PEGAWAI AWAM SEBAGAI PENYELAMAT NEGARA

PEGAWAI AWAM SEBAGAI PENYELAMAT NEGARA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Dalam rencana ini, saya menggunakan ungkapan “pegawai-pegawai awam” sebagai bermakna semua pegawai-pegawai yang digajikan oleh Kerajaan termasuklah anggota-anggota beruniform.

Semenjak Merdeka, tidak ada satu tahun di mana kita menyambut kemerdekaan dalam keadaan negara seperti tahun ini, di mana pemimpin-pemimpin Kerajaan menghadapi krisis integriti yang paling serius dan imej yang paling teruk. Sebabnya boleh disimpulkan dengan satu perkataan: rasuah.

Umumnya, pemimpin-pemimpin politik sudah tidak boleh hendak dihormati dan diteladani untuk tujuan yang baik lagi. Selain daripada mereka disorak (cheered) oleh penyokong-penyokong mereka yang berkepentingan, yang mengharapkan sesuatu habuan atau yang tidak tahu dan terikut-ikut, paling tinggi, mereka hanya ditolerated oleh pegawai-pegawai awam yang berkerja di bawah mereka dan tiada pilihan. Dalam keadaan itu, kita lihat, masa depan negara menurun dan menurun. Saya juga tidak nampak pilihan yang lebih baik daripada pemimpin-pemimpin politik pembangkang. Apabila kekuasaan berada dalam tangan, saya percaya, keadaan yang serupa akan berulang: hari ini peluang kamu, esok peluang kami.

Maka, kepada siapa kita hendak berpaling untuk mencari “penyelamat”. Di negara-negara lain, rakyatnya berpaling kepada tentera untuk mengambil kuasa. Saya tidak bersetuju dengan cara itu. Ia tidak keperlembagaan (unconstitutional), tidak sah dan tidak boleh dipertahankan di sisi undang-undang selain daripada ia merosakkan susunan sistem kenegaraan kita. Saya fikir kita ada cara yang lebih lembut, berperlembagaan, mematuhi undang-undang dan berkemungkinan berkesan, sekurang-kurangnya untuk memulihkan keadaan.

Saya fikir kita boleh berpaling kepada pegawai-pegawai awam. Memanglah, dalam setahun kebelakangan ini, bilangan pegawai-pegawai awam yang ditahan kerana rasuah naik mendadak, melibatkan pegawai-pegawai kanan dan jumlah yang semakin besar. Namun demikian, saya percaya, peratusan mereka yang bersih dari rasuah masih besar dan mereka tidak mahu tergolong bersama-sama mereka-mereka yang rasuah.

Apa yang pegawai-pegawai awam yang tidak pernah terlibat dengan rasuah dan/atau berazam tidak akan terlibat dengan rasuah boleh lakukan ialah, melalui persatuan-persatuan mereka, tampil ke hadapan dan membuat ikrar terbuka, secara peribadi: “Kami tidak akan terlibat dengan rasuah”.

Setelah membuat ikrar itu, pegawai-pegawai awam itu hendaklah menjalankan tugas mereka mengikut undang-undang dan peraturan. Ini bukan bermakna mereka akan membuat kerja mereka dengan perlahan atau sengaja melambat-lambatkannya. Apa yang dimaksudkan di sini ialah mereka akan menjalankan tugas mereka mengikut undang-undang, peraturan dan prosedur yang ditetapkan mengenainya. Dalam kata-kata lain, mereka tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, peraturan dan prosedur mengenainya, walaupun diarah oleh pegawai-pegawai mereka yang lebih kanan atau orang-orang politik.

Jika mereka diarah atau dipaksa melakukan atau membantu perbuatan rasuah atau melanggar undang-undang, peraturan atau prosedur atau jika mereka mengetahui mengenai perbuatan rasuah yang berkaitan dengan kerja mereka, mereka hendaklah melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Jika tindakan tatatertib diambil terhadap mereka, semua pegawai-pegawai awam, melalui persatuan-persatuan mereka, hendaklah menyuarakan sokongan mereka terhadap pegawai itu.

Untuk melaksanakan bahagian kedua ini, SPRM perlulah menyertainya dengan menyediakan cara yang mudah bagi pegawai-pegawai itu membuat aduan dan seterusnya mengambil tindakan.

Oleh itu, saya menyeru pegawai-pegawai awam yang tidak pernah terlibat dengan rasuah dan/atau yang berazam tidak akan terlibat dengan rasuah supaya tampil ke hadapan dan membuat ikrar tersebut. Saya percaya sejumlah besar daripada mereka layak dan bersedia untuk membuat ikrar itu. Setelah membuat ikrar, saya percaya mereka akan merasa “megah” dan akan memeliharanya daripada tercemar dan akan mengelak daripada terlibat dengan rasuah. Saya juga percaya jumlah atau peratusan mereka adalah besar. Ini akan memberi keyakinan kepada orang ramai. Ia juga diharapkan akan menyebabkan orang-orang politik lebih berhati-hati kerana malu, curiga, malah takut kepada pegawai-pegawai awam.

Saya fikir, CUEPACS, sebagai satu gabungan persatuan-persatuan perkhidmatan awam yang terbesar, berada dalam kedudukan yang baik untuk memulakannya. Saya sedar bahawa ahli-ahlinya bukanlah pegawai-pegawai tertinggi dalam perkhidmatan awam. Tidak mengapa. Jika “Kepimpinan Melalui Teladan” yang bermula dari atas telah gagal, kali ini kita mula dari bawah pula. Selepas mereka melakukannya, adalah diharapkan bahawa pegawai-pegawai yang lebih kanan juga akan terdesak untuk mengikuti mereka, kerana, siapa yang tidak terlibat dengan rasuah yang mahu dilihat sebagai tidak mahu membuat ikrar itu? Jika gerakan ini menjadi popular, maka kumpulan yang tidak terlibat dengan rasuah akan menjadi lebih besar dari sehari ke sehari dan keadaan itu secara otomatik akan menekan golongan yang tidak membuat ikrar sehingga pegawai-pegawai yang tidak terlibat dengan rasuah di kalangan mereka, termasuk orang-orang politik, juga akan turut serta untuk mengelak diri mereka daripada dimasukkan dalam golongan yang terlibat dengan rasuah.

Untuk mengadakan majlis ikrar itu yang pertama, saya syorkan CUEPACS melakukannya bersama-sama persatuan-persatuan pegawai-pegawai awam lain yang mahu turut serta. CUEPACS boleh bertindak sebagai pelopor untuk mendapatkan kerjasama persatuan-persatuan lain, seberapa banyak yang mungkin, untuk menyertainya. Majlis-majlis itu hendaklah diadakan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Ikrar boleh juga dibuat melalui surat, e-mel, WhatsApp, IT dan lain-lain. CUEPACS boleh menyediakan satu sekretariat untuk merekodkan butiran pegawai-pegawai yang telah membuat ikrar dan perkembangannya dari sehari ke sehari.

Rencana ini menurunkan idea awal mengenai syor ini. Saya percaya ia boleh diperbaiki. Sekurang-kurangnya, setakat ini, ia boleh menjadi bahan untuk difikirkan dan dibincang. Pihak-pihak yang berminat dengan idea ini bolehlah berhubung dengan saya.

2 September 2016

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

 

315 visits