KEKALAHAN BN: PELUANG MENGHAPUSKAN POLITIK WANG DALAM UMNO

KEKALAHAN BN: PELUANG MENGHAPUSKAN POLITIK WANG DALAM UMNO
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Dalam ucaputama saya di persidangan The Voice of Peace, Conscience and Reason (PCORE) yang berthemakan Givers and Takers: The Integrity – Corruption Cintinuum pada 15 Februari 2014 yang saya sampaikan dalam Bahasa Inggeris, antara lain, saya berkata (terjemahannya):

“Pada pandangan saya……kita telah memulakan amalan demokrasi kita dengan salah. Kita bermula dengan memanggil ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri “wakil rakyat” yang menyebabkan orang ramai berfikir bahawa “wakil-wakil rakyat” itu dipilih untik memberi perkhidmatan kepada mereka, termasuk memberi wang apabila mereka memerlukannya.

Seorang ahli politik veteran yang berkhidmat di kedua-dua peringkat Negeri dan Persekutuan memberitahu saya bahawa adalah sangat menyayat hati apabila dia pulang ke rumah pada pukul 1.00 pagi, masih ada orang menunggunya untuk meminta wang, kononnya untuk membayar bayaran persekolahan anak-anaknya, padahal buku teks pun dibekalkan percuma.”

Itu yang datang secara individu untuk meminta bantuan. Waki-wakil rakyat itu senentiasa mengadakan jamuan pada hari-hari perayaan, memberi cenderamata, hadiah, derma, tajaan dan berbagai-bagai lagi, yang kesemuanya memerlukan wang.

Ahli-ahli parti yang bercita-cita menjadi wakil rakyat perlu bertanding untuk sesuatu jawatan tinggi dalam parti, seperti Ketua Bahagian. Ia memerlukan wang lagi. Seterusnya jika dia bertanding untuk jawatan dalam parti di peringkat negeri, apatah lagi, di peringkat pusat. Lebih banyak wang diperlukan.

Itu di peringkat individu. Di peringkat parti pula, saya berkata:

“(Mengenai) ……perbelanjaan pilihan raya, fikirkan sahaja jumlah wang yang dibelanjakan untuk sepanduk, poster, bendera, pelekat, perhimpunan, jamuan, hadiah, tajaan, buah tangan dan lain-lain.”

Apa yang saya sebut itu bukanlah kesemuanya. Saya tidak tahu apa lagi jenis perbelajaan yang dikeluarkan, oleh individu atau oleh parti.

Biar apa pun, jumlah wang yang sangat banyak diperlukan oleh wakil rakyat sebagai invividu dan oleh parti. Maka wakil-wakil rakyat itu perlu mempunyai wang yang banyak. Parti perlu mempunyai wang yang lebih banyak untuk menyalurkannya kepada mereka. Dari mana wang itu diperolehi?

Saya seterusnya berkata:

“Untuk keuntungan jangka pendek, tanpa sengaja, kita mencipta masalah baru. Malangnya, masalah itu menjadi semakin besar dan kekal selama-lamanya. Itulah dilema kita.”

Pada masa itu, saya tidak nampak bagaimana masalah itu boleh di atasi. Budaya itu nampaknya sudah sebati (entrenched) dengan politik di Malaysia dan tidak ada jalan keluar baginya.

Tetapi, kekalahan BN dalam PRU 14 telah membuka peluang untuk mengubah budaya itu atau mengurangkan, jika tidak menghapuskannya pun.

Dengan kekalahan BN, sumber kewangan biasanya sudah tiada. Maka, pemimpin-pemimpin BN, terutama sekali UMNO, boleh berkata kepada pengundi-pengundi dan ahli-ahli partinya bahawa mereka tidak ada peruntukan lagi untuk diberi atau dibelanjakan seperti dahulu. Saya percaya mereka akan faham hakikat itu. Tanpa wang, politik wang dengan sendirinya akan kurang. Cuma diharapkan ianya bukan hanya untuk sementara.

Dengan peralihan kuasa, diharapkan budaya buruk itu tidak akan diwarisi oleh parti-parti dalam PH pula.

28 Mei 2018 / 12 Ramadan 1439

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

198 visits