HARTA SEPENCARIAN ATAU PUSAKA: ADAT ATAU SYARAK?

HARTA SEPENCARIAN ATAU PUSAKA: ADAT ATAU SYARAK?
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

“Harta sepencarian” berasal daripada adat Melayu. Ia berbangkit daripada keadaan tempatan. Dahulu, suami isteri sama-sama memugar tanah untuk dijadikan sawah, kebun atau dusun. Apabila berlaku perceraian, si-suami hanya “menghantar balik” si-isteri kepada ibu bapanya atau saudara maranya di kampung asalnya dengan bungkusan kain bajunya, biasanya bersama anak-anak yang masih kecil. Selepas itu, si-suami berkahwin lain. Pada masa itu belum ada Mahkamah Syari’ah, Enakmen Keluarga Islam, Enakment Pentadbiran Agama Islam dan lain-lain undang-undang berkenaan.

Dalam keadaan itulah, untuk berlaku adil kepada si-isteri, mengikut adat pada masa itu, harta yang sama-sama dicari dan diusahakan dibahagi di antara si-suami dan si-isteri. Adat itu telah diterima pakai oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi (Sivil) (Hakim-Hakim British) dalam kes-kes di hadapan mereka, sebelum Merdeka.

Selepas Merdeka, apabila Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam dibuat, “harta sepencarian” telah dikanunkan dengan nama asalnya “harta sepencarian” sedangkan tuntutan-tuntutan lain seperti “nafkah” dan “muta’ah” menggunakan Bahasa asalnya iaitu Bahasa Arab.

Sebagai misalan, seksyen 46(2)(b)(iv) Akta Pentadbiran Agma Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (APAI (WP) 1993) memperuntukkan:

“(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah —
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan
dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang
berhubungan dengan —
(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;”

Peruntukan ini, secara umun, memberi bidangkuasa kepada mahkamah untuk membicarakan dan memutuskan kes-kes mengenai pembahagian atau tuntutan harta sepencarian. Ertinya, mahkamah ada bidangkuasa untuk membicarakan kes tuntutan harta sepencarian dan membuat perintah pembahagianya.

Dalam keadaan mana, perintah mengenai harta sepencarian boleh dibuat? Ini diperuntukkan oleh Seksyen 58, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (AUKI (WP) 1984):

(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Subseksyen (3) memperuntukkan:

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Perhatikan, mengikut aubseksyen (1) dan (3), seksyen 58 AUKI (WP) 1984, mahkamah hanya boleh membuat perintah pembahagian harta sepencarian dalam dua keadaan sahaja:
i. apabila mengesahkan lafaz talaq dan
ii. apabila membuat perintah perceraian.

Ertinya apabila berlaku perceraian (talaq). “Cerai mati” tidak termasuk dalam dua keadaan ini.

(Di negeri Selangor, ada satu keadaan lagi di mana perintah pembahagian harta sepencarian boleh dibuat, ia itu apabila memberi kebenaran si-suami berpoligami. Tetapi, itu tidak berkenaan dengan perbincangan sekarang.)

Soalannya, apabila tuntutan dibuat selepas kematian si-suami sedangkan tidak ada perceraikan semasa hidup keduanya, bukankah apa yang dikatakan “harta sepencarian” itu sebenarnya sebahagian daripada pusaka si-suami dan ia perlu dibahagikan mengikut faraid? Bolehkah, dalam menentukan bahagian waris-waris terhadap pusaka itu, “harta sepencarian” si-isteri ditolak terlebih dahulu dan bakinya baharulah dibahagikan di antara waris-waris, termasuk si-isteri, mengikut faraid?

Saya berhujah bahawa, pertama, mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk membuat perintah dalam keadaan yang tersebut di atas kerana, (di Wilayah Persekutuan) seksyen 58 AUKI (WP) 1984 hanya membolehkan mahkamah membuat perintah pembahagian harta sepencarian dalam dua keadaan yang disebut itu. Seksyen 46(2)(b)(iv) APAI (WP) 1993 tidak boleh digunakaan untuk meluaskan bidangkuasa mahkamah membuat perintah pembahagian harta sepencarian dalam keadaan lain selain daripada yang diperuntukkan oleh seksyen 58. Jika mahkamah berbuat demikian, ia bererti bahawa mahkamah telah menceroboh bidangkuasa dan mengambil alih tugas Parlimen. Hanya Parlimen yang berkuasa memberi bidangkuasa kepada mahkamah, tertakluk kepada apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Arahan Amalan dan Fatwa juga tidak boleh meluaskan atau menambah bidangkuasa mahkamah.

Selain dari itu, mengikut syarak, apabila si-suami itu meninggal dunia, bukankah peninggalannya telah menjadi pusaka yang cara pembahagiannya ditetapkan oleh nas-nas yang jelas?

Memanglah hutangnya perlu ditolak terlebih dahulu sebelum pusakanya dibahagikan. Tetapi, ia hanya menjadi hutang jika mereka telah bercerai sebelum si-suami meninggal dunia dan si-isteri telah menuntut harta sepencarian. Apabila perintah dibuat, ia menjadi hutang penghakiman, yang mesti ditolak terlebih dahulu. Atau, katakanlah sebelum mengucap dan menghembus nafasnya yang terakhir, si-suami, sama ada kerana hendak melepas geram, buang tabiat atau kerana tidak mahu si-isteri mewarisi pusakanya, melafazkan talaq. Dalam keadaan itu, mahkamah perlu mengesahkan lafaz talaq itu dan, pada masa itu, bolehlah membuat perintah pembahagian harta sepencarian. Bukan itu sahaja, malah si-isteri juga layak menuntut muta’ah dan nafkah eddah. Tetapi si-isteri tidak boleh mendapat pusaka, kerana dia bukan lagi isteri si-suami semasa si-suami meninggal dunia.

Mahkamah juga memakai konsep “cerai mati” sebagai alasan bagi amalan itu. Soalan saya: Jika “cerai mati” boleh disamakan dengan talaq dan si-isteri boleh menuntut harta sepencarian daripada pusaka si-suami, mengapa tidak muta’ah dan nafkah eddah?

Pada pandangan saya, konsep “cerai mati” tidak sesuai digunakan dalam hal ini kerana tidak kena pada tempatnya. Ungkapan itu hanya untuk menunjukkan bahawa perpisahan telah berlaku di-antara si-suami dan si-isteri, tetapi perpisahan itu adalah kerana kematian salah seorang daripadanya, bukan kerana talaq. Selain daripada kedua-duanya menyebabkan eddah kepada si-isteri, saya tidak nampak persamaan yang lain.

Daripada rencana dan penghakiman Mahkamah Syari’ah yang saya temui dan baca, nampaknya, harta sepencarian telah diterima sebagai hukum syarak atas dua alasan:
1. Walaupun ia asalnya adat Melayu, ia tidak bercanggah dengan syarak.
2. Untuk berlaku lebih adil kepada si-isteri.

Kedua-dua alasan itu betul jika pembahagian harta sepencarian terhad kepada perceraian (talaq) sahaja. Masalahnya apabila tidak ada perceraian dan si-suami telah meninggal dunia dan peninggalannya telah menjadi pusaka. Dalam keadaan itu, bolehkah kita menggunakan urf untuk mengatasi nas-nas yang jelas mengenai pembahagian pusaka? Bolehkah adat mengatasi syarak?

Mengenai alasan kedua, iaitu untuk berlaku lebih adil kepada si-isteri. Soalan saya, jika ia sebahagian daripada pusaka, adakah kita mengatakan bahawa pembahagian pusaka mengikut syarak itu tidak adil?

Pada padangan saya, Mahkamah Syariah perlulah berfikir semula dan membetulkan “kesilapan undang-undang” (error of law) ini kerana implikasinya sangat besar baik dari segi nilai jumlah harta yang terlibat dan akan terus terlibat, hukum mahupun ketidakadilannya kepada waris-waris. Sebaliknya, jika Kerajaan hendak mengesahkan amalan itu, biarlah Badan-Badan Perundangan berkenaan mengesahkannya melalui undang-undang. Itu sistem kita.

9 Mac 2016

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

 

255 visits