PRN MELAKA DAN JOHOR PETUNJUK PENGUNDIAN MELAYU DALAM PRU15

PRN MELAKA DAN JOHOR PETUNJUK PENGUNDIAN MELAYU DALAM PRU15

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Jika keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan mengenai pendirian orang Melayu pada masa ini terhadap parti-parti politik di Malaysia, keputusan PRN Johor mengesahkan apa yang ditunjuk oleh keputusan PRN Melaka itu.

Melihat bilangan parti-parti yang mengharapkan undi orang Melayu dan bilangan calon-calon Melayu yang bertanding di sesuatu kawasan yang lebih ramai daripada di Melaka itu, amat mengecewakan. Ia menunjukkan pemimpin-pemimpin parti-parti Malay based itu langsung tidak kisah jika tindakan mereka akan memberi kemenangan semula kepada Pakatan Harapan dan apa akan terjadi kepada orang Melayu/Islam. Yang menjadi pertimbangan hanyalah kepentingan parti dan diri.

Nasib baiklah kebanyakan orang Melayu menyedari bahaya perpecahan undi Melayu itu dan memberi sokongan kepada satu parti Malay based iaitu UMNO, dengan itu mengelak kemenangan Pakatan Harapan.

Kita lihat keputusannya dahulu. Daripada jumlah 56 kerusi yang dipertandingkan BN memenangi 40 kerusi (71.4%) iaitu UMNO 33 kerusi, MCA 4 kerusi dan MIC 3 kerusi. Pakatan Harapan memenangi 11 kerusi iaitu DAP 10 kerusi dan Amanah satu kerusi (termasuk PKR satu kerusi menjadi 12 kerusi (21.4%)). Perikatan Nasional memperolehi 3 kerusi (5.3%) iaitu Bersatu 2 kerusi dan Pas satu kerusi. Muda cuma memperolehi satu kerusi (1.7%). Pejuang, Warisan, Putra, Parti Bangsa Malaysia, Parti Sosialis Malaysia dan calon-calon bebas tidak memenangi satu kerusi pun.

Kedudukan ini boleh dikatakan sebagai ulangan kedudukan di Melaka di mana daripada 28 kerusi yang dipertandingkan BN memenangi 21 kerusi (75%) iaitu UMNO 18 kerusi, MCA 2 kerusi dan MIC satu kerusi. Pakatan Harapan memenangi 5 kerusi (23.8%) iaitu DAP 4 kerusi dan Amanah satu kerusi. PKR tidak memenangi satu kerusi pun. Perikatan Nasional memenangi 3 kerusi (14.2%) iaitu Bersatu 3 kerusi manakala Pas tidak memenangi satu kerusi pun. Parti-parti lain dan calon-calon bebas tidak memenangi satu kerusi pun.

Keputusan PRN Johor sekali lagi menunjukkan bahawa sebahagian besar pengundi-pengundi Melayu, terutama sekali yang bakal mengundi UMNO/BN, yang telah lari dan mengundi Pakatan Harapan dalam PRU 14 (2018), telah kembali mengundi UMNO/BN semula. Itu bukan bererti mereka telah memaafkan pemimpin-pemimpin UMNO yang korup, tetapi kerana mereka betul-betul serik dengan Pakatan Harapan dan penyokong-penyokongnya. Saya percaya pendirian ini serupa di negeri-negeri lain di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu.

Bagi Pakatan Harapan, yang tinggal kepadanya hanyalah undi orang-orang Cina yang setia kepada DAP. Sebilangan pengundi-pengundi Cina juga telah kembali kepada BN. Pengundi-pengundi India yang dijanjikan akan menjadi jutawan oleh Hindraf apabila mereka menang kes di England telah menyedari di mana nasib mereka telah bergantung semenjak Merdeka, juga telah kembali semula kepada BN. Maka MCA dan MIC yang pada suatu masa mengancam keluar daripada BN pun tentu tidak berfikir untuk berbuat demikian lagi. PPP telah pi (kata orang Utara) dan tidak kedengaran lagi. Gerakan yang dengan angkuhnya keluar dari BN cuba mendekatinya semula. Apabila tidak diterima ia menyertai Perikatan Nasional bersama-sama Bersatu. Nasibnya dapat dilihat sekarang.

Keserikan orang Melayu dengan Pakatan Harapan turut dirasai parti-parti Malay based dalam Pakatan Harapan. Paling dirasai akibatnya ialah PKR yang tidak mendapat satu kerusi pun di Melaka dan hanya satu kerusi di Johor. Kemenangannya di Johor itu pun adalah dalam pertandingan empat penjuru di kawasan majoriti Cina di mana semua calon-calon adalah bukan Melayu dengan mengalahkan calon BN daripada MIC dengan majoriti 137 undi. Ia hanyalah satu fluke (kebetulan). Saya percaya PKR akan lebih berjaya terutama sekali di kawasan Melayu jika ia tidak berada dalam Pakatan Harapan.

Berdasarkan dua PRN ini,  dalam PRU15 kelak kawasan-kawasan majoriti Cina manakah yang akan diberi kepada keluarga Presiden PKR dan sanggupkah DAP  memberinya? Saya fikir keputusan di dua PRN itu adalah petunjuk bahawa cita-cita seumur hidup Presiden PKR itu tidaklah akan tercapai dalam PRU15 ini. Saya fikir sudahlah tiba masanya bagi beliau menerima hakikat itu sebagai takdir dan bersara daripada politik.

Saya tidak fikir Amanah boleh mengharapkan undi Melayu untuk menang. Orang Melayu melihatnya sebagai boneka DAP. Saya tidak fikir ia boleh kekal lama.

Dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini kita telah melihat sejarah Bersatu yang sangat menarik. Ia lahir dengan gagahnya, mencabar UMNO yang dikuasai pemimpin-pemimpin yang korup, mewujudkan gabungan yang menjatuhkan karajaan BN yang berkuasa selama 60 tahun.

Tidak sampai dua tahun, Bersatu berpecah, menyebabkan jatuhnya Kerajaan Pakatan Harapan. Tidak sampai dua tahun selepas itu, Pejuang-Tun Dr Mahathir yang tidak memenangi satu kerusi pun jelas sedang menuju ke akhir sejarahnya.

Dalam rencana saya bertajuk  “Pembahagian Kawasan Pilihan Raya Antara Parti-Parti Komponen PN Dalam PRU15” (22 06 2020) saya telah menelah “… jika Bersatu bertanding sendiri dalam PRU15 di kawasan-kawasan yang dimenanginya dalam PRU14 dan UMNO dan PAS mengelak bertanding sesama sendiri, saya yakin Bersatu tidak boleh menang lebih daripada bilangan jari sebelah tangan, mungkin tidak langsung.”

Saya mengulanginya dalam rencana bertajuk “TS Muhyiddin Kembali Kepada UMNO: Sokongan Terhadap Cadangan DS Nazri Aziz” (09 07 2020), Jika Bersatu bertanding sendiri dalam PRU15, ia akan terkubur.”

Tidak sampai dua tahun kemudian, dalam PRN Johor, negeri TS Muhyiddin sendiri, walaupun bersama-sama Pas yang selepas PRU14 mendabik dada sebagai pengganti UMNO, bilangan kerusi yang Bersatu menangi hanyalah dua kerusi.

Ingat kembali, selepas PRU14, Tun Dr Mahathir telah berusaha untuk menarik Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu dan menjadikan Bersatu pengganti UMNO. Sebilangan Ahli-Ahli Parlimen dan bekas-bekas Menteri kanan di era-Mahathir meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu. Tun Dr. Mahathir dengan yakin melaungkan bahawa UMNO akan terkubur. Menteri-menteri kanan di era-Najib yang menang atas tiket UMNO/BN juga hanya menunggu masa yang sesuai untuk menyeberang hinggalah Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands mengubah fikiran mereka.

Hari ini, mereka tentu berterima kasih kerana nasib mereka yang baik. Bagaimana dengan mereka yang telah menyeberang kepada Bersatu? Antara mereka ialah DS Mustapa Mohamed. Mungkin beliau akan terpaksa berdepan dengan Dato’ Asyraf Wajdi, Ketua Pemuda UMNO, di Jeli. Biar apa pun yang akan terjadi kepada DS Hamzah Zainuddin, beliau telah berjasa kepada bangsa Melayu kerana menjatuhkan Pakatan Harapan. Beliau patut kembali kepada UMNO sebelum PRU15 dan diterima dengan tangan terbuka dan diberi pengecualian untuk bertanding semula atas tiket UMNO/BN. Sebelum itu mungkin beliau boleh berbuat satu perkara lagi: bubarkan Bersatu.

TS Muhyiddin pula eloklan bersara. Beliau boleh diingati kerana jasanya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan dan Tun Dr Mahathir daripada manjadi Perdana Menteri dan membuka jalan bagi UMNO/BN berkuasa semula.

Pas, setelah menandatangani Muafakat Nasional, lebih terpikat dengan Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Pakatan Harapan, saya percaya kerana wang ihsan petroleum. Selepas jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan dan TS Muhyiddin menjadi Perdana Menteri faktor wang ihsan petroleum dan pemberian jawatan dalam Kabinet dan GLC manakala Presidennya DS Haji Abdul Hadi Awang dilantik menjadi Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf Menteri (tidak tahu apa yang dibuatnya) telah menjadikan Pas  lebih rapat kepada Bersatu dan semakin renggang daripada UMNO. Apa yang dapat diberi oleh UMNO? Pukulan terakhir ialah apabila Pas menyertai Perikatan Nasional sebagai salah satu parti komponennya, dengan itu menguburkan Muafakat Nasional.

Ia menyertai PRN Melaka atas tiket Perikatan Nasional dengan penuh keyakinan tetapi adalah nyata bahawa tahaluf siasinya salah lagi. Adakah ia akan terus berganding dengan Bersatu lagi dalam PRU15? Saya tidak  hairan jika, selepas dua PRN itu, UMNO pula yang jual mahal. Jika UMNO masih bersedia bekerjasama sekalipun, UMNO tentu tidak semudah sebelum dua PRN itu untuk menyerah kawasan Parlimen dan DUN kepada Pas. Jangan-jangan selepas PRU15 Pas hanya tinggal Kelantan, itu pun dengan bilangan kerusi yang berkurangan. Pada pandangan saya PRU15 akan menyaksikan Kedah kembali kepada BN manakala Bersatu, Pejuang, PKR dan Amanah akan terkubur.

Tidak boleh dinafikan bahawa UMNO telah membuat kepusan yang betul dalam memasuki dua PRN itu secara bersendirian. Tindakan itu memberi peluang kepadanya untuk menguji kekuatannya dan ia berjaya. Kita patut mengucap tahniah kepada pemimpin-pemimpin UMNO dalam hal ini.

Tetapi kejayaan mereka adalah kerana sokongan orang Melayu yang rata-rata amat serik dengan Pakatan Harapan dan masih sayangkan UMNO. UMNO terhutang budi kepada orang Melayu, bukan sebaliknya. UMNO janganlah take it for granted. Pemimpin-pemimpin UMNO janganlah mula angkuh dan kembali kepada sikap dan amalan sebelum PRU14. Mereka mestilah ingat bahawa pengundi-pengundi Melayu tidak memaafkan amalan korup mereka sebelum PRU14. Orang Melayu memberi kuasa semula kepada mereka di dua buah negeri itu dan akan memerhati apa yang mereka lakukan.

Adalah lebih menguntungkan UMNO/BN jika PRU15 diadakan segara. Perdana Menteri DS Ismail Sabri patut mula berfikir dengan serius untuk menasihatkan SPB Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen bagi membolehkam PRU15 diadakan. Beliau hendaklah mengenepikan kepentingan diri seperti takut tidak akan menjadi Perdana Menteri lagi selepas PRU15. Biarlah parti dan SPB Yang di-Pertuan Agong menentukannya.

Apa yang lebih penting ialah, janganlah setelah melihat UMNO telah kuat kembali, pemimpin-pemimpin UMNO berebut kuasa semula. Saya ulangi apa yang saya katakan dalam rencana saya “Keputusan PRN Melaka: Pengajaran Kepada Parti-Parti Melayu Dalam PRU15” (22 11 2022) “…orang Melayu masih mahukan UMNO tetapi mereka mahu UMNO berubah.” Orang Melayu mahukan UMNO yang bersih daripada amalan korup pemimpin-pemimpinnya.

Bagi mereka yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah, adalah lebih elok jika mereka lie low terlebih dahulu sehingga mahkamah tertinggi membebaskan mereka daripada semua pertuduhan. Sehingga mereka dibersihkan, mereka tidak sepatutnya bertanding dalam PRU15 atau duduk dalam Kerajaan, jika menang sekalipun. Ini soal  imej parti dan negara.

Mereka juga tidak sepatutnya menggunakan kemenangan pilihan raya untuk Pendakwa Raya menarik balik pertuduhan (seperti yang dilakukan semasa pemerintahan Pakatan Harapan) atau mendapat pengampunan, jika didapati bersalah, seperti dalam kes DS Anwar Ibrahim (juga semasa pemerintahan Pakatan Harapan). Diharapkan Lembaga Pengampunan tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi. – Sila baca rencana-rencana saya bertajuk “Pengampunan Dato’ Sri Anwar Ibrahim Atas Dasar Apa?” (12 05 2018), “Kuasa Pengampunan” (13 05 2018) dan “Pengampunan Dato’ Seri Anwar Dan Keadilan kepada Saiful” (14 05 2018) dan “Power Over Justice” (31 08 2018). (Kesemuanya boleh didapati dalam laman web saya.)

Akhir kata, satu perkara yang patut dipuji ialah istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar tidak diadakan pada malam kiraan undi itu juga seperti yang dilakukan di beberapa buah negeri. Ia memberi gambaran seolah-olah ahli-ahli yang berhormat itu, yang bertanding dan menang atas tiket partinya, tidak boleh dipercayai walaupun untuk satu malam, khuatir mereka akan melompat parti. Bahawa terdapat majoriti kecil atau besar bukanlah pertimbangannya. Ini soal kestiaan kepada parti dan maruah diri. Pihak istana tidak sepatutnya melayan cubaan berbuat demikian. Kehormatan Raja mestilah dijaga.

15 03 2022

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

44 visits