TERIMA KASIH MALAYSIA

Majlis Konvokesyen
Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-42

Teks Ucapan Balas
YABhg. Tun Abdul Hamid Bin Haji Mohamad
Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang

Sabtu, 1 November 2014
9.00 Pagi

Dewan Canselor Tun Abdul Razak
(DECTAR)
(Sidang 1)


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia,

Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud,

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

Patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada patik dalam Majlis Konvokesyen, Ke-42 Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ampun Tuanku,

Patik memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdua untuk patik mengalu-alukan hadirin sekalian dan meneruskan ucapan patik.

Ampun Tuanku,

Mengadap Yang Teramat Mulia,
Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Panglima Besar Kedah, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Pro-Canselor UKM,

Patik dengan segala hormat dan takzimnya merafak sembah menjunjung setinggi kasih atas keberangkatan Yang Teramat Mulia Tunku Pro-Canselor Ke Majlis Majlis Konvokesyen UKM ke-42 ini,

Ampun Tunku,

Yang Berbahagia,
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Zawawi Ismail
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti,

Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti,

Naib Canselor Institusi Pengajian Tinggi,

Timbalan-timbalan Naib Canselor,

Ahli-ahli Senat, Akademik dan warga Universiti,

Dif-dif Kehormat,

Para ibu bapa serta graduan yang diraikan.

Satu perbezaan di antara saya dengan kebanyakan graduan-graduan dalam majlis ini ialah, selepas menerima ijazah, mereka akan mencari kerja dan berkerja manakala saya menerima ijazah setelah saya bersara. Ertinya saya telah melalui apa yang mereka akan lalui. Oleh itu, mungkin saya boleh dimaafkan jika saya mengambil kesempatan ini untuk memberi hanya satu pesanan.

Beberapa tahun lepas, semasa saya berada di The Hague, Negeri Belanda, saya terserempak dengan seorang perempuan rakyat Negri Belanda keturunan Cina yang lebih kurang sama umur dengan saya. Beliu bertanya saya dalam Bahasa Inggeris sama ada saya datang dari Indonesia. Saya jawab dalam Bahasa Inggeris, “Dari Malaysia”. “Sama juga, serumpun” jawabnya dalam Bahasa Indonesia dan terus berbual dalam Bahasa Indonesia yang sangat baik walau pun beliau telah berpindah ke Negeri Belanda lebih daripada 40 tahun. Antara kata-katanya, “Kita mesti berbangga dengan bahasa kita sendiri.” Demikian juga dengan pendatang, haram atau tidak haram, yang membajiri negara kita. Biar bagaimana miskin atau susahnya mereka sekali pun, cuba perlekehkan negara mereka, lihatlah bagaimana reaksi mereka. Rakyat Singapura berbangga meminum Newater yang dibuat daripada air buangan.

Bagaimana dengan rakyat Malaysia? Daripada pemerhatian saya, terdapat sebahagian daripada rakyat Malaysia, daripada yang kaya raya dan berjawatan tinggi hingga kepada yang berkedudukan di pertengahan dan lebih rendah, yang hanya mangganggap Malaysia sebagai tempat mengaut kekayan, mencari kesenangan atau mencari makan. Mereka sedikit pun tidak mempunyai perasaan sayang atau bangga dengan negara mereka, malah memperlekehkan Malaysia semasa di luar negara. Kebanyakan rakyat Malaysia mengharapkan segala-galanya diberi tetapi tidak tahu berterima kasih.

Hari ini, saudara saudari menerima ijazah masing-masing. Memang sepatutnya saudara saudari bergembira dengan kejayaan masing-masing dan saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara saudari. Tetapi, pada masa yang sama, saya harap saudara saudari tidak lupa bahawa di samping usaha masing-masing, ada banyak faktor lain, termasuk apa yang disediakan oleh Kerajaan, yang membolehkan saudara-saudari mencapai kejayaan itu.

Maka, setelah menerima ijazah masing-masing, eloklah bertafakur sejenak, bersyukurlah mengikut cara agama masing-masing dan, sekurang-kurangnya, ingatlah di dalam hati, “Terima kasih Malaysia.” Para ibu bapa juga patut berbuat demikian. Kita tidak sedar bagaimana bertuahnya kita berada di bumi Malaysia ini sehingga kita melihat dan merasai sendiri keadaan di negara-negara lain.

Oleh itu, sama-samalah kita sayangkan dan berbangga dengan negara kita. Sama-samalah kita kekalkan ketenteraman dan keamanan yang kita nikmati selama ini. Sama-samalah kita menghormati peruntukan-peruntukan Perlembagan kita. Dan, sama-samalah kita bina kemakmuran negara kita untuk dinikmati bersama.

Ampun Tuanku,

Demikianlah sahaja ucapan patik. Patik sekali lagi merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada patik.

Patik sekalian mendoakan semoga Allah S.W.T. melanjutkan usia zaman Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, serta Putera-Putera di dalam keadaan sihat walafiat dan kekal memerintah di atas takhta kerajaan Negeri Sembilan dengan penuh keadilan dan kebijaksanaan.

Menjunjung kasih Tuanku.

Sekian.

Wabilahitaufik walhidayahh wassalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh.

112 visits