PARLIMEN TERCEMAR

PARLIMEN TERCEMAR

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Parlimen adalah satu dewan yang mulia di mana pemimpin-pemimpin negara, mewakili rakyat yang memilih mereka, duduk berbincang mengenai hal-hal kenegaraan dan membuat undang-undang untuk dilaksanakan bagi kepentingan negara. Semestinya perbincangan hal-hal sepenting itu, diharapkan oleh semua, akan dilakukan oleh orang-orang yang dihormati, berpelajaran, berpengalaman dan berpengetahuan mendalam dalam hal-hal kenegaraan. Mereka akan meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan parti dan diri. Mereka dapat melihat jauh kehadapan dan berani membuat keputusan yang mungkin tidak popular pada masa ini, tetapi baik untuk masa depan negara. Perbincangan akan dilakukan dalam suasana yang matang, serius dan terhormat. Sebab itulah mereka dipanggil “Yang Berhormat”.

Tetapi, oleh sebab kuasa dan segala-gala yang boleh didapati memaluinya menjadi tarikan utama, perebutan kuasa menjadi agenda utama ahli-ahli Parlimen. Akibanya. pihak kerajaan sanggup berbuat apa sahaja untuk kekal berkuasa manakala pihak pembangkang pula sanggup berbuat apa sahaja untuk megambil alih kuasa.

Maka, sehari demi sehari, kita lihat Parlimen semakin tercemar. Terdapat ahli-ahlinya yang tidak berkelakuan dengan cara yang terhormat. Ada yang berkelakuan tidak langsung sepadan dengan kedudukan mereka sebagai ahli-ahli Parlimen, malah memalukan.

Bukan tidak ada ahli-ahli Parlimen yang membincang isu-isu negara dengan serius dan mendalam. Tetapi, mereka ditenggelamkan oleh ahli-ahli yang tidak banyak isi tetapi cuba menarik perhatian dengan kelakuan dan kata-kata yang kontroversial. Media massa pula memberi keutamaan kepada mereka. Mereka pun mengambil kesempatan untuk menarik perhatian dan menjadi popular. Malangnya, ada pula pengundi yang merasakan bahawa ahli-ahli Parlimen seperti adalah “wira”.

Tetapi, biar apa pun pandangan pengundi, ahli-ahli Parlimen, sebagai pemimpin, perlulah memimpin dengan menunjukkan teladan yang baik, bukan menjadi pelakun murahan semata-mata untuk meyukakan hati pengundi-pengundi. Apa yang lebih merisaukan ialah semua itu menajdi tontonan anak-anak muda dan pelajar-pelajar, seolah-olah itulah cara bersuara dan berbahas isu-isu kenegaraan di Parlimen dan itulah budaya yang patut diteladani.

Nampaknya, seolah-olah keadaan ini semakin menjadi-jadi semenjak diadakan siaran langsung. Kerajaan patut mengkaji semula sama ada siaran langsung itu patut diteruskan. Jika mudaratnya lebih banyak daripada manfaatnya, ia patutlah dihentikan. Jika tidak ada penonton, pelakon tidak akan berlakon.

112 visits