UCAPAN DI MAJLIS PELANCARAN BUKU “KONFLIK DAN PENGHARMONIAN”

UCAPAN DI MAJLIS PELANCARAN BUKU “KONFLIK DAN PENGHARMONIAN”
8 Disember 2016
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Berada di penghujung jalan, memandang ke belakang, yang kelihatan hanyalah suratan takdir.

Ditakdirkan Allah s.w.t., datuk nenek YABhg Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi dan datuk nenek saya yang berasal dari Pattani itu berpindah ke satu kawasan di Seberang Perai Utara yang kemudiannya dikenali sebagai Kepala Batas.

Ditakdirkan Allah s.w.t. bahawa, pada masa orang menghantar anak-anak mereka ke sekolah Arab atau pondok selepas tamat sekolah Melayu, kami dihantar ke sekolah Inggeris yang membolehkan kami melanjutkan pelajaran kami hingga ke universiti.

Ditakdirkan Allah s.w.t., ayahanda Tun Abdullah adalah salah seorang penjamin Biasiswa Persekutuan saya untuk ke Universiti Singapura untuk mengikuti kursus undang-undang. Seorang lagi adalah Tuan Haji Ahmad Tuan Hussain. Saya percaya bahawa keberkatan daripada dua orang ulama’ itu adalah antara faktor yang membawa kejayaan saya dalam bidang perundangan.

Ditakdirkan Allah s.w.t., di kemuncak kerjaya kami, kami bertemu sebagai Ketua Eksekutif dan Ketua Badan Kehakiman. Saya masih ingat, selepas saya mengangkat sumpah menjadi Ketua Hakim Negara di Istana Negara, Tun Abdullah datang kepada saya untuk mengucap tahniah kepada saya. Pada masa itu saya berkata kepada beliau, “Hari ini kita mencipta satu sejarah. Ia tidak akan berlaku lagi dalam sejarah Malaysia.” Beliau diam dan saya meneruskan, “Dua orang anak Kepala Batas menjadi Ketua Eksekutif dan Ketua Badan Kehakiman pada masa yang sama.”

Hari ini, sekali lagi kita melihat takdir Allah s.w.t. berlaku. Pada masa kami sama-sama telah bersara dan semasa kami (jika saya boleh menyebutnya, Tun) berada di penghujung jalan, Allah s.w.t. menemukan kami sekali lagi. Kali ini beliau akan melancarkan buku saya yang bertajuk “Konflik dan Pengharmonian” yang diterbitkan oleh IKIM. Terima kasih, Tun.

Bahawa semua ini berlaku di IKIM memanglah sesuai. Tun Abdullah adalah Pengerusi IKIM dan IKIM adalah penerbit buku saya ini. Selain daripada itu, saya telah membentang kertas kerja di IKIM semenjak tahun 1998.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Jika ada satu bidang undang-undang yang penting dan banyak saya menulis mengenainyanya, baik dalam penghakiman, ucapan, kuliah atau kertas kerja, ia adalah mengenai konflik bidangkuasa antara Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah dan pengharmonian undang-undang sivil dengan hukum syarak (Saya menggunakan ungkapan “hukum syarak” seperti yang biasa digunakan di Malaysia yang termasuk fiqh atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut sebagai “Islamic law”.

Berkenaan konflik bidang kuasa, perlu disebut bahawa, ia bukanlah satu perkara yang dijangka oleh penggubal Perlembagaan kita. Pada masa itu, di kebanyakan negeri belum ada Mahkamah Syariah seperti hari ini. Selepas Merdeka pun, kesalahan-kesalahan yang diberi kepada Mahkaman Syariah, sebagai mahkamah negeri, terhad kepada kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan “precepts of Islam” sedangkan undang-undang jenayah terletak di bawah bidangkuada Kerajaan Persekutuan. Mengenai undang-undang mal (civil) pula apa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah adalah berkenaan undang-undang diri (personal law).

Tiada sesiapa menduga akan timbul kes-kes di mana pihak-pihak yang terlibat termasuk orang bukan Islam. Tiada siapa terfikir bahawa dalam kes di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah, akan timbul isu-isu yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil dan ada yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tiada siapa terfikir bahawa akan timbul isu keperlembagaan dalam kes di Mahkamah Syariah sedangkan tafsiran perlembagaan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil? Tidak siapa terfikir bahawa akan ada negeri yang akan melanggar sempadan bidang kuasa dan membuat undang-undang dalam perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Masalah ini menjadi lebih buruk kerana ada pihak yang tidak dapat menerima hakikat bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah, sebagai mahkamah negeri, adalah lebih terhad daripada bidang kuasa Mahkamah Sivil dan mereka mahu menambahnya, malah, jika boleh mengambil alih Mahkamah Sivil, atas nama Islam.

Seawal tahun 1991, semasa saya baru setahun dilantik menjagi Pesuruhjaya Kehakiman, saya sudah terpaksa bergelut dengan isu konflik bidangkuasa dalam kes Dalip Kaur. (Saman Pemula No. 24-795-91). Saya terus berhadapan dengan masalah itu sehinggalah saya menjadi Ketua Hakim Negara. Penghakiman saya yang terakhir adalah juga mengenainya. (Lihat Sulaiman Takrib (2009) 2 CLJ 54.

Dalam tahun 1994 (13 September 1994) saya mencadangkan cara mengatasi masalah ini. Lihat Tan Kim Luan [1995] 1 CLJ 323. Pertama, gabungkan kedua-dua mahkamah itu. Kedua, jika isu syariah timbul di Mahkamah Sivil, dapatkan seorang hakim syariah untuk bersidang bersama-sama hakim Mahkamah Sivil. (Jika hendak tahu dengan lebih mendalam, sila beli dan baca buku ini!)

Mengenai pengharmonian undang-undang pula. Masalahnya ialah, “Those who know Islamic law, do not know civil law. Those who know civil law do not know Islamic law. And those who think they know both, have never practised law.” (Saya akui, dikebelakangan ini keadaan ini semakin bertambah baik.) Maka, terpahatlah dalam fikiran orang Islam dan bukan Islam bahawa undang-undang Islam (Islamic law) dan undang-undang sivil adalah ibarat Timur dan Barat yang tidak mungkin bertemu. Tetapi, mereka lupa bahawa dunia ini bulat, timur dan barat terletak di kiri dan di kanan atau di hadapan dan di belakang kita sendiri tertakluk kepada arah mana kita menghadap. Diri kita adalah tempat pertemuannya.

Mereka tidak tahu bahawa mengikut satu kajian di Pakistan di awal tahun 1980an, hanya lebih kurang 10 peratus undang-undang yang berdasarkan common law England seperti Malaysia, yang bercanggah dengan syariah. Demikian juga anggaran Prof Hashim Kamali dan saya mengenai kedudukan di Malaysia.

Mereka terkejut apabila kita sebut bahawa mengikut David Mousa Pidcock dalam pengenalannya dalam buku Napoleon and Islam, bahawa 97 peratus Code Napoleon yang menjadi asas undang-undang Eropah datangnya daripada fatwa Imam Malik.

Saya sendiri terkejut apabila mendapati bahawa doktrin promissory estoppel yang diketengahkan oleh Lord Denning di pertengahan abad ke 20 (Lihat Central Property Trust Ltd v High Trees House Ltd [1947] KB 130 dan Inwards v Baker (1965) 2 QB 29) adalah sama dengan prinsip “wa’ad” yang telah wujud lebih daripada 1,000 tahun dalam jurisprudensi Islam itu. Mengapa Lord Denning yang menjadi wira mengketengahkannya atas nama “promissory estoppel” atau “equitable estoppel” dan bukan orang Islam atas nama wa’ad? Itu salah kita sendiri.

Walau bagaimana pun sekarang prinsip wa’ad digunakan dengan meluas dalam perbankan dan kewangan Islam.

Kita sendiri lupa bahawa dalam menggubal Enakmen Acara Jenayah, Enakmen Acara Sivil dan lain-lain untuk dipakai di Mahkamah Syariah, kita mengambilnya daripada acara-acara yang dipakai di Mahkamah Sivil. Peruntukan-peruntukan yang sama, dengan pengubahsuaian yang perlu telah menjadikannya “syari’ah”.

Dalam tahun 2002, apabila seorang calon PhD. dari Universiti Istanbul datang untuk menemubual saya untuk tesis Kedoktorannya, soalan pertama beliau kepada saya ialah “What is your definition of Islamic law?” Saya jawab, “Any law that is not unislamic.” Apabila beliau pulang ke Istanbul, beliau menghantar satu email kepada saya. Antara lain katanya, “How I wish that our ulamas are as broadminded as you are.” Saya jawab ,”The point is I am not an ulama.”

Saya menceritakan kisah itu dalam ucapan saya di satu seminar di Kuala Lumpur. Reaksi perserta adalah seolah-olah itu adalah jawapan seorang yang jahil syari’ah.

Kemudian, saya menceritakan hal yang sama kepada sekumpulan cendikiawan dari empat benua. Mereka ketawa secara sepontan. Selepas ketawa itu reda, Prof. Tahir Mahmud dari New Delhi datang kepada saya. Beliau berkata, “Actually, there is a lot of truth in your definition, you know.”

Selepas itu, saya ulangi lagi dalam kuliah Abd Razzaq Al-Sanhouri di Universiti Harvard. Tidak lama kemudian, saya bertemu dengan seorang warga Amerika Syarikat keturunan Eropah, beragama Islam di satu seminar kewangan Islam di Kuala Lumpur. Apabila saya menyebut nama saya semasa memperkenalkan diri saya, beliau terus berkata, “Oh, you are the one.” Saya tanya , “What wrong have I done?” Beliau menjawab “I am quoting you.” Saya tanya lagi, “What have I said that is worth quoting?” Beliau menjawab “Any law that is not unislamic is Islamic.”

Dipendekkan cerita, suatu hari, Dr. Adnan Trakic, keturunan Bosnia, dari Monash University Malaysia, yang menghadiri satu persidangan kewangan Islam menghantar email kepada saya, katanya, “Participants have been quoting your definition of Islamic law the whole afternoon.”

Nampaknya, perlahan-lahan takrifan saya itu diterima. Sebenarnya itulah asas pengharmonian yang dilakukan oleh Abd Razzaq Al-Sanhouri di Mesir, oleh kita di Malaysia dan oleh Brunei, yang saya berkesempatan duduk dalam jawatankuasa penyesuaian undang-undangnya.

Itu jugalah yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pengharmonian Undang-Undang Bank Negara yang saya pernah memperngerusikannya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Hari ini mungkin kali terakhir Tun Abdullah dan saya hadir dalam majlis yang sama. Jika itulah takdirNya pun, saya gembira. Saya gembira kerana dapat bersama-sama beliau dalam majlis ini. Sekali lagi, terima kasih, Tun.

Saya berterima kasih kepada IKIM dan Dr. Shamrahayu kerana telah menjadikan pembukuan penulisan saya ini satu kenyataan. Sekurang-kurangnya ia akan menjadi bukti apa yang saya telah lakukan. Ia adalah peninggalan saya untuk semua. Saya harap mereka akan memanfaatkannya, jika ada manfaat daripadanya.

Terima kasih.

[email protected]
http//:www.tunabdulhamid.my
https//:tunabdulhamid.me

79 visits