MENYERTAI UPACARA YEE SANG BOLEH MEMBAWA KEPADA SYIRIK?

MENYERTAI UPACARA YEE SANG BOLEH MEMBAWA KEPADA SYIRIK?

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Setiap Tahun Baru Cina, orang-orang Cina Malaysia menyambutnya dengan upacara yee sang, yusheng atau yuu sahng. Itu kita tidak kisah kerana ia adalah adat dan kepercayaan mereka.

Tetapi, yang menimbulkan persoalan ialah apabila ia diadakan sebagai satu upacara di majlis-majlis rumah terbuka parti-parti politik dan pemimpin-pemimpin berbangsa Cina yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Melayu. Mereka turut dijemput dan menyertai upacara yee sang itu.

Pemimpin-pemimpin Cina itu mungkin merasakan upacara itu hanya satu adat yang boleh membawa kemakmuran kepada orang-orang yang melakukannya. Ia juga menggambarkan cara hormat menghomati adat satu sama lain, tanda sepakat dan muhibbah dalam sebuah negara berbilang kaum, agama, bahasa, adat dan kebudayaan.

Saya tidak fikir pernah terbayang difikiran pemimpin-pemimpin Cina itu bahawa adat mereka itu mungkin menyalahi akidah orang Islam kerana mereka tidak tahu pun apakah akidah agama Islam. Agama/adat/amalan mereka adalah berasaskan kepercayaan dan superstition. Makruf dan munkar boleh ditafsirkan sebagai untung dan rugi. Apa yang menguntungkan adalah makruf dan apa yang merugikan adalah munkar. Maka, sebagai menghormati dif-dif kehormat mereka itu, mereka menjemput dif-dif itu menyertai upacara itu untuk sama-sama mendapat keuntungan daripadanya.

Seperti kebiasaan, orang Melayu yang tidak mahu mengecilkan hati host mereka mengalah dan turut menyertainya walau pun agak keberatan dan kekok pada mulanya. Tetapi, hari ini, ada di antara mereka sudah mahu menunjuk bahawa mereka sporting dan terbuka kepada rakan-rakan Cina dan pengundi Cina. Maka mereka tidak silu-silu lagi menyertainya.

Soalannya, mungkinkah perbuatan itu boleh membawa kepada syirik? Saya tidak tahu jawapannya kerana saya tidak tahu adat it secara mendalam dan saya bukan ulamak. Tetap, saya merasa kurang senang. Maka saya membangkitkan persoalan ini untuk ilmuan kita membuat kajian mengenai adat itu dan ulamak-ulamak kita berfikir mengenainya.

Dikatakan amalan memakan ikan mentah itu berasal dari Guangdong, China. Ia adalah makanan orang miskin. Ia dibawa oleh pendatang ke Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura di mana restoran-restoran di sana menjadikannya seperti hidangannya pada masa ini, semata-mata dengan tujuan melariskan perniagaan mereka.

Yee sang biasanya dibuat daripada jejalur ikan mentah, dicampur dengan sayur-sayuran yang dicincang dan pelbagai sos dan perasa, antara bahan-bahan lain. Ikan digunakan sebagai bahan utama kerana perkataan Mandarinnya, disebut “yu” sepadan dengan homofonnya yang bermaksud “kelimpahan” yang membawa makna “kelimpahan sepanjang tahun”. Pomelo atau limau nipis ditambah pada ikan, menambah tuah dan nilai bertuah yang membawa maksud “semoga berjaya dan pelayaran yang lancar”. Lada kemudiannya dihancurkan dengan harapan dapat menarik lebih banyak wang dan barang berharga yang ditafsirkan sebagai “menarik kekayaan dan harta karun”.

Kemudian minyak dicurahkan, mengelilingi bahan-bahan untuk menggalakkan wang mengalir masuk dari semua arah yang bermaksud “mendapat 10,000 kali untung dengan modal anda”, dan “banyak sumber kekayaan”.

Lobak merah ditambah menunjukkan nasib baik: perkataan pertama dalam kata majmuk mewakili ramuan, “lobak merah/lobak” mempunyai homofon yang bermaksud “nasib baik semakin menghampiri”. Lobak hijau yang dicincang kemudian ditambah melambangkan belia abadi/pemuda kekal/muda selama-lamanya (“forever young”). Selepas itu lobak putih yang dicincang ditambah. Ia membawa kemakmuran dalam perniagaan dan kenaikan pangkat di tempat kerja, “maju dengan pantas” dan “mencapai tahap yang lebih tinggi dengan setiap langkah”.

Perencah akhirnya ditambah. Mula-mula, serbuk kacang ditaburkan di atas pinggan, melambangkan “isi rumah yang dipenuhi emas dan perak”. Ia diikuti dengan biji bijan yang melambangkan “kemakmuran untuk perniagaan”. Sos yuu sang, biasanya dibuat daripada sos buah plum, disiram dengan baik. Ia membawa maksud “semoga hidup sentiasa manis”. Kerepek tepung yang digoreng dalam bentuk bantal emas kemudian ditambah dengan harapan bahawa seluruh lantai rumah akan dipenuhi dengan emas.

Yee sang sering dihidangkan sebagai sebahagian daripada makan malam pelbagai hidangan, biasanya sebagai pembuka selera kerana simbolisme “nasib baik” untuk tahun baru. Ada yang memakannya pada hari ketujuh Tahun Baru Cina, walaupun ia dimakan bila-bila masa dalam tempoh Tahun Baru Cina (hari pertama hingga ke-15 bulan lunar pertama).

Bahan asas dihidangkan terlebih dahulu. Ketua di kalangan pengunjung atau pelayan restoran terus menambah bahan-bahan seperti ikan, keropok dan sos sambil mengucapkan “doa yang baik” bagi setiap bahan ditambah, biasanya berkaitan dengan bahan khusus yang ditambah itu. Sebagai contoh, frasa seperti “semoga ada kelimpahan tahun demi tahun” diucapkan apabila ikan ditambah, kerana perkataan Cina untuk “lebihan” atau “kelimpahan” berbunyi sama dengan perkataan Cina untuk “ikan”. Semua pengunjung di meja kemudian berdiri dan meneruskan upacara itu dengan melambung bahan-bahan yang dicincang ke udara dengan penyepit sambil mengucapkan pelbagai “doa yang baik” dengan kuat atau hanya mengucapkan perkataan yang bermaksud “cedok, cedok”. Adalah dipercayai bahawa ketinggian lambungan mencerminkan ketinggian pertumbuhan nasib pengunjung. Oleh itu, pengunjung akan melambung dengan penuh semangat. (Sumber Wikipidia).

Dimikianlah sepintas lalu adat atau upacara yee sang. Biar siapa pun yang menciptanya dan apa pun tujuannya, ia bukanlah makanan harian biasa, jika kesemua bahannya halal sekalipun.

Sama ada yee sang itu adat, ibadat, upacara keagamaan, amalan atau pembohongan pengusaha restoran untuk melariskan perniagaan mereka tidak penting bagi kita. Yang penting ialah adakah turut menyertai upacara itu boleh membawa kepada syirik? Terdapat empat faktor yang merisaukan kita:

1. Kepercayaan bahawa bahan-bahan yang digunakan itu boleh membawa keuntungan dan kebaikan yang dikaikan dengannya.

2. Kepercayaan bahawa dengan melambungnya dan memakannya akan memperoleh kebaikan-kebaikan itu.

3. Kepercayaan lagi tinggi makanan itu dilamubung lagi tinggilah kejayaan, keuntungan dan kebaikan diperolehi.

4. “Doa-doa” (wishes) yang menyertai hidangan dan lanbungan itu, kepada siapa ia diminta?

Tidakkah semua ini mempunyai unsur-unsur syirik?

Mungkin dikatakan kita bukan percaya semua itu. Kita melakukannya semata-mata kerana menghormati adat rakan-rakan kita. Soalan: Jika langsung tidak percaya, mengapa melakukannya bersama-sama orang-orang yang melakukannya dengan penuh kepercayaan? Apa bezanya dengan menyertai mereka berdiri di hadapan tokong dan menghayun colok yang menyala, sambil berkata dalam hati “aku tidak pecaya”?

Mungkin dikatan kita cuma hendak mengambil hati rakan-rakan kita berbangsa Cina itu untuk menjaga hubungan baik dan muhibbah antara kaum dalam sebuah negara yang berbilang kaum. Jawapan saya ialah itu bukanlah satu hujah yang boleh menjadi alasan yang sah. Alasan itu cuma sah jika perbuatan itu tidak melanggar sempadan kesyirikan dan tidak bercanggah dengan Syariah.

Mungkin dihujahkan lagi bahawa kita cuma bersuka-suka dengan rakan-rakan kita itu di perayaan Tahun Baru mereka. Soalan: Mereka melakukannya bukan untuk bersuka-suka. Mereka melakukannya supaya doa-doa (wishes) mereka dimakbulkan. Bagaimana kita menyertai mereka hanya untuk bersuka-suka.

Biar apa pun, Islam tidak mengajar kita bererebut-rebut dan melambung makanan.

Saya berpendapat sudahlah tiba masanya satu kajian mendalam dan menyeluruh dibuat mengenai yee sang dan dibentang kepada Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mendapat pandangannya dan membawa cadangannya untuk dijadikan fatwa di setiap negeri di Malaysia. Isu ini melibatkan seluruh negara. Semua fatwa itu hendaklahlah serupa. Jangan pula antara Majlis-Majlis Fatwa Negeri pun ada pula perbezaan pendapat. Jika sesama kita pun tidak boleh bersetuju, bagaimana kita hendak orang bukan Islam memberi perhatian serius terhadapnya?

Fatwa itu akan menjadi garias panduan di mana letaknya sempadan yang, jika dilintasi, boleh membawa kepada syirik dan ditegah oleh syarak. Ia akan menjadi panduan kepada orang Islam dan bukan Islam, penganjur dan dif-dif, supaya sama-sama tahu apa yang diizinkan syariah dan apa yang tidak.

Soalan-soalan yang perlu dijawab oleh fatwa itu ialah:

1. Apakah hukumnya menghadiri jemputan ke majlis menyambut Tahun Baru Cina?

2. Apakah hukumnya menyertai upacara yee sang yang melibatkan melambung makanan sambil mengucapkan doa (wishes) dan mempercayai sepenuhnya segala kebaikan yang dikaitkan dengannya dan mengharapkan ia berlaku?

3. Apakah hukumnya menyerti upacara yee sang seperti dalam perenggan 2 tanpa mempecayai sepenuhnya segala kebaikan yang dikaitan dengannya tetapi mengharapkan juga ia berlaku?

4. Apakah hukumnya menyertai upacara yee sang seperti dalam perenggan 2 tanpa mempercayai atau mengharapkan kebaikan yang dikaitan dengannya tetapi semata-mata untuk menghormati jemputan penganjur?

Setelah beriman dengan Allah berasaskan dalil-dalil Al-Quran, adakah kita hendak mencampur-adukkan iman kita dengan kepercayaan yang asasnya secetek itu hanya kerana hendak mengambil hati rakan-rakan bukan Islam kita yang tidak tahu pun implikasinya kepada iman kita?

07 02 2023

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

8 visits