PENCAPAIAN TUAN GURU NIK AZIZ

PENCAPAIAN TUAN GURU NIK AZIZ
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Pencapaian Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat (Nik Aziz) yang paling besar adalah untuk PAS. Semasa beliau menerajui PAS, PAS dapat mengekalkan pemerintahannya di Kelantan selama tiga dekad dan mengembangkan pemerintahannya ke Kedah untuk satu penggal dan meluaskan pengaruh PAS ke seluruh negara.

Itu beliau lakukan atau ia berlaku demikian kerana imejnya sebagai “Tuan Guru” atau “Tok Guru” yang alim, warak dan dianggap hampir-hampir maksum. Kepada orang Melayu, amnya, seorang ulama itu mengetahui segala ilmu, termasuk hal-hal kenegaraan dan pemerintahan di abad ke-21 ini “mengikut Islam”. Sehinggakan, di kebelakangan ini, terdapat pula iklan-iklan seperti “tanyalah ustaz” dan program-program televisyen yang mengetengahkan “ustaz-uztaz” yang seolah-oleh mengetahui segala-segalanya dan boleh menjawab sebarang soalan mengenai semua masalah.

Orang Kelantan, walau pun yang berkelulusan PhD dari universiti di Eropah (dengan biasiswa Kerajaan Persekutuan) dan menjawat jawatan tinggi di Kementerian atau di Institusi Kerajaan Persekutuan atau ahli korporat dengan syarikat tidak patuh syariah, apatah lagi yang tinggal di kampung-kampung, lebih menghormati gelaran “Tuan Guru” atau “Tok Guru” daripada “Dato Bentara Setia” yang dianugerah oleh Sultan. Ini dapat dilihat daripada gelaran yang terletak di hadapan nama rasmi beliau: gelaran “Tuan Guru” diletak dihadapan gelaran “Dato Bentara Setia” yang dianugerahkan oleh DYMM Sultan Kelantan kepada Menteri Besarnya, bukan sebarang “Dato’. Kedudukannya seolah-olah sama dengan “Tengku”.

Ini kerana orang Kelantan sangat menghormati golongan ulama mereka lebih daripada profesional-profesional lain. Saya hanya boleh mengagak mengapa ia terjadi demikian. Pertama, sebelum Merdeka, orang Kelantan yang kebanyakannya tinggal di kampung-kampung dan mengaji pondok lebih mengetahui “Tok Guru” mereka daripada ahli-ahli professional lain yang hanya mula wujud kira-kira dua dekad selepas Merdeka.

Kedua, mereka diajar bahawa ulama adalah “waris-waris Nabi”. Apatah lagi bagi Tok-Tok Guru yang belajar di Mekah atau Mesir (sesuatu yang jarang berlaku pada masa itu), boleh berbahasa Arab, memakai jubah dan serban dan menyimpan janggut.

Ketiga, ulama-ulama itu dilihat mempunyai cara hidup dan akhlak yang bukan sahaja sesuai dengan ajaran Islam malah menyerupai Rasul Allah s.a.w.

Keempat, ulama-ulama itu mengetahui ilmu ghaib, mengenai dosa dan pahala, syurga dan neraka dan sepertinya.

Dengan imej seperti itu, kata-kata “Tok Guru”, termasuk dalam hal keduniaan, apatah lagi dalam hal-hal akhirat, diterima seperti “fatwanya” mengenai sesuatu hukum syarak.

Maka, beliau tidak perlu membawa pembangunan fizikal ke Kelantan untuk menang dan terus menang pilihanraya. Janji ganjaran pahala kerana “berjuang untuk menegakkan sebuah negara Islam” dan “melaksanakan syariah” (terutama sekali hudud) sudah cukup untuk mendapat penyokong setia sepanjang hayat.

Dalam rencana ini, kita hanya akan melihat pencapainnya yang zahir, di dunia ini, sebab hal-hal ghaib tidak ada sesiapa yang mengetahuinya. Malah, sama ada janji ganjaran pahala akan berlaku atau tidak hanya boleh diketahui selepas kita dibangkitkan semula di hari kiamat.

Seorang Ketua Pengarah di sebuah institusi Islam Kerajaan Persekutuan, anak Kelantan dari keluarga seorang Tok Guru yang masyhur di Kelantan sebelum Merdeka, dalam ceramahnya di Kelantan pernah bertanya, “Sekurang-kurangnya pemerintahan Dato’ Asri boleh menunjukkan Jambatan Sultan Yahya Petra sebagai pencapaiannya. Apa yang dicapai oleh pemerintahan Nik Aziz?”

Yang kita nampak ialah dahulu qariah dilarang mengambil bahagian dalam tilawah al-Quran. Larangan itu ditarik balik selepas lebih daripada dua dekad. Dalam tempoh itu, qariah-qariah dari negeri-negeri lain telah maju kehadapan dan menyamai, jika tidak mengambil alih, tempat yang sebelumnya hampir dimonopoli oleh qariah-qariah dari Kelantan.

Semasa melalui jalanraya di Kelantan, seperti yang kita lihat dalam perjalanan dari Jeddah ke Mekah, kita nampak papan-papan tanda bertulis “Allahu akbar”, “Subhanallah”, “Alhamdulillah” dan “Masya Allah” di tepi-tepi jalan!

Satu perkara yang dibesar-besarkan ialah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah ll 1993, yang jelas bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan itu.

Kelantan juga tidak boleh menunjukkan bahawa ia “lebih Islam” daripada negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia atau ia berjaya mencapai tahap yang lebih tinggi dalam maqasid Al-Syariah.

Retorik mengenai negara Islam dan hudud mungkin cukup untuk menarik undi, tetapi ia tidak cukup untuk mengisi perut. Maka, orang Kelantanlah yang paling banyak berhijrah ke negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia untuk mencari makan. Yang berkelulusan tinggi (hampir kesemuanya dengan biasiswa Kerajaan Persekutuan) mamenuhi kementerian, jabatan Kerajaan Persekutuan, university dan institusi yang ditubuh oleh Kerajaan Persekutuan. Yang lainnya bekerja di pasaraya sebagai jurujual, di syarikat swasta sebagai pemandu, penghantar surat dan lain-lain. Mereka juga berniaga sebagai pemborong-pemborong kecil atau membuka restoran.

Felda telah lebih awal dipenuhi oleh orang Kelantan.

Hampir kesemua orang Kelantan, tidak kira di mana mereka berada, tidak kira apa kedudukan dan kelulusan mereka, berfikir dalam kotak pemikiran Kelantan iaitu: Kelantan adalah Kelantan; Kelantan dahulu; serahkan semua bidangkuasa kehakiman kepada mahkamah syariah, keadilan akan tercapai; hudud adalah ukuran keislaman sesebuah negara, dan sebagainya.

Rakyat Kelantan yang berhijrah ke negeri-negeri lain itu akan pulang ke Kelantan berduyun-duyun untuk mengundi PAS apabila ada pilihanraya. Seorang veteran politik Kelantan yang pernah bertanding atas tiket BN dan PAS dan seorang profesor, anak Kelantan yang specialise mengenai demografi penduduk, menyatakan kepada saya bahawa, dalam PRU13, penyokong BN dan PAS di kalangan orang Kelantan yang tinggal di Kelantan, agak seimbang. Yang memberi sokongan padu kepada PAS dan penentu adalah ribuan pelajar Kelantan (yang hampir kesemuanya menikmati oleh biasiswa atau bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan) yang berada di universiti-universiti di luar negeri Kalantan, yang pulang mengundi dengan ratusan buah bas yang disewa oleh UMNO dan ribuan orang Kelantan yang bekerja atau mencari makan di luar Kelantan.

Anehnya, mereka pulang untuk mengundi PAS untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud. Tetapi, mereka tidak pula memilih untuk tinggal di negeri mereka yang sepatutnya “lebih Islam” itu. Sebaliknya, selepas mengundi mereka kembali semula ke negeri-negeri yang diperintah oleh parti “sekular, assabiah, taghut” dan lebih teruk lagi labelnya untuk meneruskan pelajaran, bekerja atau mencari makan. Mereka seolah-olah hanya pulang ke Kelantan untuk menempah ganjaran pahala di akhirat dan kembali semula ke negeri-negeri lain untuk mencari saraan hidup di dunia.

Sebenarnya, Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh UMNO itulah yang membantu mengekalkan pemerintahan PAS di Kelantan. Biar apa pun tohmahan yang dilemparkan terhadap UMNO, walaupun berulang-ulang kali UMNO ditolak oleh orang Kelantan, orang Kelantan tidak dipinggirkan atau dianaktirikan. Pelajar-pelajar Kelantan mendapat biasiswa atau bantuan seperti pelajar-pelajar dari negeri-negeri lain. Anak Kelantan tidak pernah didiskriminasikan sama ada untuk pengambilan atau kenaikan pangkat.

Seorang Ketua Jururawat memaklumkan saya bahawa pada suatu masa, semasa beliau menemuduga untuk pelantikan jururawat, mereka diarah untuk memberi keutamaan kepada calon-calon dari Pantai Timur. Mengikut seorang Ketua Jururawat lagi, selepas pengambilan itu, Kementerian Kesihatan sedar bahawa mutu kejurawatan telah menurun disebabkan oleh sikap mereka.

Perkhidmatan Jabatan Persekutuan seperti sekolah, hospital dan lain-lain di negeri Kelantan berjalan seperti di negeri-negeri lain. Apabila berlaku banjir besar di Kelantan beberapa tahun lalu, Kerajaan Persekutuanlah yang lebih banyak membantu. Seorang pemimpin NGO memberitahu saya, persatuannya mengutip sumbangan bernilai berjuta-juta ringgit dan mengagihkannya tanpa mengira sama ada mangsa itu penyokong UMNO atau PAS. Bantuan daripada PAS bukan sahaja sedikit, tiba lewat dan hanya diberikan kepada penyokong-penyokong PAS.

Satu perkara yang diputarbelitkan atau tersalah-faham dan dipolitikkan untuk memburukkan Kerajaan Persekutuan ialah mengenai royalti petroleum. Sebenarnya Kelantan (dan juga Terengganu) tidak berhak di sisi undang-undang untuk mendapat royalti itu, setakat ini. Ini kerana:

1. Perjanjian untuk membayar royalti itu adalah di antara Petronas dengan Kerajaan setiap Negeri di Semenanjung Malaysia, BUKAN di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri-Negeri itu. Jadi, jika kena bayar pun, yang kena bayar adalah Petronas, bukan Kerajaan Persekutuan.

2. Perjanjian itu menghendaki Petronas membayar royalti kepada negeri berkenaan jika hasil petroleum dikeluarkan oleh Petronas dari telaga minyak yang terletak di dalam negeri itu.

3. Setakat ini tidak ada sebuah telaga minyak pun yang terletak di dalam mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia, termasuk perairan negeri-negeri itu. (Perairan sesebuah negeri itu adalah “…….bahagian laut itu yang berdampingan dengan pantai wilayah itu tidak melebihi 3 batu nautika diukur dari garis air surut.” Ini diperuntukkan oleh Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) (sebelumnya Ordinan No. 7 of 1969). (Undang-undang antarabangsa tidak terpakai kepada negeri seperti Kelantan. Ia terpakai kepada negara seperti Malaysia.) Telaga minyak yang paling dekat dengan negeri Kelantan ialah Bintang Field yang terletak sejauh 53.9 batu nautica diukur daripada garis air surut pantai negeri Kelantan.

Sesiapa yang tidak berpuas hati boleh mengukurnya. Dengan peralatan canggih yang ada sekarang, ia bukanlah suatu perkara yang sukar untuk dilakukan.

(Ini pendapat saya berdasarkan fakta yang ada pada saya. Mahkamah mungkin mempunyai pendapat yang berlainan, berdasarkan fakta dan undang-undang yang dikemukakan kepadanya.)

Saya berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan telah membuat kesilapan membayar kepada Terengganu yang difahami sebagai royalty dan, setelah Kelantan turut menuntut, membayar pula kepada Kelantan atas nama “wang ihsan” dengan cara bayaran yang berlainan. Ini memberi peluang kepada PAS untuk menuduh Kerajaan Persekutuan (khususnya UMNO) zalim dan sebagainya. Bukan sahaja orang ramai, malah pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin-pemimpin UMNO, terutama sekali yang datang dari Kelantan dan Trengganu pun, turut mempercayainya. Ia meletakkan UMNO dan Kerajaan Persekutuan dalam keadaan yang sukar dipertahankan.

Sehingga sekarang, bayaran itu masih terus dibuat. Di Kelantan ia disalurkan pula melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu. Biar apa pun, orang Kelantan terus menikmatinya sambil tidak berpuashati mengenainya dan selama itulah ia akan terus menjadi satu faktor untuk mereka terus mengundi PAS kerana “kezaliman UMNO.”

Nik Aziz mungkin jujur dalam perjuangannya untuk menegakkan sebuah negara Islam (yang bagaimana bentuknya secara terperinci, mengambil kira keadaan di milinium ini, tidak diketahui), tetapi itu bukanlah ukuran pencapaian seseorang. Ho Chi Minh dan Pol Pot juga mungkin jujur dalam perjuangan mereka untuk menegakkan negara sosialis. Tetapi apakah pencapaian mereka atau akibatnya? Pencapaian Nik Aziz adalah lebih untuk PAS daripada untuk negeri Kelantan yang diperintah PAS selama lebih kurang setengah abad itu. Beliau tidak boleh dipanggil “Bapa Pembangunan Kelantan”. Jika negeri Kelantan turut membangun (walaupun lebih perlahan daripada negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia), ia bukanlah kerana Nik Aziz atau PAS. Anehnya, ia adalah kerana sumbangan musuh ketat politik PAS, iaitu UMNO, yang menerajui Kerajaan Persekutuan.

Rakyat negeri Kelantan juga turut maju, bukan kerana Nik Aziz, PAS atau Kerajaan Kelantan, tetapi lebih kerana rakyat Kelantan menerima nikmat rancangan dan bantuan Kerajaan Persekutuan sama seperti rakyat negeri-negeri lain. Dalam analisis terakhir, Nik Aziz melalui wataknya, ketokohannya dan janji-janji ganjaran pahala yang diberinya, menyebabkan pengundi menyokong PAS. Pemerintahan PAS di negeri Kelantan dapat kekal kerana sumbangan Kerajaan Persekutuan. Negeri Kelantan turut membangun (walaupun lebih perlahan daripada negeri-negeri lain) dan rakyat Kelantan turut maju kerana keduanya mendapat manfaat daripada rancangan dan bantuan Kerajaan Persekutuan.

Pemimpin-pemimpin PAS dan rakyat negeri Kelantan sepatutnya berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin UMNO. Mungkinkah pemimpin-pemimpin UMNO akan mendapat ganjaran pahala kerana kesabaran mereka menahan tohmahan dan terus memberi bantuan kewangan kepada negeri, kerajaan dan rakyat Kelantan? Sebaliknya, mungkinkah pemimpin-pemimpin PAS pula berdosa kerana membuat tohmahan-tomahan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO? Wallahu a’lam.

24 05 2017

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

1,337 visits