PAKAIAN PRAMUGARI: FOKUSLAH KEPADA ISU-ISU SEMASA YANG LEBIH BESAR

PAKAIAN PRAMUGARI: FOKUSLAH KEPADA ISU-ISU SEMASA YANG LEBIH BESAR

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya merujuk kepada kenyataan YB Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga (KWK), Siti Zailah Mohd Yusoff yang dilaporkan oleh Sinar Harian pada 13 Mac 2020 di bawah tajuk “Kementerian bincang polisi pemakaian pramugari” yang, antara lain mengatakan bahawa beliau berhasrat merealisasikan pelaksanaan polisi pemakaian patuh syariah bagi pramugari.”

 “Menurutnya, polisi itu hanya termaktub kepada pekerja wanita yang beragama Islam sahaja manakala mereka yang bukan beragama Islam memadai sekadar berpakaian sopan.

“Jadi Insya-Allah dengan kerajaan yang ada ini saya akan membuat kunjung hormat dalam masa terdekat ke pejabat Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan saya yakin perkara ini juga dah ada dalam agenda mereka.

“Sebab kita perlu kepada pindaan undang-undang, terutama Akta Kerja jika melibatkan kakitangan yang bekerja, supaya polisi patuh syariah itu dapat dilaksanakan dalam pentadbiran negara kita. Bagi mereka yang bukan Islam, kita tidak paksa,” katanya…”

Kenyataan itu menunjukkan, walau pun duduk dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada berbagai parti, beliau masih berfikir seolah-olah beliau seorang ahli Ex-co Kerajaan Negeri Kelantan yang terdiri kesemuanya daripada ahli-ahli PAS dan Malaysia itu Kelantan.

Dalam hal ini, pertama, isu pakaian seragam pramugari MAS itu bukanlah satu isu nasional. Ia adalah isu syarikat MAS. MAS tidak perlu mendapat kelulusan Kabinet, apatah lagi, pindaan undang-undang untuk memilih pakaian seragam pramugarinya. Ia boleh ditukar oleh MAS hanya dengan mengadakan pakaian seragam baru.

Kedua, nampaknya beliau berhasrat melaksanakan polisi pakaian patuh syariah kepada kakitangan awam dalam pentadbiran negara (termasuk swasta jugakah?). Mengambil satu misalan sahaja, ini bererti membuat undang-undang menghendaki semua pekerja wanita, antara lain, memakai hijab.

Di Malaysia ini, memakai hijab cuma bermula dalam tahun 1970an. Sehari demi sehari ia menjadi sebagai satu fesyen hingga sekarang boleh dikatakan lebih daripada 90% wanita Melayu memakainya. Jika itu mematuhi syari’ah, baguslah. Ia berlaku tanpa undang-undang, tetapi, selain daripada hendak mamatuhi syarak, ia juga kerana pengaruh fesyen hingga ada orang yang sanggup beratur seawal pukul 6.00 pagi di hadapan butik terkenal, menunggu ia membuka pintu, untuk mengambil nombor untuk masuk membeli koleksi tudung terbaharu!

Sebelum tahun 1970an, wanita-wanita tua Melayu di kampung-kampung, termasuk isteri ulama-ulama terkenal dan tok-tok guru pondok, meletak kain tudung nipis warna putih di atas kepala mereka. Ia tidak pun menutup kesemua rambut mereka. Yang lainnya, tidak langsung menutup rambut, Ia tidak menjadi isu pada masa itu dan, saya percaya, semenjak orang Melayu mula meleluk agama Islam. Berdasarkan tafsiran sekarang, fesyen atau kebiasaan pada masa itu, ia tentulah tidak patuh syari’ah.

Dalam kata-kata lain, pakaian kita, antara lain, dipengaruhi oleh fesyen semasa. (Dan ingat, fesyen pada suatu masa dahulu adalah tradisi hari ini.)

Saya fikir, tidaklah perlu membuat undang-undang menjadikan kesalahan bagi wanita-wanita Islam yang bekerja di sektor awam dan swasta, yang tidak memakai hijab. Ia tidak menjadikan mereka lebih waraq. Mungkin, dari segi lain, wanita Islam yang tidak memakai hijab itu lebih patuh syari’ah daripada yang memakai hijab. Biarlah mereka memilih sendiri. Lebih baiklah selesaikan isu-isu wanita yang lebih besar.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan kerajaan PH dengan cepatnya menarik perhatian bahawa 13,000 kakitangan MAS terpaksa mengambil cuti tanpa gaji akibat pendemic Covid-19. Ini tidak termasuk lain-lain syarikat penerbangan”. Saya menambah, munkin separuh atau lebih daripadanya adalah wanita. Bukankah isu itu lebih serius untuk diberi perhatian? Mengapa beri peluang kepada lawan plitik to score a point?

Ketiga, masa untuk membangkitkan isu ini tidak sesuai. Kerajaan PN baru berumur dua minggu. Kerajaan PH baharu sahaja ditumbangkan. Kerajaan PN yang baharu, masih belum stabil. Ia belum pun sempat membuat apa-apa kerja untuk memperbaiki kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan PH dalam tempoh 22 bulan itu. Keadaan negara begitu teruk dengan masalah ekonomi, Covid-19, harga barang yang naik melambung, minyak sawit tidak laku, harga petroleum dan nilai saham jatuh merudum, pemberhentian kerja dan cuti tanpa gaji yang dipaksakan oleh majikan dan berbagai-bagai lagi. Orang ramai menunggu apa yang akan dilakukan untuk mengatasi masalah-masalah itu. Tiba-tiba, Timbalan Menteri PN bercakap mengenai pakaian pramugari MAS? Dalam keadaan sekarang, tidak lama lagi, mungkin MAS pun akan gulung tikar.

Keempat, cara beliau melakukannya tidak betul.  Beliau sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan pegawai-pegawai di kementeriannya; buat kajian yang perlu; timbang sesuai tidaknya perkara itu diketengahkan pada masa ini; cara mengemukakannya yang tidak atau kurang ditentang oleh pembangkang; sama ada ia mungkin mendapat sokongan Kabinet. Selepas itu berbincanglah dengan kementerian-kementerian lain yang terlibat diam-diam. Jika perlu mendapat kelulusan Kabinet, sediakanlah Kertas Kabinet; jika perlu  meminda undang-undang, sediakan rang undang untuk dibawa ke Parlimen. Jika tidak, laksanakanlah secara pentadbiran.

Tetapi tidak, beliau terus membuat kenyatan kepada media massa. Tujuannya tentu untuk mendapat publisiti. Tetapi, beliau bukannya hanya mengikat dirinya sendiri, beliau juga mengikat menteri-menteri di kementerian-kementerian lain, malah kerajaan PN untuk melakukannya apabila beliau berkata “saya yakin perkara ini juga dah ada dalam agenda mereka.”

Kenyataan itu menyebabkan embarrassment kepada menteri-menteri di kementerian-kementerian lain yang disebutnya itu, terutama sekali kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama.) Bagaimana jika beliau ditanya pemberita-pemberita mengenainya?

Kelima, menggunakan alasan patuh syari’ah adalah tidak bijak. Malaysia bukan Kelantan di mana jenama Islam sahaja sudah cukup untuk menarik undi. Di peringkat Persekutuan, lebih baik nilai-nilai Islam itu diserapkan secara senyap-senyap tanpa menyebut unsurnya. Sebut sahaja syari’ah atau syarak, ada pihak yang melenting dan menentang hingga menimbulkan isu Perlembagaan. Pada hal, perkara yang sama, diserap masuk senyap-senyap, diterima tanpa soalan. Saya percaya syarikat penerbangan Saudi Airlines atau Emirates tidak heboh-heboh menggunakan alasan patuh syariah untuk membuat pakaian seragam pramugarinya. Semua pramugarinya, Islam atau bukan Islam, Asia atau Eropah, memakainya.

Apa yang perlu hanya menukar design pakaian itu. Beritahulah MAS untuk menukar design pakaian seragam pramugarinya, misalnya atas alasan supaya ia lebih sesuai dengan suhu sejuk dalam kabin.

Keenam, oleh sebab beliau menggunakan alasan patuh syari’ah dan takut ditentang oleh orang bukan Islam, maka beliau menghadkan cadangannya kepada pramugari beragama Islam sahaja. Akibatnya, jika dilaksanakan, MAS akan mempunyai dua jenis pakaian seragam, satu untuk pramugari Islam dan satu untuk pramugari bukan Islam. MAS akan menjadi sebuah syarikat penerbangan pertama di dunia yang berbuat demikian. Adakah itu satu kejayaan yang membanggakan?

Ketujuh, katakanlah pramugari Islam MAS sudah memakai pakaian seragam yang patuh syari’ah, adakah kerja mereka patuh syari’ah? Saya katakan, jika waraq sangat tak usahlah jadi pramugari.

Kelapan, musuh-musuh PAS, terutama sekali yang bukan Islam, selalu melabelkan PAS sebagai sebuah parti ekstremis Islam. Kenyataan Timbalan Menteri KWK itu hanya akan meyokong tuduhan mereka itu. PAS telah mendapat peluang untuk duduk dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan selepas empat dekad. Inilah peluang untuk PAS menonjolkan program-program berasaskan Islam yang boleh memperbaiki masalah-masalah yang di hadapi negara masa ini, sekaligus menolak tuduhan itu. Setakat ini baru nampak Menteri dan Timbalan Menteri PAS membaca khutbah Jumaat (itu saya tidak bersetuju kerana, pertama, mereka orang politik; kedua itu bukan tugas mereka dan, ketiga, ada Imam yang dilantik untuk melakukannya) dan cadangan yang dibincangkan ini. Kita menunggu sesuatu yang lebih substantif.

18 03 2020

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

48 visits