SELAMAT TINGGAL UMNO

SELAMAT TINGGAL UMNO

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

 

Khamis 24 November 2022. Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Istana Negara mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah membuat keputusan melantik DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) ke-10. Baginda membuat keputusan  itu setelah berbincang dengan Raja-Raja Melayu untuk membolehkan Baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.”

 “Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara.”

 Tidak pula disebut parti-parti yang bersetuju bergabung dengan PH dan berapa orangkah ahli-ahli Dewan Rakyat (DR) yang menyokong DS Anwar.

Dengan pelantikan ini tercapailah cita-cita DS Anwar setelah sekian lama menunggu. Apa yang akan dilakunya selepas ini sama-samalah kita menunggu untuk melihatnya.

Yang paling licik adalah DAP. Dengan menutup mulut dan tidak menampakkan muka mereka sepanjang kempen PRU15 dan rundingan bergabung selepas PRU15, mereka tidak membangkitkan kecurigaan orang Melayu terhadapnya seperti sebelumnya.

Sehinggakan, semasa menunggu untuk mengambil ubat di Hospital Putrajaya tengah hari 24 November 2022, isteri saya terdengar seorang pesakit perempuan berkata, “Kali ni DAP tak ada, cuma PKR. Cina tak ada pun, semua Melayu. PH la ni berlain daripada PH dahulu. Dulu PH Mahathir. Ini PH Anwar. Kita sokong pun tak apa.” Begitu berkesan sekali taktik mereka.

DS Anwar dari awal lagi bersetuju untuk mengadakan kerajaan perpaduan. Alasan yang digunanya ialah beliau tidak mahu derhaka kepada YDPA. Sebenarnya beliau tahu itulah satu-satunya cara untuk beliau menjadi PM.

Mengikut berita, semasa TS Muhyiddin menghadap YDPA,           DS Anwar sedang menunggu di bilik sebelah untuk menandatangani perjanjian yang telah disediakan oleh pihak Istana Negara. Jika cerita itu benar, soalnya adakah terdapat satu komplot antara beliau dengan pegawai-pegawai Istana Negara seperti yang dikatakan pernah berlaku dahulu?

TS Muhyiddin telah menyatakan rasa tidak puas hatinya dengan cara penentuan bilangan penyokong yang diperolehi olehya dan DS Anwar. Mengikutnya, pada 22 November 2022 lagi beliau telah menghantar sebanyak 115 SD menyokongnya, yang termasuk 10 dari BN. Pada 23 November 2022, semasa beliau menghadap YDPA apabila beliau memberitahu YDPA beliau mempunyai 115 penyokong, YDPA terkejut dan berkata baginda tidak tahu. Adakah pegawai-pegawai istana yang bertanggungjawab tidak memberitahu baginda?

Pada 22 November 2022 petang, tempoh menyampaikan SD telah dipanjangkan. Dalam masa dua hari berikutnya DT BN dan MKT UMNO sibuk bermesyuarat. Berulang kali keputusannya dilaporkan bahawa BN  berkecuali.

Kemudian keluar pula cerita DS Dr. Wee Ka Siong, Presiden MCA melenting kerana DS Zahid  dalam suratnya kepada YDPA telah menyatakan 30 ahli DR BN menyokong DS Anwar sebagai PM pada hal mesyuarat DT BN memutuskan mereka berkecuali. Beliau begitu marah terhadap DS Zahid  hingga mahukan undi tidak percaya sebagai Pengerusi DT BN dibuat terhadap DS Zahid. Ada pihak yang membuat laporan Polis menuduh DS Zahid menipu YDPA.

Malam 23 November 2022, keluar pula berita bahawa semua sepuluh orang ahli DR UMNO yang menandatangani SD menyokong TS Muhyiddin itu menandatangani SD menarik balik sokongan mereka itu.

YDPA menitahkan 30 ahli DR BN menghadp baginda pada 23 November 2022. Hanya DS Zahid, DSU Mohamad  Hasan bersama-sama DS Zambry Abdul Kadir hadir sebagai wakil ahli-ahli DR BN. Adakah 28 orang ahli DR BN lagi itu dilarang hadir oleh puncak pimpinan BN?

Saya menyangkakan bahawa pendirian 30 ahli-ahli DR BN itu adalah berkecuali sehingga terbaca NST online jam 9.15 malam 24 November 2022 yang mengatakan antara penyokong DS Anwar adalah 28 ahli DR BN. Beberapa minit kemudian, keluar pula berita bahawa PH, BN dan GPS akan menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan Isnin diisytiharkan cuti umum. Jadi, jelaslah sekarang bahawa BN menyokong DS Anwar, bukan berkecuali.

Bagi saya, bahawa UMNO/BN berkecuali pun saya kecewa kerana ia sepatutnya bergabung dengan PN untuk menghalang PH berkuasa. Bergabung dengan PH tidak boleh diterima langsung. Ia adalah satu penipuan kepada pengundi-pengundi Melayu.

Turut mendukacitakan ialah peranan yang dimainkan oleh Istana Negara yang seolah-olah membantu DS Anwar menjadi Perdana Menteri dan PH berkuasa. Jika tempoh untuk  mengemukakan SD  tidak dilanjutkan dan SD yang dikemukan TS Muhyiddin dikira, beliau tentu telah menang. Pelanjutan tempoh itu membolehlan kedudukan berubah. Bahawa YDPA menitah kepada ketua-ketua parti supaya menimbang cadangan mengadakan kerajaan perpaduan itu tidak boleh dinafikan. Ini disahkan oleh ketua-ketua parti itu sendiri.

Ini adalah ulangan apa yang berlaku dua tahun dahulu. Ia tidak sepatutnya berlaku. YDPA tidak sepatutnya terlibat dalam politik. Ini bukan soal ikut Westminster atau tidak. Ini soal campur tangan dalam dasar parti dan tujuan pengundi. Dalam PRU ini, misalnya PN telah mengeluarkan manifesto dan berkempen bahawa mereka menentang dasar-dasar PH dan pengundi-pengundi mengundi PN atas alasan itu. Setelah selesai pilihan raya dan calon-calon yang mereka undi menang, partinya dititahkan bergabung dengan PH. Nasiblah PN bertegas tidak mahu bergabung dengan PH untuk menubuh kerajaan. Bagaimana dengan BN dan GPS?

Saya tidak faham bagaimana sepuluh orang ahli DR UMNO yang pada mulanya membuat SD menyokong TS Muhyiddin itu boleh menarik balik SD mereka. Takut sangatkah kepada DS Zahid dan dipecat? Saya juga tidak faham bagaimana ahli-ahli MKT yang berkali-kali mengundi untuk berkecuali, boleh menerima keputuan (siapa?) bahawa BN/UMNO bersetuju menyokong DS Anwar Ibram sebagai PM dan bergabung menubuh kerajaan dengan PH. Takut sangatkah mereka kepada DS Zahid? Adakah mereka juga bersekongkol untuk berbohong?

Jam 6.00 24 November 2022, keluar berita wakil 130 Bahagian UMNO telah sampai ke WTC untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Presiden dan pemimpin-pemimpin mereka. Jika semua Bahagian UMNO menyokong Presiden dan pemimpin-pemimpin mereka pun, kita belum tahu bagaimana perasaan pengundi-pengundi Melayu yang  mengundi UMNO/BN dalam PRU15. PRK dan PRN akan diadakan tidak lama lagi. Saya ingin lihat prestasi UMNO/BN.

Biar apa pun, saya merasa tertipu. Saya sudah tidak percaya kepada pemimpin-pemimpin UMNO lagi. Selamat tinggal UMNO.

25 11 2022

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

 

60 visits