KES WAN JI: BERHATI-HATI MEMBUAT KOMEN

KES WAN JI: BERHATI-HATI MEMBUAT KOMEN

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Tiba-tiba Wan Ji Wan Hussin (Wan Ji) menarik perhatian ramai apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DS Anwar) berkata hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadapnya terlalu keras dan “sesuatu yang malang”.

Ia diikuti oleh kenyataan yang ditandatangani oleh Ketua Pemuda Bersatu (seorang Menteri), DAP, PKR dan Amanah yang, antara lain, menyeru supaya beliau dilepaskan (released). Badan-badan hak asasi manusia, NGO-NGO dan individu-individu juga turut mengecam hukuman terebut sebagai terlalu berat, menuntut Akta Hasutan 1948 dimansuhkan dan menuntut Peguam Negara, lebih tepat, Pendakwa Raya (PR), memberi penjelasan mengapa PR merayu terhadap hukuman Mahkamah Sesyen.

Daripada apa yang dilaporkan oleh media massa, yang diketahui ialah: Wan Ji, seorang pendakwah bebas, telah dihukum penjara satu tahun kerana menghina Sultan Selangor di bawah Akta Hasutan 1948.

Siapa di antara mereka yang membuat komen atau tuntutan itu membaca penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen yang membicarakan kes itu? Mungkin seorang pun tidak. Siapa di antara mereka yang tahu kata-kata yang ditulis oleh Wan Ji yang menjadi asas pertuduhan itu? Mungkin tidak ada. Siapa di antara mereka yang tahu peruntukan sebenar seksyen yang dibawahnya beliau dituduh, dan sejarah seksyen itu?

Sebelum kita berkata hukuman itu terlalu berat, kita perlu tahu fakta kes itu, seksyen di bawahnya Wan Ji dituduh; hujah-hujah yang dikemukakan oleh kedua belah pihak; alasan-alasan yang diberi oleh hakim yang membicarakan kes itu; hakikat bahawa, dalam kes itu, PR merayu supaya hukuman Hakim Mahkamah Sesyen itu ditambah kerana hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkannya itu terlalu ringan pada pandangan PR, dan alasan-alasan yang diberi oleh Hakim Mahkamah Tinggi dalam mengesahkan sabitan itu dan menambah hukuman penjara kepada satu tahun.

Mengatakan bahawa hukuman itu terlalu keras atau terlalu berat hanya setelah mendengar hukumam satu tahun kerana menghina Sultan bukanlah cara yang betul untuk menilai sesuatu hukuman.

Dalam rencana ini, saya tidak akan membincang sama ada pensabitan Wan Ji itu betul atau tidak dan sama ada hukuman itu sah atau tidak dan patut atau tidak, kerana rayuan kes itu ke Mahkamah Rayuan (MR) masih pending (belum selesai). Ini adalah untuk mengelak daripada mengganggu perbicaraan kes tersebut yang mungkin menjadi satu kesalahan menghina mahkamah.

Tuntutan supaya Wan Ji dibebaskan munkin melanggar prinsip itu. Dua peringkat mahkamah telah mendapati beliau bersalah dan hukuman telah ditambah. Itu adalah perintah mahkamah yang berkuatkuasa pada masa ini. Jabatan Penjara tidak boleh “melepaskannya”. PR tidak boleh menggunakan seksyen 254 Kanun Acara Jenayah untuk tidak meneruskan pendakwaan seperti yang dilakukannya dalam kes Lim Guan Eng kerana pendakwaan telah selesai dan mahkamah telah memberi penghakiman.

Jika PR memaklumkan mahkamah beliau tidak akan menentang rayuan Wan Ji apabila rayuan itu didengar oleh MR pun, penghakiman Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi kekal. Adalah tidak wajar bagi PR untuk berbuat demikian. Yang membawa Wan Ji ke mahkamah dan mendakwanya adalah PR; yang merayu ke Mahkamah Tinggi supaya hukuman ditambah adalah PR; bagaimana apabila sampai di MR, PR hendak membuat pusingan U dan berkata PR tidak menentangnya?

MR tidak boleh membenarkan rayuan semata-mata kerana PR tidak menentang. MR juga tidak boleh membenarkan rayuan semata-mata atas hujah-hujah perayu. Hanya jika MR bersetuju bahawa sabitan itu tidak betul di atas fakta atau mengikut undang-undang, barulah MR boleh mengketepikan penghakiman dan hukuman itu. Perlu diinagi, ini adalah kes jenayah, bukan kes sivil.

Nampaknya, Tommy Thomas, PR, menyedari hal ini apabila beliau berkata dalam kenyataannya bertarikh 12 Julai 2019:

“Thomas berkata Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji pilihan-pilihan yang terbuka kepadanya berhubung dengan rayuan Wan Ji, tetapi menyatakan bahawa berdasarkan sabitannya oleh dua mahkamah, “margin budi bicara di pejabatnya sangat terhad”. (The Star Online 12 07 2019) (Terjemahan saya).

Hanya satu jalan yang tinggal iaitu bagi Wan Ji memohon pengampunan kepada DYMM Sultan Selangor yang begitu teruk dihinanya itu. Permohonan itu perlu di buat di Selangor kerana beliau disabitkan dan dihukum oleh Mahkamah Tinggi di negeri Selangor. Tidak malukah beliau untuk berbuat demikian? Mungkinkah Lembaga Pengampunan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, mengampunnya?

Jabatan Penjara tidak ada kuasa melepaskan Wan Ji kerana ia tertakluk kepada perintah mahkamah. Menuntut PR melepaskan Wan Ji, di peringkat ini, PR sudah tidak ada kuasa lagi. Menuntut MR melepaskannya mungkin menjadi menghina mahkamah. Jangan pula Wan Ji masuk penjara kerana menghina Sultan dan ketua-ketua pemuda parti-parti komponen PH masuk penjara kerana menghina mahkamah. Mereka patut menyedari semua ini sebelum mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Perlu disebut bahawa menuntut kerajaan PH menunai janjinya dan memansuhkan Akta Hasutan tidaklah salah. Tetapi, ia hanya melibatkan kes-kes di masa hadapan. Sama ada akta itu patut dimansuhkan atau tidak adalah suatu perkara lain dan saya tidak akan membincangnya di sini. Sesiapa yang ingin tahu, sila layari laman-laman web saya dan membaca ucapan-ucapan saya mengenainya yang disampaikan dalam tahun 2014.

Menuntut PR memberi penjelasan mengapa beliau merayu terhadap hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen yang menyebabkan ia ditambah menjadi satu tahun adalah suatu perkra yang tidak pernah berlaku semenjak Merdeka, di bawah pemerintahan BN.

Bezanya, sepanjang masa itu, Peguam Negara/Pendakwa Raya adalah dilantik daripada pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, bukan peguam swasta. Tommy Thomas adalah calon DAP dan pilihan PH. Ahli-ahli parti-parti komponen PH fikir bahawa beliau terhutang budi kepada PH dan mesti menurut telunjuk PH. Maka, mereka berhak menuntut beliau memberi penjelasan mengapa beliau telah berbuat sesuatu yang berlawanan dengan dasar dan janji PH.

Tommy Thomas menjawab:

“… beliau tidak mengetahui kes itu…sehingga Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan untuk mensabitkannya dan menambah hukumannya pada 9 Julai.

Thomas memberikan urutan peristiwa kes itu yang menunjukkan bahawa Wan Ji telah dituduh dan disabitkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

……..

“Tiada representasi bertulis yang pernah dibuat oleh tertuduh atau peguamnya kepada saya, dan saya sendiri tidak menyedari hal ini sehingga selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Julai menjadi pengetahuan umum.

“Ini tidak menghairankan kerana pada setiap hari bekerja, kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan 13 buah negeri terlibat, secara langsung, dalam beratus-ratus kes jenayah dan sivil….”. (The Star Online 12 07 2019) (Terjemahan saya).

Beliau nampak defensif dalam jawapannya itu. Seorang Peguam Negara/Pendakwa Raya yang dilantik daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan mungkin tidak menjawabnya, atau, jika menjawab pun, mungkin hanya berkata “Itu budibicara saya. Alasan saya ialah…” Tetapi, Tommy Thomas tidak boleh berkata demikian. Beliau tahu kepada siapa beliau terhutang budi.

Walau bagaimana pun, beliau tidak boleh lari dari tanggungjawabnya, kerana apa yang dilakukan oleh timbalan-timbalannya adalah dilakukan bagi pihaknya.

Beliau juga menjelaskan mengenai penggunaan Akta Hasutan 1948.

“Beliau berkata Akta itu adalah antara manifesto Pakatan Harapan yang menyatakan ia akan dimansuhkan, tetapi Kabinet tidak memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara apa-apa keputusan untuk memansuhkan atau memindanya.

“Di bawah sistem pemerintahan kita, Kabinetlah yang memutuskan bagi pihak badan eksekutif untuk membuat keputusan memansuhkan atau meminda undang-undang untuk dibawa ke Parlimen, dengan Jabatan Peguam Negara membantu dalam merangka undang-undang baru,” katanya.

Beliau juga berkata Kabinet tidak memberi sebarang arahan untuk berhenti bergantung kepada Akta Hasutan.

“Arahan seperti itu, walau bagaimana pun tidak sah kerana ia akan menyentuh budi bicara mengikut Perlembagaan yang terletak hanya kepada Peguam Negara (PR – ditambah) untuk memutuskan perkara-perkara pendakwaan bagi pihak negara,” katanya.

Thomas menambah bahawa apabila memegang jawatan pada Jun 2018, beliau memutuskan untuk menggunakan Akta Hasutan hanya sebagai langkah terakhir.

“Oleh sebab Akta Hasutan masih menjadi undang-undang, ia tidak boleh diketepikannya sepenuhnya. Itu hanya berlaku jika Parlimen memansuhkannya.

…….

Thomas menambah bahawa jika pendakwaan terpaksa dilakukan, beliau akan menggunakan Kanun Keseksaan, tetapi jika tidak ada alternatif mengikut undang-undang, maka dalam kes yang sesuai, beliau “tidak boleh menolak penggunaan Akta Hasutan, sehingga ia dimansuhkan”. (The Star Online 12 07 2019) (Terjemahan saya).

Apa yang dikatakannya itu adalah betul. Pihak-pihak yang membuat desakan perlulah mengambil perhatian.

Siapakah Wan Ji? Saya menggoogle dan ini adalah hasilnya:
Wan Ji dilahirkan di Rong Chenok, Pasir Mas, Kelantan dalam tahun 1982 yang bererti beliau berumur 37 tahun sekarang. Beliau mendapat pendidikan awal di Institut Pendidikan al-Balaghul Mubin (Pasir Mas Kelantan- tahfiz al-Quran) sebelum melanjutkan pengajian di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan; Jamia Farooqia Karachi, Pakistan (tidak diketahui dalam bidang apa dan hingga ke peringkat mana); Universiti Al-Azhar, Mesir (Syariah Islammiyah) dan Universiti Malaysia Kelantan (Kesusasteraan, ada yang mengatakan maqasid shariah).

Beliau pernah menjadi ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Selangor, Ketua Exco Agama Pemuda PKR, Penyelidik di Anwar Ibrahim Research Institute (AIRI), Pegawai Penerangan dan Penasihat Agama di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau mengarang beberapa buah buku, antaranya, bertajuk Andai Rasulullah s.a.w. Bersama Kita; Kezuhudan Umar Abdul Aziz, Kesederhanaan Nik Abdul Aziz: Dua Tokoh Unik di Dua Zaman; Maqasid Syariah; Ustaz, Aku Tak Bangang!; Ustaz, Jangan Kasar Sangat!
Beliau dikatakan banyak mengkritik ulama-ulama Malaysia. Semasa dalam Pas, beliau pernah memanggil Dato’ Harun Din, Ketua Dewan Ulama Pas “ulama kepala lutut”. Beliau menyifatkan Pas era Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang sebagai parti lebai. Beliau bersetuju kalimah Allah digunakan oleh gereja Roman Katholik dalam upacara agama Bahasa Melayu dan dalam bible Bahasa Melayu, dan lain-lain.
Dari sini, dapat diperhatikan bahawa dalam umur yang begitu muda beliau telah mengkritik ulama-ulama Malaysia dengan bahasa yang begitu kasar, seolah-olah beliau sahajalah yang betul. Dua tajuk bukunya yang terakhir disebut itu menampakkan reaksi pendengar ceramahnya, kepadanya.
Adalah juga menghairankan bagaimana beliau boleh berpindah dari Pas ke PKR dan menjadi Pegawai Penerangan dan Penasihat Agama di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang. Di sebaliknya timbul soalan mengapa beliau dipilih oleh Lim Guan Eng. Adakah pendirian beliau dalam isu-isu yang melibatkan Islam menyebabkan Lim Gung Eng berpendapat beliau boleh diperalatkan untuk kepentingan polituk DAP? Nampaknya, itulah yang lebih berkemungkinan.

Pembaca, dan, saya percaya, DS Anwar, ketua-ketua pemuda parti-parti komponen PH, pemimpin-pemimpin NGO dan badan hak asasi manusia dan individu-individu yang membela kuat Wan Ji semuanya tidak membaca pun apa yang ditulisnya mengenai DYMM Sultan Selangor, kerana ia tidak disiarkan oleh media massa. Apa yang disebut hanyalah beliau mengeluarkan kata-kata yang menghina DYMM Sultan Selangor. Betapa seriusnya kata-kata itu tidak dirasai.

Maka, saya memperturunkannya daripada penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen:

“1) Jenis syaitan tak baca hadis nabi kata ‘sesungguhnya org yg ada hak, kena bg ruang bersuara’. Bahana bodoh agama tp nak jadi ketua agama.. Sultan Selangor Sultan Shrafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya tidak terpengaruh dengan tuntutan kebebasan bersuara yang diperjuangkan segolongan pihak yang hanya mementingkan ideologi politik.

2) Sultan sel tu tak payah nak ingatkan student UPM..Dia sendiri tu kena pg ngaji agama lagi…Kena ajar sultan sel, arak tu haram. Ketua agama tak layak ada hard rock café…Perasan bagus, tp bodoh agama..

3) Buang je sultan2 ni…Perabis duit rakyat…

4) Sultan sel mengadakan kempen projek pembodohan diUniversiti…Masuk Universiti untuk jadi bijak, si syaitan ni buat projek pembodohan.. Bila org bodoh, dia akan berkuasa…Firaun moden.

5) Nak kaya dlm keadaaan bodoh adalah jadi sultan.

6) Quran kata, ‘(firaun) merendah-rendahkan (akal) mereka (rakyat mesir), lalu mereka taat kepadanya’ itu di mesir. Kalau di malaysia, yg buat kerja ni adalah UMNO dan Sultan..”

Kita ketepikan undang-undang buat sementara. Patutkah seorang manusia berkata demikian kepada seorang manusia lain? Hendak dikatakan tidak bertamadun, saya percaya, orang asli pun tidak berkata demikian kepada Tok Batin mereka. Hendak dikatakan tidak berpelajaran, beliau belajar di tiga buah universiti. Hendak dikatakan tidak tahu hukum dan ilmu agama, beliau seorang hafiz, graduan syariah dan maqasid syariah, penceramah agama, penulis buku-buku agama, penasihat agama dan lain-lain. Hendak dikatakan beliau tidak tahu adab pun tidak patut: dalam Quran yang dihafalnya sahaja pun sudah cukup banyak pesanan mengenainya. Hendak dikatakan itulah yang diajar oleh bapanya juga tidak munasabah. Yang jelas ialah beliau tidak beradab.

Anihnya, orang-orang yang membela beliau hanya menunjukkan simpati terhadap beliau. Sepatah pun tidak disebut mengenai orang yang dihinanya. Pejuang-pejuang hak asasi manusia pula lebih mementingkan hak orang yang menghina, bukan hak orang yang dihina, seolah-olah manusia mempunyai hak untuk menghina, tetapi tidak ada hak untuk tidak dihina. Itukah kebebasan bersuara yang mereka perjuangkan?

17 07 2018

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

221 visits