ROYALI PETROLIUM: SOALAN KEPADA PEGUAM NEGARA BARU

ROYALI PETROLIUM: SOALAN UNTUK PEGUAM NEGARA BARU

Saya tertarik membaca laporan New Straits Time “Kerajaan Bersetuju Menyalurkan Royalti Minyak Terus kepada Kerajaan Negeri Trengganu”. (NST Jun 7, 2018) (Terjemahan saya).

Ia menyatakan:

“PUTRAJAYA: Kerajaan telah bersetuju untuk membayar royalti minyak terus kepada kerajaan negeri Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Profesor Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Trengganu mengalu-alukan langkah itu kerana wang itu boleh digunakan untuk rakyat.

“(Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) telah memberitahu kami bahawa royalti minyak akan dibayar kepada kerajaan negeri. Kuantum dan perincian royalti minyak hanya akan diketahui kemudian. Tetapi, sekurang-kurangnya lima peratus, kini kadar sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kewangan Kebangsaan pertama yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir.

Pada masa lalu, Samsuri berkata royalti minyak untuk Terengganu disalurkan kepada agensi kerajaan persekutuan ….. ” (Terjemahan saya)

Oleh kerana jumlah yang terlibat mungkin berjuta-juta, jika tidak berbilion ringgit, saya minta Peguam Negara mengkaji perkara itu dan menasihat Perdana Menteri mengenai soalan-soalan berikut:

1. Sama ada, pada pendapatnya, berdasarkan fakta dan terma perjanjian antara Petronas dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, termasuk Terengganu dan Kelantan (perjanjian itu), Petronas bertanggungjawab (liable) membayar royalti tersebut kepada mana-mana negeri, termasuk Trengganu dan Kelantan.

2. Jika Petronas tidak bertanggungjawab (liable) untuk membayarnya, adakah sah (lawful) bagi Perdana Menteri untuk mengarahkan Petronas membayarnya?

Untuk menjawab soalan-soalan itu, soalan-soalan berikut perlu dijawab terlebih dahulu:

(a) Apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi, mengikut perjanjian itu, sebelum Petronas bertanggungjawab membayar royalti kepada negeri-negeri itu, termasuk Terengganu dan Kelantan?

(b) Adakah telaga minyak yang ditemui dan menghasilkan minyak dan gas dalam mana-mana negeri, termasuk Terengganu dan Kelantan?

Untuk menjawab soalan-soalan itu, soalan-soalan berikut perlu dijawab terlebih dahulu:

(i) Apakah maksud “dalam negeri”?

(ii) Bukankah ia bermaksud dalam sempadan sesebuah negeri termasuk perairan (territorial waters) negeri berkenaan?

(iii) Apakah perairan (territorial waters) sebuah negeri, seperti Terengganu dan Kelantan?

(iv) Bukankah tiga batu nautika dari paras air surut terendah di pantai negeri itu?

(v) Berapa jauhkah letaknya telaga minyak yang terdekat dengan Terengganu dan Kelantan?

Negara mengharapkan Peguam Negara memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kerajaan dan negara berhak mengetahui pendapat dan nasihatnya (Peguam Negara).

Tun Abdul Hamid Mohamad

08 06 2018

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

119 visits