap kedua-dua dakwaan dan laporan itu. Justeru, SPRM hendaklah dibiarkan menjalankan tugasnya tanpa gangguan atau apa yang nampak seperti gangguan oleh sesiapa.

(Nota: Sebaik sahaja saya selesai menulis artikel ini, saya menerima mesej daripada seorang rakan bahawa dua peguam dan seorang aktivis telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi memohon pengisytiharan berikut:

  • badan penyiasatan jenayah, termasuk SPRM tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim-hakim yang sedang berkhidmat di mahkamah atasan (Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) melainkan mereka digantung kerja seperti yang dikehendaki di bawah Perlembagaan Persekutuan;
  • pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim yang sedang berkhidmat di mahkamah atasan.

Mereka juga telah memohon pengisytiharan bahawa siasatan oleh SPRM terhadap Hakim Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Berita itu menyebabkan saya memutuskan untuk menerbitkan artikel ini.)

07 05 2022

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

 

 

23 visits