MULTAQA PERPADUAN UMMAH KERTAS RINGKAS

MULTAQA PERPADUAN UMMAH
18 Mei 2016
KERTAS RINGKAS
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Pada pendapat saya:

1. Hak dan kedudukan orang Melayu dan agama Islam di Malaysia dapat dikekalkan seperti yang masih ada pada hari ini, semenjak Merdeka, hasil daripada pemerintahan Barisan Nasional, yang diterajui oleh UMNO;

2. Ancaman paling serius terhadap orang Melayu/Islam pada masa ini adalah ancaman jatuhnya kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO diperingkat Persekutuan dalam PRU 14 yang akan datang;

3. Bahawa jika pakatan pembangkang menang PRU 14, parti yang akan menjadi parti dominan adalah DAP, bukan PKR atau PAS (jika PAS masih bersama mereka.) Biar apa pun, hak dan kedudukan orang Melayu dan agama Islam akan terhakis sebab orang bukan Melayu/Islam (khususnya Cina) bersatu di belakang DAP sebab mereka mahu lebih. Dari mana “yang lebih” itu akan datang jika tidak daripada orang Melayu/Islam?

4. Maka, suka atau tidak, dalam keadaan yang ada sekarng, kita perlu mempertahankan kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh UMNO daripada tumbang.

5. Untuk itu, parti-parti Melayu/Islam hendaklah berkerjasama. NGO-NGO Melayu/Islam hendaklah menyokong kerjasama itu. Semua orang Melayu/Islam yang sayangkan hak dan kedudukan orang Melayu/Islam hendaklah bersatu menyokong kerjasama ini.

Dua kumpulan terbesar yang perlu diberi tumpuan ialah UMNO dan PAS. Maka, kita perlu bertanya pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS dan mereka perlu menjawab dengan jujur: Adaka mereka bersetuju dengan lima point yang saya sebut di atas? Jika “tidak”, tidak guna kita menghabiskan masa. Jika “ya”, kita boleh bermula dari situ untuk melangkah seterusnya.

Sebenarnya antara UMNO dan PAS sudah tidak ada apa-apa perbezaan ideology atau prinsip lagi. Yang ada hanya alasan yang diada-ada atau di-besar-besarkan untuk menunjukkan bahawa ada perbezaan, khususnya PAS daripada UMNO, untuk tujuan mendapat undi. Hanya terdapat satu halangan sekarang: kepentingan diri. Masing-masing takut kehilangan atau kekurangan kuasa, pendapatan dan kedudukan masing-masing. Itu sahaja.

Maka, soalan seterusnya yang perlu dijawab oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS dengan jujur ialah: Adakah mereka sanggup mengorbankan kepentingan diri, jika perlu, untuk mengelak mala petaka yang lebih besar itu?

Jika “tidak”, tiada apa yang boleh dilakukan. Jika “ya”, mereka boleh duduk semeja untuk berunding. Kita boleh membantu, jika dikehendaki.

NGO-NGO Melayu/Islam yang besar-besar seperti Perkasa hendaklah menyatakan pendirian mereka: Apa yang mereka mahu? Mereka sepautnya menyokong kerjasama ini. NGO-NGO Melayu/Islam yang kecil-kecil eloklah membubarkan pertubuhan masing-masing atau bergabung sesama sendiri. Janganlah menubuh NGO hanya untuk cari makan.

Jika tidak ada commitment daripada pemimpin-pemimpin politik dan NGO Melayu/Islam, buatlah konvensyen, seminar, persidangan, multaqa, halaqah atau apa pun, tidak ada apa yang akan berlaku. Orang Cina tidak perlu membuat semua itu. Mereka hanya berpakat senyap-senyap. Mereka lebih pandai membuat perhitungan untung-rugi. Orang Melayu pandai buat kenduri. Kita perlu belajar dari orang Cina dalam hal ini.

Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin UMNO hendaklah sedar diri. Mereka perlu membersihkan diri dan kerajaan yang mereka terajui. Sebagai sebuah parti Melayu/Islam, UMNO berada di atas landasan yang betul. Yang merosakkan UMNO dan menyebabkan orang benci kepada UMNO adalah pemimpin-pemimpinnya.

PAS pula hendaklah keluar dari kotak “pemikiran Kelantan” dan “sindrom hudud”. Dalam keadaan sekarang, PAS hendaklah memberi tumpuan kepada isu pokok yang menghadapi orang Melayu/Islam, bukan kepada isu-isu yang diada-ada atau dibesar-besarkan, hanya untuk menarik undi dengan mudah dan murah.

Semua orang Melayu/Islam perlulah membuat keputusan setelah berfikir, bukan membuat keputusan kerana marah.

Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari laman web saya seperti di bawah.

Sekian. Terima kasih.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

43 visits